"Prayboy" Itu Suami Aku



Sekarang ini banyak drama di televisyen yang diadaptasikan daripada novel. Drama-drama seperti ini lebih banyak menarik tumpuan rakyat Malaysia jika dibandingkan dengan drama biasa kerana kisah dalam novel cinta rasanya nampak lebih nyata dan romantis barangkali di kaca televisyen. Dan sudah pastilah yang menjadi tumpuan utama penonton, khususnya daripada kalangan wanita ialah pelakon utama sesebuah drama itu sendiri.

Fenomena artis-artis terkenal kian mendominasi media sosial. Aaron Aziz, Izzue Islam dan kini Fattah Amin. Begitu hebatnya penangan industri hiburan kita hari ini sehinggakan wujudnya pelbagai fanpage untuk karakter-karakter kesukaan masyarakat meskipun karakter itu tidak wujud di dunia nyata. Selesai satu drama, minat kita beralih pula kepada drama yang terbaru dan begitulah selanjutnya. Minat dan semangat untuk menyokong industri tempatan kita tidak ada salahnya. Bahkan, saya sendiri amat berharap pihak media tempatan dapat juga menyiarkan drama yang diadaptasi daripada novel remaja kerana menurut saya secara personal, kita telah terlalu banyak dihidangkan dengan tema cinta. Sesekali bolehlah bertukar angin kepada drama penyiasatan, persahabatan atau keagamaan.



Menonton drama dan filem kesukaan kita tidak menjadi sebarang masalah, cuma kita perlu mengawalnya agar tidak menjebak diri sendiri. Bagaimana media-media ini boleh menjebak kita? Tanpa kita sedari, drama tersebut boleh membuatkan seseorang itu menangguhkan solatnya, bahkan lebih parah meninggalkan solat. Ya lah, kita tidak mahu melepaskan walau satu saat pun babak yang ditayangkan. Hendak pergi solat, takut terlepas babak penting. Hati menyuruh badan tunggu sekejap. Akhirnya, bila drama telah selesai, kita pun baru mahu bergerak untuk solat.

Tetapi dalam perjalanan untuk mendirikan solat, kita diuji pula dengan tugasan dan arahan daripada ibu bapa untuk menyiapkan makan malam atau sebagainya sehinggakan langsung terlupa untuk solat. Dan begitulah kebiasaannya. Sedar tak sedar, drama yang kita tonton itu telah menyebabkan kita lalai daripada melaksanakan kewajipan kita terhadap Tuhan.

Satu lagi masalah yang berpunca daripada drama sekiranya tidak berjaya dikawal ialah kefanatikan terhadap aktor/aktres drama itu, terutamanya jika mereka cantik dan kacak. Malah, ada yang siap mengaku suami dan isteri masing-masing. Kalau sekadar suka-suka tidak mengapa. Jangankan ada yang mengambil terlalu serius sehingga ingin mengetahui walau sekecil-kecil butiran pun tentang pelakon tersebut. Sehinggakan aktiviti seharian pelakon itu pun dipantaunya habis-habisan. Perkara ini bukan hanya akan memakan diri sendiri, tetapi boleh juga membahayakan nyawa pelakon-pelakon tersebut kan? Manalah tahu.

Pesan saya, kita kena berpada-pada dalam melakukan hal yang kita suka. Jangan sampai melalaikan, dan janganlah pula sampai memakan diri. Baiklah, sebenarnya tertarik untuk memetik salah satu judul drama yang sedang meletup di kaca televisyen sekarang ini iaitu “Playboy” Itu Suami Aku. Biarlah playboy itu suami dia. “Prayboy” Itu Suami Aku. Saya berminat untuk memberikan sedikit ulasan tentang vlog yang dihasilkan oleh MrTheAllShared berkenaan isu Perigi Tolak Timba. Meskipun mungkin saya masih muda untuk membicarakan tentang perkara ini, tetapi tidak ada salahnya untuk saya mengutarakan pendapat sendiri. 


Vlog ini mengetengahkan isu perempuan yang menolak lelaki soleh untuk dijadikan calon suami, dan juga menolak lelaki yang jahil untuk dijadikan suami. Lantas, siapakah yang sebenar-benarnya layak untuk dijadikan calon suami?

Beginilah. Sebagai seorang perempuan, kita pastilah mengimpikan calon suami yang beriman. Ya, setiap muslimah mahukan seorang lelaki yang soleh untuk membimbingnya ke syurga. Tidak ada muslimah yang mahukan playboy sebagai suaminya. Kita mengidamkan “prayboy” sebagai suami. Namun apabila datangnya seorang lelaki yang soleh melamar untuk dijadikan isteri, maka wujudnya perasaan rendah diri dan muslimah akan mula menilai kembali sejauh mana keimanannya jika dibandingkan dengan lelaki itu. Apabila rasa diri tidak layak untuk lelaki yang beriman itu, mulalah dia menolak lamarannya.

Begitu juga apabila datangnya lelaki yang jahil dalam agama. Muslimah akan berpendapat bahawa sukar pula untuk lelaki itu membimbingnya ke syurga. Lantas, jawapan kami hanya akan menyuruh lelaki itu pulang dan perbaiki diri sebelum bersedia untuk menerimanya sebagai calon suami. Mungkin inilah pandangan sebahagian besar muslimah hari ini. Hasrat di hati cuma mahukan lelaki yang benar-benar layak untuk kita.

Pendirian lelaki dan pendirian wanita berbeza. Lelaki lebih banyak menggunakan akal untuk memilih calon isteri tetapi wanita pula lebih banyak menggunakan nafsu dalam proses pemilihan. Dan seperti yang kita ketahui, nafsu ini tidak akan pernah puas walau apa pun yang terjadi. Nafsu akan sentiasa bersifat berkehendak terhadap kesempurnaan. Oleh itu kami akan terus berusaha mencari kesempurnaan, sedangkan hakikatnya tidak ada lelaki yang sempurna di dalam dunia ini.

Satu perkara yang perlu diingati tentang wanita, ialah wanita bersifat memilih. Namun, bukan semuanya mempunyai sifat sedemikian. Seandainya lelaki rasa dirinya mahukan seseorang itu sebagai pelengkap hidupnya, maka dia harus banyak bersabar sekiranya ditolak. Berikan sedikit masa dan usaha, sehingga wanita itu dapat menggunakan akalnya bahawa andalah yang sesuai untuknya. Namun, pastikan usaha itu dilakukan dengan mengikut syariat. Wanita ini sebenarnya lembut hatinya.

Baiklah, itu sahaja sedikit pendapat saya tentang vlog tersebut. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana diri sendiri belum ada pengalaman. Saya cuma menulis berdasarkan pendapat hati. Kepada muslimah pula, jangan mudah terpedaya dengan janji lelaki. Lelaki yang tulus akan mencari muslimah melalui jalan yang diredhai Allah. Pilih “prayboy” itu sebagai suami, bukannya “playboy”. 

Comments

  1. semoga dijauhi dari playboy.. tetapi didekatkan dengan prayboy.. insya-Allah..

    ReplyDelete

Post a Comment