"Non-Muslim Itu Mengucap Di Hadapan Aku"


Hal ini betul-betul pernah berlaku di hadapan mata saya sendiri. Saya mempunyai seorang rakan yang beragama Hindu, namun dia bukanlah seorang yang sangat taat kepada agamanya, tetapi bukan juga seorang yang tidak percaya akan agama. Dia mempercayai apa yang dipercayai oleh kedua-dua orang tuanya. Mungkin kerana telah terbiasa tinggal di asrama, seluruh kehidupannya boleh dikatakan sebati dengan cara hidup orang Melayu. Dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan baik sekali tingkah lakunya.

Apa yang menjadikan dia seorang yang unik, dia paling suka bernasyid. Bahkan nasyid yang tidak saya ketahui pun dia boleh nyanyikan dengan lancar. Dia faham cara hidup orang Islam, dia tahu waktu-waktu yang wajib dan sunat untuk solat. Kerana tingkah lakunya yang sangat baik, saya jadi senang untuk berkawan dengannya dan sering bertukar-bertukar cerita. Pernah sekali, saya dan dia duduk berdua-duaan, berbual-bual seperti biasa. Kemudian saya terdetik untuk bertanya sesuatu. Sekiranya dia sudah faham dan sangat menghormati agama Islam, tidak mustahil untuk menariknya masuk ke dalam Islam. 

Cuma kita sebagai orang Islam, kalau hendak berdakwah, kena pandai main pro dan kontra. Tak boleh menyalahkan seratus peratus agama lain kerana perkara ini menyentuh sensitiviti mereka. Saya berfikir sejenak sebelum memulakan perbualan. 

"Ermm, boleh kite tanya sesuatu? Tapi jangan terasa..." saya masih teragak-agak. Dia tersenyum, seolah-olah faham apa yang tersirat di dalam hati ini. Setelah mendapat persetujuannya, saya bertanya kepadanya, adakah dia percaya kepada Tuhan. Dan berapa banyak Tuhan yang dipercayainya. Dia mengambil masa sedikit untuk berfikir sebelum menjawab. 

Jawabnya, dalam agamanya, mereka percaya kepada dewa. Setiap dewa mempunyai tugas masing-masing. Mereka menyembah dewa-dewa itu sebagai tanda hormat. Katanya lagi, dewa ini boleh diibaratkan sebagai nabi untuk orang Islam. Saya cuba mempertahankan, dalam Islam kita tidak menyembah nabi, muslim cuma menyembah kepada Tuhan yang Esa. Dia meneguhkan pendiriannya bahawa mereka menyembah sebagai tanda hormat. Kemudian tambahnya lagi, memang ada Tuhan. Tuhan yang satu. Tuhan yang menciptakan dewa-dewa itu. Mereka menyembah Tuhan, juga menyembah dewa-dewa. Tetapi pokok pangkalnya, ada Tuhan yang utama.

Saya bertanya lagi, sekiranya dewa-dewa semuanya berkuasa, mereka tak bergaduhkah sesama sendiri? Balasnya pula, setiap dewa memainkan peranan sendiri dan faham peranan masing-masing. Dan panjang lagi penjelasannya. Saya tidak mahu berhujah panjang kerana tidak mahu menyakiti perasaannya. Kalau dipanjangkan lagi, memang tak siaplah kerja sekolah yang diberikan oleh guru. 

Saya cuba mengubah topik dan menceritakannya pula tentang al-quran. Saya memberitahunya tentang keajaiban lautan dan beberapa kisah yang sudah dirungkai dalam al-quran yang saya ketahui. Dia juga membenarkan kata-kata saya dengan mengatakan bahawa semua itu juga telah tertulis di dalam kitabnya. Kata saya, al-quran ini sudah begitu lama sekali wujud di dunia. Dia juga menyatakan yang sama. Jadi dia tertanya-tanya, mana satukah kitab yang wujud terlebih dahulu? Saya cuma senyum.

Saya menjelaskan lagi, Tuhan itu memang satu. Dan sebenarnya memang ada satu sahaja agama di dalam dunia ini. Cuma manusia itu sendiri yang menciptakan pelbagai jenis agama dan kepercayaan selari dengan kehendak dan kesesuaian masing-masing. Jadi kalau kita hendak benar-benar mengetahui kebenarannya, kita perlu mengkaji sendiri untuk melihat buktinya. Kali ini, kami sama-sama bersetuju. Non-muslim itu memberitahu bahawa dia senang dengan sikap saya yang terbuka tidak seperti sesetengah orang lain. 

Katanya, dia pernah dikeji oleh orang Melayu kerana pendiriannya. Sejujurnya saya sedikit terkilan mendengar luahannya. Tidak sepatutnya kita mengeji sesama manusia kerana pada asalnya, kita semua memang sama. Cuma kefahaman dan pegangan yang membezakan kita. 

Dia juga tiba-tiba sahaja mengucap dua kalimah syahadah, tanpa sebarang niat di hadapan saya. Niatnya cuma untuk memberitahu bahawa dia boleh menerima ajaran Islam, dan dia mengharapkan orang lain menghormati kefahamannya. Saat dia mengucap itu saya sudah benar-benar terpaku kerana tidak menyangka ada juga non-muslim yang memahami dan sangat menghormati Islam dibandingkan orang Islam sendiri. Cuma, hatinya sahaja yang masih belum terbuka untuk memeluk Islam. Katanya lagi, kalau seseorang itu hendak mengajak orang lain masuk agamanya, perlu dilakukan secara berhemah dan bukannya kejian. Dalam hati, saya berdoa agar Allah segera menurunkan kepadanya hidayah untuk menjadi seorang muslimah yang sejati.

Hakikatnya, kita memang memerlukan satu pegangan aqidah yang sangat kuat untuk terus bertahan hidup. Hidup tanpa aqidah itu seolah-olah nyawa yang tiada jiwa. Dan kita perlu faham, dalam dunia ini, memang mempunyai banyak jenis agama. Malah, ada juga yang mulhid (ateis) yang langsung tidak percayakan agama. Sebagai seorang muslim kita perlu yakin akan kewujudan Allah dan kebenaran agama Islam. Begitu juga non-muslim, mereka mempercayai pegangan masing-masing. Ya, kita memang perlu berdakwah kepada mereka tetapi perlu ada ilmu yang tinggi. Hormati juga pegangan agama mereka.

Perbezaan itu memang tidak boleh menyatukan dua hati, tetapi persamaanlah yang akan membantu mengikatkan hati-hati manusia.

Comments