Islam: Aurat, Fesyen dan Sunnah



Seorang pelancong yang beragama Kristian mencari-cari arah untuk ke gereja berhampiran. Hari itu hari Ahad, hari untuk dia bersembahyang di gereja. Luas sungguh kota metropolitan sehinggakan dia sendiri pun tersesat. Lalu dia terlihat kelibat seorang wanita yang sedang menunggu bas sendirian di perhentian bas. Dia pun segera menghampiri wanita itu.



“Excuse me miss? Can you tell me where I can find the church?” dia bertanya dengan penuh sopan.

Wanita itu terus berubah muka menjadi kelat. Namun, disebabkan tidak mahu memberikan tanggapan yang buruk kepada pelancong Kristian itu, dia pun menjawab.

“I’m sorry sir. I am a Muslim,” dia cuba melakar senyum.

“Oh, I’m sorry. For a second I thought you’re not a Muslim by the way you dress.” Pelancong itu kemudiannya berlalu pergi, meninggalkan wanita itu terkesima dan terkesan.

Sekiranya saya yang berada di dalam situasi tersebut, mahu sahaja saya menyorokkan muka di dalam beg kerana malu. Ya, malu. Kita merupakan orang Islam, tetapi dianggap sebagai orang bukan Islam hanya dengan cara berpakaian. Nah, di sini kita dapat lihat, pakaian seseorang memang sedikit sebanyak menggambarkan agamanya.

Kita bebas memakai apa jenis pakaian asalkan pakaian itu menutup aurat. Sebagai umat Islam, pakaian merupakan aset penting yang melambangkan agama kita. Syaratnya mudah sahaja, untuk muslimin, pakai pakaian yang menutup aurat daripada pusat sehingga ke lutut manakala buat muslimah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Asalkan kita memelihara aurat kita, insha Allah masyarakat tidak akan memandang prejudis terhadap kita.

Namun, rata-rata masyarakat kita mempunyai salah faham tentang fesyen. Mereka berpendapat orang Islam perlu memakai baju Melayu dan baju kurung.  Dan mereka akan memandang prejudis kepada orang Melayu yang memakai pakaian daripada bangsa lain seperti cheongsam atau dhoti. Ada yang secara terang-terangan terus sahaja menghukum si pemakai, tanpa berfikir secara rasional.

Cuba kita pula bayangkan, bagaimana pula dengan orang Islam di negara Cina? Majoriti kaum di negara itu merupakan penduduk yang berbangsa Cina. Adakah kita juga akan dilarang untuk memakai baju Melayu? Susahlah jika begitu. Hal ini hanya akan menyebabkan Islam ini nampak rumit dan komples. Padahal Islam itu memudahkan. Dan kalau diikutkan logik juga, pada zaman Rasulullah pun tidak ada penetapan pada sebarang jenis pakaian bangsa. Maksudnya, Islam ini bersifat universal.

Rasulullah sendiri pun pernah memakai pakaian daripada bangsa dan budaya lain. Baginda pernah memakai pakaian bangsa Rom, padahal dulu Rom merupakan sebuah negara yang sangat kuat pengaruh Kristian. Oleh itu, hal ini menjelaskan bahawa pakaian sesebuah bangsa, tidak ada hubungkait dengan agama bangsa berkenaan. Jika anda suka membaca kisah-kisah perjalanan Rasulullah, anda akan mendapati Rasulullah pernah memakai variasi baju daripada bangsa lain meskipun ketika bermusafir. Baginda memakai pakaian yang selesa mengikut tempat dan waktunya, bukannya sekadar berjubah. 

Terdapat pula segelintir kumpulan agama yang mewajibkan pengikutnya memakai jubah. Jikalau begitu, Islam akan menjadi tidak sesuai untuk bangsa-bangsa yang lain kerana mereka terpaksa membeli jubah semata-mata mahu mendapat title Muslim. Saya ada menonton salah satu epidod Tanah Kubur di mana terdapat kumpulan yang semua ahlinya memakai jubah serba hitam dan bercelak. Jubah itu tidak bersalah, yang salah adalah aqidah yang diamalkan oleh anak-anak muda tersebut.

Lain pula pandangannya dengan masyarakat kini yang jelas mempunyai fahaman yang sangat berbeza. Tidak ada lagi dalil yang mengharamkan pemakaian baju bangsa lain. Tetapi yang jelas kita perlulah menutup aurat. Islam kan membenarkan kita untuk berfesyen. Boleh sahaja kita mengubahsuai cheongsam menjadi lengan panjang dan memakainya, janji pakaian itu longgar dan menutup aurat. 

Ramai juga yang menyatakan songkok itu pakaian sunnah. Ini juga merupakan satu lagi salah faham orang kita yang mengatakan songkok itu sebahagian daripada sunnah. Tidak, songkok itu bukan sunnah.

“Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan diberikan mengenai asal kehadiran songkok di alam Melayu ini. Ada yang mendakwa, ia berasal dari Turki. Ada yang mengatakan ia berasal dari Parsi (Iran). Ada juga mengatakan ia mungkin berasal dari benua Hindi (India).” - Petikan daripada blog Ibnu Rusydi tentang isu songkok

Songkok ini tidak wujud pada zaman nabi. Kebudayaan ini cuma dibawa daripada negara lain yang akhirnya menular di Malaysia sehingga menjadi kebudayaan orang Melayu. Begitu juga halnya dengan kebudayaan lain seperti seni ukiran masjid dan tulisan yang dibawa oleh negara luar. Namun tidak ada salahnya langsung kita mengikuti ciri-ciri kebudayaan ini. Bahkan, pemakaian songkok menyebabkan seseorang itu tampil lebih kemas dan kacak. Ehem.

Bagaimana pula pakaian yang dikatakan bercanggah dengan Islam? Pakaian-pakaian tersebut adalah pakaian yang diperbuat khusus untuk agama tertentu selain daripada Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri. Pakaian tersebut seperti pakaian khas untuk sami, paderi atau pakaian yang menggambarkan keganasan yang sangat kontra dengan Islam. Islam merupakan agama yang mudah dan penuh dengan nilai murni dan kesopanan, bukan untuk dicemari dengan black metal dan sebagainya.


Comments

  1. pakaian tu juga salah satu yang melambangkan agama kita. nice sharing :)

    ReplyDelete

Post a Comment