Pages

Wednesday, December 4, 2013

Coretan Kenangan



Alhamdulillah, akhirnya saya telah pun menamatkan zaman persekolahan dan kini tidak lagi bergelar pelajar sekolah. Hehe. Sepanjang lima tahun menjadi seorang pelajar sekolah menengah, banyak yang telah saya pelajari dalam kehidupan ini. Suka dan duka, semua ada. Pengalaman saya di negeri Selangor telah banyak mematangkan lagi diri ini. Kalau ditanya kepada semua remaja, apa yang paling menarik sekali dalam alam persekolahan, tentulah mereka akan menjawab persahabatan. Dalam persahabatan, saya telah menikmati begitu indahnya ukhuwwah berpaksikan keredhaan Allah. Dan saya juga telah mengalami keperitan ditinggalkan sahabat tanpa sebarang alasan. Namun itulah ragam hidup. Ada manisnya, ada pahitnya. Kisah yang buruk dijadikan iktibar manakala kisah yang baik dijadikan perangsang untuk terus berjaya dalam hidup seterusnya yang lebih mencabar.

Saya tinggal di Kulim, Kedah namun saya sengaja memilih sebuah sekolah di Kuala Selangor untuk meneruskan pengembaraan hidup (cewah). Sekitar Januari 2012, saya tidak menyangka bahawa permohonan saya untuk ke Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor diterima. Berbaur rasa tidak percaya, saya akhirnya mendaftarkan diri di Kusess. Pada awal kemasukan, memanglah semuanya janggal dan kehidupan saya rasa terasing, jauh berbeza dengan sekolah harian di Kulim. Semua yang saya buat, rasa tak kena. Dan yang paling penting, saya sukar menyesuaikan diri dengan subjek Sains. Namun kalau hendak berpatah balik pun, tidak ada gunanya. Bahkan saya cuma akan menyusahkan kedua-dua orang tua sahaja.

Teater Mencari Azizah arahan Nurina Izzati (cewah)

Alhamdulillah sekitar pertengahan tahun tingkatan empat, saya telah mula melibatkan diri dengan pelbagai kegiatan kokurikulum. Scrabble, penulisan skrip dan cerpen, teater dan sidang redaksi majalah sekolah. Lebih membanggakan lagi (bukan nak bangga diri) saya menjadi seorang pengarah teater dan co-editor majalah sekolah. Nampaknya, warga sekolah memberikan kepercayaan kepada saya kerana hasil undian pelajar puteri Kusess, saya telah dilantik sebagai Penolong Ketua Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) di sekolah itu pada tahun ini. Saya sengaja tidak menghadirkan diri ketika temu duga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau pengawas kerana tidak mahu terbeban dengan amanah yang berat. Cukuplah pegang jawatan tinggi dalam BADAR pun sudah banyak pening kepala.

Setiap kali liqo' puteri, memang akan nampak muka budak ni aje bercakap di depan.

Sepanjang dua tahun di Kusess, rakan-rakanlah yang telah banyak sekali membantu saya dan menyokong segala perjuangan saya. Demam dan sakit, mereka akan paksa saya makan ubat meskipun saya seorang yang susah makan ubat. Segala cerita dikongsi bersama dan kalau tak siap kerja sekolah (normal la kan) kami akan didenda bersama-sama. Hehe. Paling banyak kena denda masa tingkatan empat. Alhamdulillah tahun ini jarang sekali kena denda, walaupun banyak tak siap kerja. Kerja majalah boleh pula siapkan. =='

Ketika saya selesai menyemak majalah Paradigma sekolah

Apa yang penting untuk kekuatan diri hidup di asrama tentulah ibu bapa. Seminggu sekali saya akan hubungi ibu saya, walaupun tak ada benda nak cakap. Saya tahu, merekalah yang tidak putus-putus berdoa untuk kejayaan saya di sekolah. Kerana mereka, saya menjadi kuat.

Percintaan? Kalau dahulu, bercinta di zaman persekolahan memang susah. Kena main surat-surat segala. Tetapi zaman dah berubah. Kalau nak jumpa terus jumpa. Memang sudah menjadi norma remaja kini untuk berpasangan dan saya akui, itu merupakan tugas yang paling sukar untuk saya laksanakan tahun ini. Adeh. Saya cuma mampu bersyukur kepada Allah kerana Dia masih sudi menjaga hati saya daripada cenderung ke arah kemaksiatan. Tak ada maknanya untuk saya bercinta zaman sekolah. Pelajaran pun entah ke mana. Boleh aje happy bersama rakan-rakan. Sebab saya amalkan nasihat Akhi Hilal Asyraf, kita kena “couple” dengan kawan kita untuk bahagia.

Rakan-rakan 4 Zamrud

Minggu semua pelajar sekolah pulang merupakan detik yang agak menyeronokkan kerana suasana asrama bertukar lebih kondusif untuk pembelajaran kami. Apa yang membisingkan rakan-rakan adalah tentang musolla yang bersepah. Musolla merupakan tempat solat untuk pelajar puteri namun bertukar menjadi tempat ‘tertinggal’ barang. Saya cuma tersenyum mendengar rungutan segelintir pihak kecoh tentang isu musolla. Pada waktu itu, saya sudah yakin perkara yang sama akan terjadi kepada musolla tatkala tiba giliran kami pula untuk meninggalkan sekolah. Oleh itu, daripada merungut tentang masalah, maka saya cuba untuk selesaikan masalah. Saya bangun sekitar jam tiga pagi untuk kemaskan musolla dan alhamdulillah berjaya mengemaskannya sekitar jam lima pagi. Siap buang tahi kucing lagi. Tadaa. Perasaan saya menjadi puas. Masalah selesai dan tidak ada orang lagi yang membangkitkan tentang isu musolla selepas hari itu. See. Kita hidup untuk selesaikan masalah, bukannya membicarakan tentang masalah itu.

Rakan-rakan 5 Zamrud
Minggu SPM merupakan minggu-minggu yang bahagia bercampur derita. Bahagia kerana semua pelajar tingkatan lima ditempatkan di aras yang sama. Dalam masa yang sama, banyak pula ujian yang Allah turunkan. DugaanNya memang dahsyat. Waktu itulah saya ditinggalkan oleh sahabat saya dan waktu itu jugalah tangan saya kena sengat tebuan. Bengkak tangan saya dan sakitnya hanya Allah tahu. Saya pergi ke klinik untuk mendapat suntikan ketika kelas anjal Pendidikan Agama Islam. Apabila pulang ke sekolah jam sudah menunjukkan pukul empat lebih. Adik dorm saya menyuruh saya berehat sahaja tetapi memikirkan betapa banyak ilmu dan pesanan yang mungkin saya terlepas, saya gagahkan jua diri yang tengah pening-pening lalat ketika itu untuk ke Dewan Prima (bajet kejap). Dan banyak lagilah dugaan SPM. 

Pernah seketika saya hampir kecewa dengan diri sendiri namun akal saya masih waras untuk mengharungi semua dugaan tersebut. Seorang sahabat saya pernah berpesan, sekiranya Tuhan turunkan ujian kepada kita, ertinya Tuhan itu sedang memandang kita. Saya bersyukur kerana Allah sudi memandang diri ini. Apa pun, segalanya telah selesai kini. Saya sekarang cuba menumpukan perhatian kepada dunia penulisan kembali dan harapnya boleh terbitkan novel yang ketiga selepas ini. Pinta doa daripada kalian ya?




KUSESS di hatiku

2 comments: