Pages

Wednesday, December 4, 2013

Cerpen: Manusia Labah-Labah




Cerpen ini merupakan cerpen yang telah lama saya karang. Daripada dibiarkan bersarang di dalam laptop, maka saya kongsikan bersama anda semua. Enjoy! ^^

Manusia Labah-Labah
oleh Nurina Izzati

Aku merenung ke jendela kamarku. Awan malam sudah selesai mengeluarkan tangisnya. Suasana di kota metropolitan ini tidak pernah sepi seperti suasana di kampung. Setiap hari manusia berlumba-lumba ke tempat kerja demi mencari rezeki dan kemewahan. Pada waktu malam barulah mereka akan pulang ke rumah masing-masing. Malah ada juga yang sanggup berbunuhan untuk mencapai nawaitu mereka. Aku juga merupakan mangsa kepada sebuah keluarga yang sangat sibuk. Setiap hari ayah dan ibu akan pulang lewat malam dan keluar pada awal pagi berikutnya. Sebagai seorang remaja perempuan berusia tujuh belas tahun, aku tetap memerlukan kasih sayang daripada mereka. Aku memeluk lutut kerana kedinginan yang amat. Kemudian aku membaluti seluruh tubuhku dengan selimut tebal.

Sedang asyik aku memerhatikan suasana di luar pangsapuri ini, tiba-tiba pandangan mataku menjilat suatu objek aneh yang terbang melintasi jendela. Aku memisat-misat mata tidak percaya. Objek yang kulihat tadi sudah tiada. Mungkin perasaan aku sahaja. Aku kembali menjenguk ke luar dan jantungku hamper tercabut tatkala jendela kamarku diketuk dari luar. Figura seorang yang bertopeng kelihatan. Dia memakai kostum yang mempunyai imej labah-labah. Aku semakin kaget. Adakah Spiderman itu sebenarnya wujud? Ah, tidak. Aku pasti bermimpi. Aku mencuit pipiku, namun makhluk di luar jendela itu masih kekal di posisinya. Adrenalinku bergerak pantas menghantar informasi ke otak melahirkan rasa cemas. Aku menutup langsir dan berlagak seolah-olah tidak ada apa yang terjadi, namun cara itu tidak berhasil. Aku tahu makhluk itu masih berada di luar. Dia mengetuk jendelaku berkali-kali.

Setelah beberapa minit menenangkan diri, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menjenguk ke luar. Sebelum itu, aku menggantikan dahulu selimutku dengan tudung supaya auratku terpelihara. Dia masih statik dan tidak beranjak. Aku dilanda kebingungan. Mungkin dia memerlukan bantuan daripada aku. Dengan lafaz bismillah, aku membuka jendela kamarku. ‘Spiderman’ itu terus menutup mulutku menggunakan tangannya dan mengikat kedua-dua tanganku menggunakan suatu objek yang keluar dari celah-celah tangannya yang kelihatan persis benang labah-labah. Aku menyesal kerana telah membuat keputusan yang salah. Aku masih tidak percaya dengan realiti yang sedang menggigit ini. Makhluk itu mendakap tubuhku dan membawaku keluar melalui jendela. Aku memejamkan mata kerana gayat. Namun aku dapat rasakan tubuhku ibarat terbang di udara dan bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain.

Ketika itu, aku cuma dapat menginsafi diri sendiri. Mulutku terkumat-kamit membaca doa meminta perlindungan daripada Allah. Namun aku cuma berdoa dalam bahasa Melayu kerana tidak menghafalnya dalam bahasa Arab. Setelah itu, aku menjadi pening dan mataku perlahan-lahan tertutup.

***

“Hoi, bangun!”

Aku terasa ada sesuatu yang menghentam pinggangku. Aku memaksa mataku buka perlahan-lahan. Ternyata, semua yang telah aku lalui itu bukannya mimpi. Makhluk aneh yang menculikku itu masih berdiri dan sedang menendang pinggangku. Aku mengerekot kerana kesakitan. Perlahan-lahan aku memaksa diri untuk bangkit bagi mengelakkan ditendang dengan lebih kuat.  Dalam posisi berdiri, aku mendapati ketinggianku dan ketinggiannya sama. Jadi pada sangkaanku usianya dan usiaku tidaklah jauh berbeza, bahkan mungkin kami sebaya. Namun bukan itu yang perlu aku fikirkan sekarang.

“Awak siapa? Kenapa culik saya? Hantar saya balik ke rumah!” Aku menyoalnya dengan penuh geram dan tidak puas hati. Aku tidak dapat meneka ekspresi mukanya ketika itu kerana disembunyikan di sebalik topeng yang menutup keseluruhan kepalanya.

“Jangan hendak berlagak bodoh pula di sini, serahkan kepada aku penawar tersebut dan aku akan bebaskan kau,” dia menggertak penuh terdesak dan pengharapan. Penawar? Ligat aku memulas otak memikirkan tentang penawar yang dimahukannya tetapi akhirnya menemui jalan buntu. Aku langsung tidak tahu apa-apa tentang penawar tersebut.

“Penawar apa? Aku tak tahu apa-apa,” aku berkeras dengan harapan dia akan melepaskanku segera. Namun harapan cuma tinggal harapan.

“Tak perlu berpura-puralah Dr. Ayuni! Kau serahkan sahaja penawar itu dan cerita kita akan tamat sampai sini. Aku tak akan sakitkan kau langsung,” ujarnya lagi. Melalui suaranya, aku dapat mengecam bahawa makhluk aneh itu sebenarnya merupakan seorang lelaki. Dia menyangka aku sebagai Dr. Ayuni. Siapa pula Dr. Ayuni ini? SPM pun belum aku jawab, inikan sudah menjadi seorang doktor. Fikiranku bertambah kusut.

“Saya bukan Dr. Ayuni dan saya tidak tahu-menahu tentang penawar itu,” balasku.

“Kalau kau bukan Dr. Ayuni, kau siapa? Penyamar?” dia mengujiku sinis.

“Saya Aisyah. Aisyah Humaira. Bukan Ayuni. Aisyah.” Berkali-kali kutekankan namaku. Dia mendiamkan diri agak lama. Pasti sedang memikirkan sesuatu. Aku juga turut mendiamkan diri. Perasaan takut masih menguasai diriku. Aku perlu pulang ke rumah segera dan menyiapkan modul Biologi yang belum selesai dijawab. Jika tidak, pasti Puan Ummu Kalthom akan memarahiku esok hari, itupun jika aku dapat pulang ke rumah dengan selamat.

“Jika kau bukan Dr. Ayuni, apa buktinya?” dia menyoal lagi. Bukti? Bukti apa yang perlu aku kemukakan? Secara tiba-tiba, aku teringat sesuatu. Mujurlah aku membawa kad pengenalanku di dalam dompet lalu aku mengeluarkannya. Aku menunjukkan bukti tersebut kepada si penculik supaya dia berpuas hati. Namun, kelihatannya dia seolah-olah buntu mahu percayakan kata-kataku ataupun tidak.

“Dr. Ayuni licik orangnya. Tak mustahil kalau kau sedang membohongi aku.”

“Ya Allah, kenapa awak masih belum percaya. Saya Aisyah. A.I.S.Y.A.H. Bukan Ayuni!” aku berkeras. Kemudian kami sama-sama mendiamkan diri. Dia seolah-olah terkedu dan mungkin menyesal. Aku memerhatikan suasana sekeliling. Aku sedang berada di dalam sebuah rumah papan, mungkin sekali rumah kampung. Barang-barang di dalam rumah ini kebanyakannya barang-barang antik. Kemudian, aku perhatikan pula jam di dinding yang menunjukkan pukul sepuluh malam. Aku baru teringat yang aku belum menunaikan solat Isyak. Aku menampar dahiku sendiri.

“Kenapa kau tampar dahi?” Spiderman menyoalku.

“Awak, saya belum solat Isyak. Kalau awak nak soal-siasat saya lagi, boleh tak tunggu lepas saya solat dulu?” aku bertanya dengan penuh harapan. Meskipun peluang untuk dia melepaskanku tipis, tetapi tidak ada salahnya untukku mencuba.

“Solat?”

Sumber carian Google

“Ya, solat. Erm, awak ada agama?”

“Aku islamlah bodoh,” dia memarahiku. Mungkin terkilan atas pertanyaanku tadi. Manalah aku tahu. Entah-entah dia penganut agama lain ataupun seorang mulhid. Aku tidak dapat meneka langsung kerana dia memakai kostum.

“Ha, kalau macam itu mesti awak faham kenapa kita perlu solat.”

“Kenapa?”

“Sebab solat tu arahan daripada Allah. Kata Ustazah Halimah, Allah mengeluarkan perintah untuk bersolat bagi menguji sejauh mana keimanan seseorang hamba kepadaNya. Solat juga dapat membezakan antara orang Islam dan orang kafir. Kalau kita solat, hidup akan jadi lebih tenang dan kita akan rasa diri lebih dekat dengan Allah,” aku cuba mengingat kembali kata-kata Ustazah Halimah yang sering disampaikannya di hadapan kelas dalam kelas Pendidikan Islam. Serta-merta aku teringat buku latihan FlyHigh Pendidikan Islam yang belum kusiapkan juga.

“Dah lama aku tak dengar orang sebut tentang Allah.”

“Awak nak bagi saya solat atau tidak? Kalau tak, saya tetap nak solat.” Aku berkeras sambil cuba mencari bilik air di dalam rumah itu. Meskipun janggal dan takut, aku tetap tekad untuk bersolat. Aku berharap agar Tuhan mengampuni dosa-dosaku kerana berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram dan membantuku mencari jalan pulang. Lelaki itu tidak menghalangku daripada melakukan perkara yang aku mahu lakukan. Aku tidak tahu apa yang sedang bermain di dalam fikirannya tetapi aku dapat mengagak yang dia sedang memerhatikan segala tingkah lakuku. Benang labah-labah yang mengingat kedua-dua tanganku akhirnya sudah tidak melekat lagi dan terlerai. Oleh itu, dapatlah aku berwuduk dengan sempurna. Usai keluar dari bilik air, aku melihat dia masih lagi berdiri statik di situ. Aku bertambah janggal dan malu, namun aku tabahkan hatiku untuk mengharungi semua dugaan ini.

“Awak, ada telekung tak dalam rumah ni?” tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulutku.

“Telekung? Aku ni lelaki, mana pakai telekung!” dia memarahiku. Entah mengapa, aku menjadi geram dengan perangainya yang suka marah-marah.

“Oh, lelaki rupanya. Saya ingatkan perempuan tadi. Maaflah. Erm, mak awak tak ada telekung?” aku mencuba nasib. Setelah seketika berfikir, akhirnya dia menyuruhku mencari telekung di dalam sebuah bilik berhampiran. Jauh di sudut hatiku, aku dapat mengagak bahawa dia sebenarnya merupakan seorang yang baik. Aku masuk ke dalam bilik yang dimaksudkannya dan mencari telekung di dalam almari. Nasib menyebelahiku tatkala aku menemui telekung yang dicari-cari. Kebetulan juga terdapat satu sejadah yang sudah terbentang di atas lantai, cuma sejadah itu kelihatan sudah lama tidak berusik. Aku menjadi musykil, namun aku menguburkan sahaja pertanyaan itu dan segera menunaikan ibadah fardu yang menjadi kewajipanku.

Usai solat dan berdoa, pandangan mataku meliar mencari jalan keluar. Aku ingin segera melarikan diri daripada rumah itu. Aku dapat mengenal pasti tingkap yang kukira muat untuk tubuhku menyelinap keluar melaluinya. Setelah menyarungkan tudung, aku membuka tingkap dan begitu nekad untuk melarikan diri. Perasaan terkejut menerpa diriku tatkala aku melihat lautan di bawah. Aku menjerit akibat terperanjat dan segera kututup kembali tingkap bilik itu. Manusia aneh yang menculikku itu masuk ke dalam bilik dan tertawa.

“Bodoh. Kenapa? Kau nak cuba larikan diri ya?”

Aku cuba menyembunyikan perkara sebenar. “Eh, mana ada. Saja nak melihat pemandangan di luar. Terkejut pula tengok ada laut.”

“Pemandangan apa malam-malam begini, ha?”

“Err.. bulan! Bintang! Semuanya ada.”

“Dah, sudahlah. Tidak ada jalan keluar dari rumahku ini. Kau tak perlulah susahkan diri kau dan aku.” Aku menelan liur. Tidak ada jalan keluar? Orang tuaku pasti khuatir jika mendapatiku tidak ada di rumah. Adakah aku akan terperangkap di sini selama-lamanya?

At night when the stars
Light up my room
I sit by myself
Talking to the Moon

Telefon bimbitnya berbunyi. Aku cuma berdiam diri. Selesai bercakap, dia memegang lenganku kuat dan menarikku supaya mengikutinya. Aku cuba melepaskan pegangannya tetapi pegangannya itu terlalu kuat.

“Lepaslah, saya boleh jalan sendiri.” Tidak dihiraukan. Lelaki itu cuma melepaskan lenganku ketika dia membuka pintu rumah. Seorang lelaki yang kelihatan sudah separuh abad muncul dengan memakai kemeja hitam dan jeans yang agak ketat menampakkan auratnya. Aku langsung tidak boleh mengagak pekerjaan lelaki itu. Dia melemparkan senyumannya kepadaku. Aku tidak membalas.

“Pak Bad, Shah nak Pak Bad pastikan orang yang Shah culik ni ialah Dr. Ayuni. Nampaknya dia cuba menipu Shah. Katanya dia Aisyah, bukan Dr. Ayuni,” jelas lelaki bernama Shah itu. Aku cuba menjenguk ke luar untuk melihat keadaan di luar rumah tetapi pintu rumah segera ditutup laju. Lelaki yang dipanggil Pak Bad itu mengamati wajahku untuk seketika. Aku terasa ingin lari sahaja pada ketika itu tetapi sudah tidak terdaya lagi. Pak Bad menggeleng perlahan.

“Dia bukan Dr. Ayuni. Nampaknya Shah dah tersalah orang,” ujar Pak Bad lembut. Shah meramas-ramas kepalanya dan duduk di atas sofa berhampiran. Dia kemudian membuka topengnya dan aku terkejut melihat wajah sebenarnya yang tampan. Aku juga yakin bahawa usianya masih belasan tahun dan belum pun mencecah dua puluh. Shah kelihatan seperti orang yang sangat bingung. Aku tidak tahu mahu melakukan apa melainkan memerhatikan perkara yang terjadi di hadapanku. Pak Bad mendekati Shah dan memegang kedua-dua bahunya. 

“Dr. Ayuni tu memang licik, Shah. Lebih baik kita usahakan cara lain,” cadangnya.

“Cara lain? Dah macam-macam cara Shah cuba untuk dapatkan penawar tu tetapi masih belum berjaya. Pak Bad nak Shah cuba sampai bila? Shah tak nak terus jadi labah-labah begini. Shah nak hidup normal macam kawan-kawan yang lain. Shah dah tak mampu nak simpan rahsia lama-lama,” dia memegang kepalanya. Berat sekali beban yang terpaksa ditanggung olehnya. Meskipun aku tidak berapa jelas lagi tentang keadaan sebenar Shah, aku sudah mengerti sedikit demi sedikit.

“Beginilah Shah, Pak Bad akan cuba ikhtiarkan cara lain. Janganlah putus asa ya,” Pak Bad menepuk belakang Shah dan berjalan menuju ke pintu keluar. Sebelum dia keluar, aku memanggil namanya.

“Pak Bad, boleh saya ikut sekali?” aku meraih penuh simpati. Pak Bad cuma menggeleng dan pergi meninggalkanku terpinga-pinga di situ. Shah masih terduduk di atas sofa. Mungkin, jika aku bantu menyelesaikan masalahnya, Shah akan melepaskan aku. Aku mencuba nasib. Kakiku melangkah menghampiri posisi penculik itu. Meskipun jantung masih berdenyut kencang, aku cuba tabahkan diri.

“Awak, saya tak tahu apa masalah awak, tapi kalau awak perlukan bantuan saya, insyaAllah saya akan cuba membantu.” Aku sendiri tidak tahu bagaimana kata-kata itu boleh terkeluar daripada mulutku. Namun yang pasti, aku ikhlas. Shah mendongakkan kepala tidak percaya.

“Kau nak tolong aku? Tak ada siapa yang boleh tolong aku sekarang. Pak Bad pun tak boleh selesaikan masalah aku.”

“Mungkin saya tak boleh bantu awak tetapi saya tahu ada seseorang yang boleh selesaikan semua masalah awak ni,” aku menjelaskan. “Allah.”

“Allah boleh bantu aku? And how is that?”

“Melalui doa. Solat dan doa. Ustazah Halimah pun pernah cakap, Allah akan makbulkan doa-doa orang yang teraniaya. Jadi kalau awak berdoa, mesti Allah boleh tolong. Awak kena cuba. Belum cuba, belum tahu,” bicaraku lagi. “Oh ya, memandangkan saya bukan Dr. Ayuni, bila awak boleh hantar saya pulang?”

Dia berfikir seketika. “Kau masih dalam tempoh pengawasan aku. Kau belum boleh balik lagi. Tapi kalau kau nak balik juga, kau balik sendiri berenang.” Aku menggeleng tanda tidak setuju. Aku disuruh berenang? Kalau sesat bagaimana? Shah menyuruhku tidur di dalam bilik ibunya.

“Tapi... tapi...”

“Kalau kau takut sangat, kau kuncilah pintu,” sindirnya sebelum masuk ke dalam biliknya.

***

Sepanjang mendirikan solat Subuh, aku menangis teresak-esak memikirkan nasibku. Pada saat ini, mungkin ayah dan ibuku sudah melaporkan kehilanganku kepada pihak polis. Rakan-rakan di sekolah nanti pasti akan bertanyakan tentang aku. Maklumlah aku bukannya jenis orang yang sering ponteng sekolah. Dugaan yang Allah turunkan kepadaku ini begitu hebat dan tidak pernah terfikir olehku. Aku berdoa agar masalah ini cepat selesai dan boleh pulang ke rumah dengan segera.

Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Aku segera menyarungkan tudung tetapi masih ragu-ragu untuk membuka pintu. Aku tidak tahu sama ada lelaki misteri yang telah menculikku itu boleh dipercayai mahupun tidak.

“Makan!”

Aku memegang perutku yang sedang berkeroncong. Sejak semalaman aku tidak makan, sudah tentulah lapar. Aku membuka pintu bilik dan terkejut melihat penampilan lelaki berkostum itu yang berpakaian baju melayu dan bersongkok. Wajahnya tampak lebih menenangkan daripada sebelumnya. Segera aku melarikan pandanganku. Dia menunjukkan hidangan di atas meja makan. Kebetulan pula nasi lemak memang menjadi kegemaranku. Segera aku membasuh tangan dan makan tanpa bercakap sepatah pun. Baru dua suap aku menjamah nasi lemak yang disediakan, Shah duduk di hadapanku dan mencapai sebungkus nasi lemak. Aku tidak selesa dengan kondisi tersebut.

“Setelah aku berfikir panjang semalam, aku cuba cara yang kau suruh aku lakukan. Aku rasa tenang sikit sekarang,” dia memulakan perbualan. Aku mengangguk.

“Aku minta maaf.” Akhirnya kata-kata itu terkeluar juga. Aku berpura-pura tidak mendengar.

“Apa dia?”

“Tak ada apalah. Hurm, semalam kau kata hendak bantu aku jadi kau harus kotakan janji kau.”

“Itu sebab saya nak sedapkan hati awak saja,” aku cuba berdolak-dalih.

“Ah, aku tak peduli. Nanti kau carilah baju ibu yang boleh dipakai. Kau kena ikut aku mencari seseorang yang telah mengganggu hidupku selama ini.”

Setelah bersiap, aku mengikuti Shah keluar rumah. Ternyata, memang betul rumah itu berada di atas laut. Kami berjalan di atas jambatan menuju ke daratan. Sepanjang perjalanan, Shah menceritakan kisah sebenar hidupnya kepadaku. Pada waktu itu, dia baru mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Akibat dengki terhadap kejayaan ayahnya, Dr. Yusuf, Dr. Ayuni telah bersumpah untuk menghancurkan keluarga Dr. Yusuf. Dia telah mencipta pelbagai racun untuk membunuh Dr. Yusuf dan rancangannya berjaya. Ibu Shah juga telah terbunuh. Semenjak itu, dia sudah seperti manusia yang hilang hala tujunya.

Dr. Ayuni masih belum puas hati melihat Shah yang masih hidup. Oleh itu, dia berniat mahu menyusahkan hidup Shah dengan mencipta racun labah-labah yang menyebabkan peminumnya mempunyai kebolehan seperti seekor labah-labah. Tetapi, semakin lama, peminum tersebut akhirnya akan bertukar menjadi seekor labah-labah yang sebenar. Pak Bad, iaitu pembantu peribadi Dr. Yusuf yang sering menjaganya selama ini.
“Aku tak sanggup bertukar menjadi labah-labah. Aku hendak hidup normal macam kau, macam remaja lain,” Shah mengeluh.

“Saya simpati mendengar kisah hidup awak. Saya akan cuba bantu awak,” aku melemparkan senyuman untuk meyakinkannya. Shah memerhatikanku dan terdiam. Aku cepat-cepat menyembunyikan senyumanku tidak mahu dia menatapku lama-lama.

“Wajah Dr. Ayuni itu persis wajah kau, sebab itulah aku fikir kau Dr. Ayuni. Tapi kau baiklah juga berbanding dia.  Dan kau jauh lebih muda daripada dia. Bahkan sama umur dengan aku. Sama-sama sepatutnya ambil SPM.”

“Sepatutnya?”

“Aku dah lama tak bersekolah,” ujarnya perlahan. Mungkin malu dengan keadaannya itu.

“Shah, kalau kita dapat selesaikan masalah ni cepat, rasanya awak masih sempat untuk ambil SPM. Belum terlambat untuk belajar. Siapa tahu, suatu hari nanti kita akan masuk IPT yang sama?” aku bercanda.

Shah tertawa. “Mungkin ada hikmahnya aku menculik kau.”

***

Setelah seharian perjalanan yang disertai beberapa kali rehat, akhirnya kami tiba di hadapan rumah Dr. Ayuni menurut maklumat yang baru dihantar oleh Pak Bad. Katanya, ada orang melaporkan mereka terlihat kelibat Dr. Ayuni di sekitar kawasan itu. Aku memberanikan diri untuk mencari Dr. Ayuni. Shah mengikutiku secara sembunyi kerana khuatir Dr. Ayuni akan menghilangkan diri setelah melihatnya.

Aku mengetuk pintu rumah Dr. Ayuni dan memberikan salam tetapi tidak dijawab. Aku mencuba sekali lagi dan hasilnya tetap sama. Namun setelah kali ketiga, pintu rumah terbuka. Seorang perempuan cantik yang berkaca mata muncul di muka hadapan pintu. Aku yakin dialah Dr. Ayuni yang dicari-cari selama ini berdasarkan gambar yang telah ditunjukkan oleh Shah kepadaku.

“Nak apa?” soalnya garang.

“Begini, saya nak memungut derma untuk pertubuhan anak-anak yatim yang akan ditubuhkan oleh Mekar Budi Amal Sdn. Bhd. Saya harap puan dapat membantu menghulurkan sedikit dana...” belum sempat aku menghabiskan ayatku, Dr. Ayuni memotong dan menghalauku pergi. Namun aku masih tidak berputus asa dan terus mendesaknya. Akhirnya, dia bersetuju.

Dr. Ayuni mengambil wangnya dan apabila dia membuka pintu, Shah terus mengikat kedua-dua tangannya menggunakan kuasa labah-labahnya. Dr. Ayuni tersungkur ke atas lantai dan menyumpah seranahku. Dia sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Shah menendang perutnya berkali-kali namun dia berhenti atas permintaanku. Aku tidak sanggup melihat kekasaran itu meskipun aku tahu memang wajar Shah berbuat sedemikian.

“Serahkan penawarkan itu segera, jika tidak, kau tahulah nasib kau.”

“Errr.. saya, saya bukan Dr. Ayuni,” ujarnya.

“Ah, penipu! Tengok sahaja rumah ini aku dapat tahu kau Dr. Ayuni.”

“Itu.. itu semua ubat-ubatan farmasi. Lepaskan saya.”

Shah terus memerangkap tubuh Dr. Ayuni menggunakan benang labah-labahnya.

“Haha, bodoh. Bodoh. Aku sudah aktifkan butang kecemasan. Sebentar lagi, seluruh rumah ini akan hangus dijilat api termasuk kau dan aku. Kau berdua tak akan jumpa penawarnya. Kau memang tak guna.”

Aku mencari-cari penawar yang dimaksudkan oleh Shah. Pada setiap botol, terdapat label penggunaannya. Namun, aku tidak berjaya menemuinya. Bau asap sudah dapat kuhidu. Nampaknya, Dr. Ayuni sudah nekad untuk mati bersama-sama kami berdua.  Masa semakin suntuk. Penawar labah-labah masih tidak kelihatan. Aku cuba mencari di sekitar biliknya. Tidak ada. Api semakin marak dan Shah sendiri sudah terbatuk-batuk.
“Shah, nampaknya penawar itu tidak ada di sini. Ayuhlah kita pergi,” meskipun berat untuk kuucapkan, aku terpaksa meluahkannya juga. Sudah tidak ada harapan lagi. Aku dan Shah terpaksa meninggalkan rumah itu dengan segera. Dr. Ayuni sudah tidak mampu bergerak dan hanya ketawa terbahak-bahak di atas lantai seperti orang tidak waras. Ketka keluar dari rumah, aku terfikir untuk mencari penawar di sekitar rumah itu.

“Apa kau buat lagi, Aishah? Kita kena segera beredar,” Shah memanggilku. Aku masih tercari-cari. Tanpa diduga, akhirnya aku berhasil menemukan sebuah botol yang tertulis ‘ANTIDOT LABAH-LABAH’ yang tertanam di celah-celah pasu bunga. Aku mengambil botol itu dan memberitahu Shah. Shah kelihatan sedikit berpuas hati dan mahu menjabat tanganku tetapi aku menariknya. Aku sudah tidak mahu lagi Shah menyentuhku. Shah malu sendiri dengan perbuatannya.

Kami berdua terjun ke dalam laut dan mencapai sampan yang berdekatan. Akibat kepenatan, aku akhirnya tertidur.

***

Aku membuka mataku yang sangat berat. Aku dapat mendengar suara tangisan. Ternyata, ibu sedang menangis di sampingku. Ayah mempamerkan wajah yang tegang. Aku masih keliru. Adakah semua yang telah kualami itu adalah realiti mahupun mimpi semata-mata?

“Aishah, ke mana Aisyah pergi? Ibu dan ayah risau, tahu?” Ibu mencium pipiku lama. Sudah lama rasanya aku tidak rasakan ciuman yang sehangat dan selembut itu. Ayah memeluk tubuhku yang masih lemah itu dan meminta maaf kerana tidak dapat menjagaku dengan baik. Aku tersenyum gembira. Sudah lama aku mengidam-idamkan keadaan seperti ini.

“Ibu, ayah.. Shah mana?” soalku.

“Shah? Siapa Shah? Ibu dan ayah masuk sahaja ke dalam bilik sudah melihat kamu tertidur di atas katil. Yang anehnya, kamu pakai tudung pula tu,” jelas ibu.

Aku terdiam lama. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh tiba di rumah. Setelah berpuas hati dengan keadaanku, ibu dan ayah memberiku ruang bersendirian. Mungkin mereka tidak mahu memaksaku untuk menceritakan kejadian sebenar lagi. Tetapi, jika mereka mencengar ceritaku, adakah mereka mampu untuk mempercayainya?

Aku bangkit dari katil dan terlihat sekeping nota di atas meja belajarku. ‘See you at IPT. Thanks for everything. -Shah.’ Aku tersenyum sendiri. Ternyata semuanya bukan mimpi. Semenjak hari itu, setiap kali aku merenung ke luar jendela, aku akan sentiasa teringatkan kejadian yang sungguh aneh itu. 

2 comments: