Pages

Wednesday, December 11, 2013

Cerpen: Cahaya Terakhir



“Perhatian kelas, kita ada pelajar baru hari ini yang baru berpindah dari Kuala Selangor. Sila perkenalkan diri,” Cikgu Hawa melirik ke arah pelajar lelaki itu. Aku memerhatikan penampilannya dari atas ke bawah. Dia mempamerkan senyuman yang sangat manis untuk seisi kelas.

“Assalamualaikum semua. Nama saya Hudayl. Dilahirkan di Kuala Selangor dan bekas pengawas di sekolah lama. Selamat berkenalan. Semoga kita dapat saling bertukar ilmu dan berkongsi pengalaman selepas ini. InsyaAllah,” Hudayl membetulkan songkoknya sambil mencari-cari tempat kosong untuk diduduki. Entah kenapa, aku diserang satu perasaan tidak nyaman dengan kehadiran Hudayl di kelas itu. Pelajar baru itu masih tersenyum ceria di hadapan.

“Baiklah Hudayl. Kamu boleh duduk di sebelah Amir, depan pengawas tu,” arah Cikgu Hawa sambil menunjukkan satu posisi tempat duduk kosong yang terletak betul-betul di hadapanku. Aku menghela nafas panjang.

***

Kehadiran Hudayl di sekolah itu disenangi oleh banyak pihak termasuk guru-guru yang mengajar. Hal itu disebabkan kemahiran Hudayl yang pantas menjawab soalan yang diajukan oleh guru di dalam kelas. Dia juga mudah memahami ilmu yang disampaikan oleh guru. Pendek kata, Hudayl sudah mengambil alih posisiku di sekolah itu. Dalam peperiksaan baru-baru ini juga Hudayl berjaya mengatasi kedudukanku di dalam kelas. Cikgu Hawa juga kelihatan senang dengan Hudayl sehinggakan dia sering dipanggil ke bilik guru untuk membantu cikgu. Aku langsung tidak percaya. Dalam masa empat bulan sahaja, Hudayl berjaya merebut posisi yang telah empat tahun aku usahakan. Aku yakin, ada rahsia yang diamalkan oleh pelajar baru itu yang tidak diketahui umum dan aku harus membongkar rahsianya. 

“Hoi, dah sampai ka bulan Muiz?” bahuku digenggam erat secara tiba-tiba lantas membunuh lamunanku. Amir, Michael dan Melissa sedang memerhatikan aku rupa-rupanya. Aku tersengih sambil menggeleng kepala.

“Ha, ini tak lain tak bukan fasal budak baru tu, apa namanya.. Hadi.. Huda..” Michael menjadi kelu apabila lidahnya mahu menyebut nama Hudayl. Sehingga hari ini, dia masih belum dapat memanggil nama Hudayl dengan fasih meskipun dia lancar berbahasa Melayu.

“Hudayl lah!” Amir membetulkan sebutannya. “Eh, Muiz. Apa yang hang nak risaukan sangat? Bukannya Hudayl mengganggu ketenteraman hang pun. Aku tengok dia baik budaknya, warak gitu. Senyum ja 24 jam. Pendek kata, dia tak pernah buat masalah dengan aku dan kawan-kawan yang lain. Tapi kenapa hang dingin semacam dengan dia?” Amir berkerut seribu.

“Memang dia tak pernah buat masalah dengan aku. Tapi dia dah ambil alih tempat aku. Cikgu-cikgu semua bukan main baik lagi dengan dia. Aku ni cuma diibaratkan kulit yang telah dilupakan oleh kacang. Melukut di tepian gantang. Aku rasa seolah-olah aku sudah menjadi halimunan. Apa kurangnya aku hendak dibandingkan dengan si Hudayl tu?” Akhirnya aku meluahkan segala rasa yang terbuku di dalam hati selama ini.

“Kalau nak dibandingkan, Hudayl lebih tampan daripada awak. Nak tahu tak, setiap kali dia buka songkok waktu Pendidikan Jasmani, kebanyakan pelajar perempuan akan menjadi teruja dengan penampilan dia. Lebih kurang sama macam Aaron Azizi, pelakon terkenal filem KL Geng Star. Ditambah dengan kehebatan dia bermain bola sepak, lagilah mereka suka. Selain tu...” kata-kata Melissa dimatikan oleh abang kembarnya, Michael. Mungkin Michael tidak mahu menambahkan lagi kegusaran ke dalam hatiku. Namun kata-kata Melissa itu sangat membimbangkan. Sampai begitu sekali penangan Hudayl di sekolah ini? Apa rahsianya? Aku menjadi semakin berkobar-kobar untuk mengorek rahsia pelajar baru itu. Tidak hanya dengan itu, aku pasti akan merebut kembali posisiku sebagai pemain bola sepak harapan sekolah yang sudah dirampasnya. 

“Hang tunggu Hudayl,” aku bermonolog sendirian.

“Tunggu? Tunggu apa ni Muiz?” Amir mengangkat kening sebelah tanda kehairanan. Aku menggeleng kepala.

“Eh, jomlah kita balik. Buang masa ja duduk di sini,” aku cuba mengubah topik perbualan. Kelihatannya taktik itu berkesan kerana Amir, Melissa dan Michael sekadar membuntutiku ke arah kereta. Pada hari itu, aku telah berjanji untuk menghantar mereka ke rumah masing-masing. Kebetulan rumah Michael terletak tidak jauh dari rumahku manakala rumah Amir pula memang bertentangan dengan rumahku. Amir dan aku memang teman sepermainan daripada kecil lagi dan hubungan kami boleh diibaratkan seperti isi dan kuku. Aku beruntung kerana mempunyai rakan-rakan yang baik dan setiakawan seperti mereka bertiga.

Usai menghantar rakan-rakanku pulang ke rumah masing-masing, aku singgah sebentar di kedai runcit Pak Din untuk membeli barang keperluan. Namun di pertengahan jalan, aku tertangkap kelibat Hudayl yang sedang berjalan sendirian. Pada awalnya aku langsung tidak mahu memberhentikan kereta namun hati kecilku terdetik untuk mengetahui destinasi lelaki itu. Aku memberhentikan kereta di sebelahnya dan menurunkan tingkap kereta mewahku itu. Hudayl pada awalnya agak kehairanan namun dia tersenyum setelah melihat wajahku. Dia yang mula menyapaku dengan salam.

“Waalaikumussalam, hang nak pi mana ni? Nak aku tumpangkan?” aku mempelawanya. Walau bagaimanapun, dia tetap rakan sekelasku.

“Oh, tidak mengapalah Muiz. Terima kasih sangat di atas pelawaan awak tu. Saya nak ke masjid, tak jauh pun dari sini. Saya boleh jalan kaki sahaja. Lagipun, berjalan kaki ke masjid itu lebih besar pahalanya tahu?” Hudayl menepuk bahuku penuh mesra namun aku mengelak. Lagak besar pula budak baru itu. Siap mahu mengajar aku ilmu agama pula. 

“Ikut suka hang lah Hudayl,” aku menaikkan kembali tingkapku dan terus memecut laju meninggalkannya. Namun hatiku diundang pelbagai pertanyaan tentang Hudayl. Sudah diajak tumpang tidak mahu pula. Kereta mewah lagi. Ah, biarlah.

Lima minit kemudian akhirnya aku tiba di hadapan rumah. Pintu pagar terbuka secara automatik dan kelihatan Pak Karim menyambutku sambil memegang cangkul. Mungkin baru selesai menanam pokok bunga yang baru dibeli oleh Mama. Memang itulah hobi Mama setiap kali singgah di kedai bunga. Tetapi bukannya dia yang menjaga pokok-pokok bunganya tetapi Pak Karim tukang kebun jugalah yang terpaksa menyiramnya setiap hari agar tumbuh subuh mekar mewangi. 

“Baru habis tanam pokok baru, Pak Karim?”

“Ya Muiz. Jenuh Pak Karim. Puan beli sampai tiga pokok baru. Besar-besar,” balas Pak Karim sambil mengesat peluh yang merembes di dahi tuanya. Aku jadi kasihan pada Pak Karim. Bila anak-anaknya sudah besar dan berjaya, semuanya lupa diri. Tinggalkan Pak Karim menyendiri, tanpa peneman di sisi. Aku berharap agar apabila aku berjaya kelak, aku tidak akan alpa dan leka dengan duniawi seperti anak-anak Pak Karim. 

“Papa dah balik?” Geleng.

“Zuqi?” Geleng. Aku melepaskan nafas berat. Kalau Papa, wajarlah dia belum pulang ke rumah kerana dia mempunyai banyak urusan di pejabat. Tetapi Marzuqi, adikku yang satu itu seharusnya sudah lama pulang ke rumah. Tambahan pula semenjak Papa belikan motosikal baru untuknya, jarang sekali dia pulang ke rumah. Kadangkala, sudah lewat malam baru nampak mukanya terpacul di hadapan muka pintu. Papa dan Mama langsung tidak menyedari perubahan drastik Marzuqi tahun ini kerana mereka berdua sibuk melayan urusan masing-masing.

Aku naik ke atas dan terus merebahkan tubuhku ke atas tilam yang sangat empuk. Pendingin hawa dipasang. Mataku semakin berat dan perlahan-lahan terpejam. Aku akhirnya lena dicengkam mimpi.

***

Mataku hanya memberikan tumpuan seratus peratus kepada sebiji bola berwarna putih di hujung kakiku. Aku berlari-lari anak sambil membawa bola. Akram sudah melambai-lambaikan tangannya tanda sedia untuk menyambut bola. Kedudukannya memang agak longgar kerana tiada kawalan. Namun aku memilih untuk menjaringkan sendiri gol pada kali ini. Aku sangat yakin bahawa kumpulanku pasti akan menang. Pertahanan pihak lawan berjaya aku pecahkan. Sedikit sahaja lagi dan... bolaku telah diragut oleh kaki Hudayl. Hudayl kelihatan lebih lincah dan menendang bola dengan tenang. Bola disambut baik oleh Hazeim dan beralih kepada Lukman. Lukman melancarkan tendangan keemasannya dan dalam sekelip mata, bola sudah dijaringkan ke dalam gol. Kumpulan lawan bersorak gembira. 

Akram menghampiriku dengan pantas. “Kapten, awat hang tak hantar bola tadi? Kan dah melepas.” Ahli pasukan bola sepak memanggilku dengan gelaran Kapten kerana aku sudah lama menjadi kapten pasukan itu. Cuma aku mendapat firasat bahawa gelaran itu tidak akan kekal sekiranya Hudayl yang lincah itu menggantikan posisiku sebagai seorang kapten.  Mimpi ngeri!

Perlawanan kali ini seolah-olah luar biasa kerana ramai penonton yang menyaksikannya terutamanya para pelajar perempuan. Melissa yang tidak minat bola sepak juga turut datang. Namun aku ragu, adakah dia datang untuk menyokong aku dan Michael ataupun Hudayl yang berlagak bagus itu. Setakat ini perlawanan seri dua sama. Aku cuma perlu mendapatkan lagi satu jaringan untuk kemenangan. Tetapi saingan kali ini agak sengit.

Perlawanan diteruskan lagi. Bola yang tadinya berada dalam cengkaman pihak lawan telah berjaya dirampas oleh Harith. Lukman dan Hazeim segera meluru ke arah Harith untuk merampas bola. Harith bertukar gelisah dan menendang bola ke arahku. Pandangan mataku pada waktu itu ibarat helang yang sedang mahu mencengkam mangsanya di dalam air. Bola bergolek dengan pantas namun Hudayl tiba-tiba muncul entah dari mana dan membawa bola ke arah jaring pasukanku. Aku menjadi geram terhadapnya dan segera menggelecek dari bawah namun cuma sia-sia. Aku mencuba lagi untuk kali kedua dan berjaya. Michael membawa bola ke arah bertentangan dan membuat hantaran kepada Akram. Akram menghantar bola kembali ke arahku kerana posisinya telah dikepung. Aku pantas memecut. Hudayl juga begitu. Dan kami akhirnya bertembung dan sama-sama terjatuh. Aku memegang kakiku yang berdenyut-denyut. Panas. Hudayl juga begitu,tetapi nampaknya dia mengalami kesakitan yang lebih serius. Ataupun mungkin dibuat-buat sahaja untuk meminta simpati. 

“Sudahlah Hudayl. Hang tak perlu nak pura-pura sakit. Hang sengaja jatuhkan aku, kan?” aku kembali berdiri diiringi amarah di dalam hati. Hudayl kelihatan kaget dan memandangku tidak percaya. Aku membetulkan anak rambutku yang terjatuh. 

“Saya minta maaf, tetapi saya betul-betul tidak sengaja. Saya tidak ada niat pun nak langgar awak, Muiz,” dia masih memegang kakinya. Tangannya mengurut-urut kaki. Dahinya berkerut. Peluh dibiarkan merembes semahu-mahunya. 

“Kalau hang anak jantan, hang bangun sekarang!” aku mencabarnya.

 Situasi kelihatan genting pada saat itu. Penonton yang hadir sudah berhenti bersorak. Aku yakin mereka sedang menyaksikan adegan yang telah aku cetuskan ini. Hanya suaraku dan suara Hudayl yang kedengaran. Aku tidak peduli. Aku harus membuktikan siapa yang sebenarnya jaguh di sini. Hudayl mencuba untuk bangun, namun dia kembali tersungkur. Kakinya kelihatan lemah. Rakan-rakan yang lain datang membantunya. Aku sempat menjelingnya tajam sebelum dia dibawa ke arah tepi padang. Tiga orang pelajar perempuan kelihatan menghampiri tempatnya sambil membawa botol mineral dari arah yang berasingan. 

“Muiz, hang tak apa-apa?” Amir dan Melissa yang sedari tadi menonton dari tepi gelanggang datang mendapatkanku. Para pemain yang lain tampak keliru dengan apa yang baru terjadi sebentar tadi. Fattah yang menjadi pengadil juga tidak tahu sama ada dia perlu meneruskan perlawanan mahupun tidak. Nampaknya semua menantikan keputusanku kerana aku merupakan Kapten Pasukan Bola Sepak. 

“Sudah, bersurai. Perlawanan dah tamat!” aku mengumumkan. “Balik semua!”  Aku menghalau semua yang ada di padang itu. Mereka beransur-ansur bergerak pulang. Hudayl dibawa ke bilik rawatan untuk mengubati kakinya yang kekejangan. Aku mengorak langkah menuju ke kereta. Aku tidak tahu mengapa aku menjadi begitu benci terhadap pelajar baru itu. Aku tidak tahu.

Amir dan yang lainnya mengejarku dari belakang. Michael mempelawa untuk memandu keretaku kerana khuatir kakiku menjadi kejang kelak. Aku menolak pelawaannya. “Biarkan aku bersendirian,” ujarku sambil menutup pintu kereta dan bergerak keluar dari pekarangan sekolah.

***

Jam sudah menunjukkan 12 tengah malam. Aku masih duduk sendirian di atas sofa ruang tamu yang besar itu. Marzuqi masih lagi belum pulang. Meskipun jarak usia di antara kami cuma setahun, aku tetap berasa bahawa aku yang perlu menjaganya dan memantau aktivitinya bagi menggantikan tugas Papa yang sibuk.
Telefon bimbitku berbunyi. Tertera nama Marzuqi pada skrin paparan. Aku menjadi risau dan segera mengangkatnya. “Abang... abang kena tolong adik..” nada suara itu kedengaran begitu cemas. 

“Hang dah kenapa? Ada kat mana ni?”

“Ja.. Jalan Bayan. Abang Muiz, tolong...” talian terputus. Jiwaku bergolak kencang. Aku segera mencapai jaketku dan mendapatkan kunci kereta.  Kereta meluncur laju di atas jalan raya. Mataku meliar mencari kelibat papan tanda Jalan Bayan. Dan suatu perkara yang menarik pandanganku adalah kelibat beberapa orang pemuda yang sedang berkelahi di tengah-tengah jalan. Setelah lama aku perhatikan, ternyata Marzuqi ,merupakan salah seorang pemuda yang terlibat dalam pergaduhan itu. Mataku membulat tidak percaya. Adikku sedang dibelasah teruk. 

Aku segera berlari ke arah tempat kejadian namun diriku sendirian mungkin tidak mampu untuk melawan mereka berlima. Aku perlukan bantuan. Marzuqi sudah terbaring di atas jalan. Lima pasang mata sedang memerhatikan diriku yang tiba-tiba sahaja kacau daun. Aku tidak gentar. Aku membuka langkah kekuda, bersiap sedia untuk pertahanan. Seorang remaja yang berambut perang memulakan serangan kemudian disusuli oleh rakan-rakannya. Mereka menyerangku bertubi-tubi. Serangan demi serangan aku cuba untuk mengelak.  Sesekali tubuhku terkena juga penangan daripada jiwa-jiwa yang dipenuhi amarah itu. Puncanya masih belum aku ketahui.

“Berhenti!” Saat aku mulai lemah, akhirnya bantuan tiba. Aku menoleh mencari-cari punca suara itu. Namun, aku sangat terperanjat dengan figura yang berjaya ditangkap oleh kedua-dua biji mataku. Hudayl sedang berdiri di bawah lampu jalanan dengan wajahnya yang selamba. Remaja-remaja yang menyerang Marzuqi itu ketawa pecah perut mendengar arahan daripada Hudayl. Salah seorang daripada mereka bertindak menyerang Hudayl. Hudayl berjaya mematahkan serangannya. Hudayl menjeling ke arahku, tanda dia sudah bersedia melawan. Aku mengangguk. Kami akan berjuang bersama-sama.

Malam semakin larut. Bintang-bintang sudah mulai malap kerana sudah penat bekerja sepanjang malam. Aku dan Hudayl berhasil menumpaskan pihak lawan sehingga semuanya cabut lari. Marzuqi sedari tadi tidak sedarkan diri. Aku dan Hudayl memapahnya masuk ke dalam kereta.

“Hang buat apa tengah-tengah malam buta kat sini?” soalku aneh. Entah dari mana pula munculnya lelaki itu. 
Hudayl tersenyum. “Saya tak boleh tidur malam ni, jadi saya sengaja jalan-jalan di kawasan sekitar ni. Tiba-tiba ternampak awak sedang bertarung. Apa lagi, saya tak mahu ketinggalan.”

Berdasarkan pernyataannya itu, aku merumuskan bahawa Hudayl menetap di kawasan berhampiran lokasi tersebut. Aku berterima kasih kepadanya. Seketika, aku diulit perasaan bersalah. Selama ini, aku berkelakuan dingin terhadap Hudayl namun dia masih mahu membantuku tadi. Jika aku yang berada di posisinya, sudah terang lagi bersuluh aku akan membiarkan sahaja remaja-remaja di jalanan itu  bergaduh.

“Tak ada apalah, Muiz. Memang sudah menjadi tanggungjawab seorang mukmin untuk membantu mukmin yang lain kerana kita semua bersaudara,” Hudayl mengingatkan. Aku cuma mendiamkan diri. Hudayl meminta kebenaran untuk pulang. Aku menghidupkan enjin kereta dan membawa adikku yang masih belum sedarkan diri itu pulang.

Setibanya di rumah, aku cuba mengejutkan Marzuqi dan akhirnya dia tersedar. Riak wajahnya kelihatan sungguh cemas dan dia bertanyakan tentang mereka yang membelasahnya.

“Aku dan kawan aku dah selesaikan. Sekarang adik kena jelaskan, apa yang hang dah buat sampai jadi macam ni? Apa yang hang dah buat?!” nadaku berbaur amarah. Marzuqi kelihatan serba salah dan mendiamkan diri seketika. 

“Mana ada adik buat apa-apa. Depa tu yang kacau adik. Adik tak salah...”

Aku segera menggenggam kolar baju Marzuqi. “Hang tak payah nak bohong aku. Hang mesti ada buat sesuatu, baik mengaku! Apa yang hang dah buat?” Mataku dan matanya bertentangan agak lama. Aku tahu Marzuqi sedang cuba untuk menyembunyikan kebenaran yang perlu aku ketahui. Marzuqi menepis tanganku dan membuka pintu kereta.

“Jangan masuk campur urusan adik,” katanya dingin sambil melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Aku menumbuk stereng kereta penuh geram.

***

“Hudayl tak datang sekolah? Sakit apa?” soalku kepada Amir setelah melihat tempat duduk Hudayl yang kosong. Setahu aku, baru sahaja malam semalam kami berbual. Hudayl kelihatan baik-baik sahaja dan tubuhnya langsung tidak terjejas dalam pergaduhan itu. Aneh.

“Sejak bila pula hang ambil peduli fasal Hudayl ni? Mesti hang dah mula sukakan budak tu...” Amir membuat anggapan sendiri.

“Eh! Ma..mana ada. Mengarutlah hang ni. Bukannya apa, setahu aku dia ni bukan jenis ponteng sekolah. Kalau dia tak datang sekolah, maknanya mesti ada sesuatu yang terjadi,” aku membuat kesimpulan sendiri.
Amir menumbuk lenganku. “Mulut hang ni kan, celupar sungguh.”Aku sekadar tersengih. Namun hatiku dijemput pelbagai persoalan tentang Hudayl. Dan aku akan mendapatkan sendiri jawapannya. 

Waktu rehat akhirnya telah tiba. Aku menolak pelawaan Amir, Michael dan Melissa untuk makan dengan alasan masih kenyang. Aku pantas mengorak langkah ke pejabat sekolah dan mendapatkan maklumat tentang alamat rumah Hudayl. Memang benar Hudayl tinggal berhampiran dengan lokasi kejadian semalam.
Setelah tamat sesi persekolahan, aku terus memandu keluar dari pekarangan sekolah dan  mencari alamat yang telah aku peroleh tadi. Aku terkejut kerana Hudayl tinggal di dalam rumah papan. Fikirku, dia anak orang kaya-kaya. Aku menjenguk-jenguk dari dalam kereta mencari kelibat Hudayl. Aku melihat seorang nenek tua yang berjalan keluar dari rumah. Pasti itu nenek Hudayl. Hudayl masih belum kelihatan. Tiba-tiba, tingkap keretaku diketuk. Aku cemas bercampur terkejut. Hudayl sedang memandangku aneh. Aku sekadar tersengih.

“Awak buat apa di sini?” soalnya sambil aku menurunkan cermin tingkap kereta.

“Aku... aku nak jenguk hanglah. Hang sakit ka?” Hudayl menggeleng. 

“Hudayl, siapa tu? Mari, ajak kawan naik. Mari,” Nenek Hudayl memanggil dari kejauhan. Hudayl mengundangku masuk. Aku menjadi serba salah untuk menolak perlawaan nenek itu. Aku mematikan enjin kereta dan membuntuti Hudayl. Namun, aku bertambah hairan lagi tatkala aku melihat seorang kanak-kanak berselimut, mungkin sekitar usia lapan atau sembilan tahun terbaring di atas ruang tamu dan beberapa jenis ubat-ubatan terletak kemas di sisinya. Pelbagai persoalan terus bertalu-talu menyerangku. Aku perlukan penjelasan, tetapi mulutku terkunci diam tanpa bicara. Hendak disoal, aku risau dikatakan sibuk menjaga hal tepi kain orang.

“Muiz, saya kenalkan. Ini nenek saya, dialah yang menjaga saya sepanjang saya berada di Kulim ni,” Hudayl memulakan bicara.

“Nenek? Habis tu, orang tua hang mana? Siapa budak yang terbaring sakit tu?”

Hudayl tersenyum. Tetapi senyumannya kali ini tidak seceria selalu. Dia terdiam seketika.

“Aku minta maaf kalau...”

Hudayl menggeleng tanda tidak mengapa. “Panjang ceritanya Muiz kalau awak nak tahu. Tapi awak kena janji, tak perlu sebarkan perkara ni kepada guru-guru dan terutama sekali rakan-rakan kita.” Setelah yakin dengan janjiku, Hudayl kembali meneruskan ceritanya. Nenek sudah masuk ke dapur untuk membuat air.
“Budak yang terbaring tu adik saya. Namanya Haykal. Sejak kecil, Haykal memang dijaga oleh nenek di sini manakala saya dijaga dan dibesarkan oleh ibu dan ayah di Selangor. Mereka berdua orang sibuk bekerja, keluar pagi pulangnya malam. Tak mampu nak jaga Haykal. Tambah, Haykal selalu sakit-sakit dari kecil. Dulu, doktor periksa kata tak ada apa-apa. Tetapi sejak tahun lepas, Haykal disahkan lemah jantung. Dia dilarang oleh doktor untuk bersukan.”

“Habis tu hang datang sini seorang? Mak dan ayah hang tak ikut sama?”

“Pada awalnya memang saya tak nak pindah. Ibu dan ayah paksa. Sayang saya hendak tinggalkan kehidupan di sana. Saya dulu dan saya sekarang bukannya orang yang sama, Muiz,” jelasnya lagi. Aku mengangkat kedua-dua belah kening tanda minta penjelasan.

“Cerita lama. Dulu saya ni memang nakal, suka buat masalah di sekolah. Selalu kena panggil dengan guru disiplin. Ibu dan ayah terlalu manjakan saya. Sampaikan saya percaya, duit tu boleh beli semuanya. Boleh beli kawan-kawan. Boleh beli kebahagiaan. Saya langsung tak ada keyakinan dengan doa. Saya dah ada semua yang saya nak. Bila tiba satu tahap, Tuhan nak uji keluarga saya. Kami hadapi masalah kewangan. Kawan-kawan lari tinggalkan saya. Tapi masa tu, saya masih tak sedar-sedar juga. Saya ego...”

Aku terdia sendiri. Kondisi Hudayl ini lebih kurang sama sepertiku. Papa dan Mama beri kebebasan kepada aku dan Marzuqi untuk menggunakan wang sewenang-wenangnya. Mereka langsung tidak ambil peduli ke mana wang tersebut disalurkan. Aku beruntung kerana aku masih ada rakan-rakan yang setia denganku, yang menegurku setiap kali aku membuat kesalahan. Mungkin Marzuqi tidak begitu. Mungkin dia terpengaruh dengan rakan-rakannya sehingga terjebak ke kancah pergaduhan. “Habis tu, apa yang sedarkan hang sampai hang berubah macam ni?”

“Satu hari, saya dapat berita daripada nenek bahawa Haykal terpaksa dimasukkan ke hospital. Pada waktu itu, jantungnya menerima kejutan. Ibu dan ayah berada di luar negara. Saya buntu. Saya tak dapat bayangkan perasaan nenek pada ketika itu. Saya tak tahu macam mana untuk membantu nenek. Saya bagai hilang arah tujuan. Tetapi Alhamdulillah, Allah turunkan hidayah pada waktu itu. Entah dari mana, saya dapat kekuatan untuk... berdoa. Sesuatu yang telah lama hilang daripada diri saya. Saya cuba untuk percaya. Saya cuba untuk percaya bahawa Tuhan boleh membantu saya. Dan tak lama selepas itu, saya dapat panggilan mengatakan keadaan Haykal stabil. Selepas itu, saya menangis. Selepas itu, saya mulai berubah. Apa yang awak nampak dalam diri saya sekarang, itulah kesan daripada proses perubahan saya.”

Jantungku bergetar kencang mendengar kisah Hudayl. Tidak kusangka, seorang yang selama ini hebat dalam semua aspek, ternyata mempunyai kisah silam tersendiri. Aku memegang tangan Hudayl dan memohon kemaafan atas segala perilaku aku terhadapnya selama ini. Hudayl memberitahuku bahawa dia tidak pernah terasa dengan perbuatanku. Malah, dia senang ketika aku menawarkan untuk menghantar dia pulang tempoh hari. Nenek sekadar memerhatikan di sisi tanpa sebarang bunyi. Mungkin dia mahu membiarkan kami dalam dunia kami yang tersendiri. Setelah selesai mendengar segala yang kuinginkan, aku pulang ke rumah membawa azam yang baru.

Hari bertukar hari dan minggu silih berganti. Aku semakin menyenangi kehadiran Hudayl. Aku sudah tidak cemburu dengan segala tindak-tanduknya bahkan aku sentiasa menyokongnya. Amir dan Michael memuji perbuatanku itu. Kehadiran Hudayl, telah membuka mata aku yang selama ini buta daripada melihat kehidupan  realiti. Kebahagiaan yang sebenar bukannya terletak pada pangkat dan kemasyhuran tetapi bagaimana kita menjalani kehidupan itu sendiri. 

“Solat Dhuha jom,” aku mengajak Amir dan Hudayl sejurus tibanya waktu rehat. Amir makin senang dengan perubahanku. Kami bersama-sama bergerak menuju ke surau. 

“Hangpa dua solatlah dulu. Aku nak pi tandas sat,” kataku. Tandas terletak tidak jauh daripada tempat wuduk. Apabila aku melangkah sahaja ke dalam tandas, aku tercium bau yang kurang menyenangkan. Pada saat itu jugalah aku dapat meneka ada orang yang sedang merokok di dalam tandas. Sebagai seorang yang berjawatan tinggi dalam badan pengawas sekolah, aku berasa bahawa kekuasaanku dicabar. Aku segera mengetuk pintu tandas yang menjadi punca kepada kepulan asap di dalam tandas itu. Setelah berkali-kali diketuk, barulah pintu tandas dibuka.

“Sibuklah hang ni! Lain kali...” kata-kata itu terputus apabila pelajar itu bertentangan mata denganku. Aku benar-benar tidak percaya dengan apa yang aku sedang lihat. Marzuqi sedang berdiri di hadapanku memegang sekotak rokok. Aku tidak percaya, adikku sendiri yang merokok!

“Abang?!” Marzuqi terpana seketika sebelum menolakku ke tepi dan terus berlari keluar. Aku segera mengejarnya. Marzuqi berlari laju sehingga keluar dari kawasan sekolah. Pada waktu itu aku sudah tidak boleh berfikir panjang untuk memandu kereta. Aku tidak akan sempat mengejarnya. Meskipun aku tahu keluar dari kawasan sekolah pada waktu pembelajaran merupakan satu kesalahan, aku terpaksa melanggarnya. Aku terus mengejar adikku, mahukan penjelasan.

Marzuqi langsung tidak menoleh ke kanan dan ke kiri dan terus melintasi jalan dalam keadaan yang tergopoh-gapah. Sebuah kereta pula sedang meluncur laju dari arah kanan. Aku segera menolak Marzuqi ke tepi dan kemudian aku dapat rasakan tubuhku terlompat melayang beberapa meter dari kereta tersebut. Aku mendengar namaku dipanggil. Kesakitan menguasai seluruh tubuhku. Perit, pedih. Semuanya ada. Terasa seperti kepalaku sudah pecah. Aku teringat untuk mengucap syahadah. 

***

Dalam keadaan yang separuh sedar, aku mendengar seseorang sedang berbual denganku. Aku kenal benar dengan suara adikku.

“Abang, adik minta maaf bang. Adik janji kalau abang sedar, adik tak akan merokok lagi. Adik tak peduli dah kalau depa nak belasah adik sebab nak berhenti. Adik tak peduli dah. Hang bangun, abang. Bangun!” tubuhku digoncang berkali-kali.

“Sudahlah tu Zuqi. Mama pun bersalah. I’m sorry. I’m not a good mother for both of you. Sampai macam ni, baru Mama menyesal adik,” kali ini suara Mama pula kedengaran diselangi tangisan. Pasti wajah mulusnya itu sedang dibasahi oleh titisan air mata. Aku ingin sahaja menyuruhnya supaya berhenti menangis, tetapi suaraku seolah-olah terhalang untuk keluar. Badanku juga tidak boleh berfungsi dengan sebaiknya. 
“Muiz, kalau hang dengar kami sembang ni, hang jawablah. Kami semua sayang hang. Kawan-kawan hang pun ada kat sini. Amir, Melissa, Hudayl, Michael. Muiz, bangun nak...” Papa pula bersuara. Rindunya aku mendengar suara mereka. Tetapi kenapa sekarang? Kenapa bukan dari dulu lagi? 

“Muiz, baik hang bangun cepat. Hang dah janji dengan aku, kita kan nak dapat straight A sama-sama tahun depan? Kita nak masuk universiti sama-sama. Hang janji nak jadi pengapit aku bila aku kahwin nanti. Bangun, Muiz! Bangun!” Amir mengingatkan kembali janji-janjiku padanya. Aku tidak dapat menahan sebak di dada. Nafasku semakin tersekat-sekat. Dadaku dicengkam kesakitan. Aku terasa sakit, sakit sekali. Allah...

***

“Hudayl. Andai satu hari nanti aku dah tak da lagi kat dunia ni, hang ambil la jantung aku bagi kat adik hang.”

“Kenapa awak cakap macam tu?”

“Sekurang-kurangnya, bila aku mati nanti, aku akan sedekahkan satu kehidupan kepada orang lain. Adik hang layak dapat masa depan yang cerah macam abang dia. Hang ingat pesan aku ni.”

“Muiz...”

“Lagi satu, hang pesan dekat budak-budak tu, yang aku sayang depa sampai aku mati. Tolong tengok-tengokkan si Marzuqi tu juga. Aku harap, dah besar nanti hangpa semua jadilah orang yang hebat-hebat noh. Jangan lupakan aku sudah. Kalau aku pergi dulu lah kan, cakap kat Amir aku minta maaf sebab tak dapat jadi pengapit dia. Hehe. Aku mesti akan rindukan semua orang. Rindu sangat.”

“Muiz........”

Foto carian Google

9 comments: