Cerpen: Alpa



Haidar tersandar pada dinding, seolah-olah dia sudah mengalah dengan semua yang terjadi. Sudah dua minggu dia mendaftarkan diri di sekolah itu namun segala peristiwa yang berlaku seolah-olah mengatakan bahawa keputusannya untuk berpindah itu merupakan satu kesalahan. Sudah dua minggu dia tidak mempunyai kawan. Rakan-rakan sekelasnya langsung tidak mahu menegurnya hanya kerana gelarannya sebagai anak seorang bekas ahli politik ternama yang ditangkap kerana menerima rasuah. Haidar melepaskan keluhan nafas yang berat dan memandang langit biru.

“Kau buat apa di sini?” satu soalan menerpa dari entah mana. Haidar mencari punca suara itu. Di sisinya kelihatan seorang lelaki yang tinggi dan berambut sedikit kerinting. Tidak kelihatan sebarang reaksi pada wajahnya. Haidar seperti mahu menjerit tatkala persoalan itu ditujukan buatnya.

“Saja lepak. Awak buat apa di sini?” soalnya kembali cuba berlagak mesra. Lelaki itu memerhatikan wajah Haidar agak lama sebelum menjawab persoalannya.

“Lepak juga. Macam biasa. Aku tak pernah tengok muka kau di sini sebelum ni. Kau junior ya?” soalnya ingin tahu. Aneh. Belum pernah dia menjumpai pelajar yang mempunyai kulit putih persis mat saleh tetapi pandai berbahasa Melayu. Mungkin dia terlepas pandang sebelum ini.

Haidar menggeleng. Dia bukannya junior. Tahun ini merupakan tahun akhir persekolahannya tetapi dia tidak sanggup untuk meneruskan pengajian di sekolah lama kerana ejekan rakan-rakan. Haidar tidak pula menyangka bahawa situasi di sini tidak jauh berbeza dengan situasi dulu.

“Saya Haidar, baru berpindah ke sini. Pelajar tingkatan lima,” katanya mesra. Sejurus mendengar sahaja namanya, wajah lelaki itu bertambah kerut. Haidar? Nama itu telah banyak disebut-sebutkan sebelum ini. Kedatangan Haidar ke sini cuma membawa masalah. Guru-guru pun ada yang tidak menyukai Haidar kerana pengaruh ayahnya yang begitu kuat. Tanpa berkata apa-apa, lelaki tinggi itu segera meninggalkan Haidar bersendirian. Dia tidak mahu dilihat berbual-bual dengan anak banduan itu.

Hasrat berkawan yang tadinya tinggi menggunung, kini hancur musnah dalam hati Haidar. Dia sudah tidak mampu lagi menyimpan harapan. Baginya, harapan itu tidak akan wujud lagi dalam diri orang yang kurang bernasib baik sepertinya. “Huh, sendiri lagi...”

***

“Baiklah kelas, keluarkan buku teks Biologi. Buka bab ‘Locomotion and Support’,” Puan Hajah Uyun memberikan arahan. Haidar cuba mengingat sesuatu. Dia masih belum menerima pinjaman buku teks daripada pihak sekolah. Haidar teragak-agak untuk mengangkat tangan namun dia cuba menggagahkan dirinya.

“Ya, Haidar?” Mata Puan Hajah Uyun bertentangan dengan sepasang mata berwarna coklat milik Haidar.

“Saya... saya masih belum terima buku teks, cikgu.”

“Farouq, kongsi dengan Haidar,” arah Puan Hajah Uyun. Farouq sudah membulatkan mata. Berkongsi buku dengan Haidar? Itu merupakan satu mimpi ngeri yang perit. Hendakkan duduk di sebelah budak baru itu pun sudah janggal, inikan pula berkongsi satu buku teks. Haidar tersenyum kerana masalahnya sudah selesai. Namun, Farouq sekadar membatukan diri, berpura-pura tidak mendengar arahan daripada Puan Hajah Uyun.

 Buku teks yang berada di hadapannya tidak ditolak walaupun sedikit, kekal dengan posisinya. Haidar buntu dan tidak tahu mahu berbuat apa melainkan sekadar mendengar keterangan daripada guru di hadapan.

Empat puluh minit yang menyeksakan Haidar akhirnya tamat. Dia segera keluar dari kelas. Meskipun ramai pelajar yang berpusu-pusu keluar kerana ingin segera pulang, tidak ada seorang pun yang menegurnya. Haidar terasa sangat asing. Seolah-olah setiap pasang mata yang memandangnya sedang melihat dirinya dengan penuh kebencian. Haidar menundukkan pandangan, pasrah dengan segala yang terjadi.

Dup!! Tubuh Haidar terasa dihentam sesuatu mengakibatkannya melayang sedikit sehingga dia tidak mampu mengawal dirinya lalu terjatuh ke atas tanah. Secara refleks, dia terus mencari punca objek yang melanggarnya itu. Pandangan matanya menangkap figura seorang perempuan yang berkulit putih dan mengikat tocang kuda. Wajahnya kelihatan ‘innocent’.

“Maafkan saya...” pelajar itu menyatakan rasa kekesalan dan segera membantu mengangkat buku yang terlepas daripada genggaman Haidar. Judul buku itu diamati agak lama dan dia tersenyum sendiri.  “Awak baca karya buku tulisan Morrison? Saya ingatkan saya seorang saja yang baca...” belum sempat kata-katanya dihabiskan, Haidar merampas buku itu daripada pegangannya dan terus meninggalkannya tanpa sebarang bicara.

Haidar sudah dapat mengagak, sekiranya dia memberitahu sahaja identitinya yang sebenar, pasti pelajar perempuan itu akan terus menghindarkan diri daripadanya. Lebih baik dia yang berundur dahulu.

“Tunggu! Kenapa awak lari?” gadis itu masih tidak berputus harap. Aneh. Dia berlari-lari anak mengejar Haidar. Haidar akhirnya akur dan berhenti.

“Saya Haidar, anak bekas ahli politik yang sekarang ini menjadi banduan. Sayalah orang yang menjadi bualan satu sekolah. Berhenti bercakap dengan saya kalau awak tak nak dipandang serong oleh orang lain,” Haikal melepaskan keluhan yang terpendam. Matanya terpejam berat. Hatinya terseksa. Dunia ini seolah-olah tidak memberi ruang kepadanya untuk menjalani kehidupan yang normal. Dia separuh terduduk. Kekuatannya sudah pudar.

“Hurmm, saya Suzanne,” pelajar yang bernama Suzanne itu masih statik pada posisinya. Haidar mendongakkan kepalanya, memandang perempuan berbangsa Cina itu. Suzanne tersenyum. “Jadi kenapa? Salahkah kalau kita berkawan?”

Haidar bagai diserang satu getaran. Benarkah apa yang baru didengarinya sebentar tadi? Pelajar perempuan yang baru ditemuinya itu hendak berkawan dengannya. Haidar terkesima campur tidak percaya. Adakah ini satu sinar harapan yang baru atau sekadar angan kosong? Dia sudah tidak sanggup untuk dikecewakan lagi. 
“Boleh saya cakap sesuatu dengan awak?” Suzanne masih mencuba. Haidar dan Suzanne sama-sama bergerak ke arah tempat letak basikal di belakang salah satu bangunan di sekolah itu. Mata-mata yang memerhati memandang mereka aneh bercampur rasa tidak percaya. Ternyata ada orang juga yang sudi berjalan dengan anak banduan?

“Erm, Suzanne? Maafkan saya tentang kejadian tadi,” Haidar tunduk kesal. Tidak sepatutnya dia melayan Suzanne sedemikian.

“Tidak mengapa. Haidar. Tak bermakna ayah awak banduan, awak pun sama seperti dia. Saya tahu macam mana budak-budak di sekolah ini layan awak. Saya dengar banyak cerita tentang awak. Tak sangka hari ini saya dapat jumpa juga awak,” lancar pelajar Cina itu bertutur dalam bahasa Melayu.

“Te... terima kasih.”

“Saya pun pernah alami perkara yang lebih kurang sama macam awak. Sebab tu saya faham perasaan awak,” sambungnya lagi.

“Tetapi awak tak kenal saya. Bahkan, kita baru pertama kali berjumpa. Gaya awak cakap seolah-olah awak dah lama kenal dan faham tentang saya.”

“Entahlah. Saya memang baru kenal awak. Tapi saya dapat firasat yang awak ni seorang yang baik. Cuma kebaikan yang ada dalam diri awak itu terselindung di sebalik kegelapan yang ditutup oleh ayah awak.”

“Awak jangan cakap macam tu. Walau bagaimanapun, dia tetap ayah saya,” Haidar membawa basikalnya perlahan-lahan keluar dari tempat letak basikal. “Awak balik naik apa?”

“Jalan kaki. Rumah saya tak jauh dari sekolah ni. Lima minit dah sampai,” jelas Suzanne. Suzanne berjalan pergi meninggalkan Haidar dan basikalnya di belakang setelah meminta diri untuk pulang. Haidar memerhatikan pemergian gadis Cina itu. Pertemuan dan perbualannya dengan Suzanne pada hari itu dirasakan aneh. Seolah-olah sesuatu yang telah hilang dari dalam dirinya sedang cuba untuk menerobos masuk kembali. Haidar memandang langit biru, cuba meleraikan kekusutan yang menari-nari di benaknya.

***

Semenjak Haidar dan Suzanne berkawan, Haidar dapat merasakan satu kelainan. Beberapa pelajar yang lain juga cuba untuk berbual dengan dirinya. Bunga harapan sudah kembali berputik di dalam hatinya. Farouq, rakan sekelasnya juga mulai bercakap-cakap dengannya. Meskipun sedikit, lebih baik daripada tiada langsung. Kebetulan Suzanne turut mengambil subjek English and Science in Technology (EST) iaitu subjek tambahan untuk peperiksaan SPM, jadi mereka dapat belajar bersama dalam kelas tersebut.

“Kau nampak lain hari ni,” kata Farouq ketika mereka sedang sama-sama duduk di dalam kelas. Meskipun percakapan itu perlahan tetapi masih dapat ditangkap oleh telinga Haidar.

“Lain? Lain macam mana?”

“Kau nampak gembira. Tak macam selalu. Selalu muka masam mencuka 24 jam.”

Haidar tersengih. Memang. Pada saat itu dia sudah mampu tersenyum kerana dia menyimpan harapan untuk bersahabat dengan rakan-rakan sekelasnya. Dia sangat menghargai Suzanne kerana memberikannya sinar harapan yang hilang itu.

“Dah kenapa tersengih ni, Haidar?” Abdul Ghani tiba-tiba muncul kerana bosan duduk di tempatnya. Abdul Ghani ialah seorang lagi rakan baru Haidar. Selepas Farouq mula memberanikan diri berbual-bual dengan Haidar, Abdul Ghanilah orang seterusnya yang menegurnya. Malah, Abdul Ghani memohon maaf atas sikap dinginnya terhadap Haidar sebelum ini.

“Saya gembira kerana kamu berdua boleh berbual-bual dengan saya,” Haidar berterus-terang. Hatinya memang melonjak gembira  yang tiada kepalang.

“Iya lah. Memang salah saya dulu. Tapi saya ingat pesan ayah saya, seseorang itu dinilai bukan berdasarkan harta, pangkat, rupa atau latar belakang keluarganya. Seseorang itu dinilai berdasarkan akhlak yang tersemat di dalam dirinya. Jadi, saya tidak boleh menghukum awak kerana siapa keluarga awak,” Abdul Ghani menerangkan sambil membetulkan songkok yang senget di kepalanya.

“Akhlak?”

“Ya, akhlak. Tabiat dan kebiasaan seseorang. Apa yang sebati dalam diri seseorang itu,” jelas Abdul Ghani lagi. Kali ini, Haidar jadi lebih faham. Akhlak. Mungkin akhlaklah yang mempertemukan dia dengan rakan-rakannya.

Hari bertukar hari dan minggu silih berganti. Haidar melihat satu perubahan yang terjadi dalam hidupnya secara perlahan-lahan. Orang ramai mula menerimanya hanya kerana dia berkawan dengan Suzanne, seorang pelajar cantik yang baik hati. Haidar cuba menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan secara normal. Namun, bukan semua orang boleh menerima persahabatannya dengan Suzanne.

Wilson merupakan seorang pelajar yang agak berpengaruh di sekolah itu kerana ayahnya ialah Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut. Dia juga memegang jawatan presiden dalam beberapa kelab di sekolah. Haidar pernah terfikir, sekiranya dia berkawan dengan Wilson, sudah pastilah satu sekolah akan mampu menerima kehadirannya sepenuhnya dan kes ayahnya pasti akan terhapus daripada ingatan seseorang. Namun untuk mencapai matlamat yang satu itu bukannya tujuan yang senang. Wilson bukannya calang-calang orang. Haidar cuma mampu memerhatikan Wilson dan rakan-rakannya bermain bola sepak di padang. Adakah salah untuk dia mempunyai harapan untuk turut bermain sama dengan mereka?

“Haidar, kau nak balik dengan aku sekali tak? Aku boleh temankan kau sampai rumah macam biasa,” ajak Farouq membunuh lamunan Haidar. Haidar tersenyum.

“Boleh saya ikut sekali kalau tak keberatan?” Suzanne tiba-tiba muncul entah dari mana. Farouq sekadar membatukan diri tanpa sebarang reaksi. Biarlah Haidar yang menjawab pertanyaan itu.

Haidar mengangguk. “Sudah tentulah. Suzanne, Farouq, kita balik sama-sama ya?” Maka mereka bertiga berjalan menuju ke tempat letak basikal. Farouq dan Haidar mencapai basikal mereka masing-masing namun tidak ditunggang sebaliknya mereka berjalan sambil menarik basikal untuk menemani Suzanne. Belum sempat keluar dari pagar sekolah, Wilson memanggil nama Haidar. Haidar terkesima dan secara refleks terus berpusing belakang mencari wajah pemilik suara itu.

Jantung Haidar mula berdegup laju. Dia tidak menyangka harapannya yang sudah lama dipendam dapat dicapai sepantas itu. Haidar sudah boleh membayangkan Wilson mengajaknya untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah.

“Ya, Wilson. Awak nak ajak saya masuk pasukan bola sepak ya?” entah bagaimana persoalan itu terpacul dari mulutnya tanpa segan-silu.

Wilson memandang Haidar dari atas sehingga ke bawah bagaikan seekor harimau yang sedang menunggu untuk membaham mangsanya. Kening kirinya diangkat. Jadi budak baru ini berminat untuk menyertai pasukan bola sepak? Jangan haraplah.

“Oh, kau nak masuk pasukan bola sepak? Sebelum itu, aku nak tahu apa hubungan kau dengan Suzanne?” Wilson menyoal Haidar penuh bengis.

“Hubungan saya dengan Suzanne?” Haidar menjadi aneh. Apa kena-mengena Suzanne dengan pasukan bola sepak. Haidar ligat merangka jawapan dalam otaknya. Dia harus pintar berkata-kata untuk menjaga hati Wilson.

Farouq membisikkan sesuatu ke dalam telinga rakannya itu. “Haidar, Wilson ni minat Suzanne dari tingkatan dua lagi. Kau jangan macam-macam pula. Kalau dia tahu kau berkawan baik dengan Suzanne, nahas kau nanti.” Haidar sudah mendapat jawapannya. Suzanne masih memerhati dari sisi.

“Suzanne? Oh... tak ada apa-apalah. Kami cuma satu kelas EST, itu saja,” Haidar tersenyum tanpa mengetahui bahawa kata-katanya itu agak mengecewakan hati Suzanne. Bukankah mereka berkawan baik sebelum ini? Mengapa cuma dikatakan rakan sekelas sahaja?

“Habis tu kenapa balik sekali?” Wilson masih menguji. Sudah banyak khabar angin yang didengarinya sebelum ini dan dia tidak akan berpuas hati sebelum mendengar sendiri pengakuan daripada mulut pelajar baru itu.

“Oh. Tak adalah. Kebetulan terjumpa. Jom Farouq, kita balik dulu,” Haidar tersenyum sambil menunggang basikalnya. Farouq tidak mampu untuk berkata apa-apa melainkan mengikuti Haidar dari belakang. Kedua-dua sahabat itu akhirnya menghilang dari pandangan, meninggalkan Suzanne dan Wilson di belakang.

Sungguh tidak percaya. Suzanne tidak percaya dengan apa yang baru terjadi sebentar tadi. Baru sahaja mereka berjanji untuk pulang bersama-sama tetapi Haidar akhirnya meninggalkan Suzanne hanya kerana takut akan hilang kepercayaan daripada Wilson.

“Jadi Suzanne, awak dah fikirkan tentang ajakan saya untuk keluar sama-sama hujung minggu ni. Saya boleh jemput awak di rumah?” soal Wilson sedikit lega apabila mengetahui gadis idamannya itu masih solo. Wilson perlahan-lahan meletakkan tangannya di atas bahu Suzanne tetapi ditepisnya lembut. Lelaki itu masih tidak mahu mengalah, lalu dia cuba menggenggam tangan Suzanne, kuat.

“Apa ni Wilson? Stop it!” Suzanne cuba meleraikan pegangan itu namun tidak berjaya.

I will stop if you agree to be my date,” Wilson tersengih. Apa yang dia mahu, pasti dan harus menjadi miliknya tanpa sebarang halangan dan tentangan. Suzanne menjadi resah. Mahu dipanggil Haidar, lelaki itu sudah lama menghilang. Akhirnya, dia tewas pada keadaan. Suzanne terpaksa menerima pelawaan Wilson.

Sementara itu, Haidar sedang dalam perjalanan pulang tanpa sebarang perasaan bersalah. Malah, dia gembira kerana Wilson mengetahui namanya dan sudi mencemar duli untuk menegurnya. Farouq tidak senang dengan perbuatan Haidar itu.

“Haidar, kenapa kau buat macam tu? Kesian aku tengok si Suzanne tu. Bukan kita dah janji nak balik sekali?” Farouq mengerutkan dahinya, cuba menyelongkar apa yang sebenarnya sedang bermain di minda anak muda itu.

“Biarlah. Rumah Suzanne dekat saja, tak sampai lima minit pun. Saya yakin dia tak kisah. Apa yang penting sekarang, kalau saya diterima masuk ke dalam pasukan bola sepak sekolah, pasti semua orang tak akan memandang serong terhadap saya lagi. Betul tak?” Haidar ketawa. Dia pasti, Tuhan sudah menjanjikan masa depan yang baik untuknya di sebalik penderitaannya selama ini.

***

“Farouq, balik sekali jom,” Haidar mencuba nasib. Semenjak akhir-akhir ini, hubungannya dengan Farouq semakin renggang. Farouq sudah kembali dingin seperti kali pertama mereka bertemu dahulu. Haidar sudah semakin gelisah. Dia sudah cuba untuk meminta maaf kepada Farouq namun tiada balasan.

Suzanne pun sudah jarang menemuinya. Harapan Haidar untuk mendekati Wilson sudah dicampak jauh-jauh kerana Wilson langsung tidak mahu memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan bakat. Benih-benih penyesalan mulai tumbuh dalam diri Haidar. Dia tidak seharusnya menyakiti hati rakan-rakannya hanya kerana ingin mendapatkan sesuatu yang dihajati. Haidar takut. Dia takut sesuatu yang telah hilang dalam dirinya itu akan bertandang kembali. Kekosongan.

Farouq di hadapannya langsung tidak memberikan sebarang respons. Haidar mengulangi ajakannya namun Farouq terus bangkit dan berlalu dari situ. Jiwa Haidar terasa disentap. Kini, dia benar-benar yakin bahawa dia sedang mengalami kehilangan. Haidar bergerak meninggalkan kelas yang sudah kosong itu.

Pelajar lalu-lalang ke pelbagai arah untuk pulang. Ada yang pulang melalui pintu pagar utama dan ada yang pulang melalui pintu pagar belakang. Haidar mencapai basikalnya dan menuntun perlahan-lahan mengiringi kesedihan hatinya. Secara kebetulan, dia ternampak figura Suzanne yang sedang berjalan di hadapannya. Haidar melajukan langkahya untuk mengejar Suzanne.

Foto carian Google

“Suzanne!” serunya penuh harapan. Suzanne berpura-pura tidak mendengar namanya dipanggil. Sejujurnya, dia masih sakit hati dengan segala perbuatan Haidar. Bukan sahaja tidak mengaku dirinya sebagai kawan, malah Haidar telah membuatkan dia terikat dengan Wilson. Adakah Haidar telah lupa bahawa dialah yang menjadi kawan karibnya dan sudi untuk mendengar segala luahan hati Haidar selama ini?

“Suzanne, saya minta maaf. Saya yang salah. Tolong maafkan saya,” Haidar menghalang laluan Suzanne dengan basikalnya. Dia sudah benar-benar menyesal dan dia mengharapkan setitis ihsan daripada Suzanne untuk memaafkannya dan memberikannya peluang kedua. “Suzanne, tolong maafkan saya.”

“Haidar, awak pernah dengar tak pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya? Saya rasa, awak lagi faham,” dingin Suzanne membalas.

“Ya, saya faham Suzanne dan saya minta maaf. Saya dah pun rasakan akibatnya sekarang. Farouq sudah semakin dingin dengan saya dan awak selalu mengelak untuk berjumpa dengan saya. Sekarang saya faham, kawan susah dan senang lebih baik daripada kawan yang hanya digunakan untuk kesenangan. Wilson is nobody.

“Haidar, saya maafkan awak. Tapi...” Haidar mengangkat kening sebelah tanda tertanya-tanya.

Suzanne kembali menyambung bicaranya. “Saya seolah-olah sudah terikat dengan Wilson. Dia sudah isytiharkan kepada semua bahawa saya ini kekasihnya. Gila apa dia tu. Saya ke sekolah untuk belajar, bukannya untuk bercinta!” Suzanne menegaskan. Haidar terkejut mendengar Wilson sanggup melakukan perkara seperti itu. Mungkin Wilson sudah sangat terdesak untuk mendapatkan Suzanne.

“Maafkan saya sekali lagi, Suzanne. Saya tak akan biarkan awak terseksa dengan Wilson. Sebagai seorang kawan, saya pasti akan bantu awak,” Haidar menggenggam penumbuknya penuh amarah yang memberontak. Dia tidak akan membiarkan rakan-rakan baiknya disakiti lagi.

Tanpa diduga, Haidar terdengar namanya dipanggil dari belakang. Pucuk dicita ulam mendatang. Wilson sudah berada lama di situ, sejak tadi memerhatikan Suzanne dan Haidar. Hatinya membara ibarat arang yang dibakar. Boleh pula si Suzanne itu berdua-duaan dengan anak banduan tidak sedar diri itu!

Matahari sudah cacak berdiri di atas kepala. Kepanasannya menghangatkan lagi hati dua pelajar lelaki yang sedang bertentangan mata itu. Masing-masing menyimpan perasaan geram sesama mereka. Suzanne sudah gelabah tidak tahu mahu berbuat apa. Mungkin dia patut membiarkan sahaja orang lelaki yang menyelesaikan urusan mereka.

What are you doing with my girlfriend?” Wilson menyimbah minyak ke dalam api. Kali ini, Haidar sudah tidak peduli lagi. Dia sudah tidak peduli tentang Wilson dan kelab bola sepaknya. Dia sudah tidak peduli dengan mata-mata yang memandang. Dia tidak mahu menjadi manusia yang cuma tahu tunduk pada keadaan.

“Wilson, awak dengar sini. Suzanne bukan kekasih awak. Faham?” kenyataan yang dikeluarkan agak pedas sehingga mencetuskan kontroversi. Wilson tidak mahu berfikir panjang lagi.

“Dasar anak banduan tak guna!” Wilson menghayunkan penumbuknya ke arah perut Haidar. Haidar pada awalnya agak terkejut namun dia secara refleks berundur ke belakang, cuba untuk mengelak. Wilson terus menyerang menggunakan tangan kirinya. Kali ini, tumbukan disasarkan kepada bahagian muka dan sasaran tepat terkena. Haidar terasa panas sekali di pipi. Dia mengusap-usap pipinya.Tanpa berlengah masa, kini tiba gilirannya pula untuk membalas. Haidar mengangkat kakinya untuk dilayangkan tepat ke bahagian perut lawan tetapi berjaya ditangkis. Wilson yang tertolak sedikit ke belakang pantas mengambil kesempatan memegang kaki Haidar dan memulasnya jatuh ke atas tanah. Suzanne menjerit berkali-kali meminta pergaduhan dihentikan. Tidak ada sesiapa pun yang mahu masuk campur urusan Wilson.

Haidar menahan kedua-dua penumbuknya di atas bumi dan cuba untuk bengkit kembali. Dengan pantas berbekalkan tenaga yang tersisa, tangannya segera mencari tempat untuk mendarat ke kepala Wilson dan akhirnya berjaya mengenai pipinya. Serangan terbalas. Wilson bertambah geram dan bertekad untuk menggunakan kakinya pula. Kaki kanannya diangkat tinggi ke udara, sedikit sahaja lagi untuk mengenai kepala Haidar dan...

“Berhenti!”

Wilson menjatuhkan kakinya ke atas tanah. Tangisan yang tertahan di tubir mata Suzanne sudah pecah. Air mata merembes laju membasahi pipinya. Kedua-dua matanya dipejamkan erat, tidak sanggup lagi menonton drama siaran langsung di hadapannya itu. Wilson tidak sampai hati melihat Suzanne menangis. Begitu juga Haidar. Suasana bertukar sepi.

“Suzanne, please stop crying,” Wilson cuba memujuk.

“Wilson, berhenti. Saya dan Haidar cuma kawan, sama macam kita. Saya bukan teman wanita awak. Saya ke sini untuk belajar dan berkawan. Bukan untuk mencari lawan. Saya tak suka awak sesedap hati mengaku kita pasangan kekasih dan paksa saya untuk buat benda yang saya tak suka. Saya minta maaf,” Suzanne tertunduk. Wilson terkesima. Tidak percaya.

I’m sorry.” Cuma itu sahaja yang mampu terkeluar dari mulutnya.

Suzanne menarik basikal Haidar mengikutinya. Haidar turut bergerak mengikut basikalnya. Rakan-rakan Wilson menenangkannya. Suzanne tersenyum. Akhirnya, semua yang terpendam sudah dilepaskan jua. Dan terima kasih kepada Haidar, dia mendapat kekuatan untuk meluahkan perasan yang terbuku dalam hatinya.

“Terima kasih Haidar.”

“Saya yang patut berterima kasih. Terima kasih sebab sudi berkawan dengan saya. Saya gembira kita dapat berkawan seperti biasa. Cuma, saya sedih Farouq masih bersikap dingin terhadap saya,” Haidar melepaskan keluhan nafas kecil. Hatinya begitu sakit. Seorang yang dahulunya bergelar sahabat, menjadi seperti orang asing sahaja baginya kini. Namun, dia belajar untuk bersyukur dengan segala yang Allah telah kurniakan kepadanya dan Haidar yakin akan qada' dan qadar Tuhan.

“Tunggu sekejap!” Suzanne dan Haidar menoleh ke belakang. Mereka melihat Abdul Ghani yang bersungguh-sungguh mengayuh basikal untuk mengejar mereka. Kedua-duanya tertawa.

“Apa ni jalan berdua-duaan. Haish!” Abdul Ghani sempat memarahi sebelum tunggangannya menjadi tidak terkawal akibat terlanggar batu besar dan menyebabkan tubuhnya yang kecil itu terjatuh serta songkoknya tercabut dari kepala. Meskipun mendapati perkara itu lucu, Haidar bergegas mendapatkan Abdul Ghani untuk menghulurkan tangannya dengan harapan rakannya itu akan menyambutnya.

Comments

Post a Comment