Pages

Tuesday, December 31, 2013

Diari#45: Azam 2013 Tercapai!


This is what I love about blog. Setiap tahun, saya boleh lihat semula apa azam saya untuk tahun itu dan alhamdulillah, salah satu azam utama untuk tahun 2013 saya telah tercapai. Azam apa? Saya telah berazam agar salah satu cerpen saya tersiar dalam majalah. Sekitar Jun 2013, cerpen saya berjudul Beku telah disiarkan oleh Majalah Yezz! terbitan di bawah syarikat Karangkraf. Boleh baca sedikit sedutan di entry yang lepas-lepas.

Setiap tahun memang saya akan membuat azam yang baru, tetapi kebanyakannya agak susah untuk diri saya capai. Dan apabila azam 2013 telah tercapai, maka tidak mustahil pula untuk azam 2014 saya tercapai. Sejujurnya, azam bukanlah sesuatu yang hanya wujud ketika tahun baru tetapi azam seharusnya sentiasa wujud di dalam hati kita. Cuma, saya jadikan setiap tahun sebagai kayu ukur kepada azam-azam saya sama ada tercapai ataupun tidak. Baiklah, buat saya, 2014 adalah tahun yang sangat baru, sangat berbeza. 2014, di mana kanak-kanak dan remaja lain sibuk membuat persiapan untuk kembali ke sekolah, saya tidak perlu melakukan semua itu lagi. Dan perasaannya sungguh, aneh. Sejauh mana pun keinginan untuk berpatah balik ke alam persekolahan, semua itu tidak akan terjadi lagi melainkan, saya menyambung tingkatan enam. Tahun demi tahun, kita kena belajar untuk lebih berdikari, independent. 

Apa yang saya harapkan untuk 2014? Saya berharap dapat masuk ke dalam universiti pastinya. Setiap orang pasti mempunyai universiti impian tersendiri dan impian saya mahu ke Yarmouk, Jordan. Tetapi saya tidak terlalu berhajat besar untuk ke sana kerana universiti-universiti tempatan pun kebanyakannya sudah mampu menyaingi universiti di luar negara. Cuma sebahagian besar hati ini mahu melanjutkan pelajaran di luar negara. Namun, saya yakin di mana-mana pun Allah sudah mempersiapkan sesuatu untuk kita. Saya juga berharap di tempat baru nanti, saya akan mengenali lebih ramai insan berhati mulia yang bergelar sahabat. Saya tidak mempunyai keinginan lagi untuk mengambil lesen kereta. Saya berminat untuk mengambil lesen motor, tetapi tidak diizinkan pula. Kata ibu bapa, bawa motor ni berbahaya.

Susah juga saya mahu perah otak memikirkan azam baru untuk 2014 kerana saya sendiri tidak tahu apa lagi yang saya mahu. Kalau azam biasa-biasa, tak mencabar. Azam kedua selain masuk universiti, saya teringin menjadi seorang penulis lirik lagu. Hehe. Macam pelik pula. Tetapi tak ada salahnya menyimpan angan-angan. Lagu-lagu yang bertemakan dakwah dan ketuhanan pastinya. Manalah tahu suatu hari ada orang yang berminat untuk menyuruh saya menulis lirik lagu untuknya. 

Azam ketiga yang pun macam pelik, saya mahu menjadi seorang kolumnis dalam majalah. Heh. Ni memang tinggi angan-angan. Ya lah, sekurang-kurangnya minat saya dalam penulisan dicurahkan ke atas landasan yang betul. Saya juga akan sentiasa membaiki diri dalam bidang penulisan kerana saya tahu masih banyak lagi kelemahan diri. Kalau dapat menjadi seorang kolumnis pada usia 18 tahun, sudah pastilah saya dapat belajar banyak perkara baru. Saya akan dapat komen dan ilmu yang lebih banyak. Insha Allah.

Ya, itulah tiga target saya untuk 2014 walaupun dua daripada sangat sukar untuk dicapai. Paling tak pun, dua azam tercapai pun jadilah. Azam ni, perlu disertakan dengan usaha. Saya akan cuba sentiasa positifkan diri untuk mencapai kejayaan di dunia yang serba berbeza kelak. Yang penting usaha, doa dan tawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan doa kalian mengiringi saya dan segala urusan saya dan keluarga dipermudahkan. 

Monday, December 30, 2013

Snap: Cantiknya Kedah



Percutian di sekitar Pulau Langkawi dan pemandangan dari dalam bot.





Thursday, December 26, 2013

Ada Apa Dengan Topeng Guy Fawkes?


Sedang saya melayari Twitter, tiba-tiba terjumpa satu tweet daripada vlogger Anwar Hadi tentang topeng Guy Fawkes. Saya pun berminat untuk mengetahui tentang sejarah Guy Fawkes. Ceritanya begini. Guy Fawkes a.k.a Edward Blake merupakan seorang rakyat Inggeris yang pernah menjadi salah satu daripada anggota revolusioner Roman Katolik yang berpakat untuk menentang golongan bangsawan Inggeris. Tujuannya adalah untuk memastikan kebangkitan Kerajaan Monarki Kristian dan penguasaan gereja semula dalam masyarakat Eropah pada ketika itu.

Antara salah satu usaha terbesar yang pernah dilakukan revolusioner ini adalah untuk meletupkan pusat pemerintahan yang didiami oleh Raja James I beserta keluarganya dan juga golongan bangsawan Inggeris. Kejadian ini dipercayai berlaku sekitar tahun 1605.

Usaha ‘Gunpowder Plot’ yang dirancang Fawkes dan kawan-kawannya berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa. Kesudahannya, mereka akhirnya tertangkap. Di sebalik rancangan plot yang tak jadi tu, Fawkes dan penyokongnya telah merancang satu gerakan sulit bawah tanah yang dinamakan “The House of Lords” sebagai markas mereka. Jadi ketika mereka ditangkap, Fawkes disoal, diseksa serta didesak oleh pihak berkuasa untuk mendedahkan siapa lagi yang terlibat dalam serangan itu tetapi dia hanya mendiamkan diri.


Akhirnya, Fawkes dihukum gantung sampai mati. Tetapi entah macam mana, telah tercetus satu idea licik dalam mindanya untuk memperdayakan tukang gantung itu dan ideanya berjaya. Namun, malang tidak berbau. Dia ditakdirkan untuk mati pada hari itu juga apabila dia cuba melompat daripada pelantar hukuman sehingga lehernya patah. Dahsyat betul kisah si Fawkes ini. Sungguh tragis.

Sebagai peringatan daripada kisah Guy Fawkes ini, orang Inggeris menyambut Bonfire Night pada 5 November setiap tahun. Pada malam itu, kisah Fawkes akan diingati dengan cara membakar patungnya. Kisah Guy Fawkes tidak hanya berakhir di situ, malah kisahnya telah dipopularkan melalui pelbagai medium sehinggakan ceritanya memberikan inspirasi untuk menghasilkan filem V for Vendetta. Kiranya, tempias Guy Fawkes ini memang semakin berleluasa sehingga ke Malaysia.

Selain daripada difilemkan, Guy Fawkes juga telah menjadi tunjang utama untuk satu kumpulan penggodam terkenal yang menamakan diri mereka sebagai ‘Anonymous’. Pernah dengar tak? Mereka mula terkenal ketika pertama kali berjaya menggodam Playstation Network satu ketika dahulu. Kumpulan ini menggunakan topeng Guy Fawkes untuk melindungi identiti sebenar mereka. Tujuan mereka lebih kurang sama seperti Guy Fawkes iaitu untuk menentang sistem pemerintahan yang menyekat kebebasan. Saya sendiri kurang pasti adakah terdapat orang Malaysia yang terlibat dalam kumpulan Anonymous ini.


Alkisahnya pula, masyarakat kita memang terkenal dengan sikap suka mengikut tanpa usul periksa. Bukan semuanya cuma sebahagian sahaja. Malah, kadang-kadang saya sendiri pun terpedaya dengan propaganda musuh Islam. Gerakan Kristianisasi pasti sedang tersenyum lebar jika melihat anak muda kita yang beragama Islam mengenakan topeng Guy Fawkes ataupun menyokongnya kerana propaganda mereka telah berhasil. Kita seolah-olah mengagungkan gerakan revolusi mereka.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam yang mengharamkan Valentine’s Day, April Fool Day dan Hari Natal kerana berunsurkan keagamaan, kenapa pula kita perlu mengagung-agungkan pejuang Kristian ini sebagai simbolik kita? Adakah Islam menggambarkan penentangan? Kepada yang baru tahu, mudah-mudahan kita akan menjadi lebih berhati-hati selepas ini dan tidak hanya menjadi seperti lalang yang mengikut sahaja arah angin.

Wednesday, December 25, 2013

"Prayboy" Itu Suami Aku



Sekarang ini banyak drama di televisyen yang diadaptasikan daripada novel. Drama-drama seperti ini lebih banyak menarik tumpuan rakyat Malaysia jika dibandingkan dengan drama biasa kerana kisah dalam novel cinta rasanya nampak lebih nyata dan romantis barangkali di kaca televisyen. Dan sudah pastilah yang menjadi tumpuan utama penonton, khususnya daripada kalangan wanita ialah pelakon utama sesebuah drama itu sendiri.

Fenomena artis-artis terkenal kian mendominasi media sosial. Aaron Aziz, Izzue Islam dan kini Fattah Amin. Begitu hebatnya penangan industri hiburan kita hari ini sehinggakan wujudnya pelbagai fanpage untuk karakter-karakter kesukaan masyarakat meskipun karakter itu tidak wujud di dunia nyata. Selesai satu drama, minat kita beralih pula kepada drama yang terbaru dan begitulah selanjutnya. Minat dan semangat untuk menyokong industri tempatan kita tidak ada salahnya. Bahkan, saya sendiri amat berharap pihak media tempatan dapat juga menyiarkan drama yang diadaptasi daripada novel remaja kerana menurut saya secara personal, kita telah terlalu banyak dihidangkan dengan tema cinta. Sesekali bolehlah bertukar angin kepada drama penyiasatan, persahabatan atau keagamaan.



Menonton drama dan filem kesukaan kita tidak menjadi sebarang masalah, cuma kita perlu mengawalnya agar tidak menjebak diri sendiri. Bagaimana media-media ini boleh menjebak kita? Tanpa kita sedari, drama tersebut boleh membuatkan seseorang itu menangguhkan solatnya, bahkan lebih parah meninggalkan solat. Ya lah, kita tidak mahu melepaskan walau satu saat pun babak yang ditayangkan. Hendak pergi solat, takut terlepas babak penting. Hati menyuruh badan tunggu sekejap. Akhirnya, bila drama telah selesai, kita pun baru mahu bergerak untuk solat.

Tetapi dalam perjalanan untuk mendirikan solat, kita diuji pula dengan tugasan dan arahan daripada ibu bapa untuk menyiapkan makan malam atau sebagainya sehinggakan langsung terlupa untuk solat. Dan begitulah kebiasaannya. Sedar tak sedar, drama yang kita tonton itu telah menyebabkan kita lalai daripada melaksanakan kewajipan kita terhadap Tuhan.

Satu lagi masalah yang berpunca daripada drama sekiranya tidak berjaya dikawal ialah kefanatikan terhadap aktor/aktres drama itu, terutamanya jika mereka cantik dan kacak. Malah, ada yang siap mengaku suami dan isteri masing-masing. Kalau sekadar suka-suka tidak mengapa. Jangankan ada yang mengambil terlalu serius sehingga ingin mengetahui walau sekecil-kecil butiran pun tentang pelakon tersebut. Sehinggakan aktiviti seharian pelakon itu pun dipantaunya habis-habisan. Perkara ini bukan hanya akan memakan diri sendiri, tetapi boleh juga membahayakan nyawa pelakon-pelakon tersebut kan? Manalah tahu.

Pesan saya, kita kena berpada-pada dalam melakukan hal yang kita suka. Jangan sampai melalaikan, dan janganlah pula sampai memakan diri. Baiklah, sebenarnya tertarik untuk memetik salah satu judul drama yang sedang meletup di kaca televisyen sekarang ini iaitu “Playboy” Itu Suami Aku. Biarlah playboy itu suami dia. “Prayboy” Itu Suami Aku. Saya berminat untuk memberikan sedikit ulasan tentang vlog yang dihasilkan oleh MrTheAllShared berkenaan isu Perigi Tolak Timba. Meskipun mungkin saya masih muda untuk membicarakan tentang perkara ini, tetapi tidak ada salahnya untuk saya mengutarakan pendapat sendiri. 


Vlog ini mengetengahkan isu perempuan yang menolak lelaki soleh untuk dijadikan calon suami, dan juga menolak lelaki yang jahil untuk dijadikan suami. Lantas, siapakah yang sebenar-benarnya layak untuk dijadikan calon suami?

Beginilah. Sebagai seorang perempuan, kita pastilah mengimpikan calon suami yang beriman. Ya, setiap muslimah mahukan seorang lelaki yang soleh untuk membimbingnya ke syurga. Tidak ada muslimah yang mahukan playboy sebagai suaminya. Kita mengidamkan “prayboy” sebagai suami. Namun apabila datangnya seorang lelaki yang soleh melamar untuk dijadikan isteri, maka wujudnya perasaan rendah diri dan muslimah akan mula menilai kembali sejauh mana keimanannya jika dibandingkan dengan lelaki itu. Apabila rasa diri tidak layak untuk lelaki yang beriman itu, mulalah dia menolak lamarannya.

Begitu juga apabila datangnya lelaki yang jahil dalam agama. Muslimah akan berpendapat bahawa sukar pula untuk lelaki itu membimbingnya ke syurga. Lantas, jawapan kami hanya akan menyuruh lelaki itu pulang dan perbaiki diri sebelum bersedia untuk menerimanya sebagai calon suami. Mungkin inilah pandangan sebahagian besar muslimah hari ini. Hasrat di hati cuma mahukan lelaki yang benar-benar layak untuk kita.

Pendirian lelaki dan pendirian wanita berbeza. Lelaki lebih banyak menggunakan akal untuk memilih calon isteri tetapi wanita pula lebih banyak menggunakan nafsu dalam proses pemilihan. Dan seperti yang kita ketahui, nafsu ini tidak akan pernah puas walau apa pun yang terjadi. Nafsu akan sentiasa bersifat berkehendak terhadap kesempurnaan. Oleh itu kami akan terus berusaha mencari kesempurnaan, sedangkan hakikatnya tidak ada lelaki yang sempurna di dalam dunia ini.

Satu perkara yang perlu diingati tentang wanita, ialah wanita bersifat memilih. Namun, bukan semuanya mempunyai sifat sedemikian. Seandainya lelaki rasa dirinya mahukan seseorang itu sebagai pelengkap hidupnya, maka dia harus banyak bersabar sekiranya ditolak. Berikan sedikit masa dan usaha, sehingga wanita itu dapat menggunakan akalnya bahawa andalah yang sesuai untuknya. Namun, pastikan usaha itu dilakukan dengan mengikut syariat. Wanita ini sebenarnya lembut hatinya.

Baiklah, itu sahaja sedikit pendapat saya tentang vlog tersebut. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana diri sendiri belum ada pengalaman. Saya cuma menulis berdasarkan pendapat hati. Kepada muslimah pula, jangan mudah terpedaya dengan janji lelaki. Lelaki yang tulus akan mencari muslimah melalui jalan yang diredhai Allah. Pilih “prayboy” itu sebagai suami, bukannya “playboy”. 

Islam: Aurat, Fesyen dan Sunnah



Seorang pelancong yang beragama Kristian mencari-cari arah untuk ke gereja berhampiran. Hari itu hari Ahad, hari untuk dia bersembahyang di gereja. Luas sungguh kota metropolitan sehinggakan dia sendiri pun tersesat. Lalu dia terlihat kelibat seorang wanita yang sedang menunggu bas sendirian di perhentian bas. Dia pun segera menghampiri wanita itu.



“Excuse me miss? Can you tell me where I can find the church?” dia bertanya dengan penuh sopan.

Wanita itu terus berubah muka menjadi kelat. Namun, disebabkan tidak mahu memberikan tanggapan yang buruk kepada pelancong Kristian itu, dia pun menjawab.

“I’m sorry sir. I am a Muslim,” dia cuba melakar senyum.

“Oh, I’m sorry. For a second I thought you’re not a Muslim by the way you dress.” Pelancong itu kemudiannya berlalu pergi, meninggalkan wanita itu terkesima dan terkesan.

Sekiranya saya yang berada di dalam situasi tersebut, mahu sahaja saya menyorokkan muka di dalam beg kerana malu. Ya, malu. Kita merupakan orang Islam, tetapi dianggap sebagai orang bukan Islam hanya dengan cara berpakaian. Nah, di sini kita dapat lihat, pakaian seseorang memang sedikit sebanyak menggambarkan agamanya.

Kita bebas memakai apa jenis pakaian asalkan pakaian itu menutup aurat. Sebagai umat Islam, pakaian merupakan aset penting yang melambangkan agama kita. Syaratnya mudah sahaja, untuk muslimin, pakai pakaian yang menutup aurat daripada pusat sehingga ke lutut manakala buat muslimah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Asalkan kita memelihara aurat kita, insha Allah masyarakat tidak akan memandang prejudis terhadap kita.

Namun, rata-rata masyarakat kita mempunyai salah faham tentang fesyen. Mereka berpendapat orang Islam perlu memakai baju Melayu dan baju kurung.  Dan mereka akan memandang prejudis kepada orang Melayu yang memakai pakaian daripada bangsa lain seperti cheongsam atau dhoti. Ada yang secara terang-terangan terus sahaja menghukum si pemakai, tanpa berfikir secara rasional.

Cuba kita pula bayangkan, bagaimana pula dengan orang Islam di negara Cina? Majoriti kaum di negara itu merupakan penduduk yang berbangsa Cina. Adakah kita juga akan dilarang untuk memakai baju Melayu? Susahlah jika begitu. Hal ini hanya akan menyebabkan Islam ini nampak rumit dan komples. Padahal Islam itu memudahkan. Dan kalau diikutkan logik juga, pada zaman Rasulullah pun tidak ada penetapan pada sebarang jenis pakaian bangsa. Maksudnya, Islam ini bersifat universal.

Rasulullah sendiri pun pernah memakai pakaian daripada bangsa dan budaya lain. Baginda pernah memakai pakaian bangsa Rom, padahal dulu Rom merupakan sebuah negara yang sangat kuat pengaruh Kristian. Oleh itu, hal ini menjelaskan bahawa pakaian sesebuah bangsa, tidak ada hubungkait dengan agama bangsa berkenaan. Jika anda suka membaca kisah-kisah perjalanan Rasulullah, anda akan mendapati Rasulullah pernah memakai variasi baju daripada bangsa lain meskipun ketika bermusafir. Baginda memakai pakaian yang selesa mengikut tempat dan waktunya, bukannya sekadar berjubah. 

Terdapat pula segelintir kumpulan agama yang mewajibkan pengikutnya memakai jubah. Jikalau begitu, Islam akan menjadi tidak sesuai untuk bangsa-bangsa yang lain kerana mereka terpaksa membeli jubah semata-mata mahu mendapat title Muslim. Saya ada menonton salah satu epidod Tanah Kubur di mana terdapat kumpulan yang semua ahlinya memakai jubah serba hitam dan bercelak. Jubah itu tidak bersalah, yang salah adalah aqidah yang diamalkan oleh anak-anak muda tersebut.

Lain pula pandangannya dengan masyarakat kini yang jelas mempunyai fahaman yang sangat berbeza. Tidak ada lagi dalil yang mengharamkan pemakaian baju bangsa lain. Tetapi yang jelas kita perlulah menutup aurat. Islam kan membenarkan kita untuk berfesyen. Boleh sahaja kita mengubahsuai cheongsam menjadi lengan panjang dan memakainya, janji pakaian itu longgar dan menutup aurat. 

Ramai juga yang menyatakan songkok itu pakaian sunnah. Ini juga merupakan satu lagi salah faham orang kita yang mengatakan songkok itu sebahagian daripada sunnah. Tidak, songkok itu bukan sunnah.

“Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan diberikan mengenai asal kehadiran songkok di alam Melayu ini. Ada yang mendakwa, ia berasal dari Turki. Ada yang mengatakan ia berasal dari Parsi (Iran). Ada juga mengatakan ia mungkin berasal dari benua Hindi (India).” - Petikan daripada blog Ibnu Rusydi tentang isu songkok

Songkok ini tidak wujud pada zaman nabi. Kebudayaan ini cuma dibawa daripada negara lain yang akhirnya menular di Malaysia sehingga menjadi kebudayaan orang Melayu. Begitu juga halnya dengan kebudayaan lain seperti seni ukiran masjid dan tulisan yang dibawa oleh negara luar. Namun tidak ada salahnya langsung kita mengikuti ciri-ciri kebudayaan ini. Bahkan, pemakaian songkok menyebabkan seseorang itu tampil lebih kemas dan kacak. Ehem.

Bagaimana pula pakaian yang dikatakan bercanggah dengan Islam? Pakaian-pakaian tersebut adalah pakaian yang diperbuat khusus untuk agama tertentu selain daripada Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri. Pakaian tersebut seperti pakaian khas untuk sami, paderi atau pakaian yang menggambarkan keganasan yang sangat kontra dengan Islam. Islam merupakan agama yang mudah dan penuh dengan nilai murni dan kesopanan, bukan untuk dicemari dengan black metal dan sebagainya.


Tuesday, December 24, 2013

Sains Menolak Dongeng Bumi di Atas Tanduk Lembu



Bismillahirrahmanirrahim.

Membaca buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda tulisan Dr MAZA memberikan pelbagai ilmu kepada saya yang mahu dikongsikan dengan semua. Dunia hari ini sudah dilingkari dengan arus penuh kemodenisasian. Sains dan teknologi berjaya mengatasi dan kadang-kadang sehingga menakluki sikap dan minda masyarakat zaman ini. Oleh itu, tidak mustahillah segala dongeng, mitos dan kisah-kisah yang disampaikan oleh segelintir golongan yang mengaku dirinya arif dalam sesuatu bidang itu dan dapat disangkal oleh sains dan teknologi.

Beberapa perkara yang ingin saya kongsikan lantaran masyarakat kini terlalu lantang mempercayai bulat-bulat apa yang disampaikan oleh orang lain tanpa sebarang hujah dan dalil yang kukuh.

Ya, inilah hakikat dunia hari ini. Kita terlalu bergantung harap kepada orang lain dan ada yang terlalu mengagung-agungkan individu tertentu sampai menelan semua yang diperkatakan, meskipun jika diikutkan logik akal semua itu adalah mustahil. Saya berikan satu contoh hadis palsu yang berjaya mengaburi mata sesetengah pihak.

“Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu itu berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” [ Hadis Maudhu`(Palsu), Ibnul Qayyim Al-Manar al-Munif, ms 78]

Sumber carian Google

Hadis ini secara terang-terangan merupakan kenyataan yang tidak boleh diterima oleh logik akal. Dan sains hari ini sudah berjaya membuktikannya. Cuba fikirkan, seperti yang umum ketahui, bumi ini terletak di angkasa lepas. Jadi sudah pastilah bumi ini terapung-apung di udara. Bagaimana pula bumi boleh diletakkan di atas sebiji batu, dan lagi aneh di batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan? 

Sedangkan setakat ini belum ada lagi pembuktian sains yang menyatakan ada kehidupan lain selain di bumi. Dan saya langsung tidak boleh membayangkan seekor lembu menggoyangkan tanduknya sehingga boleh menyebabkan gempa bumi. Masha Allah.

Begitu juga dengan kisah Merong Mahawangsa. Di sebalik lakonan Stephen Rahman dan Ummi Nazeera, kisah sebenar hikayat ini menceritakan tentang wujudnya pelbagai mitos seperti garuda, jentayu dan helang yang boleh berkata-kata dan berperang. Tetapi buat mereka yang mengkaji, haiwan-haiwan itu cuma merupakan simbolik kepada sekumpulan manusia yang berperang. 

Terdapat satu lagi hadis palsu yang sering kita dengar iaitu “Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri Cina”. Hadis ini merupakan antara hadis-hadis palsu yang dinyatakan pula dalam buku 40 Hadis Palsu Popular tulisan Abdul Razak Muthalib. Hadis ini diakui palsu kerana terdapat kecacatan pada sanadnya. Jika difikirkan secara logik, kita memang sangat dituntut oleh Rasulullah untuk menuntut ilmu.

Namun, hadis ini seolah-olah menggalakkan untuk kita menuntut ilmu sehingga ke negeri Cina padahal ilmu ini bersifat universal, bukannya spesifik. Terdapat banyak percanggahan pendapat ulamak tentang hadis ini. Ada yang mengatakan negara Cina cuma sebagai perumpamaan kepada satu tempat yang sangat jauh. Walaupun begitu, kita tetap tidak boleh menggunakan hadis ini kerana dihukum palsu. 

Begitu hebatnya penangan dongeng dan hadis-hadis palsu yang menular dalam masyarakat kita kini. Rentetan senario itu, kita perlulah berhati-hati dalam menerima dan mengamalkan kisah yang tidak dipastikan buktinya dan yang tidak masuk logik akal. Tidak ada salahnya kita bertanya kepada seseorang itu tentang kesahihan sesuatu perkara meskipun dia merupakan seorang ustaz ternama mahupun ulama termasyhur. Melalui cara ini, barulah kita akan mendapat kepastian yang sebenar dan sama-sama dapat menambah ilmu di dada. Apa-apa pun, jangan main-main dengan hadis dan kita perlu berhati-hati sebelum menyebarkannya kepada orang ramai.

Monday, December 23, 2013

Segmen Kenapa Aku Jadi Blogger? by AkuPenghibur.com


Sedang ber'blogwalking', saya terjumpa satu contest yang agak menarik minat saya untuk menyertainya. Memandangkan saya mempunyai masa berbulan-bulan yang kosong semenjak habis SPM ni, jadi tidak ada salahnya untuk saya sertai mana-mana segmen yang dianjurkan oleh blogger tempatan kita untuk mengisi masa yang terluang dan sebagai tanda sokongan. Apa yang perlu saya lakukan cuma memenuhi beberapa syarat yang dinyatakan di blog AkuPenghibur.com dan menceritakan kenapa saya menjadi seorang blogger.

Kenapa? Saya mula terjebak ke dalam dunia blogging pada April 2009, atas paksaan guru ICTL saya ketika berada di tingkatan satu. Pada waktu itu, subjek ICTL ni memang baru-baru lagi rasanya diwujudkan di sekolah. Jadi setiap pelajar diwajibkan untuk mencipta blog masing-masing. Nama cikgu ICTL saya Cikgu Izwan. Cikgu Izwanlah yang mengajar kami satu kelas untuk mendaftar dan menggunakan blog. Semenjak itu, setiap kali subjek ICTL kami akan sentiasa diajar tentang penggunaan blog. Nampak tak di situ? Saya memang langsung tak ada niat untuk menjadi seorang blogger, pada ketika itulah.

Entry testimoni pertama saya ialah satu puisi yang saya karang sendiri. Boleh rujuk di SINI. Ha, satu perkara yang pembaca perlu tahu tentang saya ialah saya memang meminati dunia penulisan dan alhamdulillah setakat ini saya telah berjaya menerbitkan dua buah novel remaja di bawah syarikat penerbitan Galeri Ilmu dan Must Read. Selain menulis novel dan puisi, saya juga gemar mengarang cerpen. Tetapi, kebanyakan cerpen saya berkisarkan kehidupan remaja di sekolah sudah semestinya. 

Berbalik kepada cerita asal, selain puisi itu saya pun mula berkongsi beberapa info yang dipetik melalui internet untuk perkongsian umum, walaupun memang tak ada orang yang baca melainkan Cikgu Izwan dan rakan-rakan sekelas. Kemudian, daripada kongsi info, saya mula kongsi aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah dan akhirnya saya mula menulis perkara-perkara yang bermotivasi tanpa perlu copy paste daripada internet. Daripada situlah saya mulai sedar bahawa saya suka berkongsi. Saya boleh lakukan apa yang saya tak boleh lakukan di dunia realiti. Ya lah, saya bukannya jenis yang banyak bercakap dulu. Budak tingkatan satu, tingkatan dua ni kan junior. Susah sikit junior nak serlahkan bakat diri yang terpendam. 

Apabila saya berada di tingkatan tiga, waktu itulah saya memang aktif sangat dalam dunia blogging. Rasa semua benda nak dikongsikan. Dan alhamdulillah waktu itu pun saya mula mendapat nama dalam industri penulisan kerana penghasilan novel-novel saya. Masuk majalah, youtube. Tetapi ketika tingkatan 4 dan 5 penulisan sudah mulai berkurangan kerana saya mula masuk ke sekolah berasrama penuh dan sukar untuk menulis ketika itu. 

Saya mula menukarkan niat daripada berblogging kerana 'paksaan' kepada berblogging untuk manfaat ummah. Saya banyak belajar daripada bloggers yang lain. Saya berharap segala yang dikongsikan dalam Cahaya Kekuatanku ini mendatangkan hikmah kepada orang yang membacanya. Saya juga mahu berdakwah menyampaikan ajaran Rasulullah, berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. Rasulullah sendiri sudah berpesan, kita kena sampaikan walaupun sepotong ayat daripada baginda. Alhamdulillah usaha murni saya ini mendapat sokongan daripada banyak pihak dan membuatkan saya jatuh cinta dalam dunia blogging.

Kini, setelah tamat SPM dan banyak waktu senggang, lebih banyak masa yang boleh saya luangkan untuk blog dan blogger yang lain. Kita boleh berkenalan dan berkongsi pengetahuan sesama sendiri. Dunia blog ini sebenarnya mendatangkan banyak faedah kalau kita manfaatkan dengan sebaiknya. Jangan salah gunakan nikmat yang diberikan kepada kita, tetapi gunakan ke arah kebaikan. Baiklah. Tak nak panjang-panjang. Saya akhiri entry ini dengan ucapan semoga berjaya kepada penganjur kita iaitu AkuPenghibur.com dan terima kasih kerana mengadakan segmen yang menarik seperti ini.  Lain kali boleh buat lagi.

Sunday, December 22, 2013

Eksperimen Specific Heat Capacity (Aurat)



Hari ini saya akan cuba menulis tentang satu eksperimen Physics yang dipelajari ketika tingkatan 4 iaitu Specific Heat Capacity. Bezanya, saya cuba tukar eksperimen ini dengan konsep islam iaitu tentang menutup aurat. Dulu saya pernah terbaca tentang eksperimen ini melalui blog seorang pelajar universiti dalam jurusan fizik jika tidak silap saya. Kalau saya jumpa pautannya, insha Allah saya akan pautkan kepada blog saya. Saya mempunyai sedikit kesukaran untuk menjelaskan eksperimen ini dalam bahasa Melayu kerana kami belajar dalam bahasa Inggeris. Dan post ini agak complicated sikit bagi orang yang tidak mengambil subjek Physics. Tetapi saya akan cuba memberi penjelasan sebaik mungkin berdasarkan pengetahuan yang ada.

Baiklah, sejujurnya saya ini memang lemah dalam subjek Physics. Tetapi saya sangat meminati konsep-konsep Physics kerana subjek ini bersangkutan dengan diri kita dan keadaan semula jadi alam. Namun demikian, saya kurang mahir dalam bab pengiraan, padahal pengiraan itulah yang paling penting dalam subjek Physics. Banyak konsep yang diajarkan seperti Momentum, Inertia, Pressure, Light, Electromagnetism dan Electronics. Bab yang paling saya suka adalah Logic Gates di bawah tajuk Electronics kerana bab ini simple kalau nak dibandingkan dengan bab-bab yang lain. Kalau hendak diceritakan tentang Physics ni memang banyak sejarahnya jadi saya masuk terus kepada tujuan utama entry ini. Izinkan saya untuk menggunakan dwibahasa dalam entry kali ini. Saya memohon maaf seandainya ada kesalahan dalam penterjemahan ke dalam bahasa Melayu. Mohon dibetulkan. 

The specific heat capacity is the quantity of heat energy required to increase the temperature of a substance. Maksudnya, jumlah tenaga haba yang diperlukan untuk menaikkan suhu sesuatu bahan itu. Suhu di sini memang bertepatan dengan konsep aurat kita. Ramai orang terutamanya wanita membuka aurat mereka (tudung) dengan alasan panas. Tambahan lagi, wanita-wanita di Malaysia ni. Ya lah, di Malaysia mana ada musim sejuk. Terpaksalah buka aurat sepanjang tahun.

Formula yang wajib kami hafal untuk heat capacity ini ialah Q=mc(tetha). Tak jumpa simbol tetha pula. 

Q = heat energy / tenaga haba
m = mass of substance / jisim objek
c = specific heat capacity / (rujuk maksud yang telah dinyatakan)
tetha = change in temperature / perubahan suhu

Saya telah menyatakan maksud dan formula yang perlu kita ketahui. Sekarang jom buat eksperimen Aurat bersama-sama saya. Ok, kita ada satu situasi. Saya ambil 3 orang wanita dengan cara berpakaian yang berbeza. Muslimah A ni seorang yang bertudung labuh, pakai handsocks dan menutup segala-galanya. Muslimah B masih menutup aurat tetapi biasa-biasa sahaja. Manakala Muslimah C pula dengan rupa paras yang cun-melecun, menayangkan rambutnya yang cantik dan lurus menawan ibarat pelakon Hollywood gitu.

1. Aim / Tujuan :
To investigate the spiritual of an individual to resist pressure based on how she covers her aurat. 
Untuk menguji tahap ketahanan spiritual dan rohani seseorang terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaiannya.

2. Hipothesis / Hipotesis :
The better they cover their aurat, the higher their spirit to resist any pressure.
Semakin baik cara pemakaian seseorang itu mengikut syariat Islam, maka semakin tinggilah daya ketahanan spiritualnya terhadap tekanan yang diberi.

3. Manipulated variable / Pembolehubah manipulasi :
cJumlah tenaga haba yang diperlukan untuk menaikkan suhu sesuatu bahan itu mempunyai kaitan dengan tahap ketahanan spiritual dan rohani seseorang terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaiannya. Maksudnya di sini, seperti yang telah saya jelaskan, wanita tidak menutup aurat dengan alasan mereka panas. Bereti, orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna ini mempunyai tahap ketahanan spiritual yang sangat rendah.

4. Responding variable / Pembolehubah tindak balas : 
Q - Tenaga haba pula dikaitkan dengan daya ketahanan ketiga-tiga muslimah tadi.

5. Fixed variable / (Yang tak berubah) :
m - Jisim objek. Just consider the mass of the three women are the same. Malah, anggap saja semua ciri-ciri fizikal seperti bangsa dan agama mereka sama.

6. Procedure / Kaedah (Procedure ni penting sangat dalam eksperimen. Kalau tak dapat tangkap gambaran eksperimen, pandai-pandailah buat eksperimen sendiri) :
- Kita perhatikan saja perubahan yang terjadi terhadap Muslimah A, Muslimah B dan Muslimah C.
- Melakukan soal selidik kepada mereka tentang aurat.
- Ulang eksperimen terhadap 3 orang wanita lain dengan kaedah yang sama.
- Pandai-pandailah sendiri.

7. Observation / Pemerhatian :
- Muslimah A akan kelihatan sentiasa ceria, sopan santun, lemah lembut dan sentiasa menjaga pergaulannya.
- Muslimah B juga kelihatan ceria dan tenang. Tapi kadang-kadang dia akan berasa risau. Kadang-kadang dia akan terlepas kemarahan, tapi lambat laun back to normal.
- Muslimah C memang rasa dirinya bagus dan berketrampilan tetapi hakikatnya clumsy, tidak menjaga pergaulan dan mudah marah.

8. Conclusion / Konklusi :
Orang yang akan meraih nilai Q yang tinggi ialah mereka yang menutup aurat dengan sempurna berlandaskan syariat Islam. Hypothesis is accepted! 

Nota : Eksperimen ini adalah sebuah eksperimen yang pernah diutarakan oleh seorang penuntut jurusan fizik seperti yang telah dinyatakan, cuma isi kandungannya tidaklah 100% menepati yang asal kerana post ini hanyalah berdasarkan apa yang diingati oleh penulis.

Saturday, December 21, 2013

Bertemu Dengan Penulis Novel Adam dan Hawa


Seperti yang dipaparkan dalam iklan di atas, penulis novel yang telah diadaptasi menjadi drama Adam dan Hawa telah mengadakan sesi temu mesra bersama peminat di Hasani Landmark, Kulim. Novelis Aisya Sofea kini telah tampil dengan karya terbaru beliau, iaitu Dekatnya Cinta yang merupakan kesinambungan kepada novel Adam dan Hawa. 


Kisahnya, Adam Mukhriz telah dirasuk cemburu apabila terlihat isterinya bersama lelaki lain. Akibat kekecewaan yang menyelubungi diri, akhirnya Adam melafazkan talak terhadap Ain Hawani. Ternyata, Adam sebenarnya sudah salah faham. Arissa pula telah dirampas pergi. Ain sudah tidak punya apa-apa lagi. Jadi, bagaimana Ain hendak meneruskan hidup. Ada peluangkah si Adam dan Ain ni berbaik balik? Hendak tahu sambungannya, kenalah beli. Walaupun saya bukannya peminat novel cinta, tetapi saya telah membeli juga novel Dekatnya Cinta ini beserta tanda tangan Aisya Sofea. Sempat juga kami bergambar tadi.

Selepas ke Landmark, saya dan keluarga singgah pula di restoran Damiral's Grill yang terletak di Bandar Perda untuk makan tengah hari. Ini merupakan kali pertama saya makan di sini. Masuk sahaja sudah tersengih sebab ada free wi-fi. Suasana di dalam restoran gelap gelita, bertemakan romantis. Memang cantik. 


Makanan di restoran ini pun sedap-sedap, ada banyak pilihan. Dan anda akan mendapat 'nachos' percuma. Hari ini saya telah memilih hidangan Texas Barbeque Chicken (nama pun dah gempak). Harganya RM 15.90, harga standard. Hidangan ini lebih kurang macam chicken chop cuma rasanya yang sedikit berbeza. Bolehlah, kalau anda hendak membawa keluarga untuk menikmati sesuatu yang berlainan di sini. 

Texas Barbeque Chicken

Untuk air pula, saya telah memesan Ice Freddo Chocolate. Macam-macam nama air ada. Pemberian nama kepada makanan pun merupakan salah satu cara untuk menarik pelanggan selain hiasan dalam restoran. Apabila minuman yang dipesan telah tiba, rupa-rupanya Freddo ni adalah campuran coffee dan chocolate. Saya ni pula memang tak minum kopi. Jadi saya memesan air baru, Vanilla Milkshake. Milkshake ni pun lain dari yang lain. Rasanya subhanallah memang sedap. 

Ice Freddo Chocolate

Vanilla Milkshake

Macam lebih kurang sama dengan Ice Freddo Chocolate cuma topping vanilla ni tinggi sikit. Dan akhir sekali, hidangan tak akan lengkap tanpa pencuci mulut. Pilihan hari ini ialah banana split. Apa yang menarik tentang banana split, saya suka melihat bagaimana cara hidangan ini disajikan oleh restoran-restoran yang berbeza. Ada banana split yang ditambah buah, ada yang ditambah smarties dan sebagainya. Bagi restoran ini pula, mereka menambahkan cereal dalam pencuci mulut ini. 

Banana split

Alhamdulillah, saya berpeluang untuk menikmati hidangan yang enak-enak di sini. Pelayan pun memberikan layanan 5 bintang. Buat kerja secara efektif. Terima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya yang belanja (macam biasa). Nanti kalau ada duit sendiri, barulah boleh belanja balik. Akhirnya bila sudah kenyang perut, barulah boleh meneruskan perjalanan untuk membeli-belah. 

p/s: Hargai setiap saat yang ada. 

Friday, December 20, 2013

Semangat Assabiah Pelajar Asrama



Mana-mana pelajar yang bergelar pelajar asrama terutamanya pelajar SBP dan MRSM sudah pasti tidak akan lari daripada mengamalkan semangat assabiah yang tinggi. Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh disangkal lagi. Memandangkan saya mempunyai seorang adik yang sedang menunggu keputusan permohonan ke sekolah berasrama, tidak ada salahnya untuk saya berkongsi pendapat untuk adik-adik yang bakal bergelar pelajar asrama tidak lama lagi.

Melalui pengamatan saya, situasi belajar di sekolah harian dan sekolah berasrama penuh ini jauh berbeza sekali. Saya telah bersekolah selama tiga tahun di sekolah harian biasa dan dua tahun di sekolah berasrama penuh. Walaubagaimanapun, dua tahun di asrama penuh itu terasa lebih lama berbanding tiga tahun di sekolah harian. Jika di sekolah harian, semangat rumah sukan hanya akan wujud sehinggalah tamatnya Hari Sukan. 

Berlainan pula dengan asrama, sistem merit diamalkan dalam rumah sukan. Sekiranya ada dalam kalangan pelajar dalam rumah yang melakukan kesalahan berat, markah untuk rumah itu akan ditolak. Kira ala-ala filem Harry Potter. Dan begitulah keadaannya sehinggalah ke akhir tahun. Para pelajar akan berusaha sedaya upaya untuk menjadikan rumah masing-masing sebagai johan. 

Malah, di asrama saya para pelajarnya diwajibkan untuk tinggal di dalam dormitri yang mempunyai penghuni rumah yang sama. Meja makan pun diatur mengikut rumah. Semangat assabiah ini dapat dilihat paling melampau apabila tiba hari sukan. Masing-masing akan mempertahankan kewibawaan rumah masing-masing. Padahal bukannya menyumbang markah sangat pun untuk rumah sukan, macam saya ni. Begitulah hebatnya penangan sistem rumah dalam kalangan pelajar asrama. 


Berbalik kepada sistem merit tadi, selain daripada markah ditolak, pelajar juga boleh cuba untuk menaikkan markah rumah melalui penglibatan-penglibatan dalam aktiviti kokurikulum mahupun akademik. Pelajar yang giat menyertai pertandingan seperti pidato, RND (Research and Development), choral speaking, sukan, catur, memanah dan sebagainya memang banyak menyumbang markah untuk rumah masing-masing dan lazimnya pelajar-pelajar sebeginilah yang akan menjadi kesayangan guru. Ini fakta, ok.

Satu lagi semangat assabiah pelajar adalah sesama batch. Biasalah tu. Pasti ada senior yang akan buli junior, terutamanya budak-budak yang baru masuk. Nasihat saya, anda tidak perlu gentar dengan senior. Cukup sekadar menghormati mereka yang lebih tua. Asalkan anda tidak buat sebarang masalah, oklah tu. Senior tak ganggu. Sebagai senior, kita perlu menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik. Dan sebagai junior, kita perlu belajar untuk mengambil contoh-contoh positif yang ditunjukkan oleh abang dan kakak kita. Amalkan peribahasa Melayu, hormat pada yang tua dan kasih pada yang muda. 

Sebenarnya yang namanya manusia ini semuanya sama sahaja tarafnya di sisi Allah. Yang membezakan bukanlah harta, paras rupa, kepopularan mahupun jawatan yang tinggi. Yang membezakan kita adalah akhlak dalam diri individu itu. Beruntunglah mereka yang berakhlak mulia dan rugilah mereka yang sombong lagi angkuh. 

Kalau berkawan, kita kena berkawan dan berbuat baik dengan semua orang. Ya, saya akui memang pelajar asrama tak akan terlepas daripada semangat assabiah tetapi janganlah sampai memakan diri sendiri. Kalau rasa ada buat salah kepada rakan-rakan kelas lain, junior, senior, guru, kita kena minta maaf juga sama ada cepat ataupun lambat sebab hubungan sesama manusia ni penting. Terpulanglah sama ada mereka mahu maafkan ataupun tidak. 

Jadi kepada adik-adik yang nak masuk asrama, jangan takut, jangan gentar. Kehidupan di asrama ini sebenarnya indah dan banyak kenangan yang boleh dicipta. Banyak kebaikannya tinggal di asrama ini. Boleh dapat ramai kawan dan belajar untuk berdikari, pastinya. Saya berbangga menjadi produk asrama. Hehe.

"Non-Muslim Itu Mengucap Di Hadapan Aku"


Hal ini betul-betul pernah berlaku di hadapan mata saya sendiri. Saya mempunyai seorang rakan yang beragama Hindu, namun dia bukanlah seorang yang sangat taat kepada agamanya, tetapi bukan juga seorang yang tidak percaya akan agama. Dia mempercayai apa yang dipercayai oleh kedua-dua orang tuanya. Mungkin kerana telah terbiasa tinggal di asrama, seluruh kehidupannya boleh dikatakan sebati dengan cara hidup orang Melayu. Dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan baik sekali tingkah lakunya.

Apa yang menjadikan dia seorang yang unik, dia paling suka bernasyid. Bahkan nasyid yang tidak saya ketahui pun dia boleh nyanyikan dengan lancar. Dia faham cara hidup orang Islam, dia tahu waktu-waktu yang wajib dan sunat untuk solat. Kerana tingkah lakunya yang sangat baik, saya jadi senang untuk berkawan dengannya dan sering bertukar-bertukar cerita. Pernah sekali, saya dan dia duduk berdua-duaan, berbual-bual seperti biasa. Kemudian saya terdetik untuk bertanya sesuatu. Sekiranya dia sudah faham dan sangat menghormati agama Islam, tidak mustahil untuk menariknya masuk ke dalam Islam. 

Cuma kita sebagai orang Islam, kalau hendak berdakwah, kena pandai main pro dan kontra. Tak boleh menyalahkan seratus peratus agama lain kerana perkara ini menyentuh sensitiviti mereka. Saya berfikir sejenak sebelum memulakan perbualan. 

"Ermm, boleh kite tanya sesuatu? Tapi jangan terasa..." saya masih teragak-agak. Dia tersenyum, seolah-olah faham apa yang tersirat di dalam hati ini. Setelah mendapat persetujuannya, saya bertanya kepadanya, adakah dia percaya kepada Tuhan. Dan berapa banyak Tuhan yang dipercayainya. Dia mengambil masa sedikit untuk berfikir sebelum menjawab. 

Jawabnya, dalam agamanya, mereka percaya kepada dewa. Setiap dewa mempunyai tugas masing-masing. Mereka menyembah dewa-dewa itu sebagai tanda hormat. Katanya lagi, dewa ini boleh diibaratkan sebagai nabi untuk orang Islam. Saya cuba mempertahankan, dalam Islam kita tidak menyembah nabi, muslim cuma menyembah kepada Tuhan yang Esa. Dia meneguhkan pendiriannya bahawa mereka menyembah sebagai tanda hormat. Kemudian tambahnya lagi, memang ada Tuhan. Tuhan yang satu. Tuhan yang menciptakan dewa-dewa itu. Mereka menyembah Tuhan, juga menyembah dewa-dewa. Tetapi pokok pangkalnya, ada Tuhan yang utama.

Saya bertanya lagi, sekiranya dewa-dewa semuanya berkuasa, mereka tak bergaduhkah sesama sendiri? Balasnya pula, setiap dewa memainkan peranan sendiri dan faham peranan masing-masing. Dan panjang lagi penjelasannya. Saya tidak mahu berhujah panjang kerana tidak mahu menyakiti perasaannya. Kalau dipanjangkan lagi, memang tak siaplah kerja sekolah yang diberikan oleh guru. 

Saya cuba mengubah topik dan menceritakannya pula tentang al-quran. Saya memberitahunya tentang keajaiban lautan dan beberapa kisah yang sudah dirungkai dalam al-quran yang saya ketahui. Dia juga membenarkan kata-kata saya dengan mengatakan bahawa semua itu juga telah tertulis di dalam kitabnya. Kata saya, al-quran ini sudah begitu lama sekali wujud di dunia. Dia juga menyatakan yang sama. Jadi dia tertanya-tanya, mana satukah kitab yang wujud terlebih dahulu? Saya cuma senyum.

Saya menjelaskan lagi, Tuhan itu memang satu. Dan sebenarnya memang ada satu sahaja agama di dalam dunia ini. Cuma manusia itu sendiri yang menciptakan pelbagai jenis agama dan kepercayaan selari dengan kehendak dan kesesuaian masing-masing. Jadi kalau kita hendak benar-benar mengetahui kebenarannya, kita perlu mengkaji sendiri untuk melihat buktinya. Kali ini, kami sama-sama bersetuju. Non-muslim itu memberitahu bahawa dia senang dengan sikap saya yang terbuka tidak seperti sesetengah orang lain. 

Katanya, dia pernah dikeji oleh orang Melayu kerana pendiriannya. Sejujurnya saya sedikit terkilan mendengar luahannya. Tidak sepatutnya kita mengeji sesama manusia kerana pada asalnya, kita semua memang sama. Cuma kefahaman dan pegangan yang membezakan kita. 

Dia juga tiba-tiba sahaja mengucap dua kalimah syahadah, tanpa sebarang niat di hadapan saya. Niatnya cuma untuk memberitahu bahawa dia boleh menerima ajaran Islam, dan dia mengharapkan orang lain menghormati kefahamannya. Saat dia mengucap itu saya sudah benar-benar terpaku kerana tidak menyangka ada juga non-muslim yang memahami dan sangat menghormati Islam dibandingkan orang Islam sendiri. Cuma, hatinya sahaja yang masih belum terbuka untuk memeluk Islam. Katanya lagi, kalau seseorang itu hendak mengajak orang lain masuk agamanya, perlu dilakukan secara berhemah dan bukannya kejian. Dalam hati, saya berdoa agar Allah segera menurunkan kepadanya hidayah untuk menjadi seorang muslimah yang sejati.

Hakikatnya, kita memang memerlukan satu pegangan aqidah yang sangat kuat untuk terus bertahan hidup. Hidup tanpa aqidah itu seolah-olah nyawa yang tiada jiwa. Dan kita perlu faham, dalam dunia ini, memang mempunyai banyak jenis agama. Malah, ada juga yang mulhid (ateis) yang langsung tidak percayakan agama. Sebagai seorang muslim kita perlu yakin akan kewujudan Allah dan kebenaran agama Islam. Begitu juga non-muslim, mereka mempercayai pegangan masing-masing. Ya, kita memang perlu berdakwah kepada mereka tetapi perlu ada ilmu yang tinggi. Hormati juga pegangan agama mereka.

Perbezaan itu memang tidak boleh menyatukan dua hati, tetapi persamaanlah yang akan membantu mengikatkan hati-hati manusia.

Wednesday, December 18, 2013

Cerpen: Alpa



Haidar tersandar pada dinding, seolah-olah dia sudah mengalah dengan semua yang terjadi. Sudah dua minggu dia mendaftarkan diri di sekolah itu namun segala peristiwa yang berlaku seolah-olah mengatakan bahawa keputusannya untuk berpindah itu merupakan satu kesalahan. Sudah dua minggu dia tidak mempunyai kawan. Rakan-rakan sekelasnya langsung tidak mahu menegurnya hanya kerana gelarannya sebagai anak seorang bekas ahli politik ternama yang ditangkap kerana menerima rasuah. Haidar melepaskan keluhan nafas yang berat dan memandang langit biru.

“Kau buat apa di sini?” satu soalan menerpa dari entah mana. Haidar mencari punca suara itu. Di sisinya kelihatan seorang lelaki yang tinggi dan berambut sedikit kerinting. Tidak kelihatan sebarang reaksi pada wajahnya. Haidar seperti mahu menjerit tatkala persoalan itu ditujukan buatnya.

“Saja lepak. Awak buat apa di sini?” soalnya kembali cuba berlagak mesra. Lelaki itu memerhatikan wajah Haidar agak lama sebelum menjawab persoalannya.

“Lepak juga. Macam biasa. Aku tak pernah tengok muka kau di sini sebelum ni. Kau junior ya?” soalnya ingin tahu. Aneh. Belum pernah dia menjumpai pelajar yang mempunyai kulit putih persis mat saleh tetapi pandai berbahasa Melayu. Mungkin dia terlepas pandang sebelum ini.

Haidar menggeleng. Dia bukannya junior. Tahun ini merupakan tahun akhir persekolahannya tetapi dia tidak sanggup untuk meneruskan pengajian di sekolah lama kerana ejekan rakan-rakan. Haidar tidak pula menyangka bahawa situasi di sini tidak jauh berbeza dengan situasi dulu.

“Saya Haidar, baru berpindah ke sini. Pelajar tingkatan lima,” katanya mesra. Sejurus mendengar sahaja namanya, wajah lelaki itu bertambah kerut. Haidar? Nama itu telah banyak disebut-sebutkan sebelum ini. Kedatangan Haidar ke sini cuma membawa masalah. Guru-guru pun ada yang tidak menyukai Haidar kerana pengaruh ayahnya yang begitu kuat. Tanpa berkata apa-apa, lelaki tinggi itu segera meninggalkan Haidar bersendirian. Dia tidak mahu dilihat berbual-bual dengan anak banduan itu.

Hasrat berkawan yang tadinya tinggi menggunung, kini hancur musnah dalam hati Haidar. Dia sudah tidak mampu lagi menyimpan harapan. Baginya, harapan itu tidak akan wujud lagi dalam diri orang yang kurang bernasib baik sepertinya. “Huh, sendiri lagi...”

***

“Baiklah kelas, keluarkan buku teks Biologi. Buka bab ‘Locomotion and Support’,” Puan Hajah Uyun memberikan arahan. Haidar cuba mengingat sesuatu. Dia masih belum menerima pinjaman buku teks daripada pihak sekolah. Haidar teragak-agak untuk mengangkat tangan namun dia cuba menggagahkan dirinya.

“Ya, Haidar?” Mata Puan Hajah Uyun bertentangan dengan sepasang mata berwarna coklat milik Haidar.

“Saya... saya masih belum terima buku teks, cikgu.”

“Farouq, kongsi dengan Haidar,” arah Puan Hajah Uyun. Farouq sudah membulatkan mata. Berkongsi buku dengan Haidar? Itu merupakan satu mimpi ngeri yang perit. Hendakkan duduk di sebelah budak baru itu pun sudah janggal, inikan pula berkongsi satu buku teks. Haidar tersenyum kerana masalahnya sudah selesai. Namun, Farouq sekadar membatukan diri, berpura-pura tidak mendengar arahan daripada Puan Hajah Uyun.

 Buku teks yang berada di hadapannya tidak ditolak walaupun sedikit, kekal dengan posisinya. Haidar buntu dan tidak tahu mahu berbuat apa melainkan sekadar mendengar keterangan daripada guru di hadapan.

Empat puluh minit yang menyeksakan Haidar akhirnya tamat. Dia segera keluar dari kelas. Meskipun ramai pelajar yang berpusu-pusu keluar kerana ingin segera pulang, tidak ada seorang pun yang menegurnya. Haidar terasa sangat asing. Seolah-olah setiap pasang mata yang memandangnya sedang melihat dirinya dengan penuh kebencian. Haidar menundukkan pandangan, pasrah dengan segala yang terjadi.

Dup!! Tubuh Haidar terasa dihentam sesuatu mengakibatkannya melayang sedikit sehingga dia tidak mampu mengawal dirinya lalu terjatuh ke atas tanah. Secara refleks, dia terus mencari punca objek yang melanggarnya itu. Pandangan matanya menangkap figura seorang perempuan yang berkulit putih dan mengikat tocang kuda. Wajahnya kelihatan ‘innocent’.

“Maafkan saya...” pelajar itu menyatakan rasa kekesalan dan segera membantu mengangkat buku yang terlepas daripada genggaman Haidar. Judul buku itu diamati agak lama dan dia tersenyum sendiri.  “Awak baca karya buku tulisan Morrison? Saya ingatkan saya seorang saja yang baca...” belum sempat kata-katanya dihabiskan, Haidar merampas buku itu daripada pegangannya dan terus meninggalkannya tanpa sebarang bicara.

Haidar sudah dapat mengagak, sekiranya dia memberitahu sahaja identitinya yang sebenar, pasti pelajar perempuan itu akan terus menghindarkan diri daripadanya. Lebih baik dia yang berundur dahulu.

“Tunggu! Kenapa awak lari?” gadis itu masih tidak berputus harap. Aneh. Dia berlari-lari anak mengejar Haidar. Haidar akhirnya akur dan berhenti.

“Saya Haidar, anak bekas ahli politik yang sekarang ini menjadi banduan. Sayalah orang yang menjadi bualan satu sekolah. Berhenti bercakap dengan saya kalau awak tak nak dipandang serong oleh orang lain,” Haikal melepaskan keluhan yang terpendam. Matanya terpejam berat. Hatinya terseksa. Dunia ini seolah-olah tidak memberi ruang kepadanya untuk menjalani kehidupan yang normal. Dia separuh terduduk. Kekuatannya sudah pudar.

“Hurmm, saya Suzanne,” pelajar yang bernama Suzanne itu masih statik pada posisinya. Haidar mendongakkan kepalanya, memandang perempuan berbangsa Cina itu. Suzanne tersenyum. “Jadi kenapa? Salahkah kalau kita berkawan?”

Haidar bagai diserang satu getaran. Benarkah apa yang baru didengarinya sebentar tadi? Pelajar perempuan yang baru ditemuinya itu hendak berkawan dengannya. Haidar terkesima campur tidak percaya. Adakah ini satu sinar harapan yang baru atau sekadar angan kosong? Dia sudah tidak sanggup untuk dikecewakan lagi. 
“Boleh saya cakap sesuatu dengan awak?” Suzanne masih mencuba. Haidar dan Suzanne sama-sama bergerak ke arah tempat letak basikal di belakang salah satu bangunan di sekolah itu. Mata-mata yang memerhati memandang mereka aneh bercampur rasa tidak percaya. Ternyata ada orang juga yang sudi berjalan dengan anak banduan?

“Erm, Suzanne? Maafkan saya tentang kejadian tadi,” Haidar tunduk kesal. Tidak sepatutnya dia melayan Suzanne sedemikian.

“Tidak mengapa. Haidar. Tak bermakna ayah awak banduan, awak pun sama seperti dia. Saya tahu macam mana budak-budak di sekolah ini layan awak. Saya dengar banyak cerita tentang awak. Tak sangka hari ini saya dapat jumpa juga awak,” lancar pelajar Cina itu bertutur dalam bahasa Melayu.

“Te... terima kasih.”

“Saya pun pernah alami perkara yang lebih kurang sama macam awak. Sebab tu saya faham perasaan awak,” sambungnya lagi.

“Tetapi awak tak kenal saya. Bahkan, kita baru pertama kali berjumpa. Gaya awak cakap seolah-olah awak dah lama kenal dan faham tentang saya.”

“Entahlah. Saya memang baru kenal awak. Tapi saya dapat firasat yang awak ni seorang yang baik. Cuma kebaikan yang ada dalam diri awak itu terselindung di sebalik kegelapan yang ditutup oleh ayah awak.”

“Awak jangan cakap macam tu. Walau bagaimanapun, dia tetap ayah saya,” Haidar membawa basikalnya perlahan-lahan keluar dari tempat letak basikal. “Awak balik naik apa?”

“Jalan kaki. Rumah saya tak jauh dari sekolah ni. Lima minit dah sampai,” jelas Suzanne. Suzanne berjalan pergi meninggalkan Haidar dan basikalnya di belakang setelah meminta diri untuk pulang. Haidar memerhatikan pemergian gadis Cina itu. Pertemuan dan perbualannya dengan Suzanne pada hari itu dirasakan aneh. Seolah-olah sesuatu yang telah hilang dari dalam dirinya sedang cuba untuk menerobos masuk kembali. Haidar memandang langit biru, cuba meleraikan kekusutan yang menari-nari di benaknya.

***

Semenjak Haidar dan Suzanne berkawan, Haidar dapat merasakan satu kelainan. Beberapa pelajar yang lain juga cuba untuk berbual dengan dirinya. Bunga harapan sudah kembali berputik di dalam hatinya. Farouq, rakan sekelasnya juga mulai bercakap-cakap dengannya. Meskipun sedikit, lebih baik daripada tiada langsung. Kebetulan Suzanne turut mengambil subjek English and Science in Technology (EST) iaitu subjek tambahan untuk peperiksaan SPM, jadi mereka dapat belajar bersama dalam kelas tersebut.

“Kau nampak lain hari ni,” kata Farouq ketika mereka sedang sama-sama duduk di dalam kelas. Meskipun percakapan itu perlahan tetapi masih dapat ditangkap oleh telinga Haidar.

“Lain? Lain macam mana?”

“Kau nampak gembira. Tak macam selalu. Selalu muka masam mencuka 24 jam.”

Haidar tersengih. Memang. Pada saat itu dia sudah mampu tersenyum kerana dia menyimpan harapan untuk bersahabat dengan rakan-rakan sekelasnya. Dia sangat menghargai Suzanne kerana memberikannya sinar harapan yang hilang itu.

“Dah kenapa tersengih ni, Haidar?” Abdul Ghani tiba-tiba muncul kerana bosan duduk di tempatnya. Abdul Ghani ialah seorang lagi rakan baru Haidar. Selepas Farouq mula memberanikan diri berbual-bual dengan Haidar, Abdul Ghanilah orang seterusnya yang menegurnya. Malah, Abdul Ghani memohon maaf atas sikap dinginnya terhadap Haidar sebelum ini.

“Saya gembira kerana kamu berdua boleh berbual-bual dengan saya,” Haidar berterus-terang. Hatinya memang melonjak gembira  yang tiada kepalang.

“Iya lah. Memang salah saya dulu. Tapi saya ingat pesan ayah saya, seseorang itu dinilai bukan berdasarkan harta, pangkat, rupa atau latar belakang keluarganya. Seseorang itu dinilai berdasarkan akhlak yang tersemat di dalam dirinya. Jadi, saya tidak boleh menghukum awak kerana siapa keluarga awak,” Abdul Ghani menerangkan sambil membetulkan songkok yang senget di kepalanya.

“Akhlak?”

“Ya, akhlak. Tabiat dan kebiasaan seseorang. Apa yang sebati dalam diri seseorang itu,” jelas Abdul Ghani lagi. Kali ini, Haidar jadi lebih faham. Akhlak. Mungkin akhlaklah yang mempertemukan dia dengan rakan-rakannya.

Hari bertukar hari dan minggu silih berganti. Haidar melihat satu perubahan yang terjadi dalam hidupnya secara perlahan-lahan. Orang ramai mula menerimanya hanya kerana dia berkawan dengan Suzanne, seorang pelajar cantik yang baik hati. Haidar cuba menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan secara normal. Namun, bukan semua orang boleh menerima persahabatannya dengan Suzanne.

Wilson merupakan seorang pelajar yang agak berpengaruh di sekolah itu kerana ayahnya ialah Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut. Dia juga memegang jawatan presiden dalam beberapa kelab di sekolah. Haidar pernah terfikir, sekiranya dia berkawan dengan Wilson, sudah pastilah satu sekolah akan mampu menerima kehadirannya sepenuhnya dan kes ayahnya pasti akan terhapus daripada ingatan seseorang. Namun untuk mencapai matlamat yang satu itu bukannya tujuan yang senang. Wilson bukannya calang-calang orang. Haidar cuma mampu memerhatikan Wilson dan rakan-rakannya bermain bola sepak di padang. Adakah salah untuk dia mempunyai harapan untuk turut bermain sama dengan mereka?

“Haidar, kau nak balik dengan aku sekali tak? Aku boleh temankan kau sampai rumah macam biasa,” ajak Farouq membunuh lamunan Haidar. Haidar tersenyum.

“Boleh saya ikut sekali kalau tak keberatan?” Suzanne tiba-tiba muncul entah dari mana. Farouq sekadar membatukan diri tanpa sebarang reaksi. Biarlah Haidar yang menjawab pertanyaan itu.

Haidar mengangguk. “Sudah tentulah. Suzanne, Farouq, kita balik sama-sama ya?” Maka mereka bertiga berjalan menuju ke tempat letak basikal. Farouq dan Haidar mencapai basikal mereka masing-masing namun tidak ditunggang sebaliknya mereka berjalan sambil menarik basikal untuk menemani Suzanne. Belum sempat keluar dari pagar sekolah, Wilson memanggil nama Haidar. Haidar terkesima dan secara refleks terus berpusing belakang mencari wajah pemilik suara itu.

Jantung Haidar mula berdegup laju. Dia tidak menyangka harapannya yang sudah lama dipendam dapat dicapai sepantas itu. Haidar sudah boleh membayangkan Wilson mengajaknya untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah.

“Ya, Wilson. Awak nak ajak saya masuk pasukan bola sepak ya?” entah bagaimana persoalan itu terpacul dari mulutnya tanpa segan-silu.

Wilson memandang Haidar dari atas sehingga ke bawah bagaikan seekor harimau yang sedang menunggu untuk membaham mangsanya. Kening kirinya diangkat. Jadi budak baru ini berminat untuk menyertai pasukan bola sepak? Jangan haraplah.

“Oh, kau nak masuk pasukan bola sepak? Sebelum itu, aku nak tahu apa hubungan kau dengan Suzanne?” Wilson menyoal Haidar penuh bengis.

“Hubungan saya dengan Suzanne?” Haidar menjadi aneh. Apa kena-mengena Suzanne dengan pasukan bola sepak. Haidar ligat merangka jawapan dalam otaknya. Dia harus pintar berkata-kata untuk menjaga hati Wilson.

Farouq membisikkan sesuatu ke dalam telinga rakannya itu. “Haidar, Wilson ni minat Suzanne dari tingkatan dua lagi. Kau jangan macam-macam pula. Kalau dia tahu kau berkawan baik dengan Suzanne, nahas kau nanti.” Haidar sudah mendapat jawapannya. Suzanne masih memerhati dari sisi.

“Suzanne? Oh... tak ada apa-apalah. Kami cuma satu kelas EST, itu saja,” Haidar tersenyum tanpa mengetahui bahawa kata-katanya itu agak mengecewakan hati Suzanne. Bukankah mereka berkawan baik sebelum ini? Mengapa cuma dikatakan rakan sekelas sahaja?

“Habis tu kenapa balik sekali?” Wilson masih menguji. Sudah banyak khabar angin yang didengarinya sebelum ini dan dia tidak akan berpuas hati sebelum mendengar sendiri pengakuan daripada mulut pelajar baru itu.

“Oh. Tak adalah. Kebetulan terjumpa. Jom Farouq, kita balik dulu,” Haidar tersenyum sambil menunggang basikalnya. Farouq tidak mampu untuk berkata apa-apa melainkan mengikuti Haidar dari belakang. Kedua-dua sahabat itu akhirnya menghilang dari pandangan, meninggalkan Suzanne dan Wilson di belakang.

Sungguh tidak percaya. Suzanne tidak percaya dengan apa yang baru terjadi sebentar tadi. Baru sahaja mereka berjanji untuk pulang bersama-sama tetapi Haidar akhirnya meninggalkan Suzanne hanya kerana takut akan hilang kepercayaan daripada Wilson.

“Jadi Suzanne, awak dah fikirkan tentang ajakan saya untuk keluar sama-sama hujung minggu ni. Saya boleh jemput awak di rumah?” soal Wilson sedikit lega apabila mengetahui gadis idamannya itu masih solo. Wilson perlahan-lahan meletakkan tangannya di atas bahu Suzanne tetapi ditepisnya lembut. Lelaki itu masih tidak mahu mengalah, lalu dia cuba menggenggam tangan Suzanne, kuat.

“Apa ni Wilson? Stop it!” Suzanne cuba meleraikan pegangan itu namun tidak berjaya.

I will stop if you agree to be my date,” Wilson tersengih. Apa yang dia mahu, pasti dan harus menjadi miliknya tanpa sebarang halangan dan tentangan. Suzanne menjadi resah. Mahu dipanggil Haidar, lelaki itu sudah lama menghilang. Akhirnya, dia tewas pada keadaan. Suzanne terpaksa menerima pelawaan Wilson.

Sementara itu, Haidar sedang dalam perjalanan pulang tanpa sebarang perasaan bersalah. Malah, dia gembira kerana Wilson mengetahui namanya dan sudi mencemar duli untuk menegurnya. Farouq tidak senang dengan perbuatan Haidar itu.

“Haidar, kenapa kau buat macam tu? Kesian aku tengok si Suzanne tu. Bukan kita dah janji nak balik sekali?” Farouq mengerutkan dahinya, cuba menyelongkar apa yang sebenarnya sedang bermain di minda anak muda itu.

“Biarlah. Rumah Suzanne dekat saja, tak sampai lima minit pun. Saya yakin dia tak kisah. Apa yang penting sekarang, kalau saya diterima masuk ke dalam pasukan bola sepak sekolah, pasti semua orang tak akan memandang serong terhadap saya lagi. Betul tak?” Haidar ketawa. Dia pasti, Tuhan sudah menjanjikan masa depan yang baik untuknya di sebalik penderitaannya selama ini.

***

“Farouq, balik sekali jom,” Haidar mencuba nasib. Semenjak akhir-akhir ini, hubungannya dengan Farouq semakin renggang. Farouq sudah kembali dingin seperti kali pertama mereka bertemu dahulu. Haidar sudah semakin gelisah. Dia sudah cuba untuk meminta maaf kepada Farouq namun tiada balasan.

Suzanne pun sudah jarang menemuinya. Harapan Haidar untuk mendekati Wilson sudah dicampak jauh-jauh kerana Wilson langsung tidak mahu memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan bakat. Benih-benih penyesalan mulai tumbuh dalam diri Haidar. Dia tidak seharusnya menyakiti hati rakan-rakannya hanya kerana ingin mendapatkan sesuatu yang dihajati. Haidar takut. Dia takut sesuatu yang telah hilang dalam dirinya itu akan bertandang kembali. Kekosongan.

Farouq di hadapannya langsung tidak memberikan sebarang respons. Haidar mengulangi ajakannya namun Farouq terus bangkit dan berlalu dari situ. Jiwa Haidar terasa disentap. Kini, dia benar-benar yakin bahawa dia sedang mengalami kehilangan. Haidar bergerak meninggalkan kelas yang sudah kosong itu.

Pelajar lalu-lalang ke pelbagai arah untuk pulang. Ada yang pulang melalui pintu pagar utama dan ada yang pulang melalui pintu pagar belakang. Haidar mencapai basikalnya dan menuntun perlahan-lahan mengiringi kesedihan hatinya. Secara kebetulan, dia ternampak figura Suzanne yang sedang berjalan di hadapannya. Haidar melajukan langkahya untuk mengejar Suzanne.

Foto carian Google

“Suzanne!” serunya penuh harapan. Suzanne berpura-pura tidak mendengar namanya dipanggil. Sejujurnya, dia masih sakit hati dengan segala perbuatan Haidar. Bukan sahaja tidak mengaku dirinya sebagai kawan, malah Haidar telah membuatkan dia terikat dengan Wilson. Adakah Haidar telah lupa bahawa dialah yang menjadi kawan karibnya dan sudi untuk mendengar segala luahan hati Haidar selama ini?

“Suzanne, saya minta maaf. Saya yang salah. Tolong maafkan saya,” Haidar menghalang laluan Suzanne dengan basikalnya. Dia sudah benar-benar menyesal dan dia mengharapkan setitis ihsan daripada Suzanne untuk memaafkannya dan memberikannya peluang kedua. “Suzanne, tolong maafkan saya.”

“Haidar, awak pernah dengar tak pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya? Saya rasa, awak lagi faham,” dingin Suzanne membalas.

“Ya, saya faham Suzanne dan saya minta maaf. Saya dah pun rasakan akibatnya sekarang. Farouq sudah semakin dingin dengan saya dan awak selalu mengelak untuk berjumpa dengan saya. Sekarang saya faham, kawan susah dan senang lebih baik daripada kawan yang hanya digunakan untuk kesenangan. Wilson is nobody.

“Haidar, saya maafkan awak. Tapi...” Haidar mengangkat kening sebelah tanda tertanya-tanya.

Suzanne kembali menyambung bicaranya. “Saya seolah-olah sudah terikat dengan Wilson. Dia sudah isytiharkan kepada semua bahawa saya ini kekasihnya. Gila apa dia tu. Saya ke sekolah untuk belajar, bukannya untuk bercinta!” Suzanne menegaskan. Haidar terkejut mendengar Wilson sanggup melakukan perkara seperti itu. Mungkin Wilson sudah sangat terdesak untuk mendapatkan Suzanne.

“Maafkan saya sekali lagi, Suzanne. Saya tak akan biarkan awak terseksa dengan Wilson. Sebagai seorang kawan, saya pasti akan bantu awak,” Haidar menggenggam penumbuknya penuh amarah yang memberontak. Dia tidak akan membiarkan rakan-rakan baiknya disakiti lagi.

Tanpa diduga, Haidar terdengar namanya dipanggil dari belakang. Pucuk dicita ulam mendatang. Wilson sudah berada lama di situ, sejak tadi memerhatikan Suzanne dan Haidar. Hatinya membara ibarat arang yang dibakar. Boleh pula si Suzanne itu berdua-duaan dengan anak banduan tidak sedar diri itu!

Matahari sudah cacak berdiri di atas kepala. Kepanasannya menghangatkan lagi hati dua pelajar lelaki yang sedang bertentangan mata itu. Masing-masing menyimpan perasaan geram sesama mereka. Suzanne sudah gelabah tidak tahu mahu berbuat apa. Mungkin dia patut membiarkan sahaja orang lelaki yang menyelesaikan urusan mereka.

What are you doing with my girlfriend?” Wilson menyimbah minyak ke dalam api. Kali ini, Haidar sudah tidak peduli lagi. Dia sudah tidak peduli tentang Wilson dan kelab bola sepaknya. Dia sudah tidak peduli dengan mata-mata yang memandang. Dia tidak mahu menjadi manusia yang cuma tahu tunduk pada keadaan.

“Wilson, awak dengar sini. Suzanne bukan kekasih awak. Faham?” kenyataan yang dikeluarkan agak pedas sehingga mencetuskan kontroversi. Wilson tidak mahu berfikir panjang lagi.

“Dasar anak banduan tak guna!” Wilson menghayunkan penumbuknya ke arah perut Haidar. Haidar pada awalnya agak terkejut namun dia secara refleks berundur ke belakang, cuba untuk mengelak. Wilson terus menyerang menggunakan tangan kirinya. Kali ini, tumbukan disasarkan kepada bahagian muka dan sasaran tepat terkena. Haidar terasa panas sekali di pipi. Dia mengusap-usap pipinya.Tanpa berlengah masa, kini tiba gilirannya pula untuk membalas. Haidar mengangkat kakinya untuk dilayangkan tepat ke bahagian perut lawan tetapi berjaya ditangkis. Wilson yang tertolak sedikit ke belakang pantas mengambil kesempatan memegang kaki Haidar dan memulasnya jatuh ke atas tanah. Suzanne menjerit berkali-kali meminta pergaduhan dihentikan. Tidak ada sesiapa pun yang mahu masuk campur urusan Wilson.

Haidar menahan kedua-dua penumbuknya di atas bumi dan cuba untuk bengkit kembali. Dengan pantas berbekalkan tenaga yang tersisa, tangannya segera mencari tempat untuk mendarat ke kepala Wilson dan akhirnya berjaya mengenai pipinya. Serangan terbalas. Wilson bertambah geram dan bertekad untuk menggunakan kakinya pula. Kaki kanannya diangkat tinggi ke udara, sedikit sahaja lagi untuk mengenai kepala Haidar dan...

“Berhenti!”

Wilson menjatuhkan kakinya ke atas tanah. Tangisan yang tertahan di tubir mata Suzanne sudah pecah. Air mata merembes laju membasahi pipinya. Kedua-dua matanya dipejamkan erat, tidak sanggup lagi menonton drama siaran langsung di hadapannya itu. Wilson tidak sampai hati melihat Suzanne menangis. Begitu juga Haidar. Suasana bertukar sepi.

“Suzanne, please stop crying,” Wilson cuba memujuk.

“Wilson, berhenti. Saya dan Haidar cuma kawan, sama macam kita. Saya bukan teman wanita awak. Saya ke sini untuk belajar dan berkawan. Bukan untuk mencari lawan. Saya tak suka awak sesedap hati mengaku kita pasangan kekasih dan paksa saya untuk buat benda yang saya tak suka. Saya minta maaf,” Suzanne tertunduk. Wilson terkesima. Tidak percaya.

I’m sorry.” Cuma itu sahaja yang mampu terkeluar dari mulutnya.

Suzanne menarik basikal Haidar mengikutinya. Haidar turut bergerak mengikut basikalnya. Rakan-rakan Wilson menenangkannya. Suzanne tersenyum. Akhirnya, semua yang terpendam sudah dilepaskan jua. Dan terima kasih kepada Haidar, dia mendapat kekuatan untuk meluahkan perasan yang terbuku dalam hatinya.

“Terima kasih Haidar.”

“Saya yang patut berterima kasih. Terima kasih sebab sudi berkawan dengan saya. Saya gembira kita dapat berkawan seperti biasa. Cuma, saya sedih Farouq masih bersikap dingin terhadap saya,” Haidar melepaskan keluhan nafas kecil. Hatinya begitu sakit. Seorang yang dahulunya bergelar sahabat, menjadi seperti orang asing sahaja baginya kini. Namun, dia belajar untuk bersyukur dengan segala yang Allah telah kurniakan kepadanya dan Haidar yakin akan qada' dan qadar Tuhan.

“Tunggu sekejap!” Suzanne dan Haidar menoleh ke belakang. Mereka melihat Abdul Ghani yang bersungguh-sungguh mengayuh basikal untuk mengejar mereka. Kedua-duanya tertawa.

“Apa ni jalan berdua-duaan. Haish!” Abdul Ghani sempat memarahi sebelum tunggangannya menjadi tidak terkawal akibat terlanggar batu besar dan menyebabkan tubuhnya yang kecil itu terjatuh serta songkoknya tercabut dari kepala. Meskipun mendapati perkara itu lucu, Haidar bergegas mendapatkan Abdul Ghani untuk menghulurkan tangannya dengan harapan rakannya itu akan menyambutnya.