Pages

Friday, July 19, 2013

Diari Pendek: Hadiah



Selesai bacaan Yasin di surau secara beramai-ramai pada pagi tadi, saya menyalami salah seorang cikgu yang duduk di belakang. Tanpa diduga, dia melemparkan senyuman yang penuh mesra dan bertanyakan khabar saya. Kemudian barulah saya ingat, dia baru kembali ke sekolah setelah berbulan-bulan cuti bersalin. Alhamdulillah, anaknya juga sihat. Saya doakan cikgu akan tabah dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang mendatang di samping anak baru yang tercinta.


Pada waktu rehat pula, saya berjumpa salah seorang guru bahasa Melayu yang selama ini banyak membantu diri ini sepanjang di sekolah. Dia memberikan hadiah belated birthday kepada saya. Satu kejutan yang tidak pernah saya duga. Cikgu menghadiahkan sebuah novel Kau Yang Kucinta dan kain baju kurung yang belum siap, katanya dibeli di Pudu. MasyaAllah, rezeki Ramadhan saya.

Kata orang, dunia ini begitu menarik. Oleh itu hargailah setiap detik perjalanan hidup ini.

Sunday, July 14, 2013

Mendengar Lagu Ketika Berpuasa



Salam Ramadhan diucapkan kepada semua pembaca yang setia membaca blog picisan ini. Alhamdulillah, kita masih dikurniakan kesempatan oleh Allah untuk menunaikan ibadat puasa sehingga hari ini. Memandangkan bulan ini bulan puasa, maka timbullah banyak isu tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berpuasa. Saya diajukan dengan satu soalan, apakah hukum mendengar MP3 ketika berpuasa. Saya bukanlah seorang yang arif tentang hukum, namun saya cuba menjawab persoalan tersebut berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. 


Apa yang pernah saya pelajari dahulu, pahala puasa seseorang itu akan berkurangan sekiranya dia mengerjakan perkara-perkara yang lagha. Justeru, mendengar muzik yang melalaikan seseorang hanya akan mengurangkan pahala puasanya jadi kita perlu sedaya upaya untuk mengelakkan hal terbabit daripada terjadi. Bak kata ustaz dan ustazah, bulan puasa ini adalah bulan suci yang dikurniakan Allah kepada umat Islam untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin dengan melakukan amal ibadat dan merebut peluang mendekati Tuhan. Allah sudah pun membantu kita dengan mengikat para syaitan yang suka menghasut. Jadi, inilah peluang kita untuk berbuat amal sebaik mungkin.

Google

Inisiatif lain, kita bolehlah cuma berubah dengan mendengar lagu-lagu yang merapatkan kita dengan Allah seperti Maher Zain, Zain Bikha dan lagu-lagu nasyid. Tetapi, dengan mendengar lagu-lagu sedemikian sahaja tidak memadai. Kita pun haruslah berusaha untuk tambah solat-solat sunat, banyakkan baca al-Quran. Alhamdulillah, jika di rumah jarang saya mendapat kesempatan untuk solat Tarawikh dan hendak buat sendiri pun susah. Tetapi sekarang, saya boleh perbanyakkan Tarawikh malah rasa seronok pula apabila berjemaah bersama-sama rakan-rakan. Mungkin itulah nikmatnya bulan Ramadhan yang mulia ini.

Berbalik kepada pangkal cerita, puasa seseorang itu tidak akan terbatal sekiranya dia memakai earphone dan sewaktu dengannya. Puasa dianggap terbatal hanya jika sesuatu benda yang termasuk ke dalam telinga melepasi gegendang. Jadi secara kesimpulannya, kepada semua yang sudah terbiasa mendengar lagu-lagu Barat dan sebagainya, kita kenalah kurangkan mendengar lagu-lagu tersebut dan marilah mencuba sesuatu yang baru iaitu nasyid. InsyaAllah, mudah-mudahan niat dan amalan baik kita akan diterima oleh Allah. 

Friday, July 12, 2013

Hikmah


Hari ini kejadian yang sama berulang lagi. Setelah penat berulang alik ke pejabat sekolah untuk meminjam laptop dan projector, akhirnya video yang telah lama saya siapkan untuk pihak BADAR masih juga tidak berjaya untuk ditayangkan. Memanglah ada juga sedikit perasaan hampa namun saya tidak mengambil perkara ini sebagai sebab untuk bersedih atau kecewa. Jadi, program liqo' puteri pada hari ini diubahsuai kepada menonton video melalui laptop sahaja. Tidak mengapa. Alhamdulillah, videonya mendapat sambutan yang positif daripada rakan-rakan dan para pelajar.


Saya terpaksa memohon maaf lagi kepada pelajar puteri kerana mereka tidak dapat menonton video   secara besar-besaran. Mungkin ini ujian Ramadhan yang Allah turunkan buat saya kerana ingin menguji diri yang serba khilaf ini. 

Setelah selesai liqo' saya mengambil posisi duduk di satu ruangan surau. Seorang sahabat datang menghampiri dan kami berkongsi cerita. Saya berasa begitu gembira kerana dia sanggup menceritakan dan meluahkan perasaannya yang selama ini mungkin dipendam begitu sahaja. Saya cuba untuk membantu setakat mana yang mampu. Ya lah, diri ini sendiri pun banyak kekurangannya. Saya menjadi tersentuh tatkala dia mengungkapkan kata-kata ini kepada saya. "Betullah kata orang. Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan terkena wangiannya." Kemudian kami terus bertukar-tukar cerita dan pengalaman.


Tuesday, July 2, 2013

Malam Kemuncak Usbu'ul Humaira'



Alhamdulillah, pihak BADAR KUSESS telah menganjurkan Usbu’ul Humaira’ iaitu minggu yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang menarik. Antara pertandingan yang dijalankan adalah Tilawah al-Quran, Tulisan Khat, Peragaan Busana Muslimah dan Hijabista, Bola Dakwah, Running Muslimah dan banyak lagi. Pemenang-pemenang pertandingan yang telah dijalankan telah pun menerima hadiah masing-masing pada Malam Kemuncak Usbu’ul Humaira’ yang telah berlangsung baru-baru ini.

Pada malam yang gemilang itu juga, pelbagai persembahan daripada setiap tingkatan telah dipertonton kepada warga sekolah dan majlis ini mendapat banyak maklum balas yang positif. Namun banyak juga cabaran yang terpaksa kami, pihak BADAR tempuhi dalam menjayakan majlis ini. Tambah-tambah lagi apabila saya dipanggil untuk berucap secara tiba-tiba bagi mewakili BADAR pada malam itu. Apa lagi, kecut perutlah. Tetapi Alhamdulillah, saya dapat juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada warga sekolah meskipun sedikit gemuruh.

Persembahan teater daripada pelajar tingkatan lima merupakan antara persembahan yang mendapat sambutan ramai. Teater tersebut mengisahkan perjalanan hidup muslimah yang terpeseong dan bagaimana akhirnya dia kembali bertaubat dan insaf. Semoga persembahan itu berjaya memberikan impak yang positif ke dalam diri setiap penonton yang menyaksikannya.


Namun, dalam banyak-banyak kejadian yang terjadi, terdapat satu peristiwa yang agak menggembirakan saya apabila dinobatkan sebagai Muslimah Millenia pada malam itu. Saya sangat berterima kasih kepada rakan-rakan yang mengucapkan tahniah dan menyokong saya dalam menjayakan program yang penuh gilang-gemilang ini. Semoga apa yang kami usahakan, semuanya mendapat keberkatan daripada Allah SWT, insyaAllah.

p/s: Video daripada Nawal and the gang. 


 photo sign-2_zps160b16ac.png