Soal Jawab: "Nak solat di saf mana satu?"




Aminah dan Amirah sudah mengambil wuduk dan bersiap-siap untuk mendirikan sembahyang Maghrib berjemaah di surau. Memang itulah kelaziman mereka setiap kali waktu Subuh, Maghrib dan Isyak di asrama. Selepas iqamah, bilal lelaki di hadapan menyebut beberapa ayat iaitu “Rapat-rapatkan saf, penuhkan saf hadapan terlebih dahulu.” Maka Aminah pun segera menuju ke saf paling hadapan, tetapi lengannya sempat ditarik oleh Amirah.

“Bukankah perempuan lebih afdal solat di saf belakang?” soal Amirah sambil memerhatikan barisan jemaah lelaki yang sudah bersedia untuk mendirikan solat di hadapan. Tirai surau memang dibuka pada setiap kali waktu solat Maghrib maka mereka dapat melihat barisan jemaah lelaki dengan jelas. “Kita kan lebih afdal solat di saf paling hadapan?” balas Aminah. Masing-masing bingung memikirkan persoalan-persoalan yang sedang menari rancak di minda mereka.

Akhirnya mereka membuat keputusan untuk solat di saf paling hadapan. “Eh Aminah, bukankah kita sepatutnya memberikan ruang kepada kakak-kakak senior untuk solat di saf hadapan?” Amirah semakin runsing. “Siapa cepat dia dapatlah,” ujar Aminah sambil menarik tangan Amirah ke saf sebelah kiri. Amirah lalu menyoal lagi, “Bukankah saf sebelah kanan lebih afdal?” Kerana sudah lambat dan imam pun sudah memulakan solat, Aminah menyuruh mereka untuk solat di situ sahaja. Lalu, kedua-dua sahabat itu akhirnya mendirikan solat berjemaah di saf hadapan.

Itulah antara situasi yang acapkali dialami oleh sebahagian besar daripada kita. Pelbagai pertanyaan yang timbul apabila berkaitan dengan solat jemaah. Apabila bertanya kepada ustaz A, jawabnya lain. Jumpa pula ustaz B, jawabnya lain pula. InsyaAllah, berdasarkan pengetahuan dan setelah diselidiki, saya ingin berkongsi satu rumusan tentang permasalahan ini, khususnya untuk kaum muslimah. Berdasarkan situasi yang saya berikan sebentar tadi, kita dapat mengeluarkan beberapa persoalan iaitu:

1. Adakah wanita lebih afdal solat di saf hadapan atau belakang?

Rasulullah bersabda: ‘Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.’ (Riwayat Muslim).

Nah, di sini sudah jelas bahawa terdapat perbezaan bagi jemaah lelaki dan jemaah wanita. Bagi jemaah lelaki, lebih afdal solat di saf hadapan dan sebaliknya bagi jemaah wanita. Namun, menurut sebahagian ulama’ hadis ini ditujukan buat mereka yang bersembahyang jemaah dalam keadaan yang tiada halangan/tabir/tirai. Hal ini kerana dikhuatiri wanita itu boleh menjadi fitnah. Yalah, selesai sahaja solat, silap-silap jemaah lelaki pusing 180 darjah untuk menjeling mencari calon isteri solehah di belakang. Tetapi, sekiranya kita solat berjemaah dalam keadaan yang mempunyai halangan seperti tirai, wanita tetap lebih afdal untuk solat di saf paling hadapan.

2. Adakah golongan yang lebih berusia lebih afdal solat di saf hadapan?

Rata-rata orang Melayu beranggapan bahawa orang tua-tua yang lebih layak dan afdal untuk memenuhkan saf hadapan.

Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ''Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?'' Kami bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?" Jawab Nabi: "Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan." (Riwayat Muslim)

Menurut hadis di atas, orang yang memenuhkan saf hadapan sama tarafnya dengan para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka. Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa mereka yang berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya. Dan selalunya golongan yang lebih berusia itu lebih banyak ilmunya daripada golongan muda. Jadi tidak hairanlah mengapa golongan tua yang lazimnya memenuhi saf hadapan. Tetapi golongan muda pun sudah banyak melahirkan orang alim dan hebat dalam ilmu agama, misalnya Imam Syafie dan Sultan Muhammad al-Fateh. Sekarang pun sudah banyak orang muda yang memimpin jemaah kerana ilmu agama mereka yang tinggi. Tetapi andai kata kita mempunyai peluang untuk memenuhi saf hadapan, rebut sahajalah peluang itu.

Sumber carian Google
3. Adakah saf kanan lebih afdal daripada sebelah kiri?

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang berada di saf sebelah kanan.” (Sunan Abu Daud, no. 676. Dinilai hasan oleh Ibnu Hajar dan al-Albani)

Hadis tersebut telah menjelaskan bahawa solat di sebelah kanan mempunyai lebih keutamaan daripada solat di sebelah kiri.

Namun, sejujurnya di asrama, saya lebih gemar untuk mendirikan solat di saf paling hadapan kerana saya selalu datang awal dan kebanyakan makmum di belakang akan lewat untuk mendirikan dan merapat-rapatkan saf. Suasana di belakang juga kadangkala bising dan mengganggu tumpuan untuk solat. Oleh itu, kita dinasihatkan untuk mencari tempat solat yang selesa dan jika melihat orang yang sedang mendirikan solat, hormatilah mereka dengan tidak berbuat bising.

Beberapa persoalan daripada para sahabat juga ingin saya selitkan dalam artikel kali ini sebagai perkongsian untuk semua.

4. Apakah hukum membuka tirai pemisah antara jemaah lelaki dan perempuan?

Harus membuka tirai. Dahulu di Masjid Nabawi pun tidak ada tirai, begitu juga di Masjidil Haram. Wanita yang menutup aurat dengan sempurna pun sudah menjadi tirai.

5. Apakah hukum membaca Bismillah sebelum al-Fatihah?

Para ulama berselisih pendapat tentang membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah. Adakah Bismillah itu dianggap sebahagian dari surah al-Fatihah itu sendiri atau tidak. Bagi Imam Syafie, Bismillah adalah sebahagian daripada surah al-Fatihah, kerana itu ia hendaklah dibaca bersama al-Fatihah. Jika solat itu solat yang nyaring (bacaan kuat) maka hendaklah dibaca nyaring oleh imam. Jika solat itu solat yang tidak nyaring maka hendaklah dibaca secara sembunyi oleh imam.

Mudah-mudahan penulisan ini bermanfaat untuk semua. Majulah ummah demi Islam!

Sumber rujukan:

 photo sign-2_zps160b16ac.png

Comments

Post a Comment