Pages

Thursday, June 6, 2013

Pertandingan Menulis Artikel Islami buat pelajar KUSESS



Assalamualaikum dan salam muhibbah buat semua yang sedang membaca.

Entry kali ini ditujukan khas buat para pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS), khususnya buat pelajar puteri. Rasanya pelajar puteri sudah pun sedia maklum bahawa kita akan mengadakan Usbu’ul Humaira’ tidak lama lagi. Maka pihak BADAR telah menganjurkan satu pertandingan menulis artikel dan diharapkan agar ramai yang berminat untuk menyertainya. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori seperti yang telah saya tampalkan di board asrama, iaitu tokoh dan teladan.

Di sini saya ingin menjelaskan lebih lanjut tentang pertandingan tersebut. Bagi kategori tokoh, pelajar bolehlah menulis sebarang artikel tentang tokoh-tokoh Islam yang terkemuka dahulu misalnya Salahuddin, Muhammad al-Fateh, Saidatina Khadijah ataupun sesiapa yang dirasakan mampu dijadikan iktibar kepada semua.

Bagi kategori teladan, pelajar bolehlah menulis sebarang cerita yang berunsurkan Islam dan memberikan pengajaran. Tidak kisahlah anda mahu menulis tentang haiwan atau manusia. Kalau boleh, kami mahu artikel yang anda karang ini asli dan bukannya setakat copy paste sahaja. Anda dibenarkan merujuk mana-mana sumber sama ada internet, majalah, atau buku ilmiah. Kalau boleh, apabila anda menghantar karya nanti, sertakan sekali rujukan anda.

Penyertaan bolehlah diserahkan kepada saudari NoorMizan Shahira (5 Zamrud) ataupun mana-mana pihak BADAR. Setiap penyertaan akan dinilai oleh panel-panel khas yang terdiri daripada kalangan guru. Tiga pemenang bertuah akan dipilih dan hadiah akan diserahkan pada malam kemuncak Usbu’ul Humaira’ yang dijangka jatuh pada 29 Jun nanti. Karya-karya yang terpilih juga akan dipertimbangkan untuk disiarkan di dalam buletin BADAR yang diedarkan dua minggu sekali. Pelajar putera yang ingin menghantar artikel juga bolehlah berbuat demikian untuk kami siarkan di dalam buletin.

Info tambahan, Usbu’ul Humaira’ bermaksud Minggu Humaira’ yang diambil bersempena dengan tokoh Saidatina Aishah al-Humaira, iaitu isteri Rasulullah SAW. Oleh itu, anda juga digalakkan menulis artikel tentang tokoh ini. Tiada had patah perkataan. Tulislah sebanyak mana yang anda mampu. Mohon disebarkan. Marilah kita terus menyebarkan kefahaman Islam yang tulen.

No comments:

Post a Comment