Pages

Sunday, February 3, 2013

Motivasi: Pemergian



Perhimpunan pelajar puteri yang lalu memang benar-benar mengetuk pintu hati saya. Waktu itu semua pelajar putera menunaikan solat Maghrib di masjid maka kami pelajar puteri berjemaah di surau. Sementara menunggu waktu Isyak, kami pasangkan nasyid untuk diperdengarkan kepada semua. Nasyid yang berjudul ayah itu mengisahkan seorang anak yang banyak melakukan kesalahan terhadap ayahnya.

Untuk menjadikan suasana yang lebih menarik, lampu surau dimatikan dan saya meminta mereka semua pejamkan mata. Selepas buka mata, banyak mata-mata yang sudah basah kerana menangis. Lalu saya bertanya adakah mereka mahu lagu tersebut dimainkan semula. Semuanya bersetuju. Mungkin kali pertama saya tidak berapa menghayati maksud nasyid tersebut tetapi untuk kali keduanya liriknya begitu menyentuh hati. Membuatkan saya semakin rindu kepada ayah dan ibu di rumah.

Selepas itu rakan-rakan tingkatan lima yang lain juga ingin berkongsi tentang mesej yang mereka dapat daripada nasyid itu. Kemudian apabila tiba giliran seorang anak yatim yang berkata-kata di hadapan, rasanya air mata saya sudah tidak dapat tertahan lagi. Dia begitu rapat dengan ayahnya. Waktu di tingkatan dua jika tidak silap saya, ketika itu dia sedang tidur di asrama. Keesokan harinya, dia menerima panggilan telefon mengatakan bahawa ayahnya sudah pun meninggal dunia.

Bayangkan, dia sebenarnya dia tidak berapa rapat dengan ibunya. Arwah ayahnya yang merupakan tempat luahan perasaan dan tempat bermanjanya selama ini. Namun, selepas pemergian arwah, dia mencuba untuk mendekatkan diri dengan ibunya walaupun semuanya terasa begitu janggal. Dia menceritakan segalanya dengan linangan air mata di hadapan semua pelajar puteri. Walau apapun, dia memang seorang yang tabah dan cekal. Antara pelajar cemerlang sekolah ini. 

Saya pasti, Allah lebih sayangkan arwah ayahnya. Mungkin hikmah yang Allah ingin sampaikan ialah supaya dia dapat menjadi lebih mesra dan akrab dengan ibunya. Mungkin juga semua ini yang menjadikan dia semakin kuat dalam merintangi segala halangan dan cabaran hidup ini. Selepas dia mengundur diri, saya kuatkan diri memegang mikrofon kecil itu dan mengajak yang lain untuk sama-sama mengambil iktibar daripada kisah yang telah disampaikan.

Pemergian dan kehilangan. Jarang terjadi dalam kehidupan saya tetapi mungkin acap kali berlaku terhadap diri orang lain. Jadi kita harus menghargai setiap nyawa dan insan-insan yang hadir di dalam kehidupan kita sebelum peluang itu terlepas. Jangan sesal di kemudian hari. Sekiranya ada sebarang perselisihan faham atau pertengkaran dengan orang lain, harapnya segalanya boleh dirungkai. Saya juga sedang belajar erti kemaafan. 

Google search

Kadang, ada juga terasa hati atau geram dengan orang lain, tetapi saya belajar untuk cuba melupakan segalanya. Tidak ada gunanya pun kalau bertengkar. Apa yang penting, kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini perlulah menyemaikan sifat toleransi di dalam diri, barulah segala urusan akan menjadi lebih mudah.

Saya pernah terbaca satu kata-kata yang menarik minat saya iaitu muda bukan cuma sekali. Muda sebenarnya dua kali. Muda di dunia dan muda di akhirat. Jadi kepada semua insan yang telah pergi, mungkin Allah telah simpankan tempat untuk mereka di syurga di mana semua orang akan kembali muda dan bahagia. Untuk mencapai kebahagiaan yang sejati ini, ayuhlah kita sama-sama berubah ke arah yang lebih baik dengan melaksanakan segala perintah Allah dan mematuhi syariatNya. Taat kepada ajaran Rasulullah dan mengamalkan sunnahnya. InsyaAllah, kita pasti boleh. Segalanya cuma terletak pada hati. ^^

1 comment: