Pages

Friday, February 15, 2013

Destinasi: Holiday Villa


Fly high, and you'll reach the top of the tower.

Destinasi seterusnya, Alor Star. Bercuti dalam negeri sendiri, apa kurangnya. Kadang-kadang orang terlalu sibuk mengatur percutian ke Kuala Lumpur atau luar negara tanpa menyedari bahawa sebenarnya banyak lagi tempat menarik dalam Malaysia ini. Satu fakta tentang diri saya ialah saya belum pernah menjejakkan kaki ke Lembah Bujang meskipun sudah belasan tahun bermastautin di negeri Kedah.

Walaupun Kedah ini tidaklah terkenal dengan pusat-pusat peranginan ataupun mercu tanda yang menarik, masih banyak tempat yang boleh dilawati di negeri ini. Yang utamanya pastilah Pulau Langkawi. Apabila anda menjelajah Pulau Langkawi, anda pasti tidak akan berasa rugi tambahan pula pulau itu bebas cukai. Langkawi terkenal dengan lagenda Mahsuri yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Tetapi ada juga orang yang mengaku sebagai keturunan Mahsuri. Wallahu alam bissawab.

Jika anda singgah di Kulim, tempat yang wajib anda pergi ialah The Tree Top Walk Sedim. Titian gantung yang tertua dan terpanjang di Malaysia. Tempat inilah yang menjadi daya tarikan utama Kulim. Lazimnya pengunjung yang datang tidak mahu melepaskan peluang daripada melawat tempat ini. 

Berbalik kepada tajuk entry, destinasi saya baru-baru ini ialah di Holiday Villa, nama sahaja villa tetapi sebenarnya merupakan sebuah hotel. Apa yang menarik tentang tempat ini ialah lokasinya yang begitu strategik. Keluar saja hotel, anda dapat melihat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Terdapat juga pusat beli-belah City Plaza yang sering menjadi tempat melepak pada waktu malam. Rasanya tidak perlulah saya ceritakan di sini ragam-ragam aneh yang saya temui sepanjang saya berjalan malam di hadapan pusat beli-belah tersebut. 

Bercakap tentang ragam manusia, ketika mengikuti keluarga berbelanja di hadapan sebuah kedai pakaian, saya ada terlihat seorang pak cik berbangsa Cina yang meminta sedekah di hadapan kedai itu. Lalu saya perhatikan kudratnya sihat-sihat sahaja, tidak ada sebarang anggota yang sakit atau bermasalah. Tangan kanannya memegang sebatang rokok yang mungkin baru dinyalakan.

Dalam hati saya timbul rasa simpati terhadap pak cik itu. Bukannya apa, cuma saya simpati kerana dia tidak tahu menghargai dengan sepenuhnya kudrat sihat yang Tuhan berikan kepadanya. Saya pasti, sekiranya dia berusaha dia boleh mencari pekerjaan halal yang lebih jauh lebih baik daripada meminta sedekah. Lalu saya amati lagi, orang yang lalu-lalang ramai, tetapi tidak ada seorang pun yang menghulurkan duit ke dalam tabungnya. Manakan tidak, orang ramai pun tahu, duit yang mereka hulurkan, paling tidak digunakan untuk membeli rokok. 

Bukannya saya mahu mengadili atau menghukumi pak cik itu, jauh sekali tidak. Saya cuma berharap perkongsian ini dapat dijadikan pengajaran kepada sesiapa yang membacanya. Semoga kisah pendek ini dapat dijadikan iktibar. Kejayaan seseorang itu terletak pada cara pemikirannya, bukan? 



Tuesday, February 12, 2013

Bila Dia Berubah



“Jom pergi riadah sama-sama?” 

“Tak apalah. Aku ada hal untuk diuruskan. Kau pergilah dulu.”

Dan dia menanti dengan penuh harapan, namun rakan yang ditunggu-tunggu tidak muncul tiba. Akibatnya, perasaan kecewa sahaja yang menguasai jiwa. Keesokannya, dia mencuba lagi namun hasilnya tetap sama. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja semuanya, berlagak seolah-olah tidak ada apa yang terjadi. Maka sebuah persahabatan itu makin renggang dan lama-kelamaan menjadi janggal sama sekali.

Berubah. Itu suatu perkara yang boleh terbentuk di dalam diri mana-mana makhluk ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu berubah misalnya terperangkap dengan banyak pekerjaan yang menghimpit, jatuh cinta, tertekan dengan pelajaran, berjumpa kawan baru dan macam-macam lagi.



Walau bagaimanapun seseorang itu kuat menjaga hatinya, tetapi bila datang godaan sesuatu yang menarik, boleh jadi dia tinggalkan yang lama dan sibuk menguruskan yang baru. Situasi saya sekarang lebih kurang sahaja seperti peristiwa yang saya gambarkan awal tadi. Saya faham akan kerja-kerja yang terpaksa diuruskannya cuma saya agak terkilan kerana semuanya sudah berbeza. 

Meskipun saya cuba mesra dengannya seperti biasa, dia tetap tidak melayan saya. Kadang saya tertanya-tanya, adakah saya pernah berbuat salah terhadapnya, mungkin tanpa saya sedari. Namun dia kata tidak ada, cuma sibuk sahaja. Pernah sekali, saya cuba menegurnya lagi. Namun pandang saya pun tidak sempat. Adakah dia sudah benar-benar berubah atau saya yang berubah?

Bila difikir-fikirkan kembali, mungkin ada sesuatu yang Allah sedang cuba aturkan di sini. Mungkin Allah sengaja mengubah hatinya kerana Allah mahu melihat apa reaksi dan tindakan yang bakal kita ambil. Allah mahu melihat sejauh mana tahap kesabaran kita dalam menangani masalah itu. 

Apabila saya bertanya kepada rakan-rakan yang lain, nampaknya mereka juga nampak perubahan yang terjadi ke atas dirinya. Nampaknya bukan saya sahaja yang rasakan begitu. Ada rakan yang sampai marah-marah kerana dia memang sudah berubah total. Saya sebagai seorang manusia biasa, tak mampu juga untuk mengawal mulut orang lain.

Dalam sesetengah situasi kita sebagai rakan perlu belajar menerima hakikat perubahan itu. Mungkin dia berubah untuk kepentingan dirinya, jadi kita harus bertindak lebih memahami. Tetapi dalam sesetengah situasi yang lain kita sebagai sahabatlah yang perlu menasihati dan menegur sebarang kesalahan yang dirasakan tidak patut. 


"يَامُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلى دِيْنِكَ "
"Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu"
(HR Imam Ahmad, Imam Tirmidzi dan lainnya)


Kita semua ibarat manusia yang melintas di atas titian yang goyah, tatkala ada yang mahu berpatah balik, kita tarik tangannya dan mengajak supaya meneruskan perjalanan. Jika dia berpatah balik maka berkemungkinan besar titian itu akan bergoyang dan patah maka hanyutlah semua yang berada di atasnya. Sudah tentulah kita tidak mahu situasi itu terjadi. Dan kita harus sentiasa beringat manusia itu bukanlah malaikat yang sempurna. Kita semua cuma hamba.

Bukit Bendera: A Fascinating View




Alhamdulillah, sempena cuti seminggu ini saya dapat juga menjejakkan kaki di negeri Kedah tercinta. Jadi alang-alang berkumpul bersama keluarga, ibu bapa membawa saya bercuti ke Bukit Bendera yang terletak di Pulau Pinang. Seperti pemandangan di bukit-bukit yang lain, pemandangan di Bukit Bendera juga begitu indah. Tambahan lagi para pengunjung dibenarkan untuk melihat pemandangan melalui teropong dengan bayaran seringgit. 


Sejarahnya, Bukit Bendera ini dibangunkan oleh Francis Light sebagai 'signal' kepada kapal-kapal. Dengar cerita, dahulu kawasan ini terkenal dengan ladang strawberry tetapi kini sudah tidak ada lagi. Kebanyakan penjajah British membina banglo untuk kegunaan peribadi mereka pada abad ke-19 kerana keadaan iklim yang lebih sejuk berbanding kawasan bandar. Pada tahun 2009, seramai 500 penumpang pernah terkandas dalam kereta api yang disediakan selama empat jam. Harapnya, kejadian seperti itu tidak berulang lagi.











Midnight Post - Insomnia


Bukanlah midnight pun sebenarnya. Jam sudah pun menunjukkan 1.47 pagi namun diri ini masih belum mengantuk dan tidak dapat tidur. Bercakap tentang susah tidur, terdapat sejenis penyakit yang boleh dikaitkan dengan situasi ini iaitu penyakit yang dikenali sebagai insomnia. 

Insomnia merupakan gangguan tidur pada waktu malam dan banyak berlaku terhadap golongan yang semakin lanjut usia. Yalah, semakin lanjut usia seseorang itu, semakin banyak perkara yang perlu difikirkan terutamanya bagi mereka yang sudah berkahwin. Nak fikir bagi makan anak lagi. Alhamdulillah saya dikurniakan ibu bapa yang prihatin akan kebajikan diri saya, tidak seperti sesetengah pihak yang kurang bernasib baik di luar sana.

Berbalik kepada insomnia tadi, antara tanda-tanda anda menghidapi penyakit ini adalah:

* sukar untuk tidur
* mudah tidur, kemudian terjaga dan tidak boleh tidur kembali
* terbangun awal pagi dan tidak boleh tidur kembali
* terasa letih atau mengantuk dan sering tertidur pada waktu siang 

Anda mempunyai tanda-tanda di atas? Lazimnya insomnia ni terjadi disebabkan gaya hidup seseorang yang sering memakan pelbagai jenis ubat-ubatan. Minum alkohol, pengambilan dadah dan rokok serta sejenisnya. Pendek kata gaya hidup yang tidak sihat. Tekanan hidup juga merupakan salah satu faktor penyumbang kepada penyakit ini. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan masalah psikiatri turut terdedah kepada risiko menghidap insomnia. Pastikan persekitaran tidur kita sentiasa selesa supaya memudahkan proses tidur seharian.

InsyaAllah, antara tips yang boleh saya kongsikan ialah elakkan daripada tidur dengan perut yang terlalu kosong atau penuh. Selesaikan segala masalah tempat kerja atau sebagainya sebelum tidur. Jangan dibawa ke dalam tidur. 

Nah, untuk mereka yang mahu tidur, saya sarankan anda membaca buku yang membosankan atau bahan bacaan yang ringan seperti majalah. Buku-buku sejarah juga boleh. Cuba dengar muzik-muzik yang menenangkan dan mendayu-dayu, insyaAllah membantu. Susah-susah, bayangkan rupa kambing biri-biri dan kira seekor demi seekor. Cubalah. 

Monday, February 11, 2013

Majlis Pentauliahan Badar KUSESS 2013



Buat julung-julung kalinya KUSESS mengadakan Majlis Pentauliahan untuk Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian). Ustaz Khairul Anwar yang mencadangkan supaya majlis ini diadakan, khusus untuk barisan Majlis Tertinggi dan ketua-ketua biro Badar. Terdapat enam biro atau lebih dikenali sebagai lujnah dalam organisasi Badar ini iaitu Lujnah Baitulmal, Lujnah Tamrin, Lujnah Hubungan Luar, Lujnah Usrah dan Halaqah, Lujnah Buletin serta Lujnah Surau dan Musolla. 

Setiap ketua dan penolong ketua lujnah ditugaskan untuk mengendali dan menggerakkan lujnah masing-masing supaya bergiat lebih aktif dan bersama-sama memajukan Badar 2013. Sebenarnya, majlis ini hampir-hampir tidak jadi disebabkan masalah-masalah tertentu. Demi menyelamatkan majlis pentauliahan ini, saya pun tawarkan diri untuk buat kertas kerja, yang sebenarnya disiapkan oleh setiausaha. Alhamdulillah proposal diluluskan. Betapa gembiranya hati saya sebab proposal Maulidur Rasul hari tu tidak diluluskan oleh ustazah.

Majlis ini diharapkan dapat menjadi tunggak kepada pemerintahan organisasi Badar supaya bergiat lebih proaktif dalam tugas amar makruf nahi mungkar kami. Saya mahu adik-adik Badar yang lain tidak mengambil enteng jawatan mereka sebagai seorang Badar. Saya mahu mereka menganggap bahawa Badar ini pun seolah-olah pengawas, tetapi dalam bidang kerohanian. Siapa tahu, melalui organisasi Badar ini jugalah bakal melahirkan pendakwah terkemuka suatu hari nanti.

Perkara yang lebih menggembirakan, khususnya buat MT dan biro puteri ialah, kami menerima pashmina sebagai simbolik pelantikan. Setiap pashmina itu berlainan warna dan corak. Manakala Badar putera menerima serban putih setiap orang. Selain itu, tidak ketinggalan juga watikah pelantikan yang mungkin akan dibuat semula nanti rasanya. Barisan Badar juga telah berikrar di hadapan para guru dan rakan-rakan yang lain bahawa kami akan melaksanakan amanah yang diberikan. Mudah-mudahan saya tidak termakan ikrar diri sendiri. Doakan saya agar mampu memikul tugasan ini dengan baik, ya?

Pemimpin BADAR, saudara Muhammad Najmul Fathi bin Wahab



Coretan




  1. Hati membuah rasa benci
  1. jiwa cuba menutupi perasaan itu
  1. namun begitu sukar sekali segalanya terhapus
  1. selagi kemaafan tidak diutus

  1. Kadang bukan semuanya boleh dilupakan
  1. hati menyimpan segala emosi
  1. meski senyum terbit di mentari wajah
  1. parut di hati tiada yang menyingkap

  1. Selain nabi yang maksum dirinya
  1. manusia itu tiada yang sempurna
  1. hati terluka hanya boleh diubati
  1. andai kata maaf datang menghimpit
  1. maka terhapuslah kesal di sanubari


Tidak ada manusia yang kebal dan tak punya perasaan. Mereka yang tersakiti hanya menunggu kata maaf. 

Friday, February 8, 2013

Special One: Hanum Fauzi



Video khas daripada Nur Hanum binti Fauzi untuk 4 Zamrud 2012: 

video

There we go. Hari ini merupakan hari terakhir Hanum di sekolah, selepas ini entah bila lagi boleh berjumpa dia. Rasa sedih apabila seorang rakan berpindah sekolah. Mungkin di sekolahnya nanti, Hanum akan dapat menenangkan diri, minda dan perasaan serta lebih fokus dalam segala apa yang dikerjakannya. You're still a 4 Zamrudian and will always be. Dan kau tetap seorang BADAR, jangan lupa itu. 

Walau di mana pun bumi dipijak, tanggungjawab untuk saling berpesan ke arah kesabaran dan kebenaran itu ada pada setiap orang. Yang membezakan adalah sama ada mereka mahu melaksanakan amar makruf nahi mungkar itu atau memilih untuk mengabaikannya begitu sahaja.

Terima kasih Hanum kerana selama ini kau telah menjadi seorang sahabat yang memahami dan sering menasihati dalam waktu-waktu kesulitan. Kita sama-sama akan saling menasihati satu sama lain. Terima kasih kerana telah mengajar aku banyak ilmu tahun lepas. Maafkan aku andai ada salah silap dan terkasar bicara atau sebagainya. Yalah, kadang manusia tak akan sedar kesalahan mereka sendiri. 

Aku nak kau tahu bahawa kau memang seorang yang istimewa dan berbakat. Anugerah yang Allah berikan, harapnya terus digunakan dan dikongsi bersama rakan-rakan kau. Aku yakin di sekolah lama tu, kau ada ramai rakan-rakan yang lebih memahami dan sedia menerima kau kembali dengan hati yang terbuka. Mungkin di sini bukan tempat kau, mungkin juga Allah telah merancang takdir dan hikmah yang lebih baik untuk kau di tempat lain.

Walau apapun, aku nak kau ingat semua kenangan manis dan gembira yang kau pernah alami sepanjang satu tahun di sini. Kenangan di kelas dan asrama. Bila kita bergelak ketawa, bergurau, serius, stress, makan ramai-ramai dan banyak lagi. InsyaAllah, segala pengalaman yang kau peroleh di sekolah ini dapat kau terus aplikasikan dalam hidup. Dan semua pengalaman yang pahit pula kita jadikan sebagai panduan dalam menghadapi segala cabaran hidup. 

Maafkan aku Hanum andai aku tidak mampu menjadi seorang sahabat yang baik untuk kau. Aku pasti, kau akan temukan ramai lagi sahabat yang lebih baik. Aku nak kau sentiasa ingat bahawa 4 Zamrud '12 tak akan  lupakan kau. Kami semua sayangkan High Frequency. Mesti lain keadaannya nanti bila dah tak dengar lagi suara kau yang nyaring tu. Dan aku tertanya-tanya, siapa lagi nak ajarkan aku nasyid-nasyid yang best. Siapa yang nak tuliskan lirik lagu dan bagi aku. Kau seorang saja yang suka buat benda-benda macam ni. 

Hanum, I will always remember everything that we've been through together. Always. Life will be kind of different without you. But whatever that you're doing, always put Allah as your priority. Remember that He would not test you unless you are able to go through it. Don't get too much stressed and enjoy this life as long as we can. Uhibbuki fillah ukhti. 4 Zamrud forever.




Sunday, February 3, 2013

Motivasi: Pemergian



Perhimpunan pelajar puteri yang lalu memang benar-benar mengetuk pintu hati saya. Waktu itu semua pelajar putera menunaikan solat Maghrib di masjid maka kami pelajar puteri berjemaah di surau. Sementara menunggu waktu Isyak, kami pasangkan nasyid untuk diperdengarkan kepada semua. Nasyid yang berjudul ayah itu mengisahkan seorang anak yang banyak melakukan kesalahan terhadap ayahnya.

Untuk menjadikan suasana yang lebih menarik, lampu surau dimatikan dan saya meminta mereka semua pejamkan mata. Selepas buka mata, banyak mata-mata yang sudah basah kerana menangis. Lalu saya bertanya adakah mereka mahu lagu tersebut dimainkan semula. Semuanya bersetuju. Mungkin kali pertama saya tidak berapa menghayati maksud nasyid tersebut tetapi untuk kali keduanya liriknya begitu menyentuh hati. Membuatkan saya semakin rindu kepada ayah dan ibu di rumah.

Selepas itu rakan-rakan tingkatan lima yang lain juga ingin berkongsi tentang mesej yang mereka dapat daripada nasyid itu. Kemudian apabila tiba giliran seorang anak yatim yang berkata-kata di hadapan, rasanya air mata saya sudah tidak dapat tertahan lagi. Dia begitu rapat dengan ayahnya. Waktu di tingkatan dua jika tidak silap saya, ketika itu dia sedang tidur di asrama. Keesokan harinya, dia menerima panggilan telefon mengatakan bahawa ayahnya sudah pun meninggal dunia.

Bayangkan, dia sebenarnya dia tidak berapa rapat dengan ibunya. Arwah ayahnya yang merupakan tempat luahan perasaan dan tempat bermanjanya selama ini. Namun, selepas pemergian arwah, dia mencuba untuk mendekatkan diri dengan ibunya walaupun semuanya terasa begitu janggal. Dia menceritakan segalanya dengan linangan air mata di hadapan semua pelajar puteri. Walau apapun, dia memang seorang yang tabah dan cekal. Antara pelajar cemerlang sekolah ini. 

Saya pasti, Allah lebih sayangkan arwah ayahnya. Mungkin hikmah yang Allah ingin sampaikan ialah supaya dia dapat menjadi lebih mesra dan akrab dengan ibunya. Mungkin juga semua ini yang menjadikan dia semakin kuat dalam merintangi segala halangan dan cabaran hidup ini. Selepas dia mengundur diri, saya kuatkan diri memegang mikrofon kecil itu dan mengajak yang lain untuk sama-sama mengambil iktibar daripada kisah yang telah disampaikan.

Pemergian dan kehilangan. Jarang terjadi dalam kehidupan saya tetapi mungkin acap kali berlaku terhadap diri orang lain. Jadi kita harus menghargai setiap nyawa dan insan-insan yang hadir di dalam kehidupan kita sebelum peluang itu terlepas. Jangan sesal di kemudian hari. Sekiranya ada sebarang perselisihan faham atau pertengkaran dengan orang lain, harapnya segalanya boleh dirungkai. Saya juga sedang belajar erti kemaafan. 

Google search

Kadang, ada juga terasa hati atau geram dengan orang lain, tetapi saya belajar untuk cuba melupakan segalanya. Tidak ada gunanya pun kalau bertengkar. Apa yang penting, kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini perlulah menyemaikan sifat toleransi di dalam diri, barulah segala urusan akan menjadi lebih mudah.

Saya pernah terbaca satu kata-kata yang menarik minat saya iaitu muda bukan cuma sekali. Muda sebenarnya dua kali. Muda di dunia dan muda di akhirat. Jadi kepada semua insan yang telah pergi, mungkin Allah telah simpankan tempat untuk mereka di syurga di mana semua orang akan kembali muda dan bahagia. Untuk mencapai kebahagiaan yang sejati ini, ayuhlah kita sama-sama berubah ke arah yang lebih baik dengan melaksanakan segala perintah Allah dan mematuhi syariatNya. Taat kepada ajaran Rasulullah dan mengamalkan sunnahnya. InsyaAllah, kita pasti boleh. Segalanya cuma terletak pada hati. ^^