Pages

Monday, December 3, 2012

Melintas di depan orang solat, boleh ke?


“Nurina, boleh ke kalau kita lalu depan orang solat?”

Persoalan itu membuatkan saya teringat kembali kepada kehidupan di asrama. Kalau di surau ataupun musolla, ada waktu-waktu tertentu yang penuh dengan jemaah. Waktu Subuh, Maghrib dan Isyak memang semua pelajar diwajibkan untuk sembahyang berjemaah di surau. Berbeza dengan waktu Zuhur dan Asar. Waktu Zuhur para pelajar baru pulang dari sekolah, waktu tak sama. Kalau Asar pula baru balik dari prep petang (kelas persediaan petang). Ada yang akan balik ke asrama dulu atau minum petang dulu.

Selalunya saya lihat waktu Zuhur yang sedikit tidak terurus. Maksud saya, pelajar keluar masuk surau. Pernah sekali, saya lihat ada pelajar yang sedang solat. Seorang lagi melintas dengan selamba di hadapan orang yang sedang menunaikan ibadah itu dan terus menghilang.  Nak tegur pun tak sempat. Kalau ditegur, nanti lain pula jadinya. Maklumlah, bukan semua orang dapat menerima teguran.

Apa pun, perkara sebegini memang selalu terjadi di mana-mana surau ataupun masjid berhampiran kita. Sebelum saya menjawab persoalan tersebut, saya cuma mahu memberi saran. Sebaiknya, elakkanlah solat di tempat yang menjadi laluan orang ramai. Misalnya, di tengah-tengah surau. Melainkan, anda rasa tempat yang akan anda dirikan solat itu tidak akan dilalui dan aman.

Kalau kita ada ilmu, tak salah nak disebarkan. Kata nabi, sampaikanlah walaupun sepotong ayat. Dengan bantuan tambahan daripada buku Mencari Redha-Mu tulisan Ustaz Noor Hisham Ismail, insyaAllah saya akan cuba jawab. Ustaz yang menulis buku ni merupakan seorang Timbalan Presiden Persatuan Kakitangan Islam Affin Banking Group untuk pengetahuan anda.

Baiklah. Straight to the point. Syarak mengajar sesiapa yang hendak bersolat di tempat yang mungkin dilalui orang ramai supaya meletakkan sutrah di depannya. Sutrah ni bermaksud penghadang atau sekatan contohnya tiang, dinding, langsir, beg, kerusi atau apa-apa sahaja yang tingginya melebihi 2 hingga 3 kaki yang tidak bergerak. Tetapi dalam keadaan orang yang berjemaah, belakang makmum juga boleh dijadikan sebagai sutrah. Dalam erti kata lain, belakang badan kawan yang sedang bersolat di depan kita itu merupakan penghadang sebab semasa bersolat, dia tidak bergerak dan boleh dianggap sutrah. Kalau dalam solat jemaah, imam itu sendiri merupakan sutrah untuk makmum.


Contoh sutrah
Rasulullah pun pernah melintangkan haiwan tunggangan baginda di depan baginda lalu solat menghadap haiwan tersebut. Tujuan meletakkan sutrah adalah untuk menjaga kekhusyukan orang yang sedang bersolat. Misalnya, kita sedang menunaikan solat dan tiba-tiba ada orang yang melintas. mestilah kita akan terganggu dengan kehadiran orang tu.

Kalau seseorang tu melintas di antara tempat sujud dan berdiri, perbuatan itu adalah haram dan membawa kepada dosa.



“Jika seseorang tahu balasan yang akan diterimanya akibat melintas di hadapan orang yang sedang solat, berdiri sambil menunggu selama 40 tahun adalah lebih baik daripada dia melintas di hadapan seseorang yang sedang solat itu,” –Hadis riwayat Bukhari: 510 & Muslim: 507

Kakak saya pernah beritahu tindakan yang sepatutnya kita lakukan kalau ada orang yang cuba hendak melintas di depan kita ketika bersolat. Halang dengan menggunakan tangan ataupun merapati hadapan sutrah jika perlu. Kita perlu halang orang dan tolak mereka dengan kemampuan. Kalau dia berkeras juga untuk melintas di hadapan kita, hendaklah kita melawannya kerana dia adalah syaitan.

Cara menghalang orang yang hendak melintas di hadapan kita ketika sedang bersolat.
Masalah yang kerap dialami adalah jika terlewat solat berjemaah sehingga imam tersebut sudah selesai bersolat. Maka tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum tersebut ialah, dia boleh bergerak ke arah sutarh yang berdekatan. Misalnya kalau ada tiang di hadapan sebelah kanan, maka bergeraklah ke sebelah kanan dan jadikan tiang itu sebagai sutrah. Kata Imam Malik, jika tiang itu jauh maka dia hendaklah tetap berada di posisinya dan cuba untuk menghalang orang yang melintas dengan sedaya upaya.

Jadi, kesimpulannya melintas di depan orang solat itu boleh, jika ada sutrah yang membatasinya. Dan akan jatuh haram jika melintas di antara kawasan sujud dan tempat berdiri orang yang sedang bersolat itu. Mudah-mudahan ilmu ini membawa manfaat kepada kita semua, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment