Pages

Monday, December 31, 2012

Cerpen: Hadirnya Dia Bersama Semangat



Alhamdulillah, pengikut blog ini sudah pun melebihi 1000. Tercapai juga sasaran saya untuk mendapatkan 1000 pengikut menjelang 2012. Dan inilah hadiah hari terakhir 2013 saya. Alhamdulillah. Berikut ialah pengikut ke 999 dan 1000 saya. Dua-dua nombor cantik.



Sebagai hadiah, saya sediakan cerpen yang berjudul Hadirnya Dia Bersama Semangat. Ini merupakan cerpen terakhir saya untuk tahun 2012. Sob3. Selamat membaca. Jangan lupa komen ya. 


Aku senang mendengar kisahnya. Aku bahagia mendengar ceritanya. Dia selalu bercerita dengan penuh perasaan dan bersungguh-sungguh. Aku selalu menongkat dagu dan hanyut dalam setiap butir bicaranya.

Semenjak tiga bulan dia ditugaskan ke sekolah ini, aku jadi tertarik dengan peribadinya. Dia sabar melayan kerenah kami. Sepanjang dua tahun ini, dialah guru pertama yang pecah rekod tidak minta untuk ditukarkan ke kelas lain atau berhenti mengajar di kelas 4 Dahlia. Guru-guru yang lain semuanya tidak mungkin mampu bertahan dengan kami selama lebih seminggu. Tetapi guru yang ini lain. Semangatnya begitu mendalam untuk mengajar kami dan membentuk kami supaya menjadi remaja harapan bangsa.

***

Mengajar di kelas 4 Dahlia bukanlah suatu perkara yang mudah. Kelas ini terdiri daripada remaja enam belas tahun yang bermasalah, termasuklah aku. Aku mengakui hakikat itu kerana aku pernah lari dari rumah dulu, namun abang berjaya menemuiku dan membawaku pulang. Tetapi situasi di rumah masih tidak nyaman dan bahagia seperti yang aku impikan.

Selama ini aku menganggap bahawa sekolah itu adalah membosankan. Sekolah adalah institusi untuk remaja yang pintar dan kaya, tidak seperti aku. Orang seperti aku tidak punya lagi harapan untuk memacu negara kelak. Orang seperti aku layaknya cuma berpeleseran di kompleks beli-belah dan mengganggu pengunjung yang datang. Orang seperti aku cuma dianggap seperti sampah masyarakat.

Pernah satu ketika aku ingin ponteng sekolah. Aku berjalan sehinggalah ke pintu pagar belakang sekolah. Aku menyangka perbuatanku itu tidak dikesan oleh sesiapa, namun sangkaanku meleset. Aku mendengar seseorang memanggil namaku. Aku terkejut dan menoleh. Seorang lelaki berkaca mata dan bersongkok kemas berdiri tegak di situ. Itulah kali pertama aku melihatnya dalam hidupku.

***

“Tak guna kau!” kesabaranku sudah tidak ada hadnya lagi. Kali ini dia sudah sangat melampau. Aku tidak akan memaafkan kesalahannya itu. Aku merenung pelajar lelaki di hadapanku ini dalam-dalam. Dia juga membalas renunganku. Aku dapat melihat pipinya bertukar merah kerana menahan marah namun tidak kuendahkan. Aku yakin dialah pelakunya.

“Engkaulah tak guna! Sudahlah sombong, miskin pula tu,” Zhafran meludah di atas lantai. Dia menghinaku dan aku paling tidak tahan diperlakukan sebegitu. Kemarahanku sudah tidak dapat dibendung lagi. Aku mengangkat penumbuk sulungku dan kusasarkan pada kepalanya. Zhafran bergerak ke tepi untuk mengelak seranganku itu. Dengan pantas, tangan kiriku segera mendarat pada perutnya.

Zhafran memegang perutnya dan menatapku dengan amarah. Rakan-rakan yang lain semuanya tidak mahu terlepas daripada menyaksikan pertarungan kami. Ada yang berteriak menyokong aku tetapi Zhafran juga tidak kurang hebatnya. Semua orang tahu Zhafran anak orang kaya yang bermasalah. Tetapi semua orang juga tahu aku kaki pukul dan tidak mahu menerima kekalahan. Zhafran membalas tumbukanku, tepat mengenai dagu aku. Saat itu, aku rasa kesakitan. Aku menyentuh hidungku, berdarah. Tumbukan Zhafran begitu kuat sekali ditambah lagi dengan kemarahannya.

Kali ini, aku mengangkat kaki dan menghayunkannya ke pinggang Zhafran dengan kuat. Zhafran terdorong ke tepi namun dia juga tidak mahu mengalah. Dia menghampiriku dan melancarkan tumbukan bertubi-tubi. Aku berjaya mengelak namun terkena juga satu dua tumbukan. Tubuhku tergerak ke belakang. Kemudian, aku akhirnya memegang kuat kepala Zhafran. Tangan kananku sudah bersiap sedia. Aku menarik tangan itu ke belakang sedikit dan bersiap sedia untuk menumbuk kepalanya. Aku menolak tanganku dan sedikit sahaja lagi untukku pecahkan kepalanya sebelum dihalang oleh tangan yang lain.

Tangan itu menghalang penumbukku daripada mendarat di kepala Zhafran. Aku mendengus geram dan mencari gerangan penghalang kemenanganku itu. Dalam dua saat sahaja, ekspresi mukaku bertukar terkejut tatkala melihat Cikgu Muiz menatapku dengan wajah serius. Zhafran tersengih. Aku tidak tahu kenapa. Dia membuatku semakin benci kepadanya. Namun benci itu terpaksa ditangguhkan dahulu kerana guru baru itu menghalang.  

Fazli selaku ketua tingkatan memberi salam dengan gaya malas. Dia sendiri tidak tahu mengapa rakan-rakan yang lain memilihnya sebagai ketua kelas. Mungkin kerana dia mempunyai rekod disiplin yang paling sedikit di antara kami semua. Cikgu Muiz menyuruh semua pelajar untuk duduk di tempat masing-masing. Aku dengan gaya protes duduk di atas meja dan menghadap ke belakang. Aku tidak suka duduk di atas kerusi apatah lagi menghadap guru yang sedang mengajar. Buat apa belajar jika apa yang aku pelajari cuma seperti masuk angin keluar asap.

Amirul di sebelah sudah buat gaya tidur. Tangannya dijadikan sebagai alas untuk kepalanya. Lain pula dengan Zikri di belakangku. Dia memandang cikgu itu dengan pandangan mengejek. Kedua-dua kakinya diletakkan ke atas kerusi aku dan kedua-dua tangannya melekat di belakang kepalanya. Agaknya dia tertanya-tanya sampai bila guru baru itu akan bertahan.

“Zakwan, kenapa duduk atas meja? Pusing depan,” Cikgu Muiz memberikan arahan pertamanya. Geramku terhadapnya masih tersisa. Aku kekal dengan posisiku.

“Wan, dia tahu nama kaulah. Hebatnya,” Zikri yang masih dalam posisinya memuji. Dia tersengih sinis.

“Aku pernah jumpa dia sekali masa nak ponteng sekolah dulu. Dia bagi ceramah panjang,” aku memberitahu seolah-olah Cikgu Muiz tidak ada di hadapan. Aku berpura-pura tidak meminati Cikgu Muiz sedangkan di satu sudut hatiku, ada sesuatu yang berjaya mencuri tumpuanku terhadap guru ini.

“Untunglah dapat jumpa dulu cikgu muda yang kacak ni. Kenalkanlah aku kepadanya,” Zaharah mengeyit matanya padaku.

Memang itulah rutin yang akan dilakukan oleh semua orang setiap kali guru baru masuk ke dalam kelas. Tujuannya adalah untuk menyakitkan hati guru tersebut sehinggalah dia serik dan tidak mahu mengajar di situ lagi. Aku menoleh ke belakang seketika untuk memerhatikan reaksi Cikgu Muiz. Dia kelihatan terkejut dan terpinga-pinga. Mungkin taktik kami sudah berjaya. Beberapa minit lagi pasti dia akan keluar dari kelas itu tanpa sebarang kata-kata. Tekaanku tersasar kerana Cikgu Muiz masih bersabar. Dia menghampiri dan memerhatikan kami semua. Dan yang paling lama, dia perhatikan aku.

“Kenapa cikgu? Kacak sangatkah saya ni sampai cikgu perhatikan begitu sekali?” aku bersuara kuat, sengaja mahu rakan-rakan yang lain mendengar. Kemarahanku terhadap Zhafran tadi dilupakan seketika. Terhambur ketawa daripada mereka.

“Kacak, tapi tidak sekacak cikgu,” Cikgu Muiz memberitahu, mengikuti permainanku. Kali ini, rakan-rakan yang lain ketawa lebih kuat. Aku mengerutkan dahiku, pantang dicabar. Cikgu Muiz mengukir senyum. Senyuman itu seolah-olah sedang mencabar diriku.

“Cikgu, aku rasa lebih baik cikgu pergi dari sini. Dalam kelas 4 Dahlia ni, tak ada tempat untuk orang macam cikgu. Cuba cikgu perhatikan, semua orang di sini enam belas tahun, tapi cikgu dah tua,” sinis sahaja ucapan itu kulontarkan.

“Siapa kata saya dah tua? Saya muda lagi, bahkan saya boleh jadi lebih muda daripada yang kamu semua sangka.” Pintar guru itu bermain kata-kata. Aku memandang Zikri. Zikri juga terkejut. Kakinya sudah diturunkan ke bawah. Hebat juga guru baru ini.

“Dah tua tak sedar diri pula,” Zaharah pula memainkan peranan. Gula-gula getah yang dikunyahnya sejak tadi dikeluarkan dan dilekatkan di bawah meja. Dia tidak peduli langsung sesiapa yang memerhatikan tindakannya itu. Pada fikiranku, boleh tahan juga si Zaharah itu. Tahap kenakalannya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Aku memerhatikan Amirul pula yang baru tersedar setelah mejanya diketuk oleh Cikgu Muiz. Setelah Cikgu Muiz berlalu, Amirul bergerak ke arah papan putih tanpa pengetahuannya. Meskipun rakan-rakan yang lain melihat, sudah pastilah mereka tidak akan beritahu. Amirul mencapai pemadam papan putih dan bersiap sedia untuk membalingnya. Lontaran dilakukan. Pemadam papan putih itu melambung di udara dan akhirnya kepala Cikgu Muiz. Kami semua bertepuk tangan termasuklah aku.

Aku kagum dengan kehebatan Amirul. Dengan lagak selamba, Amirul kembali ke tempat duduknya. Cikgu Muiz mengusap belakang kepalanya yang kesakitan. Dia menyembunyikan senyumannya dan mahu kembali ke meja guru. Namun dalam perjalanan singkat itu kakinya disadung oleh Zhafran dan mengakibatkan dia hampir-hampir terjatuh. Nasib baiklah kedua-dua telapak tangannya menahan meja.

“Kenapa kamu buat cikgu macam tu?” Cikgu Muiz memandang Zhafran.  Zhafran menguap di hadapan Cikgu Muiz. Aku tersengih. Mungkin Cikgu Muiz tidaklah seperti yang aku sangkakan. Mungkin dia tidaklah sehebat mana. Sebentar lagi dia pasti akan melangkah keluar dari kelas.

“Kau nak bertaruh dengan aku tak? Cikgu Muiz mesti akan keluar kelas, aku jamin,” Amirul bersuara.

“Yang tu memang tidak dapat diragui lagi,” Ariffah bersetuju. Rakan-rakan ketawa.

Cikgu Muiz mendapatkan bukunya. Dia berdiri di hadapan kelas dan berjaya mencuri tumpuan semua orang. Nampaknya tiga puluh penghuni kelas 4 Dahlia ingin tahu tindakannya yang selanjutnya.

“Baiklah murid-murid. Nampaknya ramai yang sudah tidak sabar lagi mahu belajar. Belum pernah lagi saya jumpa kelas yang begitu bersemangat seperti kelas ini. Sebelum itu saya perkenalkan diri saya dahulu. Nama saya Muizuddin Saifullah. Kamu semua boleh panggil saya Ustaz Muiz. Saya akan mengajar Pendidikan Islam untuk kelas 4 Dahlia.”

“Apa?!” Kami semua terkejut bercampur tidak percaya. Aku sangka guru ini hanyalah guru biasa sahaja. Dia ada memberitahu namanya hari itu tetapi tidak pula dia ceritakan bahawa dia seorang ustaz.

Ustaz Muiz menarik senyum di hadapan. Bukunya sudah dibuka.

***

“Mana kau tahu nama aku?” aku memandang lelaki di hadapanku itu dengan pandangan tidak rela. Gara-gara dialah hasratku jadi terbantut untuk ponteng sekolah sebentar tadi.

“Tadi saya dah nampak kamu ikut jalan belakang, jadi saya tanya dua pelajar yang kebetulan lalu. Mereka beritahu saya nama kamu. Kata mereka kamu mesti nak ponteng sekolah macam biasa. Nampaknya kamu terkenal juga ya di kalangan pelajar sekolah ni,” dia memegang bahuku. Aku menepis pegangannya.

“Dahlah, tak perlu nak berlagak mesra dengan aku. Kau ni siapa, tiba-tiba saja datang mengganggu?” aku melepaskan hembusan kecil.

“Oh ya, maaf. Saya terlupa pula perkenalkan diri. Saya Muizuddin Saifullah, guru baru di sekolah ni. Saya akan mula masuk mengajar lusa. Kalau bernasib baik, mungkin saya akan mengajar kelas kamu,” ujarnya sambil memerhatikan pekerja kantin yang datang sambil membawa dua cawan minuman. Cikgu Muiz menolak cawan air teh ais ke hadapanku. Aku masih merenungnya tajam.

“Minumlah, saya belanja. Awaklah pelajar pertama yang saya belanja di sekolah ni tahu?”

“Dan mungkin yang terakhir,” aku berkata sendiri namun kata-kataku itu berjaya ditangkap oleh Cikgu Muiz. Dia kelihatan hairan namun tidak pula menyoalku tentang itu.

Aku meneguk minuman yang telah disediakan. Rezeki jangan ditolak. Tetapi, adakah ini rasuah? Mungkin Cikgu Muiz akan mengajar kelas 4 Dahlia nanti dan dia mahu meminta pertolonganku nanti. Aku segera menolak air teh ais itu ke tepi. Cikgu Muiz bertambah hairan.

“Kenapa kamu tolak air tu?”

“Aku tak terima rasuah,” ujarku pendek. Aku mengeluarkan sekotak rokok dan mengambil satu. Setelah api dinyalakan, aku menghisapnya. Begitu nikmat sekali menghisap rokok. Aku dapat melegakan sebarang tekanan yang menari-nari di dalam mindaku. Cikgu Muiz diam dan mengamati tingkahku. Aku tidak peduli langsung terhadap reaksi guru itu. Menurutku, lebih baik aku menjadi diri aku yang sendiri daripada bersikap hipokrit. Aku menawarkan rokok kepada guru itu. Dia tersenyum.

“Tak apalah, saya tak merokok.” Dia kelihatannya sedang memikirkan sesuatu dan kemudiannya tertawa sendiri. Kali ini, aku pula yang aneh melihatnya.

“Kenapa cikgu ketawa?” Aku mula memanggilnya dengan gelaran cikgu.

“Itu, kamu lihat kotak rokok tu,” ujar Cikgu Muiz. Aku melakukan seperti yang disuruhnya.

“Kenapa? Tak ada apa-apa pun,” aku mengeluh. Sudah hilang kewarasannya barangkali.

“Ada, cuba lihat gambar itu,” Cikgu Muiz menunjuk ke arah gambar kanser-kanser yang dipaparkan. Jadi kenapa? Aku masih lagi bingung.

“Apa yang lucunya?” aku menggaru kepalaku yang tidak gatal.

“Pihak kerajaan sudah buat bermacam-macam jenis iklan untuk menghalang rakyat daripada merokok. Banyak papan tanda, iklan di akhbar, televisyen, bahkan mereka mengambil tindakan yang lebih tegas dengan membuat kempen anti-merokok di kotak rokok itu sendiri. Tetapi masih juga ramai yang membeli rokok walaupun mereka sudah tahu kesannya yang bahaya. Lucu ya?”

Aku mengerutkan keningku. Benar juga katanya, tetapi seorang perokok tegar seperti aku mana mungkin boleh berhenti merokok dengan cuma melihat iklan-iklan seperti itu.
“Motif?” aku menyoal Cikgu Muiz.
“Anak muda, erm, begitulah dunia ini. Rokok itu cuma sebagai analogi. Walaupun seorang perokok tegar tak akan berhenti merokok dengan melihat iklan-iklan begitu, tetapi sekurang-kurangnya pihak kerajaan berusaha. Tidak semua orang akan berhenti, tetapi sebahagian lagi mungkin.”

“Tak faham,” aku melepaskan asap berkepul-kepul di udara.

“Dalam apa jua yang kita kerjakan, kita tak boleh berputus asa sama sekali. Kita kena terus lakukan apa yang kita percaya. Walaupun bukan semua orang akan menerima impaknya, sekurang-kurangnya diri kita akan berasa puas kerana mencuba dan ada juga segelintir pihak yang pasti akan menerima impak daripada usaha yang kita kerjakan itu,” Cikgu Muiz masih senyum. Aku menatapnya dengan sedikit pandangan teruja. Cikgu Muiz memandangku.

“Zakwan, walau apa pun yang berlaku, jangan berhenti mencuba,” pesannya. Pesanan yang sungguh bererti buatku. Namun ego masih menguasai diriku. Aku pergi meninggalkan Cikgu Muiz di situ bersama teh ais yang sudah diminum sedikit.

***

“Hari ini kita akan belajar dosa-dosa besar yang membawa kemurkaan Allah. Sesiapa yang ada buku teks boleh buka halaman 86 ya,” pinta Ustaz Muiz. Namun yang pasti, semua pelajar memandangnya dengan pandangan kosong. Beg sekolah pun tidak dibawa, apatah lagi buku-bukunya. Jauh sekali alat tulis.

“Ada banyak dosa besar yang mesti kita hindari dalam dunia ini, tapi yang disebut dalam buku teks cuma empat iaitu menghina dan menderhaka ibu bapa, menipu dan berbohong, mencuri dan merompak serta riba. Antara...” kata-kata ustaz itu dipotong oleh Zhafran.

“Sudahlah pak lebai. Kalau nak berceramah, pergi ke masjid saja. Sini bukannya masjid.” Zhafran melakar-lakar sesuatu di atas buku skrapnya. Dia seorang yang pintar melukis, lukisannya juga menarik. Aku pernah melihatnya sekali. Itu pun secara curi-curi. Dia tidak suka aku melihat lukisannya. Dia selalu memperlakukan aku dengan buruk. Itulah yang meyakinkanku bahawa dia yang mencurinya sehingga mengakibatkan aku bergaduh dengannya sebentar tadi, sebelum Ustaz Muiz ini masuk ke kelas dan mahu mengajar.

Seorang guru yang mengajar di hadapan sudah cukup mengerikan. Aku dan rakan-rakan yang lain tahu kami harus berbuat sesuatu untuk menghalau Ustaz Muiz pergi.

“Hurm, Zhafran ya?” Ustaz Muiz membaca tanda namanya.

“Belajar agama ni bukannya setakat di masjid sahaja. Agama ni meliputi setiap aspek hidup kita. Kalau saya kena mengajar agama di masjid, habis tu orang yang tak pergi masjid siapa nak ajar?” soal Ustaz Muiz membuatku terkesan sekali. Aku yakin Zhafran dan yang lain-lain juga begitu. Kami memang bukan kelompok manusia yang pergi ke masjid, jauh sekali untuk mendengar ceramah agama.

Amirul di sebelahku bangkit dan berkata, “Aku nak keluar dari kelas. Siapa nak ikut aku jom.” Satu per satu pelajar 4 Dahlia bangkit dan keluar. Aku menjadi yang terakhir. Sebelum sempat aku keluar, Ustaz Muiz menahanku.

“Ada apa?”

“Zakwan, saya akan pastikan kamu dan rakan-rakan yang lain mendapat pendidikan. Saya tak mahu biarkan kamu semua begini sahaja,” ujarnya.

“Kenapa ustaz beritahu semua ini kepada saya?” aku mengerutkan dahi.

“Sebab saya tahu, jauh di sudut hati kamu, ada satu keinginan untuk mendapatkan hidup yang lebih baik. Dan saya yakin kamu ni baik budaknya sebenarnya,” Ustaz Muiz berkata begitu yakin.

“Kenapa ustaz begitu yakin saya ni baik? Bukannya ustaz kenal pun saya. Ustaz cuma tahu nama saya sahaja.”

“Buktinya, kamu sanggup tawarkan rokok pada ustaz hari tu. Kamu seorang yang suka berkongsi kan?”

Aku merenung Ustaz Muiz dalam-dalam dan meninggalkannya. Ustaz itu berlagak seolah-olah dapat memahami perangaiku. Masakan menawarkan rokok dianggap benda yang baik? Aneh.

“Zakwan,” Ustaz Muiz mengejarku. Aku menoleh ke belakang. Apa lagi yang dimahukan oleh guru baru ini?

“Kalau boleh saya tahu, kenapa kamu bergaduh dengan Zhafran tadi?”

“Alah ustaz, kenapa kau nak sibuk-sibuk jaga tepi kain orang lain? Jaga sajalah tepi kain sendiri.”

“Kenapa kamu bergaduh dengan Zhafran tadi?” dia mengulangi pertanyaannya.

Akhirnya aku akur dan menjawab pertanyaannya. Aku memberitahu bahawa tiga kotak rokokku sudah hilang dan aku begitu yakin bahawa Zhafran yang mengambilnya. Tak mungkin ada orang lain yang akan mengambilnya selain dia.

“Zhafran tu selalu hina aku. Aku tahulah aku miskin, tapi tak payahlah sampai macam tu. Dah lama aku tahan dengan perangai dia, tapi hari ni aku puas sebab dapat lepaskan,” nadaku berbaur geram.

“Kata cikgu-cikgu di sini, kelas kamu ialah kelas yang paling banyak masalah disiplin. Setiap orang dalam kelas kamu ada masalah disiplin. Jadi kenapa nak tuduh Zhafran sedangkan ada lagi 28 orang yang mungkin mencuri kotak rokok tu. Tak pun kamu sendiri yang tersalah letak,” ujarnya. Pasti Ustaz Muiz sengaja mahu mengujiku. Aku menghembus nafas.

“Ustaz, kalau ustaz tak percaya juga aku boleh boleh buktikanlah. Takkan aku nak bohong pula,” aku sudah mula bosan melayan Ustaz Muiz.

“Boleh ke? Baiklah, jom,” Ustaz Muiz memegang pergelangan tanganku dan menarik aku masuk ke dalam kelas semula. Aku terpaksa membuka begku dan aku menunjuk ruangan kosong di dalam beg itu. Ustaz Muiz tertawa.

“Beg kamu kosong.”

“Mestilah, rokok aku dicuri,” aku menjadi aneh.

“Kamu tak bawa buku pun, jadi buat apa kamu bawa beg?” soalnya.

“Aku nak isi kotak rokoklah,” aku membalas. Aku semakin tidak mengerti permainan Ustaz Muiz.

“Tahun lepas kamu kelas mana?”

“3 Cempaka.”

“Saya hairan bagaimana orang yang berasal dari kelas sederhana seperti kamu boleh masuk ke dalam kelas ini. Saya boleh agak kamu ni sebenarnya suka menuntut ilmu, cuma atas alasan tertentu kamu jadi begini,” Ustaz Muiz sudah mula dengan teorinya. Aku memandangnya mengharapkan penjelasan. “Saya boleh lihat berdasarkan beg yang kamu bawa. Kamu tengoklah, kawan-kawan kamu yang lain semuanya tak bawa beg tetapi kamu seorang saja yang bawa. Dan kalau betul Zhafran yang curi, di mana pula dia nak letakkan tiga kotak rokok tu?”

Aku ligat memerah otak. Aku akui terdapat kebenaran yang terselit di celah-celah kata-kata itu. Ustaz Muiz mengambil begku dan membeleknya.

“Kan aku dah cakap beg tu kosong.”

“Zip ni letak apa?” Ustaz Muiz menunjukkan satu zip di bahagian hadapan beg tersebut. Aku menggeleng. Aku tidak meletakkan apa-apa di situ melainkan...

“Aha! Ni kan rokok kamu?” Ustaz Muiz menunjukkan kepadaku. Ketika itu, pelbagai perasaan yang aku rasakan. Rasa tak betul pun ada. Rasa bersalah pun ada kerana telah menuduh Zhafran sebentar tadi.

Aku tiba-tiba ketawa. Kali ini, aku pula yang mengikut jejak Ustaz Muiz yang suka ketawa tiba-tiba. Aku terasa bagai orang yang nyanyuk pula.

***

Aku senang mendengar kisahnya. Aku bahagia mendengar ceritanya. Dia selalu bercerita dengan penuh perasaan dan bersungguh-sungguh. Aku selalu menongkat dagu dan hanyut dalam setiap butir bicaranya.

Semenjak tiga bulan dia ditugaskan ke sekolah ini, aku jadi tertarik dengan peribadinya. Dia sabar melayan kerenah kami. Sepanjang dua tahun ini, dialah guru pertama yang pecah rekod tidak minta untuk ditukarkan ke kelas lain atau berhenti mengajar di kelas 4 Dahlia. Guru-guru yang lain semuanya tidak mungkin mampu bertahan dengan kami selama lebih seminggu. Tetapi guru yang ini lain. Semangatnya begitu mendalam untuk mengajar kami dan membentuk kami supaya menjadi remaja harapan bangsa.

Aku sudah lama perasan semua ini semenjak hari pertama Ustaz Muiz di sini lagi. Cuma rakan-rakan yang lain belum menyedari semua itu. Setiap kali Ustaz Muiz masuk, aku sudah tidak menoleh ke arah Zikri lagi tetapi aku mendengar dia mengajar di hadapan. Cuma aku masih belum terbiasa untuk duduk di atas kerusi. Terpaksalah aku meneruskan kelazimanku dengan duduk di atas meja.

Google

Rakan-rakan yang lain mungkin perasan dengan perubahanku namun aku tidak peduli. Terdapat satu tarikan dari dalam diri Ustaz Muiz. Meskipun Ustaz Muiz masih dilempar dengan sampah kadangkala, dia tetap bersemangat untuk mengajar kelas 4 Dahlia.

“Asal kau ni? Dah terpikat dengan Ustaz Muiz pula? Ingatkan aku seorang saja,” Zaharah bersuara.

“Zaharah, kau tak rasa pelik ke cikgu seorang ni dapat bertahan?” aku pula menyoal. Dan sudah pastilah perbualan itu dapat didengari oleh Ustaz Muiz seperti biasanya.

“Peliklah juga, aku pun tak tahu kenapa dia boleh tahan, padahal macam-macam aku dah cuba. Aku letakakkan katak dalam beg dia pun dia tak takut,” Zaharah mengeluh sekaligus membongkarkan rahsia. Kali ini, Ustaz Muiz berhenti bercakap.

“Jadi kamulah yang letakkan katak dalam beg ustaz?”

“Kenapa? Ada masalah?”

“Tak ada. Ustaz nak ucapkan terima kasih saja. Ustaz memang suka pun dengan katak. Kadang-kadang, ada juga ustaz simpan katak-katak di rumah tetapi kakak ustaz marah sebab dia tak suka,” jelas Ustaz Muiz sambil tertawa.

Ustaz Muiz membuatkan kami semua tidak percaya. Segala apa yang dirancang pasti tidak akan menjadi, malah lain pula hasilnya.

“Ustaz, kenapa ustaz tak nak pergi lagi?” Ariffah bertanya.

Ustaz Muiz menutup bukunya. Dia memandang kami semua serius.

“Sebab ustaz percayakan setiap seorang dari kamu. Ustaz tahu semua orang ada harapan. Jadi ustaz mahu didik kamu supaya cintakan ilmu dan kembangkan segala kemahiran kamu. Ustaz tahu Zakwan dulu suka baca buku.”

Aku terkejut. Ustaz Muiz mula menyenaraikan beberapa kemahiran yang dimiliki oleh rakan-rakan sekelasku. Dia memberitahu bahawa dia telah bercakap dengan guru-guru kami yang terdahulu. Ya, memang benar. Ketika di tingkatan satu, perangai kami semua tidaklah seteruk sekarang. Aku tidak merokok dulu sehinggalah selepas ayah berkahwin lagi satu dan jarang pulang ke rumah.

“...dan ustaz tahu, Zhafran pandai melukis. Kalau dia percaya dengan bakatnya itu, mungkin satu hari nanti dia boleh menjadi seorang pelukis terkenal dan siapa tahu pelukis komik dakwah pula? Tapi sayang, dia tak ada dalam kelas. Amirul, kamu tahu Zhafran pergi mana?”

Amirul menggeleng. Amirul juga nampaknya sudah mulai patuh pada Ustaz Muiz. Seketika kemudian, Zhafran muncul di muka pintu dengan muka termengah-mengah. Dia seolah-olah baru lepas berlari.

“Zhafran, ustaz baru sahaja bercakap tentang kamu. Kenapa kamu macam baru lepas jumpa hantu?” Ustaz Muiz bergurau.

“Ustaz.. kakak ustaz...”

Kali ini, ekspresi muka ustaz berubah total.

“Kakak ustaz kemalangan, patah kaki. Dia ada di hospital sekarang,” ujar Zhafran. Aku terkejut atas kejadian yang baru menimpa itu. Air mata ustaz mulai menitis. Air mata pertama yang aku lihat keluar dari seorang ustaz. Pasti dia sangat menyayangi kakaknya itu. Ustaz keluar dari kelas tanpa berkata apa-apa. Aku bertambah risau. Sejurus sahaja ustaz keluar, Zhafran ketawa terbahak-bahak.

“Dah kenapa? Orang kemalangan kau bukan main suka lagi,” Zikri memandang Zhafran curiga.

“Haha. Mana ada orang yang kemalangan. Ustaz kena tipu! Lepas ni, dia mesti tak akan balik dah ke sini,” ujar Zhafran.

Aku terkejut dan naik berang. Aku meluru ke arah Zhafran dan menumbuk mukanya.

“Kenapa kau buat ustaz begitu?” aku mengumpul amarah yang terpendam.

“Bukan kau orang semua yang nak ustaz pindah? Aku cuma memudahkan kerja kita. Kau patut berterima kasih kepada aku,” katanya.

“Tapi, aku dah mula sukakan cikgu baru tu. Cara dia ajar macam menarik,” ujar Ariffah disokong Zaharah.

“Ya lah, sejak dia mengajar tak adalah bosan sangat aku datang ke sekolah ni,” ujar Amirul.

“Apa dah jadi dengan kau semua? Dah berjangkit dengan si miskin ni?”

Ingin sahaja aku melayangkan lagi penumbuk ke arahnya, namun aku teringat kata-kata Ustaz Muiz yang menyuruh aku bersabar. Kata ustaz, jika bersabar pasti ada hikmahnya. Namun aku tidak boleh bayangkan keadaan ustaz sekarang. Dia pasti sedih setelah mengetahui segala pembohongan ini.

Keesokan harinya, aku menunggu kedatangan Ustaz Muiz. Dia masuk agak lambat dari biasanya. Belum pernah dia lambat begini. Aku bertambah risau. Adakah ustaz sudah pindah seperti yang dikatakan Zhafran? Aku tidak mahu ustaz pindah. Aku sudah mula menyayanginya.

Beberapa minit kemudian Ustaz Muiz masuk ke dalam kelas. Fazli memberi salam dengan bersemangat. Nampaknya dia juga tidak mahu Ustaz Muiz pindah. Ustaz Muiz menjawab salam dengan muram, tidak seperti biasanya. Ustaz Muiz mengemaskan buku-bukunya di atas meja guru. Aku sudah mulai panik.

“Ustaz, ustaz tak nak pindah kan?” Zaharah menyoal. Rasa hormatnya terhadap guru muda itu telah mulai terbit.

Ustaz Muiz memandang semua orang. “Terima kasih kepada Zhafran. Selama ni, kamu semua memang nak saya pindah kan? Cuma saya saja yang berlebihan. Saya percaya pada kamu, tetapi kamu dah melampau. Orang kemalangan, bukan sesuatu yang boleh dijadikan bahan lawak. Saya kesal. Terima kasih sebab luangkan masa selama ni. Kamu menang.”

Ustaz Muiz melangkah keluar. Semua terpana. ‘Kamu menang’. Aku terasa seperti seorang pengalah. Aku tidak mahu ustaz pergi. Ariffah sudah mulai menangis. Saat itu, aku merasakan suasana yang belum pernah aku rasakan sebelum ini. Kali ini, rakan-rakanku sudah terkesan. Bererti, peribadi yangg ditunjukkan oleh Ustaz Muiz sebelum ini memang menarik perhatian mereka. Cuma segelintir yang masih lagi tidak terkesan.

Aku menunduk kesal. Kalaulah sebelum ini aku bertindak lebih baik terhadap Ustaz Muiz. Aku teringat analogi rokok yang diberikannya waktu pertama kali kami bertemu. Dan langsung aku teringat satu ayat yang diberikannya kepadaku. Aku berlari keluar dari kelas. Harap-harap masih sempat mengejar Ustaz Muiz.

Ustaz Muiz sudah mahu masuk ke dalam kereta. Aku memanggil namanya. Ustaz Muiz memandangku. Tidak ada senyuman di bibirnya seperti biasa. Namun aku tidak akan mengalah.

“Ustaz, kembalilah. Jangan pindah,” pintaku. Ustaz Muiz kelihatan terkejut.

“Saya tahu saya jahat terhadap ustaz selama ini, tetapi saya betul-betul harap ustaz dapat terus bimbing saya dan rakan-rakan yang lain.”

Ustaz Muiz berfikir seketika.

“Ustaz, seseorang pernah berpesan kepada saya walau apa pun yang berlaku, jangan berhenti mencuba.”

“Siapa yang pesan?” dia memandangku.

“Ustaz.”

Ustaz Muiz senyum. Senyumannya telah kembali. “Kamu memang budak yang pandai.”

Ustaz Muiz telah mengajarku sesuatu yang cukup bermakna. Tidak ada istilah putus asa atau kecewa dalam kehidupan ini kerana hidup ini indah. Sebarang peristiwa yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Ustaz tidak serik mengajar kami. Dia merupakan seorang guru yang istimewa dan pendidik seperti inilah yang diperlukan oleh orang ramai.

Ustaz Muiz merangkul bahuku dan kami sama-sama menuju ke kelas 4 Dahlia. Ustaz Muiz masih ada misi untuk mendidik dan membentuk akhlak kami. Aku pasti akan mencuba yang terbaik. Dan jika ustaz mahu pindah, aku tidak akan berputus asa melakukan sebarang cara untuk menghalangnya pergi.

11 comments: