Pages

Friday, December 28, 2012

Azam Nurina Izzati!

2012 sudah sampai ke penghujungnya. Satu lagi tahun yang bakal ditinggalkan. Mengenang kembali apa yang saya dapat sepanjang tahun ini, memang banyak. Pengalaman pahit, manis, semuanya ada. Tambah yang paling bermakna, saya baru transfer ke sekolah baru. 

Jadi pelajar baru. Memang susah nak sesuaikan diri pada mula-mula, tetapi alhamdulillah lambat-laun berjaya juga sebatikan diri menjadi seorang pelajar KUSESS.

Apa yang sedikit menghampakan ialah azam saya tahun ini tidak tercapai. Too bad! Nak tengok apa azam saya? Tekan SINI. Itulah azam saya yang cuma tinggal harapan kosong. Tetapi tidak mengapa, jika tahun lepas tak dapat, insyaAllah saya akan cuba untuk 2013 pula. Bercakap tentang 2013, pastilah ramai yang sudah mula memasang azam baru, ataupun, mungkin ada yang tidak berazam lagi. Setiap orang ada harapan bermakna mereka yang ingin mereka laksanakan. Begitu juga saya.

Azam saya untuk 2013? Pertama, sudah pastilah SPM 9A. Tahun depan adalah tahun yang sangat mencabar buat saya dan rakan-rakan tingkatan lima yang lain. Sembilan subjek untuk dipertandingkan di olimpik SPM. Sudah tentulah saya mahukan keputusan yang terbaik untuk diri sendiri dan kedua-dua ibu bapa. Saya berharap sangat dapat realisasikan azam yang utama ini. Dengan keputusan yang cemerlang, barulah senang dapat kerja atau tawaran universiti yang bagus. Silap-silap boleh ke luar negara terus. 


Google

Azam seterusnya, saya nak cerpen saya tersiar dalam majalah. Tak salah kan pasang harapan? Tak kisahlah mana-mana majalah pun, asalkan majalah. Disebabkan kekangan untuk menghasilkan novel ketiga, saya sangat berharap azam yang ini tercapai. Sekurang-kurangnya, bila tengok cerpen tersiar dalam majalah nanti, dapatlah saya berpuas hati melihat nama saya sebagai penulisnya. Untuk pengetahuan anda, saya sudah berkali-kali mencuba untuk hantar cerpen dalam majalah sebelum ini, cuma rezeki belum sampai. Cerpen saya pastinya belum memenuhi piawaian. Tidak mengapa. Harapnya, azam ini akan tertunai. InsyaAllah.

Yang ketiga, saya teringin nak masuk Minggu Penulis Remaja (MPR) 2013. Saya mula tertarik untuk sertai program ini setelah terbaca dalam Dewan Siswa. Program yang mengumpulkan penulis-penulis remaja. Tetapi pemilihan untuk sertai program ini ditapis. Mungkin peluang saya tipis, tetapi tidak ada salahnya saya mencuba. Tak mustahil, tak mustahil. Saya target, lepas SPM, program saya ialah MPR!



Buat masa ini, itulah tiga azam utama saya untuk 2013. Dan bila kita berazam, sudah tentulah kita perlu berusaha untuk mendapatkannya. Jangan jadi seperti saya tahun lepas, azam jadi angan-angan kosong sahaja. Tapi kali ini, saya akan pastikan azam saya tercapai! Semangat Nurina Izzati! Dengan sokongan dan bantuan daripada semua orang, sudah pastilah saya akan menjadi lebih semangat lagi dalam merealisasikan impian itu. Semoga Allah bantu saya. Ameen. 

5 comments: