Pages

Tuesday, November 29, 2011

Muhasabah: Selangkah Ke Belakang #2


Terus menggerakkan angan dan cita

Bila hampir putus asa

Tuhan tunjukkan jalan-Nya

SMKSB. Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah. Semua orang belajar untuk menyesuaikan diri masing-masing dengan suasana sekolah menengah. Masing-masing cuba mencari rakan, cuba mencari tumpuan. Maklumlah, bila sekolah rendah semua cikgu ingat nama kita. Sekolah menengah adalah kehidupan baru. Saya, Aina dan Ayuni tidak sama kelas. Mencari sahabat adalah satu kekangan bagi saya kerana saya tidak petah berbicara. Hari pertama bayangkan, saya cuma sembang dengan kawan sebelah sahaja. Itu pun dia yang tanya. Namanya Nur Syahirah. Masih berkawan sehingga ke hari ini. Walau apa pun, menjadi sebahagian daripada Badlishans adalah sesuatu yang menggembirakan. 


Waktu itu, dunia penulisan saya agak tergantung. Saya terkontang-kanting dalam suasana baru. Tahun 2009 itu juga adalah tahun pertama di mana saya mula melibatkan diri dalam kancah blogging. Insan yang memperkenalkan dunia blog kepada saya ialah guru ICTL saya, Cikgu Izwanzuhairi. Meskipun dia mungkin tidak ingat bahkan dia mengenali pun saya sekarang ini, saya tetap akan mengingatinya. 

Tingkatan dua. 2010. Tahun itu adalah tahun yang paling bermakna kepada saya. Tahun novel saya diterbitkan. Tahun saya mengenali erti kesusahan. Tahun saya mengenal proposal, manuskrip dan pruf. Saya tidak akan melupakan juga insan-insan yang menarik saya ke dalam dunia penulisan. Cikgu Norhazany Hamzah, Encik Zakaria Sungib dan akhi Hilal Asyraf. Mereka membawa warna pada hidup saya. Tidak lupa pastinya yang memberikan dorongan, mum dan ayah. 

Cikgu Hazany, guru bahasa melayu saya. Beliau suka bercerita kisah-kisah menarik dan panjang lebar dalam kelas. Saya suka mendengar cerita-cerita beliau. Setiap kali peperiksaan, saya selalu mendapat markah tertinggi dalam bahasa melayu, juga bahagian C iaitu bahagian karangan. Bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, sama sekali tidak. Cikgu Hazany selalu puji saya. Namun hanya kepada Allah segala pujian itu diserahkan. Allah yang berikan saya sedikit kelebihan. Allah yang gerakkan saya. Alhamdulillah.

Saya rasa terdorong dengan segala dorongan Cikgu Hazany. Beliau pernah kata, “Nanti kamu cubalah terbitkan buku pula, Nurina.” Dan saya pegang kata-kata itu. Suatu hari, saya terjumpa majalah Anis. Ada tawaran menerbitkan buku dalam satu kolum majalah itu. Maka saya pun cuba bersuara kepada mum menyatakan hasrat saya. Alhamdulillah, mum bersetuju. Saya dengan semangatnya meneruskan penulisan novel pertama. Ketika Encik Zakaria beritahu proposal saya diterima, cuma Tuhan yang tahu betapa gembiranya saya ketika itu. Encik Zakaria, seorang penulis yang disegani, banyak membantu saya dan membimbing saya. Saya menulis sesuai dengan iringan beliau. Tetapi takdir Allah SWT, bila Dia berkata jadi maka jadilah. Komputer saya diserang virus. Pendrive juga turut rosak. Semua hasil kerja saya sebanyak 80% hilang begitu sahaja. 

Dalam diam, entah kenapa, titisan air mata tidak berhenti mengalir. Ya, saya menangis. Saya kecewa. Saya buntu, dan segala macam lagilah. Tarikh dateline cuma dua minggu lagi. Mum suruh saya beritahu Encik Zakaria, editor saya supaya minta masa untuk tangguh. Saya mendiam. Saya malu minta tangguh. Tidak pernah menyangka hal sebegini akan terjadi. Saya berdoa pada Allah. Pada ketika itu saya berkata, “Allah, bagilah penyelesaian semua ini.” Cuma itu yang sama minta. Cuma itu doa saya. 

Kemudian saya menerima kiriman emel daripada Encik Zakaria memberitahu tentang bengkel penulisan yang bakal dikendalikan oleh penulis Hilal Asyraf. Jujurnya, saya tidak tahu pun siapa Hilal Asyraf ni. Mum hantar saya ke bengkel penulisan tersebut. Subhanallah, semuanya tergerak di situ. Allah benar-benar membuka mata saya melalui Akhi Hilal. Berusia 21 tahun, beliau sudah menerbitkan lebih kurang lima buah buku dalam dua tahun. Beliau mengajar dan membimbing saya dalam dunia penulisan. 

Melalui satu bengkel, hati saya benar-benar tergerak. Beliau juga seorang blogger seperti saya. Tetapi jauh seribu kali lebih bagus daripada sayalah. Beliau mengajar cara berdakwah melalui penulisan. Banyak yang saya pelajari. Saya jadi kagum dengan akhi Hilal. Saya hendak membeli semua buku beliau yang dijual di bengkel itu, tetapi saya bukannya banyak duit. Saya cuma beli VT, Sinergi dan Remaja Mulia. Jujur. Saya sangat, sangat suka penulisan beliau. Ketika di bengkel itu juga saya bertemu Encik Zakaria. Mum suruh saya nyatakan hasrat minta tangguh. Dan saya geleng. Saya bertekad untuk memulakan dan menghabiskan semua ini dalam masa seminggu lagi yang tinggal.

Balik daripada bengkel, alhamdulillah, Allah kembalikan semangat menulis saya yang pernah hancur dulu. Saya seolah-olah boleh dengar Allah kata, “Kau minta penyelesaian, Aku berikan.” Subhanallah. Allah itu Maha Penyayang dan Maha Kuasa. Dalam masa seminggu, alhamdulillah saya berjaya menghabiskan novel pertama. Tetapi editor saya telah digantikan dengan Encik Amir yang baru bekerja di Galeri Ilmu. Tidak mengapa, asalkan dakwah saya boleh diterbitkan. Novel Single Unavailable diterbitkan sekitar Disember 2010.

Tahun 2011, saya susuli pula dengan penerbitan novel Idris dan Alif Ba Ta. Tahun ini juga, satu cabaran hebat bagi saya. Hari pertama persekolahan sahaja sudah mendatangkan cabaran besar. Cikgu Azizah, bekas pengetua merangkap pendidik saya memanggil saya untuk berucap di hadapan orang ramai. Ada pelajar tingkatan 3-6. Mungkin bagi anda berucap sebegitu cuma perkara kcil, tetapi bagi saya hal ini merupakan cabaran. Saya tidak petah berbicara. Namun saya gagahkan jua melangkah atas pentas, menceritakan tentang dakwah kepada couple. Bila sebut sahaja perkataan itu, orang macam mengejek pun ada. Bunyi macam-macam. Tapi saya teruskan juga ucapan sehingga ayat terakhir. Ucapan spontan.

Selepas itu, di mana-mana orang berbisik-bisik, “Inilah penulis novel tu.” “Itulah novelis sekolah.” Sampai masuk di kelas pun, cikgu-cikgu tegur. Dapat publisiti percuma saja. Malu. 

Saya pernah berjumpa dengan mereka yang meminati karya saya, bahkan ada yang sampai e-mel kepada saya. Ada yang ingin berjumpa, malahan ada yang menjadikan saya sebagai idola. Saya rasa tidak layak. Saya bukannya bagus sangat. Namun saya hargai semua insan yang menyokong saya dan sentiasa menolak saya dari belakang. Saya tidak akan melupakan jasa-jasa anda, insyaAllah. 

Doakan supaya perjuangan saya tidak tersasar. Hari esok masih belum tentu ada, tetapi kalau Allah izinkan saya untuk terus menjejak kaki di atas bumi ini, saya pasti akan berusaha membaiki lagi kekhilafan diri di samping menebarkan ilmu agama melalui al-Quran dan as-Sunnah. Saya ingin menjadi salah satu daripada pejuang Allah. Segala apa yang saya kerjakan, saya harap Allah redha. Perjalanan ini masih panjang…

-Tamat-

2 comments:

  1. mohon share di blog dan km akn tag nurina..seyesly, trhru bca post ni..seys nak menangis..menusuk kalbu..well done my friend :')

    ReplyDelete
  2. @Little Girl
    Silakan. Tetapi rasanya tidak ada apa sangat pun dalam entry ni. Terima kasih sebab baca. ^^

    ReplyDelete