Pages

Monday, November 28, 2011

Muhasabah: Selangkah Ke Belakang #1


Setiap hasil bermula daripada usaha

Ada tangan-tangan yang menghayunkan

Namun tangan Allah jua yang terbaik…

Semalam saya tidur lambat. Membuat sesi berkongsi kisah dan pengalaman bersama adik tersayang. Rakan gaduh, rakan bergelak tawa saya. Semenjak abang masuk UIAM (Universiti Islam Antarabangsa) dan kakak meneruskan perjuangan di SMSKP (Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu), saya cuma mampu curahan dengan adik. Saya bukanlah seorang yang jenis peramah dan sedia untuk berkongsi semuanya dengan orang lain. Saya lebih menyendiri, lebih privasi. Tetapi alhamdulillah, Allah tetap kurniakan saya sahabat-sahabat yang boleh dipercayai untuk curahan.


Saya menceritakan kembali kepada bagaimana proses sehingga saya berhasil menerbitkan novel pertama seterusnya disusuli yang kedua. Biasalah, hendak berjaya pun ada asam garamnya juga. Dalam hidup saya, selain agama, pelajaran, keluarga, guru, sahabat, saya juga fokus terhadap dua benda iaitu penulisan dan blogging. Dan saya melewati kesulitan dalam kedua-duanya. Saya coretkan kisah di blog peneman ini tiadalah melainkan untuk membuat satu lagi perkongsian dengan anda. Bagi saya, hidup adalah tentang perkongsian.

Saya memang minat menulis sejak kecil. Antara cerita terawal yang saya reka sekitar usia enam tahun, adalah sebuah kisah tentang kucing. Ya, saya akui imaginasi saya agak berlebihan ketika itu. Saya menceritakan bagaimana kehidupan seekor kucing yang membesar bersama sebuah keluarga. Agak lucu sebenarnya jika dibaca kembali. Saya masih menyimpan salinan buku (tak pasti jika boleh dipanggil buku) yang berjudul Kisah Siti. Siti adalah watak utama cerita tersebut. Kucing itu pula bernama Hello Comel. Mungkin saya terlalu suka pada Hello Kitty pada ketika itu. Hasilnya ada lah sekitar 20 halaman termasuk isi kandungan dan cover hadapan yang cuma ada tajuk.

Ayah yang mengajar saya menggunakan Microsoft Word. Kadang-kadang, ayah yang bantu saya taip. Ayah hendak saya berdikari dan belajar menggunakan Microsoft Word sendiri. Ketika itu Microsoft Word 2007 dan 2010 belum ada lagi. Saya berasa puas setelah ayah print hasil kerja saya itu. Kenangan pertama saya dalam dunia penulisan, tak akan saya lupa. Kalau ada permintaan, bolehlah saya kongsikan cerita budak enam tahun yang tinggi imaginasi itu di blog. TANPA SEBARANG EDITING. Kalaulah ada orang yang nak baca… ada ke? Bila masuk sekolah rendah, saya cuma sekadar menulis cerita-cerita pendek, ringkas-ringkas dalam buku latihan sekolah. Percaya atau tidak, saya masih menyimpannya sehingga kini. 

Sekolah rendah, saya mula bergerak secara berkumpulan. Saya dan rakan-rakan pengawas yang lain mempunyai minat dalam penyiasatan. Terdapat banyak budak-budak nakal di sekolah, suka cari masalah. Biasalah, nama pun budak-budak. Kemudian entah bagaimana kami dapat idea untuk menulis cerita penyiasatan. Kami menubuhkan kumpulan Sazana, gabungan daripada nama saya dan rakan-rakan iaitu Siti Sarah Safina, Aina Zalia Izzati, Mohamad Zulhelmi, Siti Nur Ayuni, Nurina Izzati (saya) dan Nur Atiqah. 

Sarah dan Ayuni bukan pengawas, tetapi kami bersahabat baik. Kami membahagikan tugas untuk membukukan kisah tentang penyiasatan. Sayang sekali, tidak ada satu salinan pun yang kami simpan. Semua sudah hilang. Ada sekitar 20 buku jika tidak salah. Cuma nipis sahaja. Saya dan Aina Zalia Izzati merupakan penulis cerita. Aina memang banyak imaginasi. Kami sekepala. Cuma bezanya dia banyak cakap sedikit dan saya kurang. Zulhelmi dan Ayuni kami serahkan tugas-tugas printing. Sarah dan Atiqah pula uruskan penyewaan. Penyewaan? Ya, kami sewakan buku-buku tersebut kepada rakan-rakan seusia dengan harga tidak lebih daripada 50 sen pun. Selepas baca, mereka pulangkan kembali dan giliran orang lain untuk menyewa. Alhamdulillah, agak mendapat sambutan.

Ketika itu, saya belum lagi mengenali dunia dakwah dan tarbiah, jadi kami cuma fikirkan keseronokan dan kepuasan hati pembaca. Kami berkongsi cerita. Dan mereka suka. Bersama Sazana, saya lakukan pelbagai aktiviti. Namun disebabkan masalah yang tidak dapat saya kongsikan di sini, Atiqah menarik diri daripada kumpulan dan kami rasa kekurangan seorang Sazana. Alhamdulillah, tidak lama pun kami dapat menarik ahli baru iaitu Azam, sahabat baik Zulhelmi. Kami mula menceburkan diri dalam bidang lakonan. Kebetulan ada minggu English di sekolah. Mana-mana pelajar yang membuat persembahan dalam bahasa inggeris akan diberikan imbuhan. 

Minda saya dan Aina bertembung. Kami tahu apa yang patut kami lakukan. Saya cari buku cerita bahasa inggeris di perpustakaan. Berhari-hari jugalah baru jumpa buku yang sesuai. Cerita yang ingin dilakonkan itu adalah tentang tiga adik-beradik yang termasuk dalam dunia fantasi dan cuba menyelamatkan diri daripada ancaman seekor naga. Azam yang menjadi naga. Saya juga bertindak sebagai pencerita. Ketika hari lakonan, ada peristiwa yang tidak diduga terjadi iaitu Aina tersadung wayar mikrofon di hadapan khalayak ramai. Kalau Aina baca bingkisan ini, mesti dia rasa nak belasah saya. Hehe. 

Selepas lakonan itu, kami teruskan pula membuat buku dalam bahasa inggeris. Lakonan tersebut benar-benar memberikan inspirasi kepada saya untuk menulis. Aina kata dia tidak pandai sangat bahasa inggeris, jadi saya yang menulis ceritanya. Tetapi tidak ada sambutan pun kerana saya dapati pelajar-pelajar pada ketika itu lebih menggemari penulisan dalam bahasa yang mudah mereka fahami. Oh well, saya sembunyi sorang-sorang sebab tak ada siapa nak baca. XD

Ketika hendak memilih untuk ke sekolah aliran apa, saya sempat bertanya kepada ibu bapa. Mum kata masuklah sahaja ke sekolah aliran sains seperti abang dan kakak. Saya tidak membantah meskipun sebenarnya teringin hendak masuk sekolah aliran agama. Saya tidak meluahkan hal itu. Namun hari ini, mencermin kembali di mana posisi saya, saya tidak pernah menyesali hal itu. Saya bersyukur dengan kehidupan saya. Tidak ada ruginya masuk sekolah sains. Sekarang sudah menjadi sekolah kluster pula tu. 

Masuk ke sekolah menengah yang sama ialah saya, Aina dan Ayuni. Sarah sudah terbang ke United Kingdom kerana ibunya, guru yang pernah mengajar saya subjek bahasa inggeris melanjutkan pelajaran di sana. Azam pula bersekolah di sekolah lain. Zulhelmi juga begitu, tetapi tidak lama kemudian berpindah masuk ke sekolah saya. 


Bersambung …

7 comments:

  1. best nyer kisah hidup u.. anyway it is nice entry.. i enjoyed it...
    i'm done following u..
    klau rajin.. singgah lah ke tratak sy...
    http://marimari-moneq.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Miss Nurina Izzati, i wnna rent all your stories especially Hello Comel..hehe..cutenya dgr x)) i'll see u before result pmr kuar okeyh x? ;D

    ReplyDelete
  3. @Little Girl
    Macam tak ada orang nak baca pun.. hehe. InsyaAllah.

    ReplyDelete