Pages

Tuesday, November 1, 2011

Cerpen: Peluang Kedua

“Jadi, macam mana? Kau jadi temankan aku petang esok?” Arif merenung sisi wajah Soleh tatkala mereka sedang membeli makanan di kantin. Soleh cuma mendiamkan diri dan mengatur langkah ke meja makan. Arif mengerutkan dahi, hairan dengan perangai Soleh. Dia juga ikut melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Soleh.

“InsyaAllah, aku usaha,” pendek Soleh menjawab. Kali ini, Arif merenung tepat wajah sahabat baiknya itu. Usaha? Apa maksud Soleh? Dia ada rancangan lain ke esok?

“Aku bukannya apa Soleh, aku betul-betul harap kau boleh ada dekat pesta buku sekolah esok. InsyaAllah, kalau kau ada, tak adalah aku gugup masa beri ucapan nanti,” Arif mengukir senyum indah. Soleh cuma mengangguk sambil menyuapkan mi goreng ke dalam mulutnya.


***
“MasyaAllah, aku dah lambat ke pesta tu!” Soleh bergegas menyarungkan baju sukan sekolah yang sudah disediakan sedari semalam. Pesta buku yang julung kali diadakan di sekolahnya itu telah lima belas minit bermula. Soleh pantas mencapai basikalnya dan mengayuh lagak pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang.



“Mesti Arif marah aku,” desis hati kecilnya. Disebabkan jalan utama ke sekolah dipenuhi kenderaan pada waktu petang, Soleh memutuskan untuk menggunakan jalan sempit yang agak berliku. Dia mahir dengan jalan di situ kerana sering menggunakannya. Namun di pertengahan jalan, Soleh berhenti tatkala mendengar namanya dipanggil beberapa orang. Soleh menoleh ke belakang.



“Soleh, kau dah fikir masak-masak tawaran kami,” seorang remaja berusia sekitar tujuh belas tahun yang berambut kerinting menyoal. Soleh terdiam seketika sambil berfikir.



“Err, maaf. Aku ada janji dengan Arif.”



“Kau yakin?” Seorang lagi yang bermisai menyoal. “Kalau kau ikut kami, kau akan dapat berkenalan dengan Humairah. Kau juga dapat sesuaikan diri dengan kawan-kawan yang lain. Kalau kau terus berkawan dengan Arif, apa yang kau dapat?”



Soleh berfikir panjang. Humairah. Dia sangat ingin mengenali empunya nama itu. Dan peluang yang datang sekali seumur hidup ini sangat sukar dilepaskan begitu sahaja. Beberapa hari lalu, Ikhlas dan rakan-rakan yang lain mengajak Soleh melepak di sebuah kompleks beli-belah, tempat ayah Humairah bekerja. Soleh ragu-ragu untuk menerima ajakan mereka kerana telah berjanji dengan Arif.



“Aku dengar, hari ni Humairah temankan mak dia sampai habis bekerja,” Ikhlas menokok tambah sambil merenung kedua-dua anak mata lelaki di hadapannya. Soleh menarik nafas panjang, kemudian menutup matanya. Maafkan aku, Arif. Humairah lebih penting.



“Baiklah, aku setuju.” Ikhlas dan rakan-rakannya tersengih. Soleh membuntuti pergerakan Ikhlas. Perjalanan ke kompleks merebut masa hampir dua puluh minit. Namun, semua itu tidak menjadi halangan buat Soleh asal dia dapat menemui gadis yang bernama Humairah itu. Soleh tersenyum sendiri.



“Aduh, ramailah pengunjung hari ni!” Ikhlas merungut. “Tapi tidak mengapa, yang penting kita bersuka-ria!”



“Apa maksud kau? Bersuka-ria?” Soleh mengerut kening.



“Ya lah. Kau jangan banyak cakap. Perempuan sebenarnya sukakan orang yang cool,” ujar Ikhlas seraya menarik lengan Soleh supaya membuntutinya. Soleh kemudiannya dibawa ke sebuah pusat permainan. Beberapa keeping duit syiling miliknya ditukarkan kepada kepingan koin supaya mereka dapat memulakan permainan.



“Err, aku tak pandailah main benda-benda macam ni.”



“Belajar!” serentak yang lainnya bersuara. Hampir satu jam mereka melepak di situ. Soleh juga terikut-ikut dengan kumpulan yang tidak tahu hala tuju mereka itu. Ikhlas lantas mengajak Soleh ke tempat kerja ayah Humairah. Sebuah kedai buku. Ayahnya yang mengasaskan kedai tersebut. Pandangan mata Soleh meliar di sekitar kawasan itu. Kebanyakan buku-buku yang terjual adalah buku-buku islamik, sirah dan motivasi. Soleh sempat membelek sedikit demi sedikit buku-buku yang ada di situ.



Ikhlas mendekatkan bibirnya ke telinga Soleh sambil berbisik, “Kau ada bawa duit lebih?” Soleh mengangguk. Tanpa mempedulikan judul buku yang berada di tangannya, Ikhlas menyerahkannya kepada Soleh. Dia menunjuk tepat ke arah kaunter, member isyarat supaya Soleh segera membayarnya. Tatkala melabuhkan pandangan ke kaunter, hati Soleh berdegup kencang. Tidak semena-mena. Seorang gadis yang sering dilihatnya selama ini, baik hati dan tidak pernah lekang dek senyuman.



“Pergi cepat. Buat-buatlah tanya apa yang kau nak. Kami pasti akan tolong kau.” Ikhlas menolak belakang tubuh Soleh. Tubuh ringan itu tergerak ke hadapan. Setapak demi setapak diatur. Buku diletakkan di atas kaunter.



“Be..berapa ya?”



Gadis itu membelek-belek halaman belakang buku tersebut. “Dua puluh sahaja.” Soleh mencari-cari dompetnya. Pandangan matanya dapat melihat Ikhlas dan rakan-rakannya yang berpura-pura membelek buku di kedai itu. Ikhlas memberikan isyarat supaya dia memulakan sedikit perbualan.



“Ayah mana?”



“Ayah, ada hal di luar sekejap.”



“Tak apakah jaga kedai ini sendirian?” Humairah menggeleng sambil meletakkan buku tersebut ke dalam beg plastik. Seketika kemudian, Soleh terdiam melihat respons Humairah yang tidak melayannya.



“Jarang orang muda macam awak beli buku ni,” wang dua puluh ringgit bertukar tangan.



“Oh, saya memang suka buku-buku macam ni,” balas Soleh tanpa sedar apa yang dibicarakannya. Fokusnya hanya satu, iaitu seorang Humairah yang sedang berdiri di hadapannya, meskipun dihalang oleh kaunter. Setelah beberapa minit berlalu dan menyedari tidak ada respons lagi daripada gadis itu, Soleh akhirnya beredar meninggalkan tempat tersebut. Dia tersenyum sendiri.



Ikhlas mengangkat dua jari tanda thumbs up. “Ada kemajuan!” Soleh masih tersengih. Ini merupakan kali pertama dia memberanikan diri menegur seorang perempuan seperti itu.



***

“Soleh! Soleh!” Arif mengejar Soleh ketika mereka sedang bersama-sama menjalani latihan riadah pagi di padang. Soleh memperlahankan lariannya, namun tetap berharap agar Arif tidak menyoal tentang ketiadaaannya semalam. Dia serba salah.



“Kenapa kau tak datang semalam? Penat aku tunggu kau. Mak kau sakit ya?” Arif bersungguh-sungguh menginginkan jawapan. Dia begitu cemas sekali semalam memikirkan sekiranya ada apa-apa kejadian yang tidak diingini menimpa diri sahabatnya sepanjang perjalanan ke sekolah. Soleh menggeleng perlahan.



“Mak kau sakit apa?”



“Arif, aku betul-betul minta maaf sebab tidak dapat datang semalam. Aku rasa serba salah,” tanpa disedari, Soleh mengeluh kecil.



“La, kenapa pula kau rasa serba salah? Dah mak kau sakit. Bukannya kau saja-saja tak datang,” sekuntum senyuman dilontarkan Arif. Manis. ‘Ahh, Arif, kau memang kawan aku yang terbaik. Kau percayakan aku, walaupun aku bohong,’ monolog si pesalah itu. Dia kemudiannya memecut laju ke hadapan, meninggalkan Arif.



“Arif!” panggilan spontan dari belakang mengejutkan remaja itu. Ikhlas?



Arif meneruskan lariannya, membiarkan Ikhlas bercakap dari belakang. Senior sekolah yang suka melepak itu memang sering mengganggu pelajar-pelajar di sekolah. Malas dilayan.



“Aku dengar kau menggigil-gigil masa berucap semalam,” hamburan tawa yang kuat kedengaran. Arif memerhatikan Soleh yang sudah jauh berlari meninggalkannya. Dia tidak mahu Soleh tahu bahawa dia tidak dapat berucap dengan lancar semalam kerana risaukan Soleh. Khuatir Soleh makin serba salah. Larian diteruskan.



“Oh ya. Lagi satu, kenapa kau tak pernah beritahu aku Soleh pandai main game?” Ketawa lagi, namun perlahan-lahan menghilang. Larian Arif terhenti. Ikhlas sudah bergerak pergi. Soleh… betulkah apa yang aku baru dengar ni?



“Baiklah semua! Masa rehat! Lima minit sahaja,” teriak Cikgu Sanusi yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak sekolah. Arif mengambil posisi rehat di bawah pohon yang redup, bukan seperti hatinya yang mendung, menunggu bila-bila masa sahaja untuk memuntahkan hujan.



“Arif, aku minum air kau sikit,” Soleh benar-benar dahaga saat itu. Tekaknya terasa nyaman sewaktu air melaluinya.



“Soleh, dekat tempat kerja ayah Humairah yang selalu kau ceritakan tu, ada game tak?” Arif menyoal ingin tahu.



“Oh, ada. Permainan di situ semuanya menarik. Aku boleh menang sekejap sahaja,” Soleh bercerita bersungguh-sungguh. “Arif, boleh tak aku pinjam topi kesayangan kau nanti bila kita pergi rumah Hisyam esok? Bolehlah.. kau kan kawan baik aku.”



“Aku tak pergi.” Soleh terdiam. Arif tidak pergi? Padahal sebelum ini dia yang beria-ria mengajaknya pergi bersama. “Dan aku bukan kawan baik kau.”



“Kejap, kejap. Apa? Tapi kenapa?” Soleh mengerut dahi tanda tidak percaya. Kenapa?



“Sebab kau tak boleh renung mata aku dan katakan yang kau keluar dengan Ikhlas semalam.” Arif menapak langkah pergi, membawa hati yang dikhianati. Soleh tidak percaya. Mana Arif tahu semua itu? Cuma kumpulan Ikhlas sahaja yang tahu.



“Arif.. Arif!”



“Apa lagi? Tak cukupkah dengan pembohongan kau? Kan lagi senang kalau kau berterus-terang. Aku tak sangka kau boleh buat aku macam ni. Aku ingat kita kawan baik,” nada suara Arif sedikit meninggi. Bengang.



Bahu lelaki itu disentuh. “Rif, kita memang kawan baik.”



“Kawan baik apa yang berbohong dengan kawan baiknya sendiri? Sudahlah Soleh…” Arif menolak tangan Soleh jatuh.



“Arif, aku memang nak berada dengan kau. Saat-saat kau perlukan aku, aku ingin sekali dapat tolong kau. Tetapi aku tersalah membuat pilihan. Aku biarkan diri aku terhanyut dengan pujukan manis Ikhlas dan kawan-kawannya. Aku biarkan hati aku dipenuhi dengan gadis yang bernama Humairah. Tapi akhirnya aku sedar, dia langsung tidak berminat dengan aku. Aku belajar, yang aku kena sayangkan orang yang menyayangi aku, bukan orang yang aku sayangi. Aku betul-betul menyesal. Aku harap kau dapat beri aku peluang kedua. Tolong, Arif?”



Arif mendiam. Angin pagi itu menampar lembut wajahnya. Dia tahu, memaafkan adalah ubat yang terbaik untuk seseorang.



“Aku boleh bagi kau peluang kedua, tetapi kau kena janji dengan aku sesuatu.”



“Janji apa?”



“Kau akan maafkan aku sebab aku emosi tadi. Kira macam 1-1 la. Boleh?”



Soleh tersengih manja, “Apa sahaja untuk kau.” Arif merangkul bahu Soleh dan berjalan bersama-sama menuju ke padang sekolah. Cikgu Sanusi sudah menunggu.



“Jadi kau kata nak pinjam topi aku tadi? Kau dah jumpa baju yang sesuai? Nak aku carikan? Mesti Humairah nanti suka.”



Soleh menyinggung lengan Arif. Mereka berdua kemudiannya tertawa mesra. Ukhuwah kembali mekar dalam diri masing-masing. Ternyata, memaafkan mungkin bukan perkara yang mudah, tetapi ia merupakan ubat kepada sesuatu yang pahit.

2 comments:

  1. dia beli buku apa tu? entah2 buku ttg wanita .. tu yg humaira' cakap ' jarang pemuda mcm awak beli buku mcm tu' .. hehe. saja menokok tambah cerita pulak..

    btw, best ! :)

    ReplyDelete
  2. @Ariffah9
    hehe. kalau betul dia beli buku wanita mesti lawak. ada2 saja la anti ni..
    thanks for reading anyway
    ^^

    ReplyDelete