Pages

Tuesday, June 28, 2011

Dingin Cerita Luka-2

Atif duduk di bangku berhadapan dengan bilik doktor. Dia berada di sebuah klinik swasta, tempat biasa yang perlu dikunjunginya setiap bulan. Sedar tidak sedar, sudah setahun lebih dia menjalani rutin yang sama ... bererti sudah setahun lebih jugalah dia berpisah dengan Saqirah. Saqirah sedih, dia lebih sedih. Kata-kata perpisahannya pada Saqirah bukan setakat menyakiti Saqirah, tetapi juga hatinya.

Berkorban demi cinta pada Ilahi. Itu pilihannya. Biarkan dia bersedih sendiri. Biarkan Saqirah menganggap dirinya kejam. Lambat-laun Saqirah pasti mengerti pilihannya itu. Gadis itu bukan calang-calang muslimah. Cuma dia belum tahu kesalahan perhubungan itu. Pasti nanti ada yang akan menerangkan padanya.

Alasan kedua dia meninggalkan Saqirah ... mahu Saqirah benci akan dirinya. Biar luput sayang Saqirah padanya. Itu amat perit. Sesekali dia kalah juga dengan tetap menyapa gadis itu di jalanan. Namun kebencian Saqirah padanya adalah perlu. Agar nanti air mata gadis itu tidak tumpah di pusaranya.

"Atif, mama harap Atif tak berputus harap. Jangan putus asa dengan rahmat Allah,"kata-kata Puan Nusrah yang mesra disebut 'mama' itu terngiang-ngiang di telinganya. Sungguh, mama tidak berputus asa terhadap nyawanya. Atif tahu, mama sebenarnya sudah jenuh menangis sejak mengetahui keadaannya, tetapi mama tetap kuat ... kerana mama sayang akan Atif. Kasih ibu sampai ke syurga.

Atif pengubat rindu mama sejak pemergian arwah papa. Antara ketiga-tiga anak mama, wajah Atif paling seiras dengan wajah arwah papa. Mungkin kerana Atif zuriat terakhir peninggalan arwah papa, yang telah lahir sehari selepas pemergian papanya. Kini ... Atif semakin hampir menuruti papanya pula. Lantas, siapakah nanti pengubat rindu mama? Soalan itu, hanya Allah yang tahu jawapannya. Sesungguhnya Dia yang mampu membolak-balikkan hati manusia.

"Maksud mama?"

"Doktor jangkakan Atif hanya ada tiga bulan lagi di dunia ini. Tapi sayang, sungguh, mama tak percaya. Mama redha tapi mama tak percaya. Doktor bukan tuhan. Dia tak dapat jangka suratan Allah seratus peratus tepat. Atif kena kuat dan sabar,"ujar Puan Nusrah. Atif tidak terkejut. Dia telah menduganya. Dan dia tahu ... mama sedang melarikan diri daripada kenyataan. Biarpun dia juga berharap kata-kata ibunya menjadi kenyataan, dia sedar, dia perlu bersedia untuk segalanya.

"Atif faham, mama. Atif janji, Atif akan tetap kuat. Tapi, andainya ajal Atif dah sampai ... mama doakanlah Atif bahagia di 'sana',"ujar Atif. Tangannya diletakkan di atas belakang tangan mama. Sungguh ... dia mahu bertahan demi mama, tetapi itu bukan kekuasaannya untuk menentukan.

Tanpa disedari, seseorang sedang memerhatikan tingkah laku dua beranak itu sebelum berlalu dari dispensari klinik tersebut.

*********

"Amira, kenapa dengan engkau? Nampak macam takut-takut saja sejak petang tadi,"soal Syaza. Dia dan Amira baru sahaja pulang dari tapak kem masing-masing. Mereka kini sedang berehat di dorm aspuri.

"Mananya tak takut, nyaris-nyaris nyawa nak melayang pagi tadi. Alhamdulillah sebab Allah masih izinkan aku hidup lagi,"ujar Amira. Rasanya dia perlu bercerita dengan Syaza untuk menghilangkan fobianya pagi tadi.

"Wei, lama aku tak dengar kau sebut alhamdulillah! Dah bertaubat ya?"tanya Diyana yang entah dari mana datangnya. Selamba dia duduk di sebelah Amira tanpa meminta izin. Dia tua beberapa tahun berbanding Amira, tetapi dia tidak pernah kisah tentang jarak umur mereka.

"Memanglah taubat, ajal dah betul-betul depan mata pagi tadi. Kalau tak Kak Saqirah yang tolong, tak adanya kau jumpa aku sekarang ni!"ujar Amira. Biarlah Diyana ketawa. Dia tidak peduli. Benar, ajal itu dirasakan terlalu dekat saat dia tergelincir di cerunam tadi. Sebaliknya Diyana tidak ketawa. Wajahnya kelat.

"Wei, Liza! Budak bertuah ni kata Qirah selamatkan nyawa dia,"seru Diyana kepada rakan sekepalanya, Liza. Liza membeliakkan matanya.

"What? Are you somehow making the joke of the year?"soal Liza. Sungguh dia tidak percaya kata-kata Diyana.

"Tak payah buang tenaga cakap bahasa asing dengan aku. Aku cakap, budak ni kata Qirah selamatkan nyawa dia. Berapa peratus akal kau boleh terima perkara tu sebagai logik dan masuk akal?"tanya Diyana selamba.

"-0.0000001%,"jawab Liza semula. Sedikitpun dia tidak percaya hal itu. Saqirah selamatkan junior? Ini namanya lawak yang memang tidak kena pada tempat dan masa. Saqirah yang keras hati? Saqirah yang tidak pernah senyum, hatta apabila bertemu dengan mereka yang merupakan rakan sekelasnya sejak tingkatan satu sehinggalah menjadi jurulatih di Kem Latihan Khidmat Negara ini? Betullah dunia sudah mahu terbalik.

"Kak Didi, Mira serius ni. Kak Qirah selamatkan Mira. Tadi Mira tergelincir di cerunam bukit sana. Memang Mira dah pejam mata dan mengucap masa tu. Badan dah rasa nak melayang. Tiba-tiba saja badan rasa tak menjunam ke bawah. Sekali tarik, Mira dah terduduk di atas tanah semula. Buka saja mata, nampak Kak Qirah. Dia pakaikan baju sejuk ni pada badan Mira,"Amira menghalakan telunjuknya kepada baju sejuk yang sedang dipakainya.

"Lepas tu?"tanya Liza sekadar memancing. Rasanya dia tahu perkara yang mungkin dilakukan oleh Saqirah.

"Dia pergi,"jawab Amira.

"Aku berani bertaruh dengan kau, Mira. Betul kan kalau aku cakap budak tu memang tak senyum seulas pun pada kau, dan langsung tak tanya keadaan kau?"duga Diyana. Amira lambat-lambat mengangguk. Rasanya Liza dan Diyana tidak suka akan Kak Qirah. Tapi kenapa?

"That's what she is,"ujar Liza selamba. Kemudian Diyana pula menyambung,

"Dia tu selamatkan kau sebab terpaksalah agaknya. Budak tu mana pernah ambil tahu hal orang. Dia jaga tepi kain dia saja. Kain rakan sebelah terkoyak pun dia tak tegur, apatah lagi nak tolong jahitkan. Serius cakap, dia tu bukan baik sangat."

Syaza dan Amira saling berpandangan. Diyana dan Liza pula sudah kembali ke katil masing-masing. Lampu dorm akan dimatikan lima minit lagi. Melihat pemergian Diyana dan Liza, Syaza dan Amira berbaring di katil masing-masing.

"Mira,"panggil Syaza perlahan. Dia tidak perlu berbisik kerana katil mereka agak jauh dari katil Diyana dan Liza.

"Ya?"

"Aku tak rasa Kak Qirah sama macam apa-apa yang mereka katakan. Aku yakin, Kak Qirah tak adalah 'jual ikan' seperti pandangan mereka. Aku pasti Kak Qirah baik sebenarnya,"ujar Syaza penuh makna.

"Kenapa kau pasti sangat?"

"Petang tadi, aku pun diselamatkannya di terminal permulaan flying fox. Tangan dan muka dia cedera kerana nak selamatkan aku. Aku rasa bersalah sangat. Tapi aku tak sempat dekati dia sebab dia lebih dulu pergi jauh. Tak nak orang lihat luka dia agaknya,"cerita Syaza disambut senyuman Amira.

"Betullah seperti pepatah Inggeris, jangan dinilai sesebuah buku hanya berdasarkan kulitnya,"Amira menyimpulkan kata-kata Syaza.

"Aku setuju tiga juta peratus dengan kau,"jawab Syaza. Pendapat Diyana dan Liza ternyata gagal mempengaruhi fikiran mereka. Bukan semua persepsi majoriti itu realiti.

"Sudahlah tu, Syaza. Baik kita tidur. Esok ada aktiviti merentas halangan lagi. Malam pula kena nightwalk. Alamatnya pukul dua pagi baru gaya nak cecah bantal. Baik lepas rindu puas-puas dengan bantal ni,"ujar Amira. Kemudian Syaza sudah dibiarkan bercakap seorang diri andai gadis itu mahu bercakap lagi. Dia mahu melelapkan matanya dan menyediakan fizikalnya untuk hari esok.

Bukan semua persepsi majoriti itu realiti. Itu hakikat yang perlu ditelan. Kita selalu meletakkan satu tembok pada pemikiran sendiri, yang mana jika ramai yang bersepakat, maka tuduhan didakwa benar. Namun tidak semuanya begitu ... pasti satu dalam seribu.

No comments:

Post a Comment