Dingin Cerita Luka-1

"Allah!"getus Amira sendirian. Matanya terpejam rapat, reaksi biasa insan dalam ketakutan. Tubuhnya seakan menggeletar. Di pinggir gaung itu, dia sedar, sekelip mata sahaja tubuhnya bakal mencium batu keras di bawah. Ucapan syahadah sudah dilafaz sendirian. Adakah Izrail bakal menjemputnya?

Tidak. Tubuhnya tidak lagi menjunam bersama graviti. Lengannya terasa dicengkam. Ya, seseorang telah menggenggam kukuh lengannya. Tanpa diduga, sekali tarik sahaja dia sudah berada semula di tepi gaung tadi. Cuma tadi dia berdiri dan sekarang dia terduduk.

Dalam keadaan menggigil ketakutan, ditambah suhu dingin pergunungan, Amira lambat-lambat membuka mata, biarpun masih berpeluk lutut. Sebentar kemudian, terasa tubuhnya dibalut. Amira mengerling tubuhnya sendiri. Nyata ada jaket yang diletakkan ke tubuhnya. Seketika kemudian, pandangannya menala ke sebelah. Siapakah utusan Allah yang menyelamatkannya?

"Kak Qirah?"lafaz Amira. Wajah beku itu dipandang lama oleh Amira. Tiada reaksi daripada Saqirah. Gadis itu terus berdiam diri. Pandangannya kosong, tetapi tetap menjamah tubuh Amira. Seketika kemudian, tanpa lafaz salam, terus sahaja Saqirah melangkah pergi meninggalkan Amira.

Itulah dia, gadis tanpa perasaan.



**********




Di Kem Jati Diri ...



Syaza leka membetulkan pelindung tangannya. Sebentar lagi dia akan melaksanakan aktiviti menuruni tembok. Nama aktiviti itu ada disebut oleh jurulatih tadi, tetapi dia sudah ingat-ingat lupa. Abcelling, abscelling? Atau mungkin apa-apa link yang berkaitan, dia tidak pasti.



Tanpa disedari, berlaku kelonggaran pada pemasangan tali di atas terminal permulaan aktiviti flying fox, menyebabkan sebuah alatan besi yang perlu digunapakai oleh peserta nanti terus melayang ke bawah ... tepat menjunam ke atas kepala Syaza.



Namun tindakan pantas seorang gadis telah berjaya menarik semula tali itu. Dek kekuatan momentum hasil pertembungan daya tarikan dan junaman, alatan besi yang tajam lagi berat itu, tidak melukai tubuh Syaza walau seinci.


Sebaliknya, gadis yang menarik itu dicederakan oleh alatan tersebut. Wajahnya terguris, menghasilkan luka yang dalam. Darah membuak-buak dari luka di pipinya itu. Walaubagaimanapun, dia tidak panik. Sapu tangan diambil dari dalam poket dan ditekap ke muka. Tangan kiri digunakan, kerana tangan kanannya turut terguris luka dek hentaman alat tajam itu. Aurat lengan yang dipakainya bersama baju lengan pendek itu terkoyak. Darah mengalir bagaikan hujan, tetapi tidak disedari orang lain melainkan Syaza.


Saqirah melangkah lemah dengan tangan kiri menutup luka di wajah. Seketika cuma, sebelum dia melabuhkan punggung, mencapai kain pembalut dalam peti pertolongan cemas dan membalut luka sendiri di tangan. Luka di pipi dibiarkan.



Seketika kemudian, aurat lengannya yang terkoyak ditukar dengan yang baru. Sudah lama sebenarnya dia terbiasa membawa aurat lengan yang lebih untuk tuntutan kecemasan. Wajahnya kekal tidak beriak.



Syaza tidak perasan. Tetapi dia tersedar apabila melihat alatan besi yang berada di atas kini di bawah. Kemudian, dia terlihat seorang senior yang dikenalinya sedang duduk membelakanginya.



Kak Saqirah. Gadis dingin berhati beku.


************




"Assalamualaikum, Qirah,"ujar Atif. Senyumannya mekar menghiasi bibir. Ternyata dia belum melupakan Saqirah, gadis manis yang dikasihinya sejak dahulu ... namun terpaksa ditinggalkannya. Suatu hari, dia pasti kembali pada Saqirah. Itu janji hatinya.



Saqirah memandang sekilas. Riak wajahnya tetap tiada reaksi. Dia seperti enggan berbicara dengan sesiapa, leka dalam kesunyian sendiri. Pandangannya kosong. Tanpa menzahirkan jawapan salam, gadis itu berlalu pergi meninggalkan Atif sendirian.


Atif terkesima. Jujur dia terkilan. Saqirah benar-benar telah berubah, terlalu berubah.


***********




"Awak, saya nak berbahagia dengan awak di syurga nanti. Saya tak mahu kehilangan awak. Awak terlalu bererti untuk saya,"ujar Atif lembut ketika sedang makan bersama Saqirah. Saqirah tersenyum. Dia tahu, hatinya juga serupa.


"Saya juga sama. Awak ... saya ada satu impian dalam hati saya. Mungkin orang kata tidak logik atau melebih-melebih kerana kita masih di bangku sekolah. Tetapi ini impian saya. Mahu tahu?"duga Saqirah. Pandangan matanya redup dan mendamaikan.

"Apa?"



"Di sini atau di syurga ... bersama atau terpisah ... saya ingin jadi belahan hati awak,"ujar Saqirah penuh pengharapan. Namun Atif tidak sedar tentang sesuatu. Kesayuan di mata Saqirah saat melafazkan impian itu.


************


Atif mengeluh panjang. Saqirah, bekas temannya yang dikenalinya dulu sudah tiada. Saqirah 'baru' yang dikenalinya ini jauh berbeza. Senyumannya tiada. Adakah ini wajah sebenar Saqirah yang tidak pernah dipertontonkan kepadanya dahulu? Ah, Atif bingung!


"Tuhan ... kembalikan hatinya yang dahulu."




Siapa Saqirah?


Mengapakah dia berubah?




Benarkah gadis itu beku tanpa perasaan?


Tercapaikah impiannya?



Siapa Atif dalam impiannya?



Semuanya bersambung di bahagian 2...

Comments