Jelajah#3: Jemputan ke Ceramah Penulisan di SK Batu Pekaka


Pagi Jumaat. Dapat telefon daripada editor suruh turun ke Kuala Ketil. Katanya ada promosi buku. Kali pertama saya dengar sekolah rendah, hati terus melonjak gembira. Sebab? Saya suka kanak-kanak! Mereka comel, nakal dan menghiburkan.

Pagi Sabtu. Akhirnya tiba di SK Batu Pekaka, Kuala Ketil, Kedah. Sekolah ini terletak di kawasan berhampiran kelapa sawit, tetapi alhamdulillah tak sesat mencarinya. Usai tiba, saya ada bertanya kepada beberapa adik-adik yang sedang menjamu selera di kawasan berdekatan. Mungkin waktu rehat barangkali. Kemudian seorang guru, yang tidak saya ketahui namanya membawa kami ke sebuah bilik.

Mereka baru selesai menjamu selera. Pegawai pelajaran, guru besar, YDP sekolah, pengarah urusan GISB iaitu Abu Hassan Morad, dan beberapa orang yang lain. Kemudian mereka bertanya macam-macam soalan kepada saya. Sebenarnya saya teruja dapat berjumpa dengan ketua besar Galeri Ilmu Sdn Bhd, yang membahasakan dirinya pak cik. InsyaAllah beliau akan turun ke SMK Sultan Badlishah nanti, mungkin selepas saya PMR untuk memberikan ceramah motivasi berkenaan dunia penulisan. Pak Cik Abu sangat baik. Beliau seorang yang merendah diri, sporting dan bersahaja. Pendek kata, semua sifat mahmudah ada pada diri beliau.

Program pada hari itu adalah ceramah penulisan yang akan disampaikan oleh beliau. Pak Cik Abu menjemput saya untuk memberikan ucapan selama beberapa minit, sebagai pendorong dan motivasi kepada para pelajar di situ. Saya cuba menyampaikan dengan bersahaja biar mereka tidak kebosanan.

Saya menceritakan sedikit tentang cara membahagi masa dengan penulisan. Kemudian ada sesi soal jawab. Soalan pertama saya sudah lupa. Soalan kedua, berapa lama masa yang diambil untuk saya menghasilkan novel. Soalan ketiga, adakah saya pernah mendapat tokoh nilam. Saya cuma pernah mendapat anugerah nilam ketika sekolah rendah sahaja. Naik sekolah menengah, pembacaan itu masih ada cuma catatan dalam buku nilam sahaja yang tidak dilakukan.

Kemudian, seorang guru pula meminta saya menceritakan tentang latar belakang pendidikan. Paling tidak, hari ini, saya dapat menimba lagi pengalaman baru. Pada akhir sesi ceramah Pak Cik Abu, beliau menjemput beberapa orang pelajar bagi menceritakan apa yang mereka mahu kongsikan secara spontan. Saya suka mendengar cerita murid-murid tersebut, terutamanya daripada adik Alea Elyana dan Izzatul. Alea comel sangat, lagi-lagi bila dia cerita tentang kucing-kucing miliknya. Tiga ekor kucing Alea telah menjadi mangsa tayar kereta ayahnya.

Izzatul pula, cerita tentang harapannya mahu menyertai pertandingan merentas desa tahun depan. Saya lihat adik-adik ini semuanya bervisi, insyaAllah, saya doakan kejayaan semuanya. Selesai sesi ceramah, apa lagi, kanak-kanak semuanya berkumpul meminta tanda tangan saya. Fuh! Kali ini lebih ramai lagi daripada Pesta Buku Antarangsa Kuala Lumpur dulu. Mereka ada yang bertolak-tolakan, ada yang muncul dari belakang tingkap, ada yang bergaduh dan sebagainya.

Saya ada menitipkan nombor telefon dan e-mel kepada yang minta. Comel betullah budak-budak tu! Alea siap salam saya lagi. Kemudian dia bercerita tentang ibunya, iaitu seorang guru di sekolah tersebut. No wonder la. Kemudian Eirfan, seorang pengawas bersongkok mengaku dirinya sepupu Alea. Dan banyak lagi cerita mereka. Warga SKBP juga ada menghadiahkan saya cenderamata kenang-kenangan. Ah... sungguh terharu.

Sebelum pulang, Pak Cik Abu menghadiahkan saya bukunya yang berjudul Suu Phea, kemudian novel Ladang Hati Mustika tulisan anak beliau, Ummu Hani serta majalah Anis dan Asuh. Saya sempat juga berfoto dengan beliau, para guru dan adik-adik comel di situ. Terima kasih kepada GISB dan warga SK Batu Pekaka yang menjemput saya.

Kepada adik-adik di SK Batu Pekaka, terima kasih sebab buatkan Kak Nurina gembira hari ni. Kak Nurina suka sangat datang ke sekolah adik-adik. Kak Nurina dapat pengalaman baru dan dapat mendekati kanak-kanak dengan lebih mendalam. Kamu semua ada cita-cita, dan Kak Nurina harap semua cita-cita itu akan tercapai juga suatu hari nanti. Apa yang penting kesungguhan dalam diri. Adik-adiklah generasi harapan negara.

Kepada Alea, Izzatul dan Eirfan, terima kasih sebab layan Kak Nurina tadi. Nanti insyaAllah kalau ada kesempatan, kita jumpa lagi. Alea nanti suruh mama bela kucing baru pula. Izzatul, tahun depan bagi menang merentas desa nombor satu, ok? Eirfan, good luck dan jangan nakal-nakal. Jangan buli Alea! Kak Nurina sayang kamu semua.

With love,
~ Kak Nurina.

Comments

  1. anti boleh sembang ramah ke dgn adik-adik?

    ana, kekok je dibuatnyer. :)

    ReplyDelete
  2. @Ariffah9

    mencuba yang terbaik, agar tidak menghampakan mereka.

    =)

    ReplyDelete

Post a Comment