Aina Zalia Part 2

“Apa Yuni ingat kedai tu ada sebelah rumah saja? Jauh la.” Manusia yang bergelar abang ngah itu membuka topi keledarnya. Zalia masih membisu sedari tadi. Memang dia begitu kalau berdepan dengan lelaki kecuali bila dia tak ingat dunia, barulah bising semacam. Dia teringat kejadian yang pernah berlaku di kafetaria kolejnya suatu ketika dahulu di mana dia tertumpahkan kopi ke atas baju salah seorang pensyarah lelaki muda kolej itu. Dalam nada cemas macam-macam yang dituturkannya. Memang sah dia cepat gelabah.


Zalia mendongak melihat wajah makhluk bertopi keledar yang telah dilanggarnya tadi. Dan seketika itu juga bagaikan ada kejutan elektrik yang mengalir deras dalam tubuhnya. Subhanallah. Kacak yang amat. Persis pelakon pun ada.


“Oh ya. Abang ngah. Kenalkan ni kawan baik Yuni di kolej. Dia yang selalu jaga Yuni. Aina Zalia. Zalia, ni abang ngah aku. Faiq Zakwan.”


Oh. Ni la Zalia yang selalu adik aku cerita tu. Eh kejap. Macam pernah aku jumpa saja gadis ni. Tapi di mana ya? Ya lah! Bukankah dia yang langgar aku tadi? Patutlah pandang aku semacam aje. Macam nak makan orang. Ke dia teruja sebab aku ni makhluk Tuhan yang terkacak di antara yang terkacak. Eh, terperasanlah pula…


Ayuni menyinggung lengan Zalia yang membatu dari tadi. Boleh jadi tugu peringatan dah gayanya. Zalia spontan terkejut lantas menunduk.


“Err.. apa khabar Dato’, eh tuan, eh encik, eh uncle, eh abang ngah!” Dah sudah. Semua terkeluar habis daripada mulut Zalia. Ayuni tertawa melihat sahabatnya itu.


“Alhamdulillah baik,” sepatah juga Zakwan menjawab. Dia menyerahkan bungkusan besar ais kepada adiknya dan sempat berpesan supaya mereka berhati-hati. Ayuni dan Zalia menuangkan ketulan ais ke dalam bekas besar yang berisi jus tadi. Dapat juga Zalia merasa aisnya.


Setelah kebanyakan tetamu pulang, Zalia turut membantu mengangkat pinggan makanan dan minuman ke dapur. Dah macam pembantu rumah tidak bergaji sahaja lagaknya. Datin Sri Munira menghampiri kedua-dua gadis itu.


“Mama, kenalkan ni kawan Yuni. Aina Zalia. Zalia, ni mama aku.” Zalia bersalaman dengan ibu Ayuni. Mesti mama Ayuni ni datin. Datin bertudung litup, ayu dan awet muda.


“Kamu berdua buat apa kemas-mengemas ni. Pembantu rumah kan ada. Yuni, Zalia kan tetamu dalam rumah ni. Apa kata Yuni bawa dia bersiar-siar tengok rumah.” Segera Zalia menambah satu lagi perkataan yang menggambarkan ciri-ciri Datin Sri Munira. Baik hati!


Ayuni mengajak sahabatnya itu melawat sekeliling vila. Di belakang vila, terdapat sebuah kolam renang besar yang tertutup. Beberapa kerusi malas dan meja juga disusun atur dengan kemas. Pokok-pokok yang ditanam di situ juga semuanya membesar dengan baik. Bahagia sahaja mereka menjalankan kehidupan di situ.


“Besarnya kolam renang kau. Macam hotel lima bintang!” Zalia bertutur kegembiraan.


“Aku jarang mandi di kolam ni. Papa dengan abang ngah saja yang suka. Abang ngah tu, seminggu tak mandi kolam bukannya boleh.” Ayuni kemudiannya membawa Zalia melawat kolam ikan kaloi. Pelbagai jenis ikan turut menghiasi kolam yang bersih itu.


“Rumah kau ni, bestlah. Aku suka. Semua fasiliti ada.”


“Itulah. Tapi aku jarang balik vila. Bila cuti semester sahaja. Eh, jomlah. Tengok bilik aku pula!” Kali ini, Zalia dibawa berlari ke tingkat dua pula. Pintu bilik keempat ditolak. Kelihatan penuh patung beruang menghiasi ruangan bilik gadis itu. Terdapat juga sebuah televisyen plasma dan radio. Ayuni menekan alat kawalan jauh pendingin hawanya. Seketika kemudian, kedinginan memenuhi segenap ruangan. “Buat aje macam rumah kau sendiri.”


Gila! Vila besar ni dia suruh aku buat macam rumah sendiri? Boleh ke? Tapi bagus juga tinggal sini. Macam duduk dalam hotel lima bintang.


“Aku sebenarnya ada masalah ni nak ceritakan pada kau. Boleh kau dengar?” Ayuni mula buat muka serius.


“Hey, what are friends for? Ceritalah, siapa tahu aku boleh bantu,” Zalia sudah turut berbaring di atas katil besar Ayuni. Mereka berdua sahabat yang terlalu akrab, sukar dipisahkan. Namun Ayuni semacam menyimpan pelbagai rahsia daripada Zalia, yang cuba dibongkarnya satu per satu.


“Papa dan mama aku tu asyik sibuk sahaja 24 jam. Papa sibuk dengan meeting la golf la. Mama sibuk dengan perjumpaan pertubuhan segala. Kadang-kadang, aku nak bercakap dengan papa dan mama pun susah. Sometimes, it hurts. Aku rasa macam sunyi. Sebab tu setiap kali cuti semester, aku mesti datang lepak rumah kau.”


“Kak Long? Abang Ngah? Kau tak ada saudara-mara lain lagi ke? Vila punyalah besar tapi tak mungkin penghuninya sedikit?”


“Kadang-kadang sesuatu yang nampak megah daripada luarannya, dalamnya pun boleh jadi kosong. Kak Long aku tinggal dengan Abang Long di United Kingdom. Abang Long tu sambung buat PhD di sana. Cuti panjang, dia ambil kesempatan balik. Kak Long selalu berharap anak sulungnya akan lahir di Malaysia. Alih-alih, hasratnya tercapai juga. Alhamdulillah. Abang Ngah aku tu, papa tengah latih jadi pengurus syarikat dia. Lagipun, dia tu lelaki, mana faham isi hati perempuan. Semua orang akan buat hal masing-masing.”


“Abang Ngah kau belum kahwin?” Dah sudah. Aina Zalia, yang kau pergi tanya soalan macam tu kenapa? Sibuk jaga tepi kain orang betul. Eh, abang Ayuni mana pakai kain, dia pakai seluar.


“Belum. Asyik single unavailable aje. Bilalah nak single available pula. Dah patut kahwin dah tu. Tapi kata orang, orang lelaki ni lagi bujang lagi laku. Apa-apa ajelah.”


“Tak apa. Kau jangan risau. Aku kan ada. Cuti-cuti macam ni aku tak payah melancong mana-mana. Boleh lepak rumah kau aje. Aku pun sunyi juga, maklumlah anak tunggal dalam keluarga. Kita kan sahabat, saling melengkapi? Kau adalah aku, dan aku adalah kau.” Cewah. Bermadah segala. Ayuni mengukir senyuman lebar.


“Aku nak pergi toilet kejap. Kau tunggu kejap ya, nak round bilik aku ni pun tak apa.” Ayuni memasuki bilik air yang turut terletak di dalam biliknya. Zalia membelek-belek buku di rak buku Ayuni. Pelbagai jenis bahan bacaan ada di situ. Nampaknya Ayuni lebih meminati novel-novel penyiasatan kerana banyak novel kategori itu tersusun rapi di raknya. Tiba-tiba pintu ditolak dari luar. Zalia berpaling.


“Yuni, abang nak…” kata-kata itu terhenti di situ apabila melihat Zalia. “Ops, sorry.” Zakwan keluar sambil menutup pintu. Alahai, manalah aku tahu kawan-kawan dia belum balik lagi. Buat malu saja.


Zalia yang berasa kurang enak di situ memanggil Zakwan.


“Err.. kenapa abang ngah? Ada emergency ke? Ayuni dalam toilet. Nak saya panggilkan dia?” Zalia menyusun atur tergagap-gagap.


Abang ngah? Sejak bila pula dia jadi adik aku ni? Cuma keluarga aku saja yang boleh panggil macam tu.


“Tak payahlah panggil saya abang ngah. Pelik pula jadinya.”


“Habis tu.. err.. nak panggil apa?” Zalia masih menunduk. Dia tahu batasannya.


“Zakwan. Nak tambah abang kat depan nama tu pun boleh. Nanti pesan pada Yuni, abang dia cari ya? Terima kasih,” ujar Zakwan pantas sambil mengatur langkah pergi.


Zalia membelek sebuah buku motivasi karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Bercinta Sampai Ke Syurga. Selama ini, aku ingat Ayuni tu malas nak baca buku sebab punyalah susah nak suruh dia membaca di kolej. Asyik kena paksa saja. Rupa-rupanya dia memang minat membaca, tapi bergantung pada bahan bacaannya. Agak-agaknya dia tak suka baca buku pelajaran barangkali? Boleh pula macam tu.


“Hoi!” Sergahan Ayuni mengejutkan Zalia. Buatnya aku ada penyakit jantung macam mana? Ke hospitallah alamatnya.


“Kau ni Yuni! Lain kali bagilah salam. Eh, buku-buku ni semua kau yang beli ke?”


“Taklah. Mama dan papa yang belikan. Ada sesetengah hadiah dari kawan-kawan. Aku paling suka novel penyiasatan, sebab tu aku buat koleksi,” Ayuni menjelaskan tanpa dipinta.


“Oh ya, tadi abang kau cari.”


“Nak suruh buat kerja la tu! Zalia, kita solat Asar dulu jom.” Zalia mengangguk. Usai menunaikan satu daripada rukun islam itu, Ayuni menarik tangan Zalia keluar mencari kelibat abangnya. Zalia mengambil kesempatan itu untuk meneroka setiap pelusuk ruangan di vila itu. Kesemua pintu tertutup rapi, seolah-olah menyimpan pelbagai misteri di dalamnya. Tingkap berkaca yang dibuka segera ditutup oleh pembantu rumah kerana hujan turun dengan begitu lebat tanpa disedari.


“Abang Ngah!” Ayuni menjerit tidak tentu pasal. Zalia cuma menuruti jejak temannya tanpa sebarang kata.


“Ha.. Yuni. Mama dan papa dah keluar. Ada urusan. Abang pun nak keluar melawat Kak Long di hospital, tolong jaga rumah baik-baik ya?” Zakwan menyarungkan topi keledarnya.


“Yes boss!” Ayuni buat gaya tabik. Zakwan keluar dari rumah. Zalia memandang jam tangannya. Masya-Allah! Hampir dia terlupa mahu pulang.



Bersambung...

Comments

  1. kagum dengan susunan ayatnya.. nanti nak mohon saudari melihat karya Nadh. dan tegur mana silapnya, leh tak?

    ReplyDelete

Post a Comment