Motivasi: Jangan Patah Semangat Dalam Penulisan

Saya sering melihat rata-rata penulis atau calon penulis di luar sana yang tidak yakin diri terhadap penulisan masing-masing, ataupun sudah ada karya sendiri tetapi tergendala dan sebagainya. Penulisan saya sendiri juga masih terlalu mentah. Bahkan, saya masih merangkak dalam bidang ini dan perlukan tunjuk ajar daripada kalian.

Namun, hari ini saya juga punya niat murni untuk membantu berkongsi tips walaupun tidak seberapa. Kebanyakan penulis akan mempunyai masalah tergendala dalam penulisan, tidak tahu bagaimana untuk meneruskan. Kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan perihal ini terjadi lazimnya disebabkan oleh takut, cemas, masalah hidup atau apa-apa masalah lain yang membuatkan penulis rasa kecewa dalam penulisan dan tidak punya semangat untuk meneruskannya lagi. Saya sendiri juga pernah rasa ketika sedang dalam proses menulis manuskrip, dan tiba-tiba sahaja komputer saya rosak dan diserang virus. Pendrive juga turut rosak. Namun, alhamdulillah, segalanya telah berjalan dengan lancar walaupun proses menulis semula itu memang sangat mencabar. Berikut saya kongsikan beberapa tips untuk anda.

1. Jangan terlalu memaksa
Kadang-kadang, seorang penulis yang terlalu inginkan kesempurnaan dalam penulisannya hanya akan menemui jalan buntu pada akhirnya. Letakkan diri anda dalam kondisi yang selesa, tenang, dan mulakan penulisan semula. Tulis apa sahaja yang berada di minda anda walaupun hal itu sangat remeh dan langsung tidak berkaitan dengan karya anda. Sesetengah penulis menggunakan cara ini bagi memperkembangkan idea mereka.

2. Banyakkan membaca karya penulis kegemaran
Bacalah karya-karya yang anda gemari, terutamanya daripada penulis yang anda kagumi. Hal ini insya-Allah akan menyebabkan anda rasa lebih bersemangat untuk menulis.

3. Analogi piza
Fikirkan projek anda sebagai piza. Makan sekeping pada satu waktu. Setelah selesai kepingan tersebut, barulah makan kepingan yang lain. Dengan cara ini anda juga akan lebih bersemangat untuk menghabiskan bahagian demi bahagian.

4. Tukar suasana persekitaran
Jika anda menggunakan laptop untuk menulis, anda boleh sahaja membawa laptop ke luar rumah atau tempat lain. Begitu juga jika anda menggunakan pena dan kertas. Tidak mustahil segala kekangan yang dialami akan berkurangan jika anda mengubah suasana penulisan anda. Anda perlulah fokus dan hilangkan sebarang gangguan seperti telefon bimbit.

5. Hapuskan internet (buat sementara sahaja)
Kadeah ini juga merupakan kaedah yang berkesan untuk saya, tidak tahulah untuk anda. Jika anda mempunyai sambungan internet, putuskan sambungan tersebut supaya anda tidak akan terganggu memikirkan tentang Facebook, Twitter atau blog.

6. Hayati lirik lagu
Anda boleh menghayati lirik lagu-lagu kegemaran. Ramai penulis yang dapat ilham mereka daripada lirik lagu sebenarnya. Bahkan, dengan mendengar muzik yang tenang atau nasyid juga mampu mengurangkan sedikit tekanan yang melanda.

7. Tidur
Jika susah-susah sangat, tidurlah dulu. Insya-Allah, ilham itu boleh datang dalam mimpi atau selepas anda tersedar daripada tidur. Hihi.



Menulis bukanlah suatu pekerjaan yang senang, tetapi bukan juga suatu pekerjaan yang sukar. Menulis perlukan semangat dan konsistensi. Jangan sia-siakan anugerah Ilahi yang diberi. Jadi, kepada sesiapa yang berminat dalam bidang penulisan di luar sana, teruskanlah usaha anda dalam bidang penulisan. Saya sentiasa menyokong anda, insya-Allah. Jangan hilang kepercayaan pada diri sendiri. Jika kita tidak mengubah nasib sendiri, siapa lagi yang akan mengubah nasib kita?

Comments