Motivasi: Bagaimana Mahu Istiqamah?

Maaf ya semua. Andai diri ini khilaf adanya. Maaf. Semalam mood menulis tiada. Ada sesuatu sudah hilang.
Baiklah. Hari ini ada sedikit perkongsian tentang istiqamah kerana terdapat pertanyaan daripada seorang pembaca blog. Apa itu istiqamah? Bagaimana mahu istiqamah? Istiqamah itu ertinya berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan petunjuk tanpa ragu-ragu. Ramai yang berkata, istiqamah itu sangat sukar diperoleh. Mungkin. Tetapi tidak mustahil.
Keimanan dan ketakwaan yang teguh kepada Allah merupakan kunci utama istiqamah. Ramai yang menghadapi kesukaran dalam proses istiqamah. Sebagai contoh mudah untuk menyuruh bersabar tetapi sukar untuk bersabar. Mudah untuk memohon maaf tetapi sukar untuk memaafkan.
Bagi mengatasi semua ini, pada pendapat saya yang pertamanya seseorang itu mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap. Mampu menguasai dengan baik dan memanfaatkan ilmu tersebut. Ilmu itu perlulah kuat kerana ilmu merupakan perkara utama dalam menjana rasa istiqamah. Seandainya seseorang itu cetek dengan ilmu, terutamanya ilmu agama, dia tidak akan mampu faham erti konsistensi dan kehidupan. Antara tanggungjawab seorang yang berilmu adalah menyampaikan ilmunya juga dengan istiqamah, tidak kira di mana berada dan dengan apa jua cara. Seseorang yang boleh berdakwah dengan berkata-kata, maka perlulah selalu kekal dalam berdakwah dengan kata-katanya yang berhikmah dan mengajak kepada kebaikan. Sesorang yang boleh menulis, maka jadikanlah mata penanya (atau keyboardnya) sebagai wasilah dakwahnya. Begitu jua berdakwah dengan akhlak yang semestinya kekal sentiasa dilakukan tak kira apa situasi kita.


Sahabat juga merupakan asas yang penting bagi memperoleh istiqamah kerana sahabat adalah cerminan kepada diri kita. Kita diseru mendekatkan diri kepada sahabat yang tinggi agama dan ilmu pengetahuannya. Sejujurnya saya bersyukur kerana Allah menghadiahkan saya sahabat-sahabat yang hebat. Selalu menegur bila kita salah. Ertinya sahabat akan memperingatkan kita dan mungkin kita akan bertanya pada diri, “Di mana prinsip aku?”
Untuk terhasilnya istiqamah juga seseorang itu mestilah berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas Islam iaitu jalan tauhid dan ketaaatan kepada Allah. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah mereka dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan sebagaimana sabdanya; “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)
Sunnah Nabi mestilah diterapkan dalam kehidupan seharian. Al-Quran pula jangan ditinggalkan. InsyaAllah, jika kiranya setiap hari kita mampu membaca meskipun satu baris al-Quran, ertinya kita ada usaha untuk istiqamah. Percayalah, Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Saya juga mencadangkan, mungkin anda boleh menulis matlamat yang hendak dicapai kemudian lekatkan di mana-mana supaya saban hari, anda tahu apa tujuan anda terus istiqamah dan berjuang. Paling tidak, anda akan rasa bermotivasi. InsyaAllah. Perbanyakkan juga menteladani sirah-sirah terdahulu. Saya selalu bertanya kepada diri. Sekiranya mereka dapat melakukannya mengapa saya tidak? Mereka juga asalnya manusia biasa seperti kita. Istiqamah mereka yang telah membentuk mereka menjadi luar biasa. Ah, diri ini, masih kerdil-sekerdilnya. Juga, jika mahu istiqamah, selalulah ingat tentang ganjaran pahala dan syurga yang bakal disediakan. Mungkin ini juga dapat membantu anda untuk terus beristiqamah.
Pesan saya, janganlah memberatkan diri sendiri dengan apa yang tidak mampu. Jadi diri sendiri, jangan berpura-pura menjadi orang lain. Jika diri kita masih banyak salah, ubahlah ke arah yang lebih baik. Kuncinya, istiqamah. Mudah-mudahan artikel ringkas ini mampu membantu sedikit-sebanyak, walaupun saya ini masih hamba-Nya yang sangat kerdil dan mentah, tetapi itu telah menjadi kewajipan kita untuk terus menyebarkan kefahaman islam yang tulin. Saya tidak mengatakan saya ini bagus, jauh sekali. Maka saya berharap andai ada kekurangan tegurlah kerana sebagai saudara seislam tugas kita adalah untuk saling memberi peringatan dan mengajak ke arah kesabaran.

Comments