Islam: Bertolak-tolak Menjadi Imam

"Kau jadilah imam."
"Aku tak kuat lagi agama. Kau lah jadi imam."

"Aku tak pandai baca doa. Kau lah jadi imam."

Maka saya berjalan menuju ke tengah dan menjadi imam setelah hampir berbelas minit mereka bertolakan untuk menjadi imam. Cuma ada kami bertiga sahaja di situ, tidak ada jemaah lain di surau. Saya bertegas untuk solat berjemaah walaupun mereka mahu solat bersendirian. Saya menyuruh mereka menunaikan solat berjemaah dahulu tanpa menunggu saya kerana saya sedang memakai telekung. Amal yang baik untuk apa dilambat-lambatkan. Akhirnya, saya jadi imam muda di situ ya. Usai solat, saya ada menegur, jangan gunakan alasan tidak reti berdoa. Doa ringkas juga tidak mengapa, asalkan ikhlas.

Saya kecewa, mereka menganggap diri mereka itu masih kurang dalam pengetahuan agama, masih tidak layak menjadi imam. Saya pertegaskan di sini, setiap umat islam yang Allah ciptakan di muka bumi ini dilahirkan adalah untuk menjadi khalifah, tidak ada yang dilahirkan untuk menjadi pak turut dan sebagainya. Sepatutnya, pada usia seperti saya ini setiap orang sudah mampu untuk menjadi imam solat. Siapa kata kaum hawa tidak perlu belajar asas menjadi imam? Justeru, andai suatu hari nanti semua kaum adam pergi berperang dan berjihad di jalan Allah, siapa yang mahu mengimamkan jemaah wanita?

Walau apapun, perbezaan jantina bukanlah bererti rendah martabat di sisi Islam. Berasingan saf bukan bermakna perempuan terkebelakang. Saya yakin, bagi para muslim di luar sana, tugas menjadi imam bukanlah suatu pekerjaan yang sukar, dan bukan juga suatu pekerjaan yang senang. Jika kaum hawa tahu beratnya memikul amanah sebagai imam, pastinya mereka bertolak-tolak supaya makmum lain ke depan. Andai mereka tahu imam bukan sekadar seseorang yang perlu mempunyai ilmu sepertiga dunia ini, pastinya merendah diri dengan penuh malu di sisi Allah SWT. Ketahuilah betapa sukarnya imam hendak khusyuk walau sudah separuh abad mendirikan solat, inikan pula hendak memastikan semua makmum suka dengan imamnya.

Namun, persoalan saya bukanlah tentang jemaah lelaki atau perempuan, tetapi kesanggupan seseorang itu untuk menjadi imam. Saya pernah terbaca suatu artikel yang mengatakan, antara tanda-tanda kecil kiamat adalah, orang yang hendak solat jemaah bertolak-tolak sesama mereka untuk menjadi imam. KALAU SEMUA RASA TIDAK LAYAK, SIAPA YANG LAYAK?

Sampai bila kita tidak mahu menjadi imam? Sampai bila kita tidak mahu berusaha untuk mempunyai ciri-ciri menjadi imam? Sampai bila hendak tunggu, untuk memperbaiki diri kita, supaya benar-benar layak menjadi imam? Sampai dijemput oleh malaikat maut, baru ada kesedaran?

Kita selalu menilai solat orang lain, melihat dia khusyuk atau tidak dan sebagainya. Kenapa tidak menilai solat sendiri. Apakah kita boleh menilai solat orang lain? Boleh. Jika tidak boleh macam mana kita hendak menilai orang yang layak menjadi imam kita. Semestinyalah orang dilihat sebagai melaksanakan solat dengan dengan terbaik akan dipilih menjadi imam. Kalau kita rasa solat kita adalah lebih baik, maka menjadi tanggungjawab kita pula untuk menjadi imam solat. Usah bertolak-tolak kerana perbuatan itu tidak bertanggungjawab.

Saya suka menjadi imam kepada adik-adik, dan suka menjadi makmum kepada kakak-kakak. Apabila menjadi seorang imam, barulah terasa seolah diri ini berguna. Apabila tiada jemaah muslim dan kakak-kakak ada, saya suka menjadi makmum kerana saya ini sebenarnya masih mentah berbanding mereka. Paling tidak, saya tahu posisi saya di mana. Saya juga masih lemah, dan perlukan bimbingan dan didikan tarbiah serta dakwah daripada semua terutamanya daripada kalangan senior (orang yang lebih tua). Nasihat saya kepada semua, janganlah bertolak-tolak menjadi imam. Jadilah seorang pemimpin. Dan paling penting, pimpinlah adik-adik anda yang mentah seperti saya ini.

Akhir sekali, sebelum mengakhiri penulisan ringkas daripada manusia yang kerdil ini, saya ingin memohon jutaan maaf andai artikel ini ada menyakiti mana-mana pihak. Saya tidak rasa diri saya ini bagus, saya masih mentah, jadi mohon teguran andai ada cacat-cela di mana-mana.


* Siapa pimpin siapa? Mana kaum muslimin yang lain? Semua tak layak jadi imam? Tepuk dada tanya iman.

Comments