Diari#13: Cuti Sekolah yang Padat!

Bila sahaja mendengar perkataan cuti sekolah, saya sudah boleh membayangkan betapa bahagianya pada ketika itu untuk berehat daripada pelbagai masalah dan aktiviti. Tetapi sangkaan saya jauh meleset. Cuti sekolah kali ini memang padat. Banyak aktiviti yang harus dijalankan. Banyak kerja kursus yang harus disiapkan. Oh, itu tidak termasuk lagi aktiviti bahas dan kem latihan asas BSMM (Bulan Sabit Merah Malaysia) yang saya kena hadiri. Sudahlah pada hari yang sama!

KEM LATIHAN ASAS BSMM

Kem ini bertempat di SK Sri Limau, Lunas, Kedah dan diadakan pada 11 hingga 16 Mac 2011. Bukannya kena tidur di sana, tetapi ulang alik dari rumah kee sekolah rendah. Kem ini bertujuan untuk melatih ahli BSMM supaya tahu asas pertolongan cemas dan kawat. Saya cuma hadiri dua daripada lima hari yang ditetapkan kerana hari lain bercanggah dengan aktiviti-aktiviti lain. Meskipun cuma dua hari, saya dapat banyak ilmu tentang pertolongan cemas.

Sebenarnya penyertaan saya ke kem ini last minute sahaja. Saya juga kurang jelas tentang aktiviti apa yang bakal dijalankan. Hari pertama di sana, selepas mendaftar terus kena kawat. Saya dengan penuh kebingungan langsung masuk baris. Ada dua askar yang mengajar kawat telah sedia menunggu di belakang. Untuk pembukaan, Cikgu Ismail (beliau yang mengelolakan kem ini) memberi ucapan ringkas tentang tujuan kem ini. Kemudian, beliau serahkan kepada seorang askar untuk melatih kami. Nasib baik askar itu tidak garang seperti yang digembar-gemburkan. Setelah tamat latihan, Cikgu Ismail ajar pula tentang cara membalut kain anduh kepada pesakit yang patah tangan dan sebagainya. Jadi, selepas ini saya bolehlah tolong sesiapa yang patah tangan tu.

Hari kedua saya di sana, iaitu pada hari Isnin, kami semua juga diberikan lebih banyak ilmu kawat. Untuk pengetahuan semua ya, saya ini seorang yang amat malas berkawat. Pancaran radiasi matahari pula seolah-olah mencemburui saya di situ. Selesai latihan berkawat, kami diajar pula cara untuk membantu pesakit yang pengsan dan kejang. Hendak jadi perawat perlukan kesabaran. Jaangan gopoh dalam membantu pesakit. Silap-silap pesakit yang kejang boleh jadi lagi kejang! Rasa sayang pula ada tiga hari yang telah ditinggalkan. Nak buat macam mana kan. Apa pun, skill merawat saya sudah bertambah. Asalnya saya masuk PBSM bukan kerana mahu menjadi jururawat atau doktor, cuma niat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Ececeh. Hikmah daripada kem ini, kita membantu semua orang tidak kira bangsa, kaum atau agama. Kita membantu semua yang benar-benar memerlukan. Membantu merupakan suatu pekerjaan yang sangat mulia.

BENGKEL BAHAS

Bengkel bahas yang bertempat di SMK Sultan Badlishah (sekolah saya) ini diadakan pada hari Selasa dan Rabu. Saya hadiri dua-dua hari tetapi hari Rabu saya balik awal sebab terpaksa pergi ke MPKK untuk siapkan kerja kursus. Bengkel ini adalah sebagai latihan tambahan untuk pertandingan bahas yang akan berlangsung dua minggu sahaja lagi. InsyaAllah saya tak masuk lawan, cuma sekadar mencurahkan idea yang tenaga yang masih tersisa. Baiklah, saya tak dibenarkan cakap banyak-banyak tentang bahas ni. Hikmah daripada bengkel ini, kami dapat merapatkan ukhuwah sesama sendiri dan apa yang penting ... kerjasama!

LAWATAN KE MPKK

Aktiviti ini yang paling saya gemari. Kami melawat ke MPKK (Majlis Perbandaran Kulim Kedah) bagi menyiapkan tugasan kerja kursus Sejarah. Sebenarnya saya baru tahu pagi Rabu bila Aina mendadak hantar mesej pesanan ringkas kepada saya. Maka, saya dan Aina naik kereta dan bertolak ke rumah Aida yang terletak benar-benar berdekatan MPKK. Tak aci! Saya, Aina, Aida dan Ain berjalan kaki ke MPKK. Oh ya, Ain bukan berjalan kaki tetapi menunggang basikal ya ...

Di MPKK memang sesak dengan pelajar tingkatan tiga dari sekolah-sekolah lain yang mahu menyiapkan tugasan mereka juga. Saya berkumpul dengan kawan-kawan dan bergerak dalam satu kumpulan. Senang sikit. Ada dua belas orang semuanya. Saya, Aina, Aida, Hafizah, Ika, Dayah, Alyya, Munirah, Hanim, Hazwani, Diana dan Ain. Kami kena temu bual Kak Munira, pekerja di situ. Kak Munira ada berikan banyak buletin. Maksudnya, duit saya akan melayanglah ... Tak apa, janji kena dapat markah penuh ya! Jika tidak, sia-sia sahaja saya membuang tenaga berjalan ke sana ke mari sampai ke Perpustakaan Kulim semua. Kami sempat juga bergambar bersama Kak Munira dan sijil serta piala MPKK untuk dilampirkan dalam kerja kursus.

Selesai temu bual segala, kami semua bergambar di hadapan MPKK untuk masuk dalam kerja kursus sebagai bukti kami telah melawat tempat kajian. Part bergambar ni yang best. Alhamdulillah tidak ada ramai orang sangat jadi kawan-kawan apa lagi ... posing la ...

Selesai bergambar semua, kami bergerak ke perpustakaan. Waktu itu memang tidak terdaya dah. Jauh juga la berjalan. sampai di perpustakaan, kami diberikan buku ilmiah. Ertinya, melayang lagilah duit saya. Kemudian kami singgah lagi di rumah Aida, berehat dan akhirnya pulang ke rumah masing-masing. Balik rumah terasa penat tetapi apa boleh buat, semua ni ada hikmah. Hikmahnya kami dapat mengeratkan ukhuwah dan harapnya dapat markah cemerlang dalam kerja kursus Sejarah! Ameen.

Comments