Pages

Thursday, March 24, 2011

Cerpen: Hari Esok Tak Siapa Tahu

Semua orang berpusu-pusu memerhatikan keputusan peperiksaan ujian bulanan yang ditampal di papan kenyataan sekolah. Kondisi di situ menjadi sesak. Wina mencari namanya, meskipun sudah mampu mengagak keputusannya. Nombor terakhir dalam tingkatan. Seperti biasa. Dia mengeluh kecil. Peperiksaan kali ini, dia sudah usaha dengan bersungguh-sungguh tetapi tetap sahaja mendapat markah tercorot. Dia bingung. Tak apa, mungkin Allah sengaja mahu menguji.

Wina teringat akan suatu nama yang selalu bergetar di hatinya. Dia memerhatikan senarai itu bermula daripada tempat pertama. Muhammad Syazwan bin Ahmad. Dia tersenyum kecil, gembira disaluti kecewa. Gembira kerana kejayaan lelaki itu, kesal atas keputusannya sendiri.

“Wei, Syazwan datanglah!” Amira menepuk bahu Wina lembut sejurus sahaja melihat ketibaan Syazwan yang kelihatannya mahu melihat keputusan peperiksaannya. Wina memerhatikan figura itu, tetapi semakin lama dia cuba, semakin hilang wajah tersebut akibat dikerumuni para pelajar yang ingin mengucapkan tahniah. Tidak hairanlah Syazwan mempunyai ramai peminat. Dia sudah boleh dikategorikan sebagai pelajar paling terkenal di sekolah menengah tersebut. Wina kemudiannya perlahan-lahan berlalu pergi. Syazwan ditenggelami kebanjiran peminat, dia ditenggelami kebanjiran kesepian. Dia seolah-olah hilang dari kewujudan tatkala lelaki itu tiba.

“Wan! Tahniah! Kau ni, markah peperiksaan selalu Sembilan puluh ke atas. Kau memang hebatlah,” Asyraf menyinggung lengan Syazwan yang sibuk memerhatikan keputusannya.

“Hurm, tak adalah. Biasa-biasa sahaja,” Syazwan merendah diri.

“Eleh, merendah diri pula! Kau tu dahlah tinggi, tak perlu nak merendah-rendahkan diri tu lagi,” Asyraf bercanda.

“Aku berjaya pun sebab ada orang yang selalu bantu. Peransang semangat aku untuk berjaya. Juga dengan usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal pada Allah.”

“Eh! Dia dapat nombor berapa dalam tingkatan, ya?”

Syazwan menatap sebuah nama yang tertera pada akhir senarai itu.

***

“Abang tak akan tinggalkan Wina. Abang akan bantu Wina. Selama ini pun, Wina banyak bantu abang.”

“Abang, terima sahajalah tawaran pindah sekolah tu. Biarkan Wina di sini. Wina tahu jaga diri,” Wina menyeka air matanya yang entah mengapa mengalir.

“Hurm. Wina tak sayang abang?”

“Apa abang cakap ni? Abang, kalau abang pergi, masa depan abang akan lebih terjamin, tak perlu susah-susah fikir tentang Wina. You deserve a better place.”

Syazwan menyepak batu kecil di hadapannya ke dalam sungai. Kawasan padang sekolah mereka terletak berhampiran sebatang sungai yang sering menjadi tempat kanak-kanak mandi-manda. Tetapi, semenjak suatu kes lemas yang pernah gempar di situ suatu ketika dahulu, ibu bapa jadi lebih mengawasi anak-anak. Guru di sekolah itu juga tidak menggalakkan para pelajar ke sana. Tetapi, entah mengapa, di situlah tempat yang menjadi kesukaan Wina dan Syazwan. Syazwan mula terkenang kembali peristiwa dahulu sekitar empat tahun yang lepas.

Waktu itu dia baru tingkatan satu. Dia mengajak Wina berehat di bawah pohon yang rendang. Wina mengeluarkan buku catatan miliknya dan mula menulis sesuatu.

“Wina tulis apa?”

“Adalah. Rahsia.”

“Dengan abang pun nak berahsia,” Syazwan buat muka merajuk. Wina akhirnya mengalah dan menunjukkan puisi ciptaannya kepada Syazwan.

Kupandang langit yang menampilkan kebiruan

Udara bertiup seharum kasturi

Burung-burung berdansa ria

Pohon turut melambai mesra

Seolah cuba menyampaikan khabar bahagia


Kupandang dirimu yang menampilkan cahaya

Kau tersenyum indah pesona

Kini kutahu apa yang terjadi

Hakikatnya

Kubahagia bersama kau di sisi


Duhai pemuda jaguhan

Biarlah puisi ini

Menceritakan kekagumanku padamu

Kau tak peduli apa orang kata

Yang penting kau tetap berdiri teguh

Mengajar aku erti sebuah keinsafan

Mencari erti kehidupan hakiki

Mengenal yang lebih layak dipuja

Yang lebih layak disanjung

Tuhan Rabbul Alamin…


“Hurm. Pandai Wina buat puisi. Apa tajuk puisi ni?”

“Haruman Kasturi. Wina buat special untuk abang.”

“He’eleh. Tu maksud nama abang. Hurm, abang tak pernah tengok pun Wina buat puisi sebelum ni?”

“Wina takut. Wina tak pandai. Ni kali pertama Wina buat puisi.”

“Wina, dalam kehidupan ni kita jangan takut. We have to be strong. Belum cuba belum tahu!”

“Abang … banyak ingatkan Wina tentang arwah ayah,” Wina membaringkan kepalanya di bahu Syazwan. “Sifat abang, cara bercakap, dan semuanyalah. Kesian Wina, kena tinggal sendirian dengan ibu di rumah.”

“Kesian Wina tak ada adik-beradik yang lain …” tiba-tiba perbualan mereka terhenti tatkala seorang pelajar tingkatan dua menjerit memanggil nama Wina dari belakang.

“Wina!” Pelajar lelaki itu membentak. “Patutlah kau tolak jadi kekasih aku, rupa-rupanya sibuk bercinta dengan orang lain.” Syazwan memerhatikan figura itu.

Seorang pelajar berambut cacak, tali leher pendek dan seluar ketat di bawah. Amin namanya. Dia tahu, Amin sudah lama tergila-gilakan Wina tetapi nampaknya dia hanya bertepuk sebelah tangan.

“Amin, dah sah-sah Wina tak suka pada kau. Untuk apa mengharap pada yang tidak sudi?” Syazwan menyindir. Geram akan kelakuan budak itu.

“Kurang ajar. Usia baru setahun jagung sudah berlagak matang, ya?” Amin membalas. Padahal mereka cuma beza usia setahun. Amin cuba menarik tangan Wina untuk membawanya pergi dari situ. melihatkan perlakuan itu, Syazwan segera menepis tangan Amin. Akibatnya, sebuah pergaduhan terjadi dan ketiga-tiga mereka dibawa menghadap ke bilik guru.

“ABANG!” Wina meninggikan suaranya sekaligus membunuh lamunan Syazwan. Di situlah tempat Wina pertama kali mengarang puisi dan di situ jugalah tempat pergaduhannya dengan Amin. Tetapi itu semua kisah lama. Empat tahun yang lepas.

“Abang dengar tak Wina cakap ni?”

“Huh? Maaf. Apa Wina cakap?”

“Abang ni memanglah. Teringatkan kekasih hatilah tu!”

“Abang mana ada kekasih hati lain. Winalah kekasih hati abang. Hahaha.”

“Apa-apa sajalah. Wina ingat … nak ajak abang ziarah kubur arwah ayah hujung minggu ini. Abang balik asrama kan?”

“Ya. Abang …” tiba-tiba perbualan mereka sekali lagi terhenti. Adakah peristiwa empat tahun dahulu bakal berulang lagi? Syazwan dan Wina sama-sama menoleh ke belakang. Seorang pengawas sedang menunjuk ke arah mereka berdua. Guru disiplin sekolah sudah berdiri teguh di sebelahnya.

“Muhammad Syazwan. Apa kamu buat ni? Kamu tahu tak, berdua-duaan dengan perempuan yang bukan mahram tu melanggar peraturan sekolah? Bahkan, lebih dahsyat melanggar hukum islam!” Ustaz Azhar meninggikan suaranya. Kaca mata berbingkai hitamnya dibetulkan.

“Ustaz …”

“Kamu itu harapan asrama. Harapan sekolah. Ustaz tak sangka kamu akan kecewakan ustaz dan yang lain-lain.”

“Ustaz, sebenarnya … saya dan dia ni kembar. Kembar tak seiras,” Syazwan akhirnya menjelaskan sebelum dia diserang dengan peluru-peluru Ustaz Azhar. Ustaz itu mengerutkan keningnya dan hamper membuatkan kedua-duanya bercantum.

“Kembar?!”

Syazwan mengeluarkan kad pengenalan dirinya, diikuti Wina. Ustaz Azhar mengambil kad pengenalan mereka dan membuat penelitian.

MUHAMMAD SYAZWAN BIN AHMAD dan NURUL SYAZWINA BINTI AHMAD.

“Err, maafkan ustaz. Ustaz tak tahulah pula ada kembar di sekolah kita ini,” Ustaz Azhar tersengih selamba. Pengawas yang memanggil guru disiplin itu juga turut memohon maaf atas kesalah fahaman yang terjadi.

“Tak apa ustaz. Memang kami tak suka cerita pada orang. Wina tak nak. Dia segan,” Syazwan menjeling Wina sekilas. Wina mencebik bibir. Mereka memang akrab sejak kecil lagi, bagai isi dan kuku. Selalunya, jika salah satu jatuh sakit, yang satu lagi turut akan jatuh sakit dan begitulah sebaliknya. Mereka mempunyai aura yang kuat dalam hubungan mereka. Jarak kelahiran antara kedua-duanya cuma empat minit setengah sahaja.

“Oh, begitu. Err, apa kamu berdua buat di sini?”

Wina menjawab pertanyaan itu dengan nada yang berbaur sedih, “Abang Syazwan dapat tawaran pindah ke sekolah lain. Saya suruh abang pindah, tapi dia degil juga.”

“Ya lah ustaz. Wina ni, satu-satunya adik saya. Dia mana ada adik-beradik lain selain saya. Kalau duduk di sini, seminggu sekali boleh balik rumah dan jenguk dia. Kalau pindah, sebulan sekali pun belum tentu boleh balik,” Syazwan menyatakan alasannya.

“Syazwan,” Ustaz Azhar menepuk bahunya. “Buat pilihan yang tepat untuk diri. The future is in your hands.”

“Ustaz, saya rasa saya tahu apa nak buat. Kasih sayang saya pada ibu dan Wina, akan saya utamakan.” Syazwan tersenyum sambil memandang adik kembarnya itu."Abang akan pastikan lepas ni, Wina dapat nombor dua dalam tingkatan."

"Nombor dua? Kenapa tak nombor satu?"

"Oh, nombor satu mana boleh! Abang dah tempah!" Dan mereka pun tersenyum.

~Allah knows the best~

4 comments:

  1. hehe.best.

    mula2 ingat couple juga, tapi bila nak dekat2 akhir, sblum ckgu tu datang, ana dpat rasa diaorang ada pertalian darah.

    ye,betul! sbb ziarah kubur.

    teringat tunas,hlovate.

    anyway, usaha! best best.

    ReplyDelete
  2. @ariffah9
    alhamdulillah.
    hihi.
    ana nak cuba lagi buat cerpen macam ni.
    insyaAllah
    thanks my dear
    insyaAllah
    =)

    ReplyDelete
  3. nice one here! Ya... seperti pemberi komen yg pertama, saya juga pelik dan menyangka keuduanya ialah pasangan kekasih. btw, nice write up :)

    ReplyDelete
  4. @iqbalsyarie
    alhamdulillah.
    hihi.
    saya sengaja buat macam tu.
    terima kasih sebab sudi baca dan komen.
    insyaAllah, insyaAllah.
    =)

    ReplyDelete