Motivasi: Nafsu di Hadapan Cermin

Bayangkan anda sedang berada dalam situasi begini. Jam sudah menunjukkan bahawa anda sudah terlewat untuk pergi ke sesebuah majlis ilmu atau mana-mana tujuan anda pada hari tersebut, dan anda masih lagi sedang berdiri di hadapan cermin, menyisir rambut, mengemaskan penampilan, membetulkan tudung atau tali leher.

Membawa imej islam

Pepatah inggeris ada menyatakan, don’t judge a book by it’s cover, ertinya seseorang itu perlu diketahui akhlak dan sahsiahnya dahulu sebelum dinilai. Jika anda mengatakan imej luaran itu tidak penting, anda salah. Sebenarnya peribadi dan penampilan seseorang itu juga kadang-kadang penting sebagai aset kehidupan islami dan mencorakkan imej kemas serta keindahan islam. Cuba bayangkan, anda sebagai seorang muslim yang tidak mementingkan penampilan, berpakaian selekeh di hadapan manusia yang lain.

Pasti ada tanggapan negatif yang dibawa, dan mungkin sekali orang yang bukan islam menggambarkan islam sebagai selekeh atau apa sahaja penampilan yang anda bawakan. Sebaliknya, jika anda berpakaian kemas, pandangan mereka tentang islam akan menjadi positif, juga kadang-kadang akan ada yang tertarik dengan islam hanya kerana imej yang dibawakan oleh seseorang itu.

Contoh yang lain juga, sewaktu anda menghadiri sebarang temu duga kerja. Andai sahaja pemakaian yang dibawa selekeh, tentu sekali anda digambarkan sebagai orang yang tidak terurus dan hanya akan merugikan sesebuah syarikat. Pandangan pertama peribadi anda memang penting. Buat yang muslimah pula, tidak perlulah terlalu berhias cuma cukuplah sekadar tidak selekeh. Itu sahaja.

Bisikan syaitan

Dalam konteks yang lain pula, berbalik kepada pokok-pangkal tajuk, melaram yang lama sebenarnya merupakan aset dan senjata syaitan untuk menghancurkan anak cucu Nabi Adam a.s. Kehidupan modenisasi sekarang sebenarnya banyak dipengaruhi oleh budaya barat, terutamanya di kalangan kaum wanita. Kadang-kadang mungkin ada yang terpengaruh dengan pemakaian seksi yang mendapat tarikan semua pihak, lantas gadis-gadis yang bertudung juga cuba untuk menjadi secantik mungkin bagi menarik perhatian.

Ketahuilah, ini yang dinamakan nafsu. Bahkan kehidupan kita sendiri juga boleh menjadi cerminannya. Kita sering bergaya lama di hadapan cermin untuk kelihatan segak, kemas, cantik, tetapi dengan niat yang salah. Niat sebenarnya merupakan peranan yang paling penting dalam kehidupan. Niat yang buruk, buruklah imbalannya. Jika niat baik, baiklah imbalannya. Insya Allah.

Konklusinya, tata rias di hadapan cermin itu boleh, tetapi yakinlah bahawa anda sedang menaikkan imej islam, bukannya atas dasar yang lain. Dan yakin juga, Allah bukan mengukur anda berdasarkan wajah atau rupa bentuk anda, tetapi Allah mengukur berdasarkan hati-hati anda. Mudah-mudahan motivasi ringkas ini sedikit sebanyak dapat membantu. Wallahu alam bissawab.

Comments