Pages

Sunday, January 30, 2011

Diari#9: Rindu Tahun 2008!

Tiba-tiba sahaja saya jadi teringat pada tahun 2008 yang pernah saya lewati. Ada apa dengan tahun 2008? Tahun tersebut meninggalkan 1001 kenangan yang termanis buat saya. Sangat manis. Kenapa?

1. Tahun saya sebagai senior SK Sungai Ular. Saya akui, menjadi pelajar senior memang menyeronokkan, kerana menunjukkan kita yang lebih dewasa daripada adik-adik yang lain. Padahal, hakikatnya perbezaan usia antara saya dan junior bukanlah ketara pun. Waktu sekolah rendah saya bolehlah dikatakan agak nakal, suka lakukan apa sahaja ikut suka hati. Namun, saya tetap tidak akan menindas adik-adik junior, malah saya sayang pada mereka!

2. Saya dilantik menjadi ketua pengawas sekolah. Sampai hari ini, saya sendiri masih tidak percaya dengan hakikat itu. Diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguruskan sebuah sekolah bukanlah semudah yang dijangka. Hakikatnya, semuanya memerlukan kecekalan dan kesabaraan.

3. Dapat 5A dalam UPSR. Bagi seorang 'kanak-kanak' yang baru pertama kali menghadapi ujian besar pada waktu itu, kejayaan saya memang sangat menggembirakan. Jujur saya akui, saya hampir-hampir menitiskan air mata sejurus melihat slip keputusan peperiksaan saya. Terharulah katakan. Tahun ini pula, 2011, harus sekali lagi menghadapi ujian besar. PMR. Kadang-kadang rasa gentar pun ada, namun saya percaya Allah akan kurniakan balasan yang setimpal dengan usaha seseorang itu. Jadi, saya harus berusaha lebih kuat!

4. Dipuji oleh para guru. Wah, yang ini paling saya suka. Setiap kali peperiksaan atau setiap kali menyelesaikan sesuatu tugasan, saya pasti dipuji oleh guru. (Kembang sekejap) Kawan-kawan pun selalu mengadu, "Asyik-asyik Nurina ... asyik-asyik Nurina ..." "Nurina, Nurina, Nurina!" Saya cuma mampu tersenyum mendengar rungutan mereka. Ya, memang benar tahun 2008 saya bolehlah dikatakan agak terkenal di sekolah rendah. Tetapi itu dulu, sekarang, rasanya, tidak lagi.

5. Menguruskan sebuah majlis besar. Yang ini paling saya suka. Saya diberikan amanah oleh guru disiplin untuk menguruskan jamuan pengawas sekolah! Pada awalnya saya ragu-ragu juga, takut nanti semua perancangan saya tidak menjadi. Tetapi alhamdulillah, daripada segi persembahan, hiasan, makanan, sambutan, semuanya berjalan lancar! Saya senang melihat para guru yang hadir tersenyum. Paling tidak, saya mampu berbangga dengan hasil kerja saya.

Tahun 2008 merupakan tahun yang sangat bererti buat saya, terutamanya apabila diberi amanah untuk menjadi ketua pengawas sekolah. Biarlah saya berkongsi pengalaman saya sepanjang menjadi ketua pengawas. Apa yang paling menggembirakan dengan menjadi ketua pengawas ialah, semua keputusan ada di tangan kita. Maksud saya, setiap kali anak-anak buah saya kurang jelas tentang sesuatu, mereka akan mendapatkan saya.

Begitu juga ketika waktu mesyuarat. Saya bebas menyuarakan apa yang saya inginkan. Part yang paling saya suka ialah pada waktu rehat. Lazimnya, setiap pengawas akan diberikan kawasan jagaan masing-masing pada waktu rehat. Bagi saya, saya lebih gemar menjaga barisan di kantin. Kerana apa? Setiap kali saya menjaga para pelajar dan mereka berbaris dengan elok, pekerja kantin akan memberikan saya air secara percuma. Selalunya air teh ais. Niat saya yang ikhlas untuk bertugas tambah imbalan seperti itu, membuatkan saya lagi bersemangat untuk bekerja!

Pada waktu rehat juga, bangunan pelajar darjah lima dan enam yang mempunyai tiga tingkat tidak boleh dilalui oleh sesiapa pun kecuali saya dan penolong saya, xxxxxxxx. Oh ya, tahun itu, ketua pengawas perempuan dan penolongnya lelaki, ya. Tetapi, waktu rehat jugalah ramai murid-murid nakal yang cuba menyeludup masuk ke dalam kelas masing-masing. Penat saya terpaksa mengejar mereka ke sana ke sini. Namun, semua itu kini menjadi memori manis buat saya.

Pernah juga ada suatu kes di padang. Waktu itu saya sedang meronda di kawasan sekolah lain. Rakan saya, Aina namanya menceritakan ketika saya sedang meronda itu, ada murid-murid yang bermain sepak takraw di padang pada waktu rehat, yang jelas-jelas suatu kesalahan. Aina yang agak panas baran sedikit, (sampai sekarang sifat itu masih ada pada dia) mengugut untuk mengadu pada saya yang tidak ada di situ. Lantas Aina segera mencari kelibat saya dan menceritakan kesalahan budak-budak itu.

Saya segera berjalan menuju ke padang, dan akhirnya apa yang saya dapati ... kosong! Cuma desiran angin pagi menampar lembut wajah kami. Budak-budak itu menghilang. Saya cuma menggeleng kepala sambil tersenyum. Adakah mereka takut pada saya, ya? Sedangkan saya rasa saya tidaklah begitu garang pun.

Akhirnya budak-budak itu dapat juga ditangkap kerana Aina mengecam wajah-wajah mereka, dan kes itu akhirnya saya serahkan kepada cikgu disiplin untuk tindakan selanjutnya. Lucu!

Dahulu, setiap kali mesyuarat cikgu-cikgu diadakan, saya ditugaskan untuk membahagikan tugas kepada para pengawas untuk menjaga setiap kelas. Ya lah, cuba bayangkan, tak mungkin saya yang terpaksa mengawal semua kelas dari darjah satu hingga darjah enam? Semputlah saya! Setelah membahagikan kelas masing-masing, mereka akan bergerak lantas saya dan penolong saya itu akan meronda satu sekolah kerana kami tidak ada kelas tertentu untuk diperhatikan. Apa yang menariknya, saya sering mendengar kekecohan daripada banyak kelas, tetapi tatkala saya lintas di hadapan kelas itu sahaja semuanya menjadi diam. Aneh saya! Meskipun saya merindui darjah enam, saya tetap percaya setiap tahun mempunyai kelainan yang tersendiri.

Tahun 2009, saya memutuskan untuk menjadi pustakawan di sekolah hingga kini. Tahun 2010, part yang paling seronok adalah apabila saya dan keluarga sebelah ibu pergi bercuti di Pulau Pangkor. Memang seronok sangat. Tahun 2011 pula, saya bakal menghadapi PMR. Doakan saya berjaya mendapat 8A ya, semua? Allahumma ameen.


*Satu-satunya gambar kenangan di sekolah 2008 yang saya ada. Gambar yang dibulatkan adalah saya ketika merasmikan majlis pembukaan jamuan pengawas 2008.

*Gambar kenangan di Pulau Pangkor 2010.

Sunday, January 23, 2011

Informasi: Blog Urban Teen Writer Yang Gempak

Kala kelapangan ini berbesarlah hati saya memperkenalkan kepada anda semua, terutamanya pengikut blog ini yang tidak jemu-jemu membaca artikel saya yang tidak seberapa tentang sebuah laman blog yang hebat dan gempak. Pastinya anda tidak akan rugi membacanya.

Berita baik juga kepada penggemar novel serta karya-karya tempatan di luar sana, blog Urban Teen Writer yang mula bergiat aktif semenjak Ogos 2010 ini mengetengahkan tentang isu-isu semasa novelis-novelis muda Malaysia yang berusia 18 tahun ke bawah. Menurut saya, bukan mudah untuk mengikuti perkembangan-perkembangan penulisan langsung daripada penulis-penulis itu sendiri. Cabaran yang disahut oleh pengurus blog ini memang tidak mudah sebenarnya. Apa yang mengagumkan saya, peminat-peminat novelis seperti Hasif Hamsyari, Farissa Hany, Lala Zehan, Riha J, Haruno Hana dan Mira Muskam boleh mendapatkan berita serta trivia mereka melalui blog ini! Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan bakat-bakat muda tanah air yang menjadi kebanggaan semua.

Hasif Hamsyari

Saya mula mengenal beliau cuma melalui blog sahaja, namun setelah membaca profil beliau, nyata saya kagum! Hasif Hamsyari atau nama sebenarnya Muhammad Hasif bin Mohd Jelani merupakan seorang pelajar di SMK Seri Tanjong, Melaka. Wah, orang Melaka! Abang Hasif telah menghasilkan sebanyak dua buah novel setakat ini, iaitu Bagaikan Mimpi dan Bagaikan Mimpi: Srikandi Cintaku yang merupakan kesinambungan kepada novel beliau yang pertama. Abang Hasif telah mendapat anugerah-anugerah besar dalam bidang penulisan, yang anda boleh lihat di laman blog beliau sendiri. Beliau juga rajin menghasilkan e-novel yang kalau tidak salah saya bertajuk Xarine dan Wanna Be Your Love. InsyaAllah akan baca waktu cuti sekolah panjang nanti. Meskipun saya belum membaca hasil tulisannya, saya mendapat firasat bahawa beliau merupakan seorang yang pintar menterjemahkan realiti dan imaginasi ke dalam dunia penulisan. Menurut saya, Abang Hasif mempunyai potensi yang sangat tinggi dalam bidang penulisan dan kalau semakin digilap, Malaysia ternyata akan mampu melahirkan permata berharga. Saya rasa, novel-novel abang akan dipasarkan ke luar negara kelak.

Farissa Hany

Menjejakkan mata ke blog Farissa Hany atau nama sebenarnya Fatin Hanani binti Adnan, saya rasa beliau merupakan seorang yang petah berbahasa inggeris. Mengenali beliau melalui blog UTW, Kak Hany yang comel dan cantik ini telah memulakan karier dalam bidang penulisan semenjak umur beliau 16 tahun. Penulis novel Gelagat Si Kembar ini pernah muncul di kaca televisyen dalam slot Buku@Kids on 2 di TV2. Wah2. Dengar khabar, tahun ini beliau akan menghadapi peperiksaan SPM dan akan berhenti menulis buat sementara waktu untuk fokus pada pembelajaran. Ayuhlah kita sama-sama mendoakan kejayaan beliau, ya? Tahun hadapan pula, insyaAllah beliau akan mengambil lesen memandu. Aduh, saya bila lagi? Teringin pula hendak memandu kereta. =)

Lala Zehan

Sampai sekarang saya masih belum menemukan juga blog milik Ilya Ireeza Noor Zehan atau nama penanya Lala Zehan. Sedap kan, namanya? Kak Zehan memulakan kariernya dalam bidang penulisan semenjak berusia 14 tahun persis saya. Penulis Siri Pengembaraan Lala Zehan ini pernah menyertai banyak bengkel penulisan, dan melalui situlah bakat penulisannya dicungkil. Sama seperti saya juga, namun saya baru pernah sekali sahaja menyertai bengkel penulisan. Kak Zehan ini pernah menerima anugerah-anugerah dalam bidang penulisan dan berkongsi pentas dengan Faisal Tehrani (jeles nih), Mokhtar Yassin dan Hasif Hamsyari. Pernah sekali ditemu ramah di TV9 dan akhbar-akhbar tempatan, Kak Zehan bercita-cita untuk menjadi penulis terkenal, doktor bedah atau akauntan!

Riha J

Penulis cilik ini tidak perlu dikenalkan lagi rasanya. Saya mula mengenal beliau semenjak ditemu ramah di Nasi Lemak Kopi O@TV9. Riha J atau nama penuhnya Nurfarihah binti Jamil, 14, merupakan penulis novel Gadis Piano terbitan PTS. Menurut saya, adik Riha ini mempunyai masa hadapan yang begitu cerah dalam dunia penulisan, atau apa pun bidang yang diceburi kelak. Beliau berazam untuk menulis seberapa banyak novel yang mampu, dan meningkatkan prestasi pelajaran beliau. Dengarnya, penjualan novel Gadis Piano tulisannya mendapat sambutan yang memberansangkan daripada peminat novel di Malaysia. Beliau juga merupakan novelis termuda PTS.

Haruno Hana. Seorang gadis berusia 17 tahun, mempunyai bakat yang cukup luar biasa. Pemilik nama Nurul Farhana binti Mohd Zukri ini telah menghasilkan sebuah novel bertajuk Lovin' You terbitan Kaki Novel Enterprise pada penghujung tahun 2010 yang lepas. Tatkala membuka blog Kak Hana, jelas menggambarkan identiti beliau yang mementingkan keselesaan pengunjung blog, begitu juga yang saya rasakan beliau cuba bawa dalam penulisan beliau. Keselesaan. Buktinya, beliau siap letak lagu-lagu Jepun lagi (walaupun saya tidak faham). Mungkin Kak Hana sangat faham barangkali, kerana beliau merupakan pengerusi persatuan bahasa Jepun. Fuh. Hebatlah Kak Hana! Novel Lovin' You beliau juga pernah mendapat ulasan yang positif dari blog GengKicap. Jadi, sudah terang lagi bersuluh pastinya novel beliau menjanjikan suatu kepuasan yang amat. Saya pasti akan mendapatkannya, insyaAllah. Munkin selepas PMR nanti? Oh ya, Kak Hana juga katanya akan berhenti sementara dalam bidang penulisan untuk fokus dalam SPM, persis Kak Hany. Kita doakan sama-sama ya kejayaan Kak Hana yang cantik manis ini. Terbaiklah Kak Hana! All the best!

Mira Muskam

Wah, ini seorang lagi penulis berbakat yang akan menghadapi SPM tahun ini. Mira Muskam atau nama sebenarnya Faezatul Amira Muskam merupakan penulis novel Jingga Selepas Hujan terbitan KarnaDya Solutions. Kak Mira mengagumi karya-karya novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Dalam novel beliau, beliau mencampurkan pelbagai jenis bahan bacaan supaya novel tersebut tidak hanya menjadi novel 'kosong' tetapi bermanfaat buat pembaca. Novel Kak Mira juga saya akan beli selepas PMR nanti, insyaAllah. (Sebenarnya saya sudah tidak sabar hendak membacanya. Huhu) Para pembaca yang dikasihi, ayuhlah kita sama-sama turut mendoakan kejayaan Kak Mira dalam kehidupan dan pelajaran beliau, ya?

Menurut saya, usaha-usaha UTW ini sangatlah murni kerana membantu para penulis muda seperti mereka di atas mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Apa yang boleh saya katakan, UTW, you are the best!

Diari#8: Masuk Majalah Anis

Tatkala saya membeli Majalah Anis terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd terbitan Februari 2011 tempoh hari, pandangan mata saya akhirnya tertancap pada sebuah artikel di halaman 66. Eh? Artikel tentang saya? Memang tempoh hari Encik Zakaria dan tim Anis ada menemu ramah, tetapi tidak percaya keluar secepat ini. Artikelnya cuma satu halaman sahaja, menceritakan bagaimana inspirasi saya dalam menghasilkan novel sulung saya. Majalah Anis juga ada memaparkan pelbagai panduan motivasi dan inspirasi yang insyaAllah mampu membantu kehidupan kita seharian. Para kolumnisnya juga bukan sebarangan orang, kebanyakannya terdiri daripada ustaz, ustazah, haji, hajah ataupun penulis. Bilalah saya pula bakal menjadi kolumnis ya? ^.^

Monday, January 17, 2011

Single Unavailable: Buku Pilihan Bulan Ini

* Sumber: galeriilmu.com.my
Klik untuk dibawa ke laman web GISB


Persis tajuk yang dinyatakan, ternyata novel sulung saya ini telah menjadi buku pilihan untuk bulan ini. Ya lah, penulis mana yang tidak berbangga kan? :)

Ramai yang masih tertanya-tanya, di manakah novel Single Unavailable ini boleh didapati. Novel ini boleh saja dicari di MPH Bookstore, Popular atau mana-mana kedai buku yang berhampiran, tetapi tempoh hari saya baru pergi ke Hasani, Landmark Central di Kulim dan ternyata novel ini masih belum didapati di sana. Jangan khuatir, anda masih sahaja boleh membuat pembelian secara online di galeriilmu.com.my.

Kelebihan pembelian secara online, anda tidak perlu susah-susah untuk keluar rumah (bagi yang malas keluar) kerana novelnya akan dihantar terus ke rumah. Pembayaran pula dilakukan secara bank-in. Mudah, kan?

Mengapa anda harus membeli novel ini

Novel Single Unavailable merupakan percubaan pertama saya dalam bidang penulisan, jadi berilah sokongan padu anda kepada penulis muda yang mentah ini, ya? :) Penulisan saya masih mentah, jadi saya harap insyaAllah akan terus maju dalam bidang penulisan untuk terus berdakwah dan mengajak manusia kepada yang benar, jalan Allah.

Serba sedikit tentang novel. Novel ini mengisahkan perjalanan anak muda remaja di sebuah sekolah menengah, ya, persis saya. Bagaimana dilanda konflik pelajaran, kehidupan dan cinta serta cara untuk menanganinya. Sounds great? (Sekali sekala puji diri)

Kenapa tajuk Single Unavailable? Tidak ada tajuk lain?

Ada juga yang keliru, novel ini sebenarnya bahasa inggeris atau bahasa melayu. Novel ini menggunakan bahasa melayu, tetapi ada dicampur dengan bahasa inggeris juga. Kenapa tajuk Single Unavailable?

1. Tajuk yang tersangatlah mantap. Membuatkan pembaca tertanya-tanya. Selalunya kan single and available, kali ini single unavailable?

2. Membawa peribadi atau status sebagai seorang yang sukar dimiliki, masih solo (seperti saya) supaya menjadi pegangan anak-anak muda. Janganlah pula jadi status in a relationship kerana kita masih belum ada ikatan yang sah dengan bukan mahram, jadi saranan saya, tinggalkanlah perkara yang sia-sia ini.

3. Menggambarkan status saya sendiri. :)

Novel ini juga ada merungkai sedikit sebanyak tentang hukum ber"couple" dalam islam, dan mudah-mudahan menjadi panduan kepada anda untuk memilih antara amanah atau larangan. Selamat membaca!


Sebarang komentar anda tentang Nurina Izzati atau Single Unavailable bolehlah e-melkan kepada nurina24@ymail.com untuk tujuan dipamerkan dalam blog.

Saturday, January 15, 2011

Motivasi: "Kami Cuma Bercinta dalam Telefon dan SMS Sahaja"

Lama rasanya saya mencari kesempatan yang sesuai untuk kembali menulis pada blog ini. Cuma rasanya tahun ini saya harus lebih fokus pada pelajaran.

Seperti yang dinyatakan dalam tajuk entry kali ini, ingin saya memberikan cuma sedikit pendapat tentang alasan begini yang lazim diguna pakai oleh pasangan bercinta, terutamanya muda-mudi sekarang.

Perasaan ingin disayangi dan menyayangi itu memang fitrah

Setiap insan yang normal pasti akan mempunyai perasaan ini. Sama ada cepat atau lambat, itu urusan Allah. Di sini suara iman dan kawalan nafsu memainkan peranan yang sangat penting, kerana penyebaran virus
nafsu itu boleh menular walau dalam kaedah sekecil mana pun juga. Misalnya, bila hati sudah terjebak dengan perasaan suka terhadap seseorang, memang sukar untuk membuangkan perasaan tersebut. Nafsu kemudiannya menyuruh agar kita mengenali si dia. Kita mungkin berfikir sekadar berkenalan tidak mengapa. Kemudian nafsu akan menyuruh agar terus menghubunginya. Kita pula mungkin berfikir sekali-sekala tidak mengapa. Lantas nafsu sekali lagi menyuruh agar jangan tinggalkannya, nanti direbut orang.

Akhirnya kita sendiri yang terjebak dalam permainan nafsu dan hati. Jika terlanjur sayang kepada seseorang, lebih baik lupakan atau simpankan sahaja perasaan tersebut, supaya nanti tidak berlakunya fitnah dan permainan nafsu.

"Sesungguhnya hawa nafsu itu sangat membawa pada kejahatan." (Yusuf : 53)

Kami dapat mengawal perasaan!

Hari ini mungkin sekali benar. Esok pula mungkin anda kecundang. Iblis memerangkap anda. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Alasan lain juga yang kerap didengari, duduk berdiskusi pelajaran. Ingatlah, Allah tahu apa yang terselit di dalam hati setiap hambaNya. Kita belajar untuk mendapatkan keberkatan. Jika cemerlang tanpa mendapat keberkatan daripada Allah SWT, cuma sia-sia!

Bayangkan, seorang lelaki dan seorang perempuan duduk sekali untuk bersembang pelajaran. Kononnya untuk memberi dorongan motivasi dan sebagainya. Memangnya, kaum sejenis anda sudah habiskah sehingga anda berdiskusi dengan kaum bukan sejenis? Kondisi seperti ini juga cuma membawa kepada fitnah yang lebih besar. Jika dapat mengawal perasaan, justeru kenapa perlu berjumpa?

Bercinta dalam Telefon Sahaja

Menurut saya, telefon bimbit merupakan suatu alat keperluan yang telah dimiliki ramai, sama ada untuk penggunaan perhubungan atau sekarang internet. Namun masih ada pihak yang menyalahgunakan kepentingan ini untuk kepuasan sendiri. Bercinta dalam telefon dan SMS, juga adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Mungkin pada awalnya tidak pernah bersua muka. Tetapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan hasutan iblis akan membawa kepada satu pertemuan. Dan percayalah, pertemuan pertama tidak akan berhenti di situ sahaja. Tidakkah hal ini boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Telefon bimbit, khusus buat remaja, merupakan amanah ibu bapa untuk digunakan bagi tujuan perhubungan bukannya percintaan. Di sini saya mengambil kesempatan memetik kata-kata poster di atas, "Usahlah kerana sibuk mencari Mr.Right & Mrs. Right, kamu mengabaikan tanggungjawab kepada agama yang terlalu banyak. Lebih baik menggunakan bakat untuk mengikat hati itu untuk mengajak manusia kepada Allah berlandaskan syariat semestinya." Konklusinya, daripada kita bercinta dan sebagainya, lebih baik ditukar kepada perkongsian ilmu dan dakwah kepada jalan Allah. Bukankah lebih berkat kehidupan kita begitu?

Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.
-Hamka


Klik like jika suka, jika tak suka, diam sahaja.

Saturday, January 8, 2011

Islam: Menyebarkan Agama Kristian?


Alhamdulillah, Allah masih memberikan kesempatan kepada saya untuk terus bernafas hari ini. Namun pagi tadi sewaktu saya buka blog, saya tertarik dengan satu komentar, dari seorang non-muslim, yang sanggup komen blog saya yang berbahasa melayu ini. Tetapi saya agak terkejut juga tatkala membuka profilnya, yang semuanya tentang Bible, God, Christianity dan semua tentang agama Kristian. Menurut saya, dia mungkin cuba menyebarkan agama Kristian pada orang Muslim. Apa yang saya kagum, semangatnya yang berani masuk ke blog-blog para muslim dan cuba menyebarkan agamanya. Tetapi jangan khuatir, insyaAllah saya akan terus istiqamah untuk berjuang atas kalimah Lailaha ilallah Muhammadur rasulullah dan agama islam. Doakan saya, ya?

Saya juga insyaAllah akan terus berdakwah bersungguh-sungguh untuk menolak ajaran bertentangan dengan islam tetapi dengan cara yang berhemah. Sebenarnya tadi saya ada singgah di blog Finnell juga, dan mengajaknya untuk follow blog saya, walaupun saya pasti dia tidak akan. Tambahan pula blog saya berbahasa melayu.

Hidup memang memerlukan cabaran yang banyak. Tanpa cabaran, kita tidak akan menikmati kehidupan. Hidup ini juga ibarat roda, kadang kita di atas, kadang kita di bawah, tetapi kita boleh tetap memilih untuk bertahan di tengah-tengah.

Friday, January 7, 2011

Jelajah#1: Promosi Novel di Sekolah

Pada 31 Disember 2010 pula majlis pelancaran kecil-kecilan Single Unavailable telah diadakan di SMK Sultan Badlishah, Kulim bersamaan dengan pendaftaran pelajar baru tingkatan satu. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memuaskan.


* Bersama pengetua cemerlang SMK Sultan Badlishah, Puan Hajjah Azizah binti Rasol. Terima kasih cikgu!

* Seorang bapa pelajar sabar menanti saya menurunkan tanda tangan. Terima kasih!
* Terima kasih juga kepada Puan. Katanya, ingin membeli novel saya untuk anak remajanya.

* Pengurus besar AMREC, Dr. Azmi bin Idris juga sempat meluangkan masa membeli buku saya. Terima kasih Dr. !

* Single Unavailable mendapat sambutan yang memberansangkan, alhamdulillah. Terima kasih semua.


* Sempat bergambar bersama 'peminat' sebelum pulang.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada anda yang mendukung saya. Sesungguhnya, jasa anda hanya Allah yang selayaknya membalas.

* Pembaca novel Single Unavailable

Motivasi: Pemuda Pemudi Islam dan Pemikirannya

Kadang-kadang agak susah untuk menerobos masuk dalam pemikiran para pemuda pemudi islam yang hidup di arus kemodenisasian, mengabaikan pemahaman tentang islam dan sangat terpesong dari jalan yang lurus, iaitu keredhaan Ilah. Namun, tugas kita sebagai ayah, ibu, kakak, abang, mudir, murabbi, sahabat, dai'e tidak boleh menjadi alasan sama sekali untuk kita terus melenturkan hati-hati mereka.

Menuntut ilmu dan kefahaman islam

Sudah menjadi kewajiban kaum muslimin untuk mempelajari dan memahami ilmu islam kerana, tidak akan mungkin seorang muslim mengamalkan agamanya tanpa disertai mempelajari dan memahami ilmu tersebut dengan baik dan benar. Berbeza dengan ‘ilmu’ teknologi dan ICT, tidak semua kaum muslimin wajib untuk mempelajarinya. Ilmu yang telah Allah SWT turunkan melalui Rasul-Nya merupakan ilmu yang menyangkut keselamatan hidup seseorang di dunia mahupun di akhirat kelak. Maka, bila seorang muslim menghendaki kebaikan, hendaknya dia berupaya mempelajari dan memahami secara baik dan benar ilmu yang satu ini.

Sebagai imtihanya, sepanjang yang saya ketahui, berbanding blog islamik dan blog gosip atau blog yang lainnya, pemuda pemudi lebih memilih yang lain daripada blog islamik. Artikel-artikel islamik yang 'panjang menjela' dirasakan membosankan dan membuang waktu. Itu hakikat yang sebenar.

Saudara-saudaraku, bila dibicarakan tentang ilmu islam, ia bukanlah sesuatu yang baru sahaja didengari oleh telinga kita, sejak zaman Rasulullah SAW lagi semuanya telah bermula. Bayangkan Rasulullah yang terpaksa bersusah-payah dalam menyebarkan ilmu itu sehingga sampai kepada generasi kita hari ini, tetapi usaha para dai'e kini cuma dianggap enteng, padahal sebenarnya apa yang dikehendaki adalah kita sama-sama semuanya mendapat redha Allah dan ganjaran syurga, bukannya menunjuk-nunjuk ilmu yang baru dipelajari atau ingin memperlihatkan 'kealiman' seseorang itu. Hargailah usaha-usaha ulama, para pemimpin dan semua yang cuba membawa pemikiran islam yang sebenarnya selagi masih ada. Andai sahaja, manusia-manusia ini sudah tidak ada lagi di muka bumi ini, kita pastinya telah lama hanyut dan tidak mampu lagi mendapat bimbingan ilmu islam.

Muslimin muslimat yang saya kasihi, ketahuilah ilmu islam, atau islam itu sendiri sebenarnya bersifat komprehensif, menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Asas utama ajaran Islam ialah ke arah membina kehidupan manusia yang beriman, bertakwa dan cemerlang sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Kedatangan Islam sebenarnya membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Hargailah islam, agamamu, bukan?

Gejala mat rempit

Gejala ini merupakan salah satu gejala sosial yang agak mendapat perhatian umum, dan statistik mat rempit juga telah menaik. Yang saya hairankan, kebanyakan mat rempit terdiri daripada pemuda islam, dan jarang sekali saya lihat pemuda bukan islam melakukannya.

Akal manusialah menjadikan seseorang itu makhluk mulia, berbanding makhluk lain ciptaan Allah sehingga boleh membina tamadun dibanggakan. Melalui kurniaan Allah itu juga manusia mencipta peralatan moden serta canggih untuk keperluan mereka.


Kemampuan manusia membezakan perkara baik dan buruk juga daripada akal fikiran. Namun, kelihatannya kecenderungan manusia lebih kepada melakukan kerosakan daripada mendatangkan kebaikan untuk seluruh isi alam. Apabila akal yang sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepat apa difirmankan Allah, manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata.

Penunggang motosikal di jalanan terdiri daripada penunggang motosikal biasa, mat rempit dan bikers. Bikers memakai pakaian yang berhemah, tidak melakukan aksi-aksi bodoh di jalanan, jauh berbeza dengan mat rempit. Jika pemuda menunggang motosikal untuk menunjukkan kehebatan dan kelasakan anda dalam merempit, cukuplah sekadar jadi bikers atau golongan penunggang motosikal biasa, tidak perlulah dikategorikan dalam golongan mat rempit. Insan yang beriman pada pandangan agama digelar orang mukmin.

Rukun iman yang keenam mampu melahirkan mat cemerlang seperti kehendak kepimpinan negara dalam usaha menangani gejala mat rempit. Menghasilkan remaja yang beriman adalah usaha semua yang dikepalai oleh kepimpinan negara. Negara mengharapkan yang terbaik daripada pemuda islami kini, pemudi islami pula mengharapkan pemuda yang menjadi khalifah, bukannya ayah rempit kepada anak-anak mereka nanti. Pemuda harapan negara, harapan semua. Janganlah mengecewakan harapan-harapan ini.

Pemikiran tentang buang bayi

Apa dosa bayi yang tidak berdosa dibuang sebenarnya? Betapa kejam dan tidak berhati perut manusia yang berbuat demikian. Sudahlah melakukan dosa besar dengan berzina kemudian membunuh pula anak hasil hubungan haram berkenaan.

Apa sudah jadi dengan pemudi kita pula tanpa segan silu melakukan perbuatan keji itu? Sanggup membunuh dan yang terbaru sanggup mereka membakar bayi. Tong sampah, kotak, masjid, depan rumah adalah antara tempat yang pernah menjadi pilihan untuk membuang bayi. Lebih menyedihkan lagi, media melaporkan ada bayi yang didagangkan semata-mata mahu mengejar kekayaan duniawi yang sementara ini.

Astaghfirullahalazim, bukanlah saya selayaknya menghukum, cuma Allah yang selayaknya. Cuma saya sedih, bayi merupakan permata jernih negara, bayilah yang akan membesar menjadi pemuda pemudi harapan kelak. Dengan membuang atau membunuh bayi, samalah ertinya dengan membunuh seorang pemuda atau pemudi negara. Menurut saya, apa yang berperanan penting di sini adalah nafsu. Nafsu duniawi semata. Nafsu untuk mendapatkan kasih sayang, cinta dan lafaz janji yang palsu. Tahukah anda sebenarnya anak kecil yang tidak berdosa juga perlukan perasaan seperti itu daripada ibu dan ayahnya?

Rasanya, apa yang bermain di fikiran ibu-ibu, cuma malu menconteng arang ke muka, tetapi langsung tidak terfikir, di akhirat nanti Allah akan menayangkan kembali apa yang telah kita lakukan di dunia ini. Dan tidak guna juga kita menyesali perkara yang telah berlaku, kerana kita perlu bertaubat untuk memohon kemaafan Allah semata.

Masalah pembuangan bayi juga adalah salah satu natijah buruk yang terhasil akibat pelbagai masalah masyarakat yang melanda dan kini menjadi barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita. Justeru, cara sewajarnya bagi menangani permasalahan buang bayi adalah membanteras segala punca yang menjadi sebab kepada permasalahan ini. Kepincangan pendidikan, persekitaran, perundangan dan institusi keluarga harus diperbetulkan demi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai murni yang membawa kepada terlahirnya generasi muda yang mempunyai daya tahan tinggi bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang di zaman yang serba canggih dan moden ini. Insya Allah.

Konklusi

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru para pemuda pemudi islam di luar sana agar bangkitlah! Majulah untuk negara dan islam! Kita perlu sama-sama menempuh duri dan ranjau yang tidaklah seberapa ini dibandingkan dengan ujian dan cubaan yang dihadapi Rasulullah dahulu. Janganlah mudah tertewas dengan bisikan syaitan dan nafsu, kerana kita harapan negara. Harapan islam. Mudah-mudahan penulisan saya yang masih mentah ini tiadalah melainkan ibadah untuk mendapat redhaNya semata.

*p/s: sengaja saya menukar-nukar font kali ini. =)


Klik like jika suka, jika tak suka, diam sahaja.

Thursday, January 6, 2011

Motivasi: Nafsu di Hadapan Cermin

Bayangkan anda sedang berada dalam situasi begini. Jam sudah menunjukkan bahawa anda sudah terlewat untuk pergi ke sesebuah majlis ilmu atau mana-mana tujuan anda pada hari tersebut, dan anda masih lagi sedang berdiri di hadapan cermin, menyisir rambut, mengemaskan penampilan, membetulkan tudung atau tali leher.

Membawa imej islam

Pepatah inggeris ada menyatakan, don’t judge a book by it’s cover, ertinya seseorang itu perlu diketahui akhlak dan sahsiahnya dahulu sebelum dinilai. Jika anda mengatakan imej luaran itu tidak penting, anda salah. Sebenarnya peribadi dan penampilan seseorang itu juga kadang-kadang penting sebagai aset kehidupan islami dan mencorakkan imej kemas serta keindahan islam. Cuba bayangkan, anda sebagai seorang muslim yang tidak mementingkan penampilan, berpakaian selekeh di hadapan manusia yang lain.

Pasti ada tanggapan negatif yang dibawa, dan mungkin sekali orang yang bukan islam menggambarkan islam sebagai selekeh atau apa sahaja penampilan yang anda bawakan. Sebaliknya, jika anda berpakaian kemas, pandangan mereka tentang islam akan menjadi positif, juga kadang-kadang akan ada yang tertarik dengan islam hanya kerana imej yang dibawakan oleh seseorang itu.

Contoh yang lain juga, sewaktu anda menghadiri sebarang temu duga kerja. Andai sahaja pemakaian yang dibawa selekeh, tentu sekali anda digambarkan sebagai orang yang tidak terurus dan hanya akan merugikan sesebuah syarikat. Pandangan pertama peribadi anda memang penting. Buat yang muslimah pula, tidak perlulah terlalu berhias cuma cukuplah sekadar tidak selekeh. Itu sahaja.

Bisikan syaitan

Dalam konteks yang lain pula, berbalik kepada pokok-pangkal tajuk, melaram yang lama sebenarnya merupakan aset dan senjata syaitan untuk menghancurkan anak cucu Nabi Adam a.s. Kehidupan modenisasi sekarang sebenarnya banyak dipengaruhi oleh budaya barat, terutamanya di kalangan kaum wanita. Kadang-kadang mungkin ada yang terpengaruh dengan pemakaian seksi yang mendapat tarikan semua pihak, lantas gadis-gadis yang bertudung juga cuba untuk menjadi secantik mungkin bagi menarik perhatian.

Ketahuilah, ini yang dinamakan nafsu. Bahkan kehidupan kita sendiri juga boleh menjadi cerminannya. Kita sering bergaya lama di hadapan cermin untuk kelihatan segak, kemas, cantik, tetapi dengan niat yang salah. Niat sebenarnya merupakan peranan yang paling penting dalam kehidupan. Niat yang buruk, buruklah imbalannya. Jika niat baik, baiklah imbalannya. Insya Allah.

Konklusinya, tata rias di hadapan cermin itu boleh, tetapi yakinlah bahawa anda sedang menaikkan imej islam, bukannya atas dasar yang lain. Dan yakin juga, Allah bukan mengukur anda berdasarkan wajah atau rupa bentuk anda, tetapi Allah mengukur berdasarkan hati-hati anda. Mudah-mudahan motivasi ringkas ini sedikit sebanyak dapat membantu. Wallahu alam bissawab.

Wednesday, January 5, 2011

Motivasi: Mencari Iman Yang Hilang

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِكُمْ فَإِذَا اطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ
إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَاباً مَّوْقُوتاً

Maksudnya : Maka apabila kamu telah menyelesaikan shalat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah shalat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya shalat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. (An Nisa': 103)

Ayat yang ingin saya tekankan, ...ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk, dan di waktu berbaring.. Iman itu sentiasa ada naik dan ada turunnya, terutama apabila kita alpa dan leka dalam menjalani kehidupan seharian.

Bagaimana alam maya boleh menghilangkan iman

Penggunaan internet terutamanya Facebook, Blogger.com, Twitter, atau apa sahaja yang menjadi halaman-halaman utama yang bakal anda klik sejurus membuka internet janganlah sampai melekakan. Kadangkala kita tidak menyedari, bahawa diri kita sebenarnya sedang melupakan Allah, terlalu asyik dengan semua hal-hal sebegini sampai mengakibatkan iman kita hilang seketika, dan kemudiannya nanti baru ditambah kembali. Sebenarnya waktu iman kita itu hilang, banyak sekali kerugian yang boleh kita peroleh misalnya dosa, kemurkaan Allah atau paling dasyat sekali jika kita tiba-tiba meninggal dunia dalam keadaan yang tidak beriman. Mudah-mudahan dijauhkan. Ameen.

Tips Mengingati Allah Dalam Kehidupan

Setiap apa yang kita kerjakan di atas muka bumi ini, perlu ada kaitannya dengan Allah. Sentiasalah mengingati kebesarannya, ingat Allah sentiasa perhati kita, Allah sentiasa bersama kita dan kita hidup cuma untuk Allah. Dalam perbualan seharian, kalau boleh sentiasa cenderung ke arah Allah, Rasulullah dan semua yang cenderung ke arah mengingati Allah. Misalnya jika kita sedang berbual dengan rakan-rakan, boleh ceritakan tentang sirah Rasulullah sedikit sebanyak yang kita ketahui, atau berkongsi ilmu-ilmu agama yang diperoleh. Dan saat kita sedang menulis, komentar, chat atau sebagainya kita perlu mengingati Allah, walau bagaimana juga caranya supaya andai kata kita ditakdirkan dijemput oleh malaikat maut, kita boleh meninggal dalam keadaan yang beriman. Ameen.

Tuesday, January 4, 2011

Single Unavailable: Antara Amanah dan Larangan
















Berikut antara petikan yang terkandung dalam blog Galeri Ilmu.

***

1. Apa yang mendorong saudari untuk menulis?
Pada awalnya saya memang minat menulis dari kecil, dan menulis hanya untuk suka-suka. Kemudian, saya mula cenderung ke arah penulisan dan giat menulis cerpen dan membukukannya lalu menyimpannya di rumah sahaja. Lama-kelamaan, ibu bapa dan para guru di sekolah menyuruh saya mencuba dalam penulisan novel. Ibu bapa, keluarga, guru-gura dan rakan-rakan memang banyak memberi galakan pada saya dalam bidang penulisan. Rakan-rakan pula memang suka membaca cerpen-cerpen saya dan kerap kali menyuruh saya sentiasa menghasilkan cerpen-cerpen terbaru. Setelah saya mula mengenali dunia blogging saya tergerak untuk berkongsi beberapa cerpen-cerpen saya dalam dunia maya, dan alhamdulillah rakan-rakan yang membaca akan memberi pandangan berkenaan cerpen saya. Setelah itu, saya menghantar proposal kepada beberapa syarikat penulisan termasuk GISB dan alhamdulillah GISB terima. Saya memilih GISB kerana cara layanan mereka yang mesra dan editor perolehannya, Encik Zakaria pula memberikan tips penulisan yang bagus. Dari situ saya mulai serius dalam bidang penulisan dan bertekad untuk mendedikasikan diri dalam bidang ini. Insya-Allah.

2. Mengapa menulis S.U.?
Single Unavailable tercetus daripada pergerakan kehidupan di sekitar saya sendiri. Mesej utama yang cuba saya bawa dalam novel ini berkenaan hukum berpasangan, khususnya di kalangan remaja zaman sekarang. Saya cuba menyampaikan bahawa pelajaran itu lebih penting daripada bercinta, kerana menurut saya remaja sekarang lebih mengejar cinta lelaki dan perempuan dibandingkan dengan cinta kepada Allah SWT, pemilik cinta yang sejati. Penulisan S.U. lebih kepada mengajak saudara-saudara saya di luar sana agar menyahut seruan cinta Ilahi dan meninggalkan kemungkaran yang sedang berleluasa kini. Jika bukan para remaja yang mengubah cara hidup mereka di dunia ini, siapa lagi?


Selanjutnya di... BUKU KITA HARTA KITA.

Saturday, January 1, 2011

Informasi: Kenapa Lelaki Suka Bola Sepak?

Itu yang bermain-main di minda saya. Maaf, bukan maksud saya merendahkan bola sepak atau apa, saya juga pernah menonton perlawanan bola sepak. Er.. ada sesiapa yang sudi menjawab persoalan saya? Saya teringin nak baca entry penuh anda tentang bola sepak.

* p/s: hari pertama tahun 2011 saya menyoal tentang bola sepak? huhu