Motivasi: Sedekah Tanpa Kita Sedari

Sedekah. Ertinya mengeluarkan atau memberi dengan hati yang tulus dan ikhlas. Lazimnya istilah sedekah ini hanya diguna pakai sewaktu menderma untuk membantu orang-orang yang susah, mangsa bencana dan sebagainya. Tetapi secara tidak langsung, sebagai umat islam ada banyak lagi sedekah yang mungkin kita telah, sedang atau akan lakukan dalam kehidupan kita tanpa kita sedari. Sebelum itu, biarlah saya menyertakan sepotong hadis Rasulullah SAW yang merupakan panduan saya dalam mengarang artikel kali ini. Hadisnya berbunyi begini,

Dari Abu Hurairah r.a dia berkata : Rasulullah SAW bersabda : Setiap anggota tubuh manusia wajib disedekahi, setiap hari dimana matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkendaraan lalu engkau bantu dia untuk naik kenderaanya atau mengangkatkan barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju shalat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah.
(Riwayat Bukhori dan Muslim)

Membaca hadis tersebut sepintas lalu sahaja kita sudah dapat mengetahui banyak saranan dan pengajaran. Bersyukur kepada Allah Ta’ala setiap hari atas kesihatan anggota badan.

Allah telah menjadikan setiap anggota badan untuk menolong hamba-hamba-Nya, bersedekah kepada mereka dengan menggunakannya sesuai kemampuan masing-masing.

Perkara yang termasuk sedekah pula adalah menahan tangan dan lisan untuk tidak menyakiti orang lain, justeru seharusnya digunakan untuk menunaikan hak-hak setiap muslim. Jasad harus dikeluarkan zakatnya sebagaimana harta ada zakatnya. Zakat badan adalah melakukan perbuatan baik, bersedekah dan pintu-pintunya banyak.

Rasulullah juga menganjurkan untuk mendamaikan kedua belah pihak, saling tolong menolong, mengucapkan kalimat yang baik, berjalan menuju solat dan menyingkirkan penghalang dari mana-mana jalan. Penghalang yang dinyatakan di sini misalnya duri, ranting atau apa-apa sahaja yang menghalang perjalanan seseorang itu. Masya Allah, membuang sesuatu di jalan sahaja sudah dianggap sebagai sedekah. Betapa kasihnya Allah SWT pada hamba-hamba-Nya.

Hadis ini juga menganjurkan kita untuk melakukan keadilan, kerana dengan keadilanlah ditegakkan langit dan bumi. Seandainya kita tidak berlaku adil, telah dikira sebagai dosa andai kata yang menjadi mangsa itu benar-benar teraniaya.

Comments