Pages

Sunday, November 28, 2010

Sinopsis Single Unavailable

Single Unavailable merupakan novel sulung saya, yang telah terbit pada Disember 2010, ketika saya berusia 14 tahun. Novel ini merupakan novel tarbiah remaja, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Harganya RM 14 sahaja dan boleh didapati di Popular, MPH dan kedai-kedai buku berhampiran anda, insya-Allah.

Novel ini mengetengahkan tema tarbiah remaja iaitu tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan mendidik remaja terutamanya melalui aspek tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Novel ini mengisarkan Taqiah seorang gadis lembut sebagai watak protagonis. Dia dibesarkan oleh keluarga yang kekurangan serta merupakan seorang ketua pelajar di sekolahnya. Dia seorang yang gigih menuntut ilmu dan terbukti apabila sentiasa mendapat kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, dia memiliki sifat mulia seperti penyayang, bertanggungjawab, taat pada perintah agama, cekal hati, pemaaf dan teguh jati diri. Taqiah bersabar menerima ujian hidup tatkala adik yang dicintai menghidap penyakit kritikal. Tidak hanya dengan itu, ayahnya pula terlibat dalam suatu kemalangan yang meletakkan kondisi beliau  terancam antara hidup dan mati.

Pada pendapat saya, Taqiah mempunyai kesungguhan dalam menjalankan tanggungjawab misalnya dia mampu menjadi seorang ketua pelajar yang tegas dan sanggup menegur rakan-rakannya sendiri, walaupun pada azalinya beliau merupakan seorang yang lemah lembut.

Penceritaan novel ini mula berkembang apabila watak Latif Marwan, seorang pelajar baru di sekolah muncul dalam kehidupannya. Jejaka ini cuba mendapatkan perhatian Taqiah namun tidak diendahkan. Dia diberi watak yang agak tercicir dalam pelajaran tetapi demi membanggakan kedua orang tuanya dan Taqiah dia sanggup mengenepikan keegoan dan jiwa remajanya yang membuak-buak.

Saya menjadikan cerita ini semakin rumit dan kompleks apabila Marwan disaingi oleh abang kandung dan rakan karibnya sendiri. Rifqi, iaitu abangnya sangat menyukai Taqiah dan sanggup mengkhianati Marwan demi mendapatkan gadis yang disukai.

Peleraiannya, Marwan akhirnya meluahkan perasaannya terhadap Taqiah. Persoalannya, adakah Taqiah bersetuju untuk menjadi kekasihnya? Perumpamaan melayu ada menyebut, tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Dalam novel ini jelas menggambarkan nilai-nilai positif dan tarbiah yang patut dijadikan amalan. Nilai pengorbanan, kegigihan, kasih sayang, kerajinan, kesyukuran dan ketabahan mesti dihayati sebaiknya.

Pelbagai pengajaran juga boleh digarapkan daripada novel ini. Manusia memang pernah, sedang atau akan diuji oleh Tuhan dengan pelbagai ujian hidup sama ada yang kita sedari ataupun tidak. Kita tidak boleh cepat berputus asa dan mengalah. Kita haruslah tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan demi membuktikan kecemerlangan diri.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing. Pelajar merupakan pimpinan ke atas dirinya sendiri. Pengawas merupakan pimpinan ke atas pelajar dan begitulah selanjutnya. Sepanjang proses memikul amanah yang telah diberikan kepada kita, kita haruslah menjalankannya dengan bersungguh-sungguh supaya tidak mengewakan harapan ibu bapa, guru, masyarakat dan negara.

Secara relatifnya, insan yang tidak mempunyai hala tuju hanya akan hanyut dalam dunia masing-masing. Justeru, kita haruslah mempunyai prinsif hidup serta taat pada ajaran agama. Agama mengangkat kemuliaan manusia dan menjadi pendorong sepanjang hayat.

Akhir sekali, kita hendaklah sedar dan tahu membezakan antara amanah dan larangan. Nafsu hanyalah satu ujian untuk menguji tahap keimanan seseorang individu. Sesungguhnya, sesudah kesulitan pasti terlimpah kelapangan dan sematkanlah dalam diri, setiap masalah pasti terselit jalan penyelesaian.

Dalam novel ini saya cuba mengupas sedikit persoalan tentang "couple" dan membawa penghayatan anda ke alam remaja yang penuh konflik. Mudah-mudahan membawa manfaat, insya-Allah. Sebarang pertanyaan boleh e-mel pada nurina24@ymail.com.






Saturday, November 27, 2010

Motivasi: Sedekah Tanpa Kita Sedari

Sedekah. Ertinya mengeluarkan atau memberi dengan hati yang tulus dan ikhlas. Lazimnya istilah sedekah ini hanya diguna pakai sewaktu menderma untuk membantu orang-orang yang susah, mangsa bencana dan sebagainya. Tetapi secara tidak langsung, sebagai umat islam ada banyak lagi sedekah yang mungkin kita telah, sedang atau akan lakukan dalam kehidupan kita tanpa kita sedari. Sebelum itu, biarlah saya menyertakan sepotong hadis Rasulullah SAW yang merupakan panduan saya dalam mengarang artikel kali ini. Hadisnya berbunyi begini,

Dari Abu Hurairah r.a dia berkata : Rasulullah SAW bersabda : Setiap anggota tubuh manusia wajib disedekahi, setiap hari dimana matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkendaraan lalu engkau bantu dia untuk naik kenderaanya atau mengangkatkan barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju shalat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah.
(Riwayat Bukhori dan Muslim)

Membaca hadis tersebut sepintas lalu sahaja kita sudah dapat mengetahui banyak saranan dan pengajaran. Bersyukur kepada Allah Ta’ala setiap hari atas kesihatan anggota badan.

Allah telah menjadikan setiap anggota badan untuk menolong hamba-hamba-Nya, bersedekah kepada mereka dengan menggunakannya sesuai kemampuan masing-masing.

Perkara yang termasuk sedekah pula adalah menahan tangan dan lisan untuk tidak menyakiti orang lain, justeru seharusnya digunakan untuk menunaikan hak-hak setiap muslim. Jasad harus dikeluarkan zakatnya sebagaimana harta ada zakatnya. Zakat badan adalah melakukan perbuatan baik, bersedekah dan pintu-pintunya banyak.

Rasulullah juga menganjurkan untuk mendamaikan kedua belah pihak, saling tolong menolong, mengucapkan kalimat yang baik, berjalan menuju solat dan menyingkirkan penghalang dari mana-mana jalan. Penghalang yang dinyatakan di sini misalnya duri, ranting atau apa-apa sahaja yang menghalang perjalanan seseorang itu. Masya Allah, membuang sesuatu di jalan sahaja sudah dianggap sebagai sedekah. Betapa kasihnya Allah SWT pada hamba-hamba-Nya.

Hadis ini juga menganjurkan kita untuk melakukan keadilan, kerana dengan keadilanlah ditegakkan langit dan bumi. Seandainya kita tidak berlaku adil, telah dikira sebagai dosa andai kata yang menjadi mangsa itu benar-benar teraniaya.