Pages

Friday, October 8, 2010

Diari#5: Da'i dan Mad'u

Maaf sebab lama tidak update blog. Kali ini cuma sedikit bingkisan diari soal harapan dalam kehidupan islami saya, dan mungkin juga ada kaitannya dengan anda. Kehidupan ini ibarat roda, kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah, tetapi kita boleh memilih untuk tetap bertahan di tengah-tengah. Insya Allah. Sebelum itu biarlah saya menjelaskan sedikit erti tajuk entry saya kali ini. Da'i itu ertinya orang yang menyebarkan dakwah, atau lebih dikenali juru dakwah. Mad'u pula ertinya orang yang disampaikan padanya dakwah (si penerima dakwah). Sebenarnya saya ingin cuba mendakwahkan diri sendiri dahulu sebelum berdakwah pada orang lain. Dalam berdakwah, ilmu agama mesti dituntut sebanyak-banyaknya bagi membolehkan hidup kita sebati dengan ajaran islam yang sebenar-benarnya.
Dakwah itu merupakan kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah SWT sesuai dengan aqidah, syariat dan akhlak islam itu sendiri. Setiap muslim yang menjalankan dakwah itu dipanggil da'i. Saat ini, saya sedang berusaha untuk mencapai gelaran itu. Insya Allah.
Sebenarnya proses untuk berdakwah itu bukanlah sesenang yang dijangka, bahkan menurut saya setiap da'i itu akan menghadapi dugaan dan cabaran daripada Allah SWT dalam menyebarkan dakwah. Mad'u atau sesiapa sahaja yang kita tegur, mungkin akan menghadapi kesulitan memahami mesej yang cuba kita sampaikan. Bahkan dalam sesetengah kondisi, mereka akan menentang dari awal sebelum sempat kita mulakan.
Kenapa saya berani menyuarakan begini? Kerana pengalaman. Pengalaman mengajar kita segalanya. Saya masih ingat lagi sewaktu hati saya sudah tertambat pada dakwah. Pada dasarnya saya cuma menyuarakan apa yang saya tahu pada mad'u saya. Semua yang saya ceritakan hanyalah berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Saya cuba untuk tidak menjadi hipokrit, oleh itu saya usaha sehabis mungkin untuk muhasabah diri pada Ilahi. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal saya dunia akhirat. Ameen.
Pada peringkat seterusnya, dakwah saya semakin 'improve' dan mungkin lebih baik daripada sebelumnya kerana saya berjaya menyelitkan hadis-hadis yang berkenaan semasa menyampaikan dakwah. Sejujurnya saya suka membaca banyak buku-buku agama dan hadis. Dalam sesetengah kondisi saya akan cuba menghafaz hadis-hadis tersebut setelah diyakini sahih.
Sebetulnya saya hanyalah manusia biasa, banyak salah dan khilaf. Kadang-kadang juga leka dengan kelazatan duniawi, itu saya akui. Tetapi saya cuba membaiki diri saya sebelum membaiki diri orang lain. Pengalaman saya berdakwah ada yang manis dan juga pahit, tetapi semua itu yang membentuk kehidupan saya sekarang. Saat ini saya sedang merangka strategi untuk berdakwah pada non-muslim dan golongan yang suka meninggalkan solat fardhu. Saya pinta doa kalian, ya?
Dalam berdakwah, kita tidak boleh menerapkan unsur "Aku betul, kau salah." Itu ternyata suatu yang salah. Kita harus berusaha memahami sebaik mungkin perasaan si mad'u. Mungkin apa yang menyebabkannya kurang faham mempunyai punca-punca tertentu. Oleh itu kita harus menyelidik dari dasar pangkal segala aspek-aspek yang tertentu. Saya juga sering mewujudkan sesi 'ruang bersama' bersama para mad'u, yang menyebabkan si da'i dan mad'u lebih akrab. Misalnya ketika berada di sekolah, kuliah, universiti atau di tempat kerja. Waktu kita berehat juga boleh dijadikan 'ruang bersama'. Hal ini Insya Allah boleh menyebabkan da'i dan mad'u punya perhubungan yang harmoni, ukhuwah yang lebih kepada ukhuwahfillah. Sepanjang proses berdakwah juga saya kira si da'i perlu ada sahsiah islami, dan tidak main-main dalam dakwahnya.
Menyumbang dakwah itu adalah sebahagian daripada ibadah (pengabdian) kita pada Tuhan. Justeru kerja besar ini harus kita lakukan tanpa henti dan tanpa mengenal kata istirehat. Hanya kematianlah yang boleh menghentikan aktiviti ibadah kita, termasuk dakwah kita. Itulah yang Allah telah perintahkan kepada kita, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

”Sembahlah Tuhanmu hingga datang kematian (al-Hijr: 99)

Saya berharap para da'i di luar sana boleh saling melengkapi para mad'u mereka. Dan saya juga berharap blog saya ini berhasil menjadi medium yang mengeratkan saya dengan para da'i dan para mad'u. Sejujurnya saya masih lagi memerlukan tunjuk ajar daripada anda semua. We learn from the past. Dan segala pengalaman kita sama ada yang manis ataupun pahit itulah yang menjadikan kita lebih matang. Manusia diciptakan untuk satu sama lain. Dan saya yakin, sekiranya niat kita suci, Allah akan permudahkannya. Insya Allah. Wallahu alam.

2 comments: