Pages

Saturday, October 23, 2010

Remaja: Fitnah Dari Kamera

"Ambil gambar couple ni, ada hukum juga ke?"

Pada zaman serba modenisasi ini, tidak mustahillah kalau manusia tidak boleh dipisahkan dengan penggunaan gadget yang canggih seperti telefon bimbit, laptop, dan kamera. Artikel saya kali ini lebih menyuarakan pendapat tentang penggunaan kamera. Sebenarnya kalau saya membuka Facebook, rata-rata yang keluar gambar lelaki dan wanita ajnabi bergambar bersama secara berdua-duaan. Astaghfirullah. 

Terdetik juga di hati saya segelumit sikap kesal, mudah-mudahan Allah ampuni dosa-dosa kita kerana setiap manusia itu tidak pernah terlepas dari kesalahan. Saya juga begitu. Mungkin sekali saya juga sering alpa, maka sebagai sesama muslim, ini adalah tugas kita untuk menegur dan menasihati.

Sebenarnya saya masih lagi tertanya-tanya, apa hukumnya seorang wanita bergambar dengan lelaki ajnabi, dan begitulah sebaliknya? Saya akan rujuk pada yang lebih mengetahui dalam bidang ini, tapi mohon juga ya pendapat kalian. Manusia bukan semuanya thiqoh. Dan saya juga kadang-kadang lalai. Apabila terpandangkan gambar-gambar sebegini, secara tidak langsung akan ada suara-suara yang keluar. Misalnya, "Korang ni kapel ke?", "Awek ko ke nie?", "Korang ni sweet lah", dan sebagainya. Bukankah suara-suara itu secara tidak langsung menimbulkan fitnah?

Dari perspektif yang lain, perbuatan sebegini hanya akan mendekatkan seseorang itu kepada zina, dan janganlah kamu menghampiri zina!


Mungkin ramai yang menggunakan alasan ukhuwah, suka-suka, sebagai kenangan, tetapi semua hal ini tidak membawa manfaatnya. Apabila seorang perempuan muslimah memaparkan gambar dirinya dengan kawan lelakinya secara berdua-duaan maka ianya sudah jadi salah dan seolah-olah umat Islam ini sama sahaja seperti barat yang biasa bergambar lelaki perempuan kawan kenalan cuma hanya tudung yang membezakan. 
Menurut saya, setinggi mana pun seseorang itu dalam agama, mereka tidak akan pernah terlepas dalam ujian, terutamanya ujian pergaulan. Saya juga begitu.


Saya terdetik untuk menulis artikel ringkas ini setelah melihat senior-senior saya bergambar berdua-duaan. Bukanlah saya berniat untuk mengutuk atau memalukan mereka, bahkan sama sekali tidak. Fitnah boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Saya benar-benar memohon keampunan pada yang terkesan. Saya cuma hambaNya yang lemah, penuh dengan dosa. Sama-samalah kita saling berpesan-pesan pada kebenaran dan saling berpesan-pesan pada kesabaran.

Menegur adalah tanggungjawab setiap insan. Perbaiki diri, sambil ajak orang lain ke arah kebaikan. Mohon sekali teguran anda sepanjang kesalahan saya menulis artikel. Hanya Allah yang boleh membalas jasa anda. :)


Nurina Soib
231010
1111

Wednesday, October 13, 2010

Diari#6: Di Sebalik 1 Malaysia, 1 Badlishah...

SMK Sultan Badlishah, Kulim, Kedah. Sebuah sekolah yang berjaya mendapat tempat di hati saya, bahkan mungkin juga di hati anda. Pada dasarnya sekolah ini cuma sebuah sekolah yang biasa. Apa yang menjadikan sekolah ini luar biasa, pada pendapat saya, adalah disebabkan oleh insan-insan luar biasa yang menggerakkan sekolah ini. Sesuai dengan ungkapan 1 Malaysia, 1 Badlishah ... sebenarnya erti yang terkandung dalam moto ini sungguh luar biasa.

Waktu saya kali pertama menjejakkan kaki di sekolah ini, saya melihat pada pengetuanya. Seorang wanita. Bukan wanita biasa, tetapi seorang wanita luar biasa. Nama beliau Puan Hajjah Azizah binti Rasol. Menurut pandangan saya, beliau merupakan seorang yang sangat tegas. Very strict. Tetapi saya yakin setiap ketegasan beliau adalah untuk kebaikan diri dan sekolah. Tanpa sifat keprihatinan para pengajar dan pendidik, mana mungkin SMK Sultan Badlishah berjaya mendapat tempat yang gah di persada Kedah? Dan harapnya persada negara.


Menurut saya, ungkapan 1 Badlishah menunjukkan sebuah ikatan yang mesra harmoni di antara setiap warga Badlishah. Guru dan staf, guru dan pelajar, pelajar dan staf. Pada luarannya, setiap kenangan sama ada pahit ataupun manis boleh diterokai sepanjang bersekolah di sekolah yang cukup unik ini. Pengalaman pahit? Dimarahi, didenda, dirotan. Pengalaman manis? Dididik, diasuh, disayangi, dirawat.

Sesiapa yang tidak memanfaatkan kenangan dan nostalgia sebegitu dengan sebaiknya, percayalah anda akan rugi. Selain perpaduan, kerjasama juga penting dalam menjayakan konteks 1 Malaysia, 1 Badlishah. Kerjasama di antara semua warga Badlishah. Saya memetik kata-kata kartun Wonderpets, apa yang penting... kerjasama! Benar, misalnya pelajar tidak mahu bekerjasama dengan guru. Ingkar arahan guru. Ponteng kelas dan sebagainya. Apakah akan wujudnya perpaduan itu kelak? Jawapannya mudah sahaja, tidak.

Seterusnya, kasih sayang. Kasih sayang di sini bukan saya maksudkan seperti 'loving couple' atau sebagainya. Kasih sayang kita pada sekolah, pada guru, pada alam lestari Badlishah, pada kelas, pada suasana pembelajaran dan juga pada rakan-rakan. Kasih sayang menghidupkan kehidupan. Tanpa kewujudan sifat ini, semuanya akan hancur. Percayalah. Contohnya mudah sahaja, andai kata 50 peratus warga Badlishah tidak menyayangi sekolah, mereka membuang sampah merata-rata atau vandalisme (kononnya kreatif). Kita boleh mencapai pada satu kesimpulan bahawa imej sekolah ini akan tercalar. Sekiranya imej sekolah Badlishah sudah tercalar, masihkah boleh dilihat bayang-bayang 1 Badlishah? Jawapannya juga sangat mudah, tidak.

Rahsia di balik 1 Malaysia, 1 Badlishah yang selanjutnya... yakin. Biarlah saya terangkan supaya jelas. Apabila kita mengidam-idamkan suatu matlamat, misal kata untuk membawa SMK Sultan Badlishah lebih mantap dalam arena sukan. Setelah usaha, doa, tawakkal, kita juga harus yakin. Dan saya juga yakin, insya Allah, sekolah ini mampu membawa imej yang sangat mantap dan berprestij dalam apa jua bidang yang diceburi. Insya Allah. Mustahil untuk pengecut. Justeru, saya juga menyematkan dalam diri bahawa sekolah kebanggaan saya ini tidak mustahil boleh menjadi sekolah top Malaysia. Nombor satu. Who knows?

Friday, October 8, 2010

Diari#5: Da'i dan Mad'u

Maaf sebab lama tidak update blog. Kali ini cuma sedikit bingkisan diari soal harapan dalam kehidupan islami saya, dan mungkin juga ada kaitannya dengan anda. Kehidupan ini ibarat roda, kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah, tetapi kita boleh memilih untuk tetap bertahan di tengah-tengah. Insya Allah. Sebelum itu biarlah saya menjelaskan sedikit erti tajuk entry saya kali ini. Da'i itu ertinya orang yang menyebarkan dakwah, atau lebih dikenali juru dakwah. Mad'u pula ertinya orang yang disampaikan padanya dakwah (si penerima dakwah). Sebenarnya saya ingin cuba mendakwahkan diri sendiri dahulu sebelum berdakwah pada orang lain. Dalam berdakwah, ilmu agama mesti dituntut sebanyak-banyaknya bagi membolehkan hidup kita sebati dengan ajaran islam yang sebenar-benarnya.
Dakwah itu merupakan kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah SWT sesuai dengan aqidah, syariat dan akhlak islam itu sendiri. Setiap muslim yang menjalankan dakwah itu dipanggil da'i. Saat ini, saya sedang berusaha untuk mencapai gelaran itu. Insya Allah.
Sebenarnya proses untuk berdakwah itu bukanlah sesenang yang dijangka, bahkan menurut saya setiap da'i itu akan menghadapi dugaan dan cabaran daripada Allah SWT dalam menyebarkan dakwah. Mad'u atau sesiapa sahaja yang kita tegur, mungkin akan menghadapi kesulitan memahami mesej yang cuba kita sampaikan. Bahkan dalam sesetengah kondisi, mereka akan menentang dari awal sebelum sempat kita mulakan.
Kenapa saya berani menyuarakan begini? Kerana pengalaman. Pengalaman mengajar kita segalanya. Saya masih ingat lagi sewaktu hati saya sudah tertambat pada dakwah. Pada dasarnya saya cuma menyuarakan apa yang saya tahu pada mad'u saya. Semua yang saya ceritakan hanyalah berdasarkan pengalaman dan pembacaan. Saya cuba untuk tidak menjadi hipokrit, oleh itu saya usaha sehabis mungkin untuk muhasabah diri pada Ilahi. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal saya dunia akhirat. Ameen.
Pada peringkat seterusnya, dakwah saya semakin 'improve' dan mungkin lebih baik daripada sebelumnya kerana saya berjaya menyelitkan hadis-hadis yang berkenaan semasa menyampaikan dakwah. Sejujurnya saya suka membaca banyak buku-buku agama dan hadis. Dalam sesetengah kondisi saya akan cuba menghafaz hadis-hadis tersebut setelah diyakini sahih.
Sebetulnya saya hanyalah manusia biasa, banyak salah dan khilaf. Kadang-kadang juga leka dengan kelazatan duniawi, itu saya akui. Tetapi saya cuba membaiki diri saya sebelum membaiki diri orang lain. Pengalaman saya berdakwah ada yang manis dan juga pahit, tetapi semua itu yang membentuk kehidupan saya sekarang. Saat ini saya sedang merangka strategi untuk berdakwah pada non-muslim dan golongan yang suka meninggalkan solat fardhu. Saya pinta doa kalian, ya?
Dalam berdakwah, kita tidak boleh menerapkan unsur "Aku betul, kau salah." Itu ternyata suatu yang salah. Kita harus berusaha memahami sebaik mungkin perasaan si mad'u. Mungkin apa yang menyebabkannya kurang faham mempunyai punca-punca tertentu. Oleh itu kita harus menyelidik dari dasar pangkal segala aspek-aspek yang tertentu. Saya juga sering mewujudkan sesi 'ruang bersama' bersama para mad'u, yang menyebabkan si da'i dan mad'u lebih akrab. Misalnya ketika berada di sekolah, kuliah, universiti atau di tempat kerja. Waktu kita berehat juga boleh dijadikan 'ruang bersama'. Hal ini Insya Allah boleh menyebabkan da'i dan mad'u punya perhubungan yang harmoni, ukhuwah yang lebih kepada ukhuwahfillah. Sepanjang proses berdakwah juga saya kira si da'i perlu ada sahsiah islami, dan tidak main-main dalam dakwahnya.
Menyumbang dakwah itu adalah sebahagian daripada ibadah (pengabdian) kita pada Tuhan. Justeru kerja besar ini harus kita lakukan tanpa henti dan tanpa mengenal kata istirehat. Hanya kematianlah yang boleh menghentikan aktiviti ibadah kita, termasuk dakwah kita. Itulah yang Allah telah perintahkan kepada kita, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

”Sembahlah Tuhanmu hingga datang kematian (al-Hijr: 99)

Saya berharap para da'i di luar sana boleh saling melengkapi para mad'u mereka. Dan saya juga berharap blog saya ini berhasil menjadi medium yang mengeratkan saya dengan para da'i dan para mad'u. Sejujurnya saya masih lagi memerlukan tunjuk ajar daripada anda semua. We learn from the past. Dan segala pengalaman kita sama ada yang manis ataupun pahit itulah yang menjadikan kita lebih matang. Manusia diciptakan untuk satu sama lain. Dan saya yakin, sekiranya niat kita suci, Allah akan permudahkannya. Insya Allah. Wallahu alam.