Pages

Sunday, September 26, 2010

Cerpen: Sebuah Kemaafan

Pagi nirmala. Awan berambal-ambalan di langit. Cahaya matahari segan silu menembusi awan untuk memancar ke serata permukaan bumi. Kedinginan memeluk alam. Udara segar mentah. Bebas bertiupan ke mana-mana. Burung bebas berterbangan riang. Flora bergoncang perlahan. Daun yang berpaut pada pohon berguguran. Aroma bunganya pula menusuk hidung. Harum. Damai. Tenang memenuhi ruang.Sesekali angin dingin pagi itu memberus lembut pipi Tini yang sedang berteleku di jendela kamarnya. Pandangannya asyik memerhatikan keindahan alam ciptaan Tuhan. Dia hanya mampu bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Maha Kuasa. Meskipun begitu, kalbunya masih dilanda badai resah. Tini gelisah. Pertanyaan demi pertanyaan menerobos masuk ke dalam mindanya.

Mengapa? Persoalan itu dilontarkan kepada rama-rama yang sedang menari-nari di hadapannya. Derita itu sudah dialaminya sejak beberapa hari yang lepas. Sejak seorang wanita yang tidak dikenalinya datang ke Rumah Kasih. Wanita itu berpakaian buruk, wajahnya sangat pucat. Ekspresi kesedihan jelas terpampang di raut wajahnya.

“Tidak!” itu jawapan keras Tini. Wanita itu mengaku bahawa dia ialah ibunya. Mak Timah ingin membawa pulang Tini ke rumah. Tangan Tini ditarik halus. Senyuman terkoyak pada bibir wanita tua itu. Tangan Tini terketar-ketar. Kehidupannya di Rumah Kasih.

“Tidak!” Tini menjerit mengejutkan para penghuni Rumah Kasih. Mereka memandangnya. Seorang gadis berumur sekitar empat belas tahun menghampiri Tini. Bahu Tini disentuh lembut. Tini berpaling. Farah Sofea. Gadis itulah satu-satunya teman yang benar-benar memahami perasaannya. Teman suka dan duka. Farah Sofea tersenyum indah.

“Tini, kau baliklah ke rumah Mak Timah. Dia ibu kandung kau,” pujuk Farah Sofea lembut. Sorotan matanya memerhatikan Tini di hadapannya. Ada riak marah pada wajah mulus gadis itu.

“Balik? Ibu kandung? Ibu apa yang sanggup membuang anaknya, Farah?” Tini membentak. Jiwanya kacau. Geram. Selama empat belas tahun, dia hidup dengan dunia yang tidak beribu. Masakan tiba-tiba sahaja wanita itu mengakui dirinya sebagai ibu kandung Tini? Tidak.

Farah Sofea menggeleng. Dia kenal benar sifat sahabatnya itu. Keras kepala. Tini masih belum boleh menerima hakikat yang sebenar. Jiwanya terlalu sakit. Perit. Dia tahu, Mak Timah tidak membuang Tini dengan sengaja. Dia terpaksa. Arwah ayah Tini yang mengancam akan membunuh Tini seandainya bayi itu tidak dibuang. Dia malu. Malu ada anak yang cacat.

Farah Sofea memerhatikan tangan kanan Tini. Kudung sejak dilahirkan. Mak Timah dapat mengenal Tini kerana kecacatannya itu. Farah Sofea mengambil posisi duduk di sebelah Tini. Bahu mereka berdua bersentuhan. Tini masih lagi dibelenggu emosi. Segugus nafas tenat dileraikan dari dada.

Farah Sofea memetik kata-kata Norman Vincent Peale untuk dilontarkan kepada Tini. Masalah itu tanda kehidupan, semakin banyak masalah anda, semakin hidup jiwa anda.

“Ini dugaan, Tini. Dugaan Allah SWT untuk kau. Kau kena selesaikan masalah ini secara rasional.” Farah Sofea menatap wajah temannya itu. Senyuman masih belum hilang di bibirnya. Tini menghela nafas panjang. Dia harus kuat menempuhi dugaan itu. Dia harus kental. Tabah. Tini melakar senyuman untuk Farah Sofea.

Pintu kamar diketuk berkali-kali. Ummi Aida, wanita yang sangat penyayang itu merupakan pengasas Rumah Kasih. Sifat keibuan jelas terpampang pada wajahnya. Ummi Aida menghampiri Tini dan farah Sofea. Sepucuk surat berwarna biru dihulurkan kepada Tini. Tini mendongak. Aneh.

Sepanjang empat belas tahun dia membesar di situ, belum pernah dia menerima surat. Tini mencapainya. Surat tersebut dikoyakkan. Mak Timah yang menulis surat itu. Mak Timah redha seandainya Tini tidak mahu tinggal dengannya. Bahkan Mak Timah seakan-akan memaksa Tini untuk terus tinggal di Rumah Kasih. Tini mengerutkan dahi. Tempoh hari Mak Timah benar-benar memaksanya pergi tetapi kini dia malah memaksa Tini untuk terus tinggal di situ. Tini kebingungan.

Farah Sofea membaca isi kandungan surat tersebut. Aneh. Mengapa pula Mak Timah berubah keputusan? Tini dan Farah Sofea saling berpandangan.

Keesokan harinya, Tini mengambil keputusan untuk berbincang dengan ibunya. Hatinya sudah tekad. Dia ingin merungkai segala persoalan yang terkubur dalam benaknya. Dan jawapannya hanya satu. Mak Timah.

Farah Sofea yang sudah siap bertudung menghampiri. Semalam Tini meminta supaya Farah Sofea menemankannya. Mana mungkin dia ke sana sendirian. Hatinya masih belum utuh. Dia masih belum berani berhadapan sendirian dengan ibu kandungnya itu. Farah Sofea memegang lengan Tini. Mereka berpimpinan. Tini bersyukur kerana mempunyai teman seperti Farah Sofea yang sanggup menemaninya di saat senang mahupun susah.

Tini menyepak batu-batu kecil di sepanjang perjalanan. Sejujurnya hatinya resah. Sangat resah. Dia tidak pernah kenal siapa ibunya yang sebenar. Agak-agaknya bagaimana perwatakan Mak Timah ya? Baik atau buruk? Jika baik, Tini nekad untuk tinggal bersamanya, menyusuri liku-liku kehidupan bersama, berkongsi kisah suka duka serta meluahkan segala apa yang terbuku di hati. Jika buruk, Tini nekad untuk tetap tinggal di Rumah Kasih. Sekurang-kurangnya anak-anak di situ sangat peramah. Mereka bersatu hati.

Tiba-tiba Tini tersenyum kecil. Dia sudah tidak sabar lagi untuk menemui Mak Timah. Langkahnya semakin deras. Kadangkala Farah Sofea terpaksa menarik tangannya agar langkah mereka sama. Sejujurnya hati Tini sedang melonjak-lonjak riang. Oh ibu, bagaimana kehidupan kita kelak?

Akhirnya mereka berdua tiba di hadapan sebuah rumah papan yang kecil. Bumbungnya beratapkan daun nipah. Tini mengesat-ngesat matanya. Adakah ini kehidupan yang dilalui ibunya setiap hari? Sedangkan penghuni Rumah Kasih semuanya mendapat keperluan yang cukup. Apatah lagi waktu sumbangan daripada mana-mana yayasan diterima.

Senyuman di bibir Tini berengsot pergi. Pintu rumah itu diketuk perlahan. Bunyi orang terbatuk-batuk kedengaran. Pintu dibuka. Mak Timah muncul di muka pintu. Matanya sedikit membesar. Tidak percaya anaknya datang ke rumah.

Farah Sofea bersalaman dengan Mak Timah diikuti Tini. Tangan Tini terketar-ketar. Hatinya berdesir-desir. Perasaan tenang dan nyaman menyelinap ke dalam dirinya. Hatinya tertanya-tanya apakah perasaan yang dialaminya kini. Mak Timah mempersilakan kedua-dua gadis itu masuk. Tidak ada kerusi. Tidak ada sofa. Mereka cuma mampu duduk di atas lantai. Tini meliar memerhatikan kondisi rumah itu. Serba kekurangan. Tini sedih akan kondisi kehidupan ibunya itu.

Belum sempat Mak Timah duduk, sekujur tubuh itu telah jatuh terjelupuk ke atas lantai. Mata Tini membesar. Farah Sofea juga kehairanan. Mereka berdua segera mendapatkan Mak Timah. Farah Sofea membantu Tini mengangkat ibunya perlahan-lahan lantas diletakkan di atas tikar.
Tini mendapatkan tuala basah. Wajah tua ibunya itu dibasahkan. Tidak lama kemudian Mak Timah terbatuk-batuk. Tini aneh. Bingung.

“Ibu, apa sebenarnya yang terjadi?” Tanpa disedari, titisan air mata mula bergenang di kelopak mata gadis itu. Mak Timah memerhatikan anaknya lantas menyeka air mata di pipinya.

“Ibu menghidap penyakit ganjil. Sebab itulah ibu suruh Tini tinggal sahaja di Rumah Kasih,” ringkas sahaja penjelasan Mak Timah tetapi mampu menggugat hati Tini. Tini terpana. Sungguh tidak disangka. Jiwanya dilanda perasaan hiba. Dia menyesal. Sangat menyesal.

Tini memeluk ibunya dengan erat. “Maafkan saya, ibu. Saya berjanji tidak akan mengingkari kata-kata ibu lagi,” kata Tini.

1 comment: