Cerpen: Diari Anak Yatim Piatu

“Duhai diari, hari ini merupakan Hari Raya Aidilfitri yang ketujuh buatku semenjak ketiadaan ibu dan ayah. Aku sangat merindui mereka. Aku masih ingat lagi, setiap kali aku menangis, ada yang akan menyeka air mataku. Setiap kali aku sedih, ada yang akan memujukku. Setiap kali aku sunyi, ada yang akan menemaniku. Setiap kali aku tertawa, ada yang akan tersenyum di sebelahku. Setiap kali aku dirundung masalah, ada yang akan mententeramkanku. Setiap kali aku jatuh, ada yang akan menghampiriku, menarik tanganku, dan membantuku bangun kembali. Aku masih ingat lagi semua itu. Tetapi segalanya telah hilang. Cahaya hidupku juga semakin hilang. Sebenarnya aku cemburu! Aku lihat, remaja yang lain masih ada ibu bapa. Mereka masih boleh berpimpinan tangan dengan orang tua masing-masing. Mereka boleh bergurau senda, bahkan mereka masih boleh tertawa seenak-enaknya dengan keluarga. Tetapi aku? Siapa yang mahu menerima aku?”“Ah, hidup! Kadangkala aku berasa tidak adil diperlakukan begini. Tetapi arwah ibu sering berpesan, Tuhan itu tidak akan memberikan cubaan yang melebihi kemampuan hamba-Nya. Adakah aku mampu menghadapi semua ini? Aku tidak tahu! Aku bingung! Andai sahaja ibu dan ayah di sini, akan aku peluk mereka, cium mereka, pegang tangan mereka, bersalaman dengan mereka, dan aku akan menyampaikan bahawa aku sangat mencintai mereka. Tetapi mereka sudah tiada. Aku sendiri. Teman-teman yang lain tidak menyukai aku. Aku bingung! Remaja yang lain, bila tiba Aidilfitri, mereka terlampau seronok. Minta maaf dengan ibu bapa tidak ikhlas. Semuanya hendak makan yang enak, mengumpul duit raya atau bermain mercun. Aku tidak minta semua itu. Aku tidak mahu. Aku ingin menyalami orang tuaku. Aku sangat menyayangi mereka.”
“Duhai diari, aku lihat semua orang pakai baju yang cantik. Lihatlah aku. Ah, cuma memakai kain pelekat dan baju melayu beberapa tahun yang lepas. Untuk apa aku berpakaian cantik? Untuk ditertawakan? Aku tidak sanggup. Sudah tujuh tahun aku hidup begini. Aku masih ingat, dulu waktu aku berumur sembilan tahun, baju rayaku lengkap sekali. Bahkan semua yang melihatku memujiku. Tetapi aku tidak minta dipuji, kerana semua ini rezeki Allah. Aku lihat remaja lelaki kebanyakan menggayakan baju-baju mereka. Aku tidak boleh menafikan yang kadangkala aku cemburu. Tetapi aku bersyukur. Aku bersyukur kerana masih ada baju. Ada lagi insan yang bernasib malang dari aku. Aku cuma ingin kenal erti sebenar Aidilfitri. Aku buntu. Apakah Aidilfitri sekadar mengumpul duit raya, menggayakan baju dan makan makanan yang lazat? Aku berharap ada insan yang sudi menghulurkan tangannya padaku, agar kami sama-sama merayakan Aidilfitri yang mulia ini. Tetapi siapalah aku yang hina ini? Cuma anak yatim piatu yang minta belas orang lain. Ah, tidak malukah aku??”

Comments

  1. gud. try to understand their feeling, ukhty..

    ReplyDelete
  2. trharunya..kmi bca feeling tul2..nk nangis pun ada..gud job..all the best..insyAllah..smga Allah mrahmati mu

    ReplyDelete
  3. duhai nurina kawanku sungguh aku terharu membaca cerpenmu ini.teruskan usahamu...

    ReplyDelete

Post a Comment