Cerpen: Yang Terindah

Photobucket

Senja kian merebut malam. Burung-burung yang tadinya berkicauan riang di udara sudah menghentikan nyanyian. Angin dingin senja memberus lembut pipi Lisa Damia. Lisa Damia menghela nafas panjang. Semenjak dari tadi gadis berusia 17 tahun itu berdiri di tepi jendela. Suara kanak-kanak yang bermain riang di luar rumah sudah berkurangan. Masing-masing sudah dipanggil pulang oleh ibu bapa mereka. Sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang. Lisa Damia merebahkan diri ke atas tilam. Pandangannya tertumpu pada bingkai gambar yang berada di atas sebuah meja kecil di sudut ruangan kamar itu. Foto tersebut ditangkap pada hari perkahwinan ayah dan arwah ibunya yang sengaja diletakkan di situ memandangkan tidak banyak foto arwah ibunya yang lain. Lisa Damia mencapai bingkai gambar tersebut. Wajah arwah ibu mirip sekali dengannya. Baju ayah dan arwah ibunya sedondon iaitu warna hijau muda.

Lisa Damia mengetap bibir. Perit sekali rasanya kehilangan seorang insan yang bergelar ibu. Tanpa disedari matanya mula berkaca-kaca. Ibunya meninggal dunia sejurus selepas dia dilahirkan. Titisan air jernih tidak berhenti mengalir dari kelopak matanya. Perlahan-lahan matanya tertutup. Lisa Damia sudah terlelap.

Encik Adam yang sedari tadi memerhatikan anak perempuannya itu menghampiri. Waktu terasa begitu singkat. Lisa Damia sudah membesar menjadi seorang gadis anggun persis arwah ibunya. Encik Adam duduk di samping anaknya. Lisa Damia yang sudah lena dibuai mimpi itu diselimutkan. Andai sahaja arwah isterinya berada di situ sudah pastilah dia turut tersenyum bersamanya. Encik Adam mengukir sekuntum senyuman bahagia di wajahnya.

***************************

“Hari ini papa hendak bawa abang dan Lisa pergi membeli-belah. Nak?” Encik Adam bersuara sejurus selepas masuk ke ruang tamu. Lisa Damia membesarkan matanya tidak percaya. Senyuman sudah terkoyak di bibir. Lisa Damia segera berlari dan memeluk ayahnya itu.

“Terima kasih, papa. Sayang papa!” ujar Lisa Damia teruja. Senyuman masih terukir jelas. Lelaki yang bernama Danial atau lebih senang dipanggil Dani itu sedang leka menonton televisyen dan kelihatannya langsung tidak berminat.

“Papa, inikan hal budak perempuan, abang mana suka beli-belah,” terangnya sambil memerhatikan Encik Adam. Wajahnya dikelatkan. Encik Adam akhirnya berjaya memujuk anak sulungnya itu setelah beberapa kali mencuba. Lelaki itu memang seorang yang mudah dipujuk dan tidak terlalu manja.

Enjin kereta dihidupkan. Dani menawarkan diri untuk memandu tetapi dihalang ayahnya. Encik Adam sengaja hendak menggembirakan kedua-dua anaknya itu hari ini. Lisa Damia sudah bersiap sedia di tempat duduk belakang. Hatinya sudah tidak sabar untuk membeli pakaian dan alat solek yang kebetulan sudah habis di rumah. Perjalanan ke Midvalley mengambil masa hampir dua jam. Lisa Damia yang lebih banyak berbicara sepanjang perjalanan berbanding abangnya.

Suasana di Midvalley itu agak sesak kerana banyak pengunjung. Wajah ayu Lisa Damia semakin berseri-seri sejurus sahaja keluar dari kereta. Lisa Damia sudah tidak sabar lagi hendak masuk ke dalam. Dani mencuit bahu adiknya itu. Lisa Damia memuncungkan bibir.

“Kalau ya pun tidak sabar, janganlah tergedik-gedik pula di sini,buat malu sahaja,” ujar Dani menyakat. Encik Adam menyuruh anak-anaknya masuk ke dalam. Lisa Damia pantas berlari membuatkan Encik Adam tertawa. Ya Allah, Kau berikanlah kebahagiaan pada anakku ini bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga!

Setelah satu jam membeli belah di situ, Lisa Damia mengajak ayah dan abangnya untuk membeli ais krim. Encik Adam cuma tersenyum manakala Dani mengelatkan wajahnya. Beberapa bungkusan beg plastik sedang berada di tangannya. Lisa Damia membeli banyak sekali barang pada hari itu. Mereka kemudiannya menuju ke gerai ais krim berdekatan. Encik Adam membeli tiga ais krim untuk dirinya, Lisa Damia serta Dani. Tiba-tiba Lisa Damia memegang lengan ayahnya.

“Papa, lihat orang itu, dari tadi tidak berhenti perhatikan Lisa,” ujarnya sambil menunjuk ke arah seorang pemuda dari kejauhan. Encik Adam memandang pemuda itu lantas mengalihkan semula pandangannya kepada Lisa Damia. Lisa Damia memakai baju berwarna merah jambu berlengan pendek. Rambutnya yang lurus juga menarik perhatian mata yang memandang. Encik Adam tidak menyalahkan anaknya itu tetapi menyalahkan dirinya.

“Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini yang lalai dalam mendidik anak gadis hamba. Hamba terlalu mamanjakan dia sehingga lupa mengajar agama,” getus hati kecil Encik Adam. Lelaki itu berasa agak sukar untuk membesarkan anak-anaknya bersendirian tanpa isteri di sisi. Encik Adam segera membuka kotnya lantas menyarungkannya pada Lisa Damia.

“Lisa pakai ini,” ujarnya perlahan. Dia harus berusaha untuk mendidik anaknya perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik. Lisa Damia mendiamkan diri. Bingung akan kelakuan ayahnya itu. Dani tersenyum kecil mengerti.

“Lisa nak beli tudung? Murah harganya,” bicara Encik Adam lembut sejurus mereka melepasi Ladies Collection. Lisa Damia kehairanan dengan tingkah ayahnya hari ini. Hatinya sedikit geram. Dia memang tidak pernah memakai tudung semenjak masuk ke sekolah menengah. Lisa Damia menggeleng perlahan. Encik Adam mendiamkan diri. Dia akan berusaha melancarkan perang dingin ke arah kebaikan secara halus pada anaknya itu.

***************************

Lisa Damia mencapai berus berhampiran. Dia sedang cuba untuk menyiapkan potret arwah ibunya. Encik Adam menghampirinya lantas duduk di sofa berhampiran. Lisa Damia tekun melukis meskipun menyedari kehadiran ayahnya.

“Lisa tahu tak erti sebenar seni?” soal Encik Adam secara tiba-tiba. Lisa Damia berhenti melukis dan berfikir sejenak.

“Entah, karya seseorang yang kreatif?” Lisa Damia mengagak. Ligat juga otaknya berusaha mencari jawapan kepada persoalan ayahnya itu.

“Seni dalam Islam bermaksud segala yang halus, baik suci dan indah. Seni sangat berguna dan bermanfaat. Keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan itu,” jelas Encik Adam panjang lebar. Lisa Damia semakin kehairanan. Apa yang cuba disampaikan ayahnya itu?


“Biarlah papa berterus terang. Keindahan itu dapat dirasa dan dihayati. Allah SWT adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia. Dia sudah menganugerahkan papa cahaya yang meresap masuk ke dalam hidup papa tanpa disedari. Cahaya yang terindah sekali,” uj
ar Encik Adam lagi. Lisa Damia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Apa dia yang terindah itu?” soal Lisa Damia ingin tahu.

“Lisa. Lisalah cinta hati papa yang terindah. Lisa menghadiahkan sebuah kebahagiaan pada papa.” Lisa Damia terpana. Ternyata dirinya yang dimaksudkan dari tadi. Air mata Lisa Damia bergenang. Begitu berharga sekali dirinya untuk ayahnya. Ayahnya sudah menyedarkan dirinya tentang keindahan yang dikurniakan Illahi. Lisa Damia memeluk ayahnya erat. Encik Adam meraut senyuman. Senyuman itu juga seni ciptaan Illahi.

************************

“Lisa, cepatlah sedikit!” Dani meninggikan nada suara. Adiknya memang lambat sekali bersiap jika mahu pergi ke mana-mana. Petang itu rancangannya mereka sekeluarga akan pergi ke rumah rakan Encik Adam di Putrajaya. Encik Adam memerhatikan jam di tangannya. Lambat sekali anak gadisnya itu bersiap. Kedengaran langkah berderap-derap menuruni tangga.

Lisa Damia muncul di muka pintu. Encik Adam dan Dani sama-sama tergamam. Lisa memakai tudung berwarna hijau yang dihadiahkan Encik Adam bulan lepas. Lisa Damia tersenyum anggun sekali. Encik Adam membalas senyumannya. Oh Tuhan, Kau benar-benar telah mengurniakan hamba anugerah-Mu yang terindah!

Lirik Yang Terindah – Dakmie (OST Adamaya)

Semenjak kau hadir dalam hidupku
Tiada lagi keresahan
Kau mengetuk pintu hatiku
Tanpa sedar hingga ku izinkan

Kau yang bernama cinta
Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah

Maaf jika ku tidak sempurna
Tika bahagia mula menjelma
Bila keyakinan datang merasa
Kasih disalut dengan kejujuran

Mencintai dirimu
Merindui dirimu
Memiliki dirimu
Hingga akhir hayat bersama kamu

Kau yang bernama cinta
Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah

Kau yang bernama cinta
Hingga aku rasa indah



Comments

Post a Comment