Cerpen: Konflik Persahabatan

Zaid Kamil tergamam. Sungguh tidak diduga akan terjadinya peristiwa sebentar tadi. Hisyam perlahan-lahan meninggalkannya bersama Dzulkarnain di situ. Sebuah persahabatan di antara tiga rakan telah diputuskan oleh Hisyam. Zaid Kamil memandang wajah Dzulkarnain. Dzulkarnain tersenyum lebar. Puas.

“Dzul, sampai hati kau bicara seperti itu?” soal Zaid Kamil dengan nada sedikit meninggi. Suaranya tidak lagi mendatar seperti selalu. Dzulkarnain membalas pandangan Zaid Kamil. Ekspresi wajahnya langsung tidak menunjukkan dia yang bersalah. Zaid Kamil mengimbas kembali perbuatan rakannya tadi.

“Hisyam, Zaid ini teman rapat aku, jangan kau rampas dia dengan sifat hipokrit kau!” bentak Dzulkarnain. Tuduhan tersebut dilemparkan tepat ke muka Hisyam. Hisyam mengerutkan dahi. Zaid Kamil mengetap bibir. Remaja itu tahu bahawa jika dia masuk campur alamatnya semakin terbakarlah api kemarahan Dzulkarnain.

“Bila masa pula aku rampas Zaid dari kau? Memang kita bertiga sudah rapat dari dahulu lagi, kenapa sekarang kau bangkitkan hal ini?” Hisyam mempertahankan dirinya.

“Aku tahu kau sengaja tarik Zaid setiap kali aku menghampirinya. Aku hendak beri idea untuk penulisannya juga kau larang! Kau ini kenapa?” keegoan Dzulkarnain menguasai mindanya. Hisyam terus menunjukkan reaksi tidak bersalah.

“Ah, kalau begitu kita putuskan sahaja persahabatan kita!” Hisyam juga turut beremosi. Dia sudah tidak boleh menahan lagi semua tuduhan yang dilemparkan Dzulkarnain selama ini.

Dzulkarnain sudah tidak boleh menahan sabar. Buku limanya tepat mengenai dada Hisyam. Hisyam memegang dadanya sakit. Tiada gunanya dia membalas kerana Dzulkarnain ternyata lebih kuat darinya. Hisyam segera berlalu pergi.

“Zaid, kau kawan baik aku untuk selamanya!” ujar Dzulkarnain lantas berlalu pergi. Zaid Kamil hanya mengetap bibir menyaksikan pemergiannya. Dzulkarnain sudah melampaui batas. Hisyam juga tidak berjaya mengawal kesabarannya tadi. Kini semuanya sudah menjadi kucar-kacir. Sebuah persahabatan yang dulunya erat sudah direnggangkan hasil penguasaan emosi.

*************************

Zaid Kamil merebahkan dirinya ke atas katil. Ayat-ayat al-quran yang dipasangkan di radio menyelubungi segenap ruangan biliknya. Hati Zaid Kamil berasa tenang sedikit namun masih belum dapat menghilangkan keresahannya. Mengapa Dzulkarnain dan Hisyam boleh bergaduh?

Zaid Kamil berkawan dengan Dzulkarnain kerana ingin membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah. Dahulu Dzulkarnain memang seorang yang panas baran dan pembuli. Pantang sahaja ada yang mengejeknya, pasti dikerjakan. Semenjak bertemu dengan Zaid Kamil, Dzulkarnain telah berubah sedikit demi sedikit. Hatinya mula lentur.

Lain pula kisahnya dengan Hisyam. Zaid Kamil berkawan dengannya untuk menuntut ilmu agama demi meneguhkan iman di dada. Hisyam merupakan anak seorang ustaz dan sedikit sebanyak mendapat ajaran agama dari ayahnya. Tetapi Zaid Kamil tahu kesabaran setiap orang ada batasnya. Zaid Kamil menghela nafas panjang. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Dia harus memikirkan perasaan Dzulkarnain dan Hisyam. Dzulkarnain sangat mencemburui hubungannya dengan Hisyam yang semakin rapat. Hisyam pula sering terluka apabila mendekati dirinya. Zaid Kamil mengetap bibir. Oh Tuhan, bantulah diriku ini!

**************************

“Hisyam, tolonglah kau minta maaf dari Dzul,” pinta Zaid Kamil bersungguh-sungguh. Hisyam langsung tidak melemparkan senyuman buatnya. Zaid Kamil mengangkat sebelah keningnya tanda memujuk.

“Bukannya aku yang bersalah, dia yang mulakan,” Hisyam merungut. Kesal temannya itu menyebelahi Dzulkarnain.

“Tiada sesiapa yang bersalah. Sedangkan nabi ampunkan umat. Kau pun tahu dia memang panas baran, aku tidak mahu sifatnya itu kembali lagi.” Zaid Kamil memegang bahu rakannya itu. Hisyam memandang wajah Zaid Kamil. Perasaan simpati menyelubungi diri. Zaid Kamil yang menjadi mangsa tanpa disedari.

Tanpa disedari, sepasang mata asyik memerhatikan perbincangan itu dari tadi. Mata Dzulkarnain berkaca-kaca. Sungguh murni hati Zaid Kamil. Selama ini dia tidak pernah menyedari hakikat itu. Zaid Kamil tidak mahu sesiapa pun yang menderita akibatnya. Dzulkarnain keluar di sebalik dinding berhampiran. Hisyam terpana. Dzulkarnain meluru ke arahnya pantas. Semakin pantas. Hisyam menelan liur. Dia tidak mahu kejadian dahulu berulang kembali. Dzulkarnain memegang bahu Hisyam. Sekelumat rasa cemas menyelusup masuk ke dalam kalbunya. Tubuh di hadapannya itu dipeluk erat. Hisyam tergamam.

Zaid Kamil tersenyum di sisi. Dia turut menghampiri lantas memeluk mereka. Air mata kelelakian jatuh berderai dari kelopak mata Dzulkarnain. Dia sudah melampau. Benar-benar melampau. Sebuah kemaafan tidak perlu lagi digunakan dalam erti persahabatan. Zaid Kamil menatap langit yang terbentang luas. Oh Tuhan, di balik ujian-Mu ini Engkau telah menyiapkan sesuatu yang lebih besar buatku!

Comments

Post a Comment