Frekuensi Part 4

"Hei, mengelamun apa?" Hafizah melambai-lambai tangan di hadapan Nurul Fatini tatkala melihat temannya itu tidak berpijak di bumi nyata. Nurul Fatini sedar dari lamunannya. Akhir-akhir ini dia banyak sekali mengelamun. Nurul Fatini menggeleng perlahan. Ah, Imzad…

***

Kakinya diatur langkah demi langkah. Ekspresi wajahnya berubah tatkala melihat seorang yang benar-benar dikenali di hadapannya itu. Nurul Fatini mengerutkan dahi. Hairan. Lelaki yang wajahnya mirip Imzad itu memandangnya aneh.

"Kenapa kamu berdua lari bila nampak saya tadi?" soalnya tenang kepada Hafizah dan Nurul Fatini. Hafizah mendiamkan diri. Nurul Fatini mengetap bibir. Lelaki itu menggunakan kata ganti diri saya bukan seperti yang lain. Di universiti ini, keseluruhan penuntutnya menggunakan kata ganti diri ana, jadi jelas menunjukkan dia baru masuk.

"Oh, lupa pula. Nama saya Shahruddin. Panggil Shah," ujarnya sambil memerhatikan Nurul Fatini.

"Ana Nurul dan ini teman ana, Hafizah," Nurul Fatini menjawab ringkas. Sejujurnya jantungnya sedang berdegup kencang. Ada satu perasaan aneh timbul tetapi gadis itu tidak tahu apa yang menjadikannya begitu. Nurul Fatini menghela nafas pendek.

Comments