Pages

Sunday, August 8, 2010

Cerpen: Wanita Itu Bukan Milikmu


Faiz Huzaimi menghulurkan tangannya perlahan-lahan. Sedikit sahaja lagi Syarif akan jatuh ke bawah. Pautan tangannya sudah tidak kuat lagi. Gaung itu terlalu dalam. Sesiapa sahaja yang jatuh ke dalamnya sudah pasti tidak mampu diselamatkan lagi. Tangan Syarif menggenggam erat tangan Faiz Huzaimi. Syarif menggeleng perlahan menyatakan sudah tidak kuat lagi. Air mata Faiz Huzaimi perlahan merembes. Dia akan menyalahkan dirinya andai Syarif terlepas dari genggamannya. Faiz Huzaimi menarik rakannya itu dengan sepenuh tenaga. Hatinya bertekad untuk menyelamatkan teman baiknya itu. Syarif juga berusaha gigih untuk naik ke atas meskipun sudah tidak berdaya. Tubuhnya berjaya naik sedikit demi sedikit.

Akhirnya tubuh itu terlantar juga di atas tanah setelah berjaya naik ke atas. Faiz Huzaimi menarik nafas lega. Syarif sudah tidak bermaya. Mulutnya bagaikan dikunci erat akibat kepenatan tubuhnya yang berusaha naik tadi. Faiz Huzaimi memapah rakannya itu perlahan-lahan ke kereta. Berbekalkan kudrat yang masih tersisa, Syarif cuba untuk berjalan. Kira-kira setengah jam selepas Faiz Huzaimi memandu keretanya, mereka tiba di sebuah vila yang tersergam indah berdekatan kawasan perhutanan tadi. Syarif enggan dibawa ke hospital maka Faiz Huzaimi membawanya berehat di kamar.

Syarif perlahan-lahan baring di atas katil.Sepasang matanya ligat memerhatikan wajah cemas temannya itu. Sekuntum senyuman diukir perlahan di wajahnya.

“Faiz, terima kasih banyak kerana kau telah selamatkan aku tadi. Aku pun tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya…” bicara pemuda itu segera dipintas.

“Arif, kau tidak perlu berterima kasih dengan aku. Bukankah kita rakan? Senang bersama susah juga bersama,” Faiz Huzaimi tersenyum perlahan. Tangannya perlahan-lahan membalut luka di kaki Syarif akibat terlanggar batu besar yang menyebabkan dia terjatuh tadi. Lukanya agak parah juga namun Syarif enggan ke hospital. Katanya tidak mahu merosakkan kembara hutan yang telah dirancang mereka berdua.

“Faiz, aku terharu melihat kesungguhan kau selamatkan aku tadi. Kau memang sahabatku yang sejati,” Syarif menghela nafas panjang. Faiz Huzaimi hanya mampu tersenyum dan memanjatkan ribuan kesyukuran kepada Yang Esa kerana telah melindungi rakannya itu. Ajal maut itu di tangan Tuhan. Sekiranya masih belum tiba saatnya untuk seseorang itu pergi menghadap Illahi, maka waktu yang masih tersisa haruslah dipenuhi dengan amal soleh dalam jihad menuju ke arah keredhaan-Nya. Syarif memejamkan mata. Tubuhnya sudah tidak berdaya lagi. Kakinya terasa berdenyut-denyut. Akhirnya pemuda itu terlelap juga setelah beberapa lama memejamkan mata.

*******************************

“Cepatlah Faiz, kau ini masih temenung di jendela itu buat apa?” soal Syarif hairan sambil meggesa rakannya itu. Hari itu mereka sudah merancang untuk pulang ke Kulim. Kaki Syarif sudah mulai pulih. Kira-kira tiga minggu Faiz Huzaimi dan Syarif menetap di vila milik arwah ayah Syarif itu. Faiz Huzaimi mengalihkan pandangan menghadap Syarif.

“Aku hendak menghayati keindahan ciptaan Illahi, bukan selalu aku ke sini. Pemandangannya indah sekali seperti aku berada di dunia fantasi,” Faiz Huzaimi bercanda pada akhir ayatnya. Syarif tersenyum lantas mendekati rakannya. Syarif berdiri rapat di sebelah Faiz Huzaimi. Tangannya melingkari leher lelaki itu. Kedua-dua sahabat itu memang sudah rapat sejak sekolah menengah lagi. Kebetulan mereka juga menuntut di universiti yang sama maka sebuah persahabatan dan ukhuwah sudah tersemai kukuh dalam sanubari masing-masing.

“Hei, kau ini macam budak kecil baru dapat gula-gula,” Syarif menyakat. Faiz Huzaimi tertawa sedikit mendengarkan keletah sahabatnya itu. Mereka kemudiannya mengambil beg pakaian masing-masing. Syarif mendapatkan barang-barang yang mereka bawa untuk membuat kajian. Selama mereka masuk ke dalam hutan, alat-alat kajian terutamanya kanta pembesar akan selalu dibawa bersama. Mereka menjalankan kajian untuk menyiapkan tugasan yang diberi di samping menghayati dan menerokai kebanyakan tumbuhan liar di hutan yang telah diciptakan Yang Maha Kuasa. Jika diikutkan mahu sahaja mereka tinggal lebih lama lagi namun semester ketiga akan bermula tidak lama lagi.

Syarif memasukkan beg pakaiannya ke dalam kereta. Tiba-tiba matanya menangkap figura manusi dari kejauhan. Kelihatannya seorang wanita sedang mencari-cari sesuatu. Syarif menghampirinya untuk memastikan siapa atau apa yang sedang dicarinya. Syarif memberi salam lantas mengejutkan wanita tersebut. Syarif terpana. Sungguh indah sekali pesona wajah yang berada di hadapannya itu. Syarif memandang tidak berkelip. Faiz Huzaimi yang memerhati dari kejauhan lantas menghampiri. Rakannya seperti terpaku melihat wajah wanita tersebut.
“Cik cari siapa di sini?” soal Faiz Huzaimi apabila melihat wanita tersebut serta Syarif hanya mendiamkan diri. Faiz Huzaimi langsung tidak memerhatikan wajah wanita itu cuma sekadar sepintas lalu. Matanya juga sama sekali tidak bertentangan dengan wanita itu.

“Maaf, nama saya Sofea. Farah Sofea. Saya mencari Encik Syarif. Dia ada di sini?” soal wanita tersebut. Matanya juga menunduk. Faiz Huzaimi memandang Syarif. Syarif mengangkat keningnya. Hairan. Mengapa pula wanita yang bernama Sofea itu mencarinya?

“Oh, Syarif. Syarif…” bicara Faiz Huzaimi dipintas. Syarif menghentikan percakapan rakannya itu.

“Encik Syarif yang berada di depan mata Cik Sofea ini,” ujar Syarif sambil menunjuk kepada Faiz Huzaimi. Faiz Huzaimi terkejut. Syarif tidak mengaku bahawa dia memang Syarif. Syarif mengenyitkan mata kepada Faiz Huzaimi. Faiz Huzaimi tahu isyarat tersebut menandakan bahawa Syarif ingin meminta pertolongannya. Faiz Huzaimi berasa serba salah. Hendak mengaku salah, tidak mengaku nanti takut mengguris hati temannya.

“Ada apa ya Cik Sofea datang ke sini?” soal Faiz Huzaimi. Farah Sofea mengangkat muka sedikit untuk melihat wajah Faiz Huzaimi yang disangkanya Syarif itu.

“Panggil saya Sofea sahaja,” ujarnya ringkas. Tiba-tiba telefon bimbit wanita itu berbunyi. Farah Sofea menjawabnya. Setelah itu wanita berwajah mulus itu meminta diri dan langsung menghilang. Syarif menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Hairan. Faiz Huzaimi menyinggung sikunya.

“Kenapa kau tidak mengaku kau Syarif?” soalnya sambil mengerutkan kening. Aneh dengan sikap temannya itu.

“Kau bukannya tidak tahu, aku ini gugup dengan perempuan. Lebih-lebih lagi yang cantik. Tergugat iman aku!” bicara Syarif sambil mengetap bibirnya. Faiz Huzaimi memandangnya berterusan. Wanita tadi juga aneh. Datang begitu sahaja dan pergi begitu sahaja.

“Sudahlah, ayuh pulang,” Syarif memegang lengan Faiz Huzaimi menyuruhnya memandu. Meskipun kakinya sudah pulih, tetapi dia masih tidak bersedia untuk memandu. Faiz Huzaimi masuk ke dalam kereta disusuli Syarif.

Sepanjang perjalanan pulang, Syarif yang lebih gemar berbicara. Faiz Huzaimi cuma mengikut sahaja perbincangan temannya itu. Setelah banyak bersuara, Syarif akhirnya terdiam sebentar. Penat barangkali. Faiz Huzaimi juga bersyukur kerana bicara rakannya itu membuatkannya sentiasa segar dan tidak mengantuk. Ada untungnya juga mempunyai teman yang baik dan peramah seperti Syarif. Melihatkan Syarif sudah habis isi perbualan, Faiz Huzaimi bersuara.

“Arif, kau pernah bercinta sebelum ini? Kenapa kau selalu gugup dengan perempuan ya?” soal Faiz Huzaimi cuba menyelongkar kisah rahsia temannya itu. Pada awalnya Syarif menafikan sahaja tetapi setelah lama didesak akhirnya pemuda itu berterus terang.

“Pernah. Waktu aku di sekolah rendah dahulu, aku ada minat pada seorang perempuan. Tetapi tidaklah sampai bercinta,” ujar Syarif. Bibirnya diketap.

“Tetapi mengapa pula kau gugup pada perempuan? Kau cuma boleh beri salam sahaja. Asal mula berbicara, kau tergagap-gagap.” Faiz Huzaimi benar-benar ingin tahu. Temannya itu memang bermasalah dengan semua wanita.

“Aku sebenarnya ada kisah silam, kisah gelap,” ujarnya dengan nada rendah. Faiz Huzaimi memandang wajah rakannya sepintas lalu lantas mengalihkan konsentrasi pada pemanduan. Kisah silam apa yang menghantui Syarif sehingga menyebabkan dia gugup pada wanita?

“Dulu aku tidaklah segugup sekarang apabila bercakap dengan perempuan, bahkan aku pernah meluahkan perasaan aku pada insan yang aku sukai dulu. Waktu itu aku berada di tahun enam. Ibu beri aku pilihan untuk masuk ke sekolah agama atau sekolah sains. Aku fikir jika perempuan itu sukakan aku, aku akan pergi ke sekolah sains sahaja kerana dekat dengan sekolahnya,” terang Syarif. Faiz Huzaimi setia mendengar.

“Tetapi malangnya dia menolak perasaan aku padanya. Aku memang sedih sekali waktu itu, jadi aku putuskan untuk masuk ke sekolah agama sahaja. Semenjak itu juga aku takut hendak bercakap dengan perempuan. Entah kenapa boleh jadi begitu,” Syarif melontarkan pandangannya ke luar tingkap. Faiz Huzaimi akhirnya mengerti.

“Itu cuma kisah lama. Cinta monyet. Kini aku sudah sedar cinta kita yang sesungguhnya hanya pada Illahi. Cinta antara dua insan itu merupakan jalan untuk mendapatkan keredhaan-Nya,” Syarif masih lagi terbawa-bawa dengan kisah silamnya. Persoalan demi persoalan sedang menari rancak di mindanya. Di mana wanita itu berada sekarang? Adakah wajahnya sudah berubah? Adakah dia masih mengingatinya? Syarif membiarkan sahaja persoalan-persoalan tersebut tersemat di hati.

******************************

Faiz Huzaimi tergamam. Syarif di sebelahnya juga terpana. Lelaki tua di hadapan mereka itu tersenyum sendirian. Faiz Huzaimi memandang Syarif. Syarif juga memandang Faiz Huzaimi. Mata Faiz Huzaimi membesar.

“Bagaimana Arif?” soalnya kepada Faiz Huzaimi. Faiz Huzaimi hanya terdiam membisu.

“Pak Cik tunggu jawapannya,” ujar lelaki tua tersebut berlalu pergi. Mulut Syarif sedikit ternganga. Tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Syarif mengimbas kembali peristiwa tadi.

“Ha, anak ini nama Syarif bukan?” soal seorang lelaki tua sambil memegang bahu Faiz Huzaimi dari belakang. Faiz Huzaimi memandang Syarif. Syarif mengangkat bahu padanya menyuruh dengarkan sahaja.

“Ingat lagi Pak Cik? Ayah kepada budak yang pernah kamu sukai waktu di sekolah rendah dulu,” ujarnya. Syarif mengingat kembali. Otaknya ligat berfikir di manakah dia pernah menemui lelaki tua tersebut. Ternyata dia! Dahulu sewaktu gadis pilihannya menolak dirinya, ayah gadis tersebut menghampiri. Muka Syarif merah padam lantas berlalu pergi. Syarif memberi isyarat kepada Faiz Huzaimi supaya mengangguk.

“Pak Cik yakin kamu sudah jumpa anak Pak Cik, Farah Sofea di vila tempoh hari. Pak Cik yang menyuruh dia mencari kamu,” ujar lelaki itu lagi. “Sebenarnya Pak Cik hendak kahwinkan Arif dengan Sofea sebab tidak lama lagi Pak Cik akan ke luar negara. Lama juga. Pak Cik harap ada orang yang sudi menjaga puteri kesayangan Pak Cik,” panjang lebar lelaki itu menjelaskan.
Syarif masih lagi terpaku dengan berita yang disampaikan kepada Faiz Huzaimi tadi. Matanya kemudian menangkap kelibat Farah Sofea. Benarkah wanita itu…?

Syarif hendak segera mengejar Farah Sofea tetapi lengannya ditarik kuat. Faiz Huzaimi. Syarif memandang kembali pada tempat Farah Sofea berdiri tadi. Kosong. Syarif mengerutkan dahinya. Bibirnya diketap.

“Kenapa kau halang aku? Aku ada banyak perkara yang hendak dibicarakan dengannya, Faiz,” nada suara Syarif sedikit meninggi.

“Arif, kau perlu tahu, wanita itu bukan milikmu. Tempoh hari aku lihat matakau tidak berkelip memandangnya. Bukankah itu dosa? Jika kau mahu berbicara, ada baiknya kau berbicara dengan ayahnya sahaja. Seorang wanita itu hanya boleh berpergian bersama lelaki jika ada mahram yang menemani. Kau perlu memulakan perbincangan demi mendapatkan keredhaan Illahi,” jelas Faiz Huzaimi menyedarkan Syarif. Syarif menelan liur. Ada benar juga kata-kata sahabatnya itu.

“Masya Allah, Faiz! Aku salah. Terima kasih kerana kau menyedarkanku. Memang wanita itu bukan milikku. Aku harus menjaga keperibadian dan maruah wanita yang aku kasihi. Aku akan berbincang dengan ayahnya nanti dan terangkan apa yang berlaku. Aku harap kau doakan aku agar mereka tidak memarahi aku kerana menukar identiti dengan kau,” bicara Syarif. Wajahnya sedikit kesal. Seharusnya dia mengejar kasih Illahi, bukan kasih seorang wanita. Kasih Illahi itu melebihi segala-galanya. Dia cuma mampu berharap agar segalanya berjalan dengan lancar nanti.

***********************

Ramai orang yang datang ke kenduri perkahwinan hari itu. Syarif mengambil tempat di sebelah Faiz Huzaimi. Meja besar itu dikhususkan buat keluarga pengantin sebelah lelaki. Syarif memandang Faiz Huzaimi sambil tersengih-sengih.

“Tahniah ya Faiz!” ujarnya gembira. Faiz Huzaimi mengangguk perlahan. Farah Sofea yang anggun berbaju biru pengantin itu turut sama duduk di meja tersebut. Faiz Huzaimi dan Syarif sama-sama berpakaian kemas dan kacak. Hubungan mereka ibarat isi dan kuku. Tidak boleh dipisahkan. Syarif memerhati Farah Sofea. Faiz Huzaimi menundukkan pandangan. Malu.

“Abang Faiz, ibu di mana?” soal Farah Sofea kepada Faiz Huzaimi. Pagi tadi Faiz Huzaimi datang bersama-sama ibunya. Entah di mana pula ibunya menghilang.

“Sebentar lagi ibu datang,” ujar Faiz Huzaimi lembut. Matanya memerhati Syarif di sebelah. Ramai yang datang mengambil gambar mereka sewaktu acara makan itu.

“Aku tidak sangka kau yang kahwin dulu sebelum aku, tidak adil!” gurau Syarif. Faiz Huzaimi tertawa. Syarif mengalihkan pandangan pula kepada Farah Sofea. Tangan yang lembut itu dipegang. Semalam Farah Sofea sudah sah menjadi isterinya. Syarif akan berusaha sebaik mungkin untuk membina mahligai bahtera bersama isterinya tercinta.

Faiz Huzaimi termenung sebentar. Dia sudah dinaikkan pangkat di tempat kerjanya baru-baru ini. Ibu Syarif yang merupakan ibu angkat kepadanya juga telah mengahwinkan dia dengan seorang wanita cantik yang solehah. Anak teman baiknya. Faiz Huzaimi tahu pilihan ibu angkatnya itu mungkin adalah yang terbaik untuknya. Faiz Huzaimi memerhati Syarif di sebelah. Wanita yang dahulunya bukan milik Syarif sudah menjadi miliknya. Inilah kasih sayang dua insan yang bersemi berlandaskan redha Illahi. Sesuatu yang sangat dikejar untuk diharungi. Segalanya ketentuan Tuhan Sekalian Alam…

5 comments:

  1. bagus ideanya cuma plot & perjalanan cerita perlu lebih kemas supaya pembaca x tertanya-tanya apakah motif dan tujuan cerpen ini direka. trlalu byk novel cinta d pasaran skg. jadi penulis perlu lebih kreatif mecari kelainan utk diserap dlm cerpen sebegini agr isah cinta x nmpk klise. maaf, sy juga masih mentah. sekadar perkongsian=)

    ReplyDelete
  2. menarik ....teruskan menulis. kamu akan dapat menghasilkan sesuatu yang lebih indah...percayalah.

    ReplyDelete
  3. salam'alayk.. xphm sgt senany.. lastly, ape yg jd ye? spe ngan spe, n spe ngan spe?

    ReplyDelete