Pages

Saturday, July 31, 2010

Cerpen: Antara kau dan Dia

Liza mengetap bibir. Sekelumat resah membadai diri. Ah, hilanglah perasaan ini! Suasana sungguh sepi diiringi kicauan burung yang berterbangan bebas di udara. Hanya ada dirinya dan Farouq di situ. Mak Esah sudah jauh meninggalkan mereka. Kini, semua pilihan berada di tangannya. Farouq cuma menunggu kata-kata yang bakal diucapkan gadis ayu di hadapan sepasang matanya itu.

"Liza, jawablah pertanyaan Farouq," ujar Farouq menggesa gadis itu. Liza berdebar. Hatinya cuma ingin pergi. Berlalu dari situ. Entah mengapa, setitis air jernih yang sedari tadi ditahan di kelopak matanya akhirnya tumpah jua. Setitis demi setitis. Liza menyeka air matanya.

"Liza tidak mahu, Farouq. Liza lebih rela tinggal di sini untuk Dia daripada ikut Farouq ke kota," suara halus itu akhirnya keluar juga dari bibir mulus gadis itu. Sorotan matanya berpinar-pinar. Farouq menghela nafas pendek. Sukar sekali untuk memujuk gadis itu. Pandangan matanya dialihkan memerhatikan suasana di bendang. Tidak banyak yang boleh diperolehi daripada bekerja di sawah. Lebih baik Liza tinggal bersamanya dan hidup senang serta bahagia.

"Tetapi kenapa Liza? Siapa Dia yang Liza maksudkan itu? Adakah Dia boleh memberikan kebahagiaan kepada Liza?" Farouq mengajukan soalan bertubi-tubi kepada Liza. Hatinya masih tidak puas ingin mencari sebuah jawapan yang tepat bagi segala persoalan yang sedang rancak menari-nari di mindanya.

"Allah, Allah Rabbul Alamin." Farouq tersentap. Liza meneruskan bicara. "Liza tidak mahu tinggalkan dugaan hidup ini untuk mengejar kelazatan duniawi. Liza lebih memilih Dia daripada Farouq."

Farouq menatap wajah mulus itu sepi. Begitu besarnya cintanya pada Illahi. Oh Tuhan, dikau berilah dia kebahagiaan hidup di syurga-Mu nanti!

Thursday, July 29, 2010

Cerpen: Kegembiraan Hati

Senja kian merebut malam. Suara riang kanak-kanak tertawa semakin pudar. Azan Maghrib sebentar lagi akan berkumandang. Pak Mail terpaku di jendela rumah usangnya memerhatikan tingkah anak kecilnya yang sedang berlari-lari anak pulang mendapatkannya.

“Assalamualaikum,” suara manja Saiful bergema di telinganya. Pak Mail segera mendapatkan anaknya itu. Dibenam lama pandangannya ke wajah comel itu. Sorotan mata Saiful berpinar-pinar. Sekilas melayang fikirannya kepada wajah arwah isterinya. “Bersalahkah aku?” persoalan itu sering menari-nari di sanubarinya. Gelak tawa Saiful mematikan lamunan namun tidak dihiraukannya. Tanpa disedari sepasang mata lesu tidak jemu memerhatikannya dari tadi. Lantas segera dipersoalkan tawa anaknya itu.

“Ayah dah lain. Adik suka ayah sekarang,” ujar anak kecil itu lalu berlari ke kamarnya. Mata Pak Mail mengekori Saiful yang sedang berlari bebas.

Semua yang dikatakan Zahri benar. Selama ini, Pak Mail tidak menghantar Saiful ke sekolah meskipun usianya sudah mencecah lapan tahun. Pak Mail menanam hasrat agar anaknya menjadi doktor pada suatu hari nanti. Tetapi selama lapan tahun itulah dia tidak pernah meluangkan masa dengan anaknya malah menyuruh Saiful belajar sendiri dengan rencaman alasan.

Zaleha, isterinya pernah mengutarakan persoalan yang hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Anak kecil itu tidak mengenal walaupun satu huruf masakan disuruh membaca.

Melalui kesilapan silamnya itulah, Pak Mail menggenggam tekad untuk menyekolahkan Saiful. Iskandar Dzulkarnain pernah berkata, “Tidak ada apa yang mustahil bagi orang-orang yang berani mencuba.” Pak Mail sedar pekerjaannya sebagai penggali kubur tidak mampu membuahkan hasil yang lumayan. Tidak mungkin Saiful akan menjadi seorang doktor jikalau dia tidak bersekolah.

Pak Mail terlalu obses dengan nawaitu materialistiknya untuk mengejar daki dunia. Tetapi secangkir usaha pun tidak pernah dilihat dalam dirinya.

Pintu rumahnya diketuk. Wajah kemas Zahri terpampang di muka pintu. Janjinya telah dikota. Pak Mail menanti debar yang menggunung di dada. Zahri muncul dengan harapan beserta sinar. “Tahniah Bang Mail! Abang diterima bekerja di sekolah rendah yang terletak di hujung kampung itu.” Pak Mail terkesima. Masih ada ruang untuk dirinya menyekolahkan Saiful. Pak Mail akan memulakan kerjanya esok hari. Setelah Zahri pulang, Pak Mail merebahkan badannya sebentar di atas tilam. Teringat dirinya belum sembahyang Maghrib, segera dia menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Pak Mail bersyukur atas pekerjaan yang baru diterimanya sebentar tadi. Esok dia akan memulakan kerja sebagai tukang sapu sampah. Dirinya tidak sabar menanti esok tiba.

Setelah diberi penerangan oleh pekerja sekolah, Pak Mail segera memulakan kerja. Persis kata Tun Dr. Mahathir Muhammad, “Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup.” Dibulatkan hasratnya dengan saksama.

*************************************************************************

Pintu kereta dibuka . Pak Mail memegang erat tongkat di tangannya. Tubuhnya terketar-ketar melangkah. Saiful menghampiri Pak Mail dan Zahri. Dihulurkan tangannya kepada Pak Mail sambil mengukir sekuntum senyuman manis. Pak Mail menyambut huluran tangan anaknya yang berperwatakan tampan dan kemas itu. Saiful memimpin jalan ayahnya. “Ayah, ini klinik Saiful,” ringkas sahaja ucapannya tetapi membawa maksud yang begitu mendalam.

Pak Mail mengalihkan pandangan kepada papan tanda yang terpampang di hadapan klinik itu. Klinik Ismail Zainal yang menjadi kebanggaan Saiful. Mata Pak Mail berkaca-kaca. Akhirnya air mata gembira jatuh berderai dari penjuru mata Pak Mail. Saiful yang kehairanan segera menyeka air mata ayahnya.

Pak Mail menjejakkan kaki ke dalam klinik tersebut. Ditatapnya foto Zaleha yang tergantung di satu sudut ruangan. Kata-kata hikmat Jean Paul yang sering diutarakan oleh arwah isterinya menyelinap ke dalam kalbunya. “Kegembiraan bukan pemberian fikiran, tetapi pemberian hati.” Hati kecilnya membenarkan pesanan arwah isterinya itu.

Zahri menghampiri Pak Mail. Tangannya hinggap di bahu kanan Pak Mail. Pak Mail tidak mampu berkata-kata lagi. Hanya Tuhan yang dapat mentafsirkan perasaan yang sedang bermain di sanubarinya sekarang.

Saat itu, Pak Mail tidak dapat membayangkan sekiranya dia tidak menyekolahkan Saiful dahulu. Adakah Saiful akan berjaya seperti ini? “Bang Mail, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujar Zahri. Hatinya mengakui kebodohan diri sendiri. Air mata kesyukuran jatuh deras meskipun telah ditahan di kelopak matanya. Hatinya tidak berhenti-henti berzikir kepada Illahi. “Subhanallah, alhamdulillah, la ilaha illallah, allahu akbar!”